January 7, 2021

 

KUASA:  KECELARUAN DALAM UMNO

(Fikrah Bangi: 824),

BBB: 23 Jamadil-Awwal 1442H. = 07 Januari 2021M. (Khamis).

Berikutan dari pemecatan Tan Sri Annuar Musa dari jawatan Setia Agung Umno dan BN menjelang Mesyuarat MKT Umno di PWTC yang berakhir malam tadi memperlihakan Umno menggelabah dan bercelaru, hilang arah dan tiada jelas ke mana hendak dituju.

Fokus berita adalah apa yang ditimbulkan oleh Tan Sri Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dalam sidang akhbarnya kelmarin, bahawa Zahid  Hamidi menulis surat kepada Yang Di Pertuan Agong bertarikh 11 Oktober 2020 bersetuju tukar Perdana Menteri dan setia kepada Anwar Ibrahim dan menyokongnya menjadi Perdana Menteri yang menjadi mentornya sejak dalam ABIM, tetapi apabila Anwar dipecat dari Timbalan Perdana Menteri, tetapi beliau tidak mengikut keluar dan tidak terlibat dengan penubuhan PKR, tetapi nampaknya hubungan sentimentalnya dengan mentornya berterusan dan kini kembali mau diperkukuhkan.

Dari bukti pengambilan kuasa negeri  Perak oleh Umno dan ada percubaan untuk kerjasama dengan PKR dan DAP,kiranya tidak dapat diatasi penyelesaian sesama Pakatan Nasional, membuktikan ada kerjasama dengan PKR dan DAP. Kini terbukti dari apa yang didedahkan oleh Tan Sri Annuar bahawa memang ada gerakan menjajarkan politik baru, iaitu terdiri dari PKR dan DAP bila Pakatan Nasional dijatuhkan.

Dalam hal ini ada dakwaan bahawa 189 dari  191 cawangan menyokong diputuskan hubungan dengan Baersatu, tetapi menurut Annuar tidak semua menyokong cadangan memutuskan hubungan dengan Bersatu hanya 99 bahagian yang tolak kerjasama dengan Bersatu, bukannya 189 dan yang hadir ke persidangan di PWTC malam tadi hanya 2/3  daripada semua bahagian.

Menurut Annuar pihak pimpinan Umno membelakangi keputusan  PN - `Tolak Dap dan Anwar` dan usaha bagi mengukuhkan Muwafakat Nasional dengan draf perlembagaan  disiapkan, tidak diberi perhatian serius dan ditangguhkan.

Sementara itu usaha Umno untuk menekan kerajaan supaya mengadakan pilihanraya dengan segera, iaitu dalam suku pertama tahun ini dianggap oleh Khairy Jamaluddin Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai tidak bertanggungjawab. Pihak pimpinan Umno berpendapat pilihanraya dapat diadakan, lantaran vaksin sudah ada, tetapi tidak siapa dapat menjaminkan bahawa Corvid-19 dapat dihapuskan dalam masa terdekat. Hujah mengatakan dalam tahun 2020 sebanyak 35 negara telah mengadakan pilihanraya, tidak dapat dijadikan alasan yang kukuh. Negara kita yang telah mengadakan pilihanraya negeri Sabah pada akhir September 2020 memperlihatkan bahawa wabak Covic-19 menular di Sabah dan diikuti pertambahan berlaku di negeri-negeri yang lain.

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn menimbulkan tentang apakah yang dimau oleh pihak Umno dan ke mana hala yang mau ditujuinya. Sebenarnya Umno dalam keadaan resah gelisah dengan kekurangan kuasa, tidak sebagaimana dimilikinya sebelum pilihanraya ke 14. Dalam pilihanraya ke 14 Umno memenangi 54 kerusi dan 14 daripadanya melompat kepada Bersatu dan kini Bersatu sedang berusaha menambahkan cawangan termasuk di kawasan-kawasan Umno sendiri, jika dibiarkan, maka ianya akan memupuskan Umno, lantaran itu bagi mengukuhkan  parti Umno berazam untuk bertanding sebanyak 96 kerusi parlimen dan mengambil balik kerusi-kerusi yang dimenangi dan kini melompat kepada Bersatu. Di dalam hal ini, kelemahan Umno berkait rapat dengan kepimpinan Umno yang kini dilihat bercelaru dan lemah dari berunding dan diplomasi di dalam parti. Pertanyaan timbul mengapa Timbalan Presiden Umno tidak diberi kedudukan yang wajar di dalam pemerintahan. Dulu mereka yang berada di dalam MKT adalah pembuat polisi dan memegang portfolio penting di dalam pemerintahan, tetapi tidak semua mereka kini mendapat tempat, sedangkan mereka yang bukan dari MKT mendapat tempat di dalam pemerintahan. Ini dilihat kelemahan di dalam kepimpinan Umno itu sendiri.

Adalah dilihat usaha Umno untuk mewujudkan jajaran baru poliik negara sebagai lari dari mulut harimau ke mulut buaya. Apakah jaminan bila Umno bersekongkol dengan DAP dan PKR, maka Umno akan mendapat kedudukan tertinggi dalam pemerintahan dalam jajaran politik baru yang diusahakan ? Kemungkinan akan lebih teruk lagi dan akan berkurang dari segi sokongan. Orang Melayu memperlihatkan tidak senang dengan Dap. Demikian dengan PKR, lantaran telah dislogankan `Melayu tidak sokong Anwar`, lantaran dari tindak tanduk PKR selama diberikuasa pemerintahan selepas pilihanraya ke 14 lepas.

Umno nampaknya masih mengharapkan Pas akan berpihak kepadanya,tetapi di dalam hal ini pihak Pas masih belum mengeluarkan pendapat mengenai kemelut politik mutakhir yang dilakukan Umno.

Watak dan  wajah Umno akan lebih jelas apabila Persidangan Agung Umno akan diadakan pada akhir Januari ini. Tentulah pendirian seperti Pas dan parti-parti lain seperti HPS  di dalam Pakatan Nasional dan BN akan menyatakan kedudukan.

Apa yang dilihat bercelarunya Umno akibat dari kelemahan pimpinan. Umno dapat dipulihkan imejnya kerana bersama di dalam muwafakat Nasional dan Pakatan Nasional.

Dengan  memperjudikan masa depannya, apakah Umno makin terhakis dan hilang kepercayaan ?

Sekian.

January 6, 2021

 

UMNO PERLU BERSABAR, BERBINCANG

(Fikrah Bangi: 823),

Akhirnya Tan Sri Annuar Musa digantikan (dipecat) dari jawatan Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional semalam, sesuatu yang beliau sedia menerimanya sebelum keputusan itu dijatuhkan. Penukaran memanglah perkara biasa, tetapi ianyatidak terhenti setakat penukaran, sebaliknya implikasi dari keputusan yang diambil, walaupun dikatakan 147 daripada 149 ketua bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu.

Difahamkan tindakan diambil, tanpa merujuk kepada ketua-ketua parti komponan di dalam BN dan tidak juga dirunding terlebih dahulu bersama pimpinan di dalam Muafakat Nasional yang mendukung PN. Penolakan dari kerjasama dengan Bersatu  bererti menggugat PN yang boleh membawa runtuhnya PN itu sendiri.

Tindakan yang diambil Umno tanpa mengira negara mendepani wabak Covid-19 memperlihatkan ketidaksabaran pimpinan Umno dan ianya dilihat sebagai lanjutan dari apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak pada 10 Disember 2020 yang lepas yang menyebabkan rakyat Perak bingung dengan tindakan Umno dan mendapat teguran dari Baginda Sultan Perak.

Nampaknya tidak sampai sebulan dari kes Perak, episod dari kemelut politik angkara Umno dengan PN, khususnya dengan Bersatu menjadi lebih terbuka, walaupun negara bukan saja mendepani meningkatnya kes Covid-19, tetapi negara sedang mengalami bencana banjir luar biasa yang melibatkan 6 negeri.

Punca timbul kemelut politik yang ditimbulkan oleh Umno ini ialah keinginan kuasa yang lebih dan melihat Bersatu sebagai penghalang bagi mencapai kekuasaan yang dianggap Bersatu berusaha mengambilalih dari Umno. Tindakan Umno ini dianggap sebagai perjudian politik yang boleh diibaratkan nasib batu di dalam air tenggelam, kalau sabut  timbul terapung bersendirian. Umno berkeyakinan jika diadakan pilihanraya ke 15 secara segera, maka Umno berpeluang mengembalikan majoriti yang sebelum daripada 2014, kekuasaan adalah di dalam tangan Umno dan BN.

Implikasi dari tindak-tanduk Umno ini, mendapat respond dari PH, bahawa dalam suasana wabak Covid-19 dan kesan banjir kini adalah tidak sesuai diadakan pilihanraya, berdasarkan pengalaman Pilihanraya Negeri Sabah pada akhir September 2020 yang lepas.

Hasil dari tindakan Umno ini, kiranya pilihanraya ke 15 tidak dapat diadakan dalam kadar yang segera, maka kemungkinan kerajaan PN akan menghadapi undi tidak percaya dalam sidang parlimen akan datang dan kemungkinan akan jatuh. Dalam keadaan sekarang Umno sehrusnya mengambil kira pendapat dari parti yang menyokong PN seperti  Pas dan Himpunan Parti Sarawak yang mendukung dan menyelamatkan PN yang mampu berkuasa sejak Mac 2020 yang lepas. Umno juga perlu mengambilkira peranan parti-parti di dalam BN, walaupun jumlahnya terhad.

Yang paling penting perlu diambil kira, bahawa rakyat memerhati dan menilai gelagat Umno sejak kemelut DUN Perak. Sebelum kemelut di negeri itu dapat diselesaikan ada cubaan mendapat kerjasama denga PH, hatta dengan DAP. Dengan pergolakan yang berlaku, adakah episod ini kembali kepada kemungkinan berlaku ?

Berhubung dengan tindak tanduk Umno ini, perkembangan dan tindakan akan berlaku selepas daripada Persidangan Umno yang akan diadakan pada malam nanti. Apakah Umno akan mengambil tindakan `Berpatah arang  dan berkerat rotan ? Yang terpenting, bahawa rakyat sedang memerhati gelagat yang sedang berlaku di dalam Umno. Tinjauan yang dibuat Astro Awani, bahawa hampir separuh rakyat tidak setuju diadakan pilihanraya dalam tempoh musim Covid-19 ini. Satu pertiga tidak kesah dengan tindak tanduk Umno dan sebahagian kecil menyokong. Ingatlah yang akan mengundi bukan dari penyokong Umno sahaja.

Kestabilan politik yang dicapai selepas kelulusan belanjawan 2021  pada akhir November 2020 diharap dapat diteruskan.

Kita berharap Majlis Presiden dalam PN akan  bersidang dan mengambil keputusan yang positif. Setakat ini kita belum mendengar pendapat terutama dari Pas, Himpunan Parti Sarawak dan parti-parti lain dalam komponan BN. Berilah ruang bagi rakyat mendapat ketenangan dari tekanan Covid-19 dan bebas dari gangguan orang-orang politik yang antaranya bersifat tamak keuasaan tiada berkesudahan itu.

Sekian.

January 5, 2021

 

POLITIK HANGAT KEMBALI: MENUJU PERPECAHAN ATAU PENYATUAN ?

(Fikrah Bangi: 822),

BBB: 21 Jamadil-Awwal 1442H. = 05 Januari 2021M. (Selasa).

Ketenangan politik selepas Belanjawan lulus pada akhir November 2020 yang lepas nampaknya tidak bertahan lama. Ammarah politik nampaknya tidak terkawal, walaupun Covid-19 terus meningkat.

Umno yang merasa diri dalam kerugian menunjukkan sikap tidak setia dan sabar sanggup menjatuhkan Menteri Besar Perak Faisal Azumu di sebalik teguran Sultan Perak dan Saari mengambilalih jawatan MB Perak pada 10 Disember 2020.

Sikap ammarah Umno terserlah lagi tidak sampai  sebulan dari tragedi Perak, kali ini memperlihatkan ketidaksekataan kepimpinan dalam parti itu sehingga menimbulkan pertanyaan apakah tidak ada penyelarasan di kalangan Majlis Presiden di dalam Pakatan Nasional, khususnya dari Presiden Umno sendiri ?

Ironinya Presiden Umno sendiri dalam satu ucapan cawangan parti itu, menyatakan, bahawa Umno mau bertanding  semua kerusi dimenangi dalam pilihan raya ke 14. Manakala Timbalan Presiden secara jelas menyebutkan bahawa Umno mau bertanding sejumlah 96 kerusi dalam pilihanraya ke 15 nanti. Kenyataan ini menggugat status-quo politik dan kerusi yang dipegang oleh parti-parti politik sekarang, termasuk bagi yang melompat parti.

Ini menyebabkan ada yang menyuarakan, antaranya bahawa Umno Gua Musang menolak kerjasama dengan Bersatu. Datuk Tajuddin Abdul Rahman selaku Pengarah Pilihanraya Umno dan Ahli Majlis Tertinggi Umno berpendapat dengan kerjasama dengan Bersatu menjadikan Umno semakin tenggelam.

Sebagai contoh dilihat perlantikan Ketua bagi PN  negeri yang diumumkan semalam, nampaknya lebih didominasi oleh Bersatu.

Melihat kepada rend yang berlaku di dalam Umno ini jelas jika bertrusan dan tiada kawalan, ianya akan menuju kepada perpecahan di dalam PN. Sepatutnya dalam usia kerajaan PN yang belum sampai setahun itu perlu diperkukuhkan. Peluang memerintah ini hendaklah diambil kesempatan bagi memperkukuhkan PN. PN hendaklah membuktikan dan menyanggah bahawa kerajaan sekarang bukannya `Kerajaan Pintu Belakang`, iaitu dengan membuktikan bahawa PN sebenarnya mendapat mandat yang kukuh dari rakyat. Tanda-tanda perpecahan akan diambil oleh PH sebagaimana ditegaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa PH masih berusaha untuk mendapat kuasa sebelum berlakunya pilihanraya ke 15.

Di tengah-tengah ammarah Umno yang nampaknya tidak dapat kawal emosi itu terdapat rasionalisasi dari pemimpin-pemimpin di dalam PN yang memilih ketelitian dan hati-hati bagi menjamin perpaduan di dalam PN.

Annuar Musa selaku Setiausaha Agung  BN yang menyedari pergolakan di dalam Umno itu menyatakan bahawa jalan yang dituju oleh PN bukannya bertindak sebagai johan perpecahan, tetapi berusaha ke jalan perpaduan. Bagi Annuar, jika sikapnya dianggap sebagai tidak selari dengan kehendak segelintir pimpinan Umno, maka beliau bersedia dipecat dari Umno. Beliau menegaskan bahawa beliau komited dengan usaha memperahankan muwafakat parti Melayu dan Islam dalam kerajaan PN. Beliau menyatakan, bahawa selama ini beliau tidak lari dari perjuangan ini.

Dan menyedari adanya  usaha secara senyap untuk membentuk pakatan politik baharu,Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dengan tegas menolak usaha bagi mengadakan pakatan politik baharu. Pendirian ini selari dengan ungkapan yang dilahirkan oleh Datuk Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Pas bahawa,

`` Pas bertekad mempertahankan Muwafakat Nasional melalui pemerintahan Pakatan Nasional.`

Dalam kata lain  Pas bersedia meneruslkan  format dan pemerintahan yang ada sekarang.

Walau bagaimana sebelum pertanda perpecahan yang mulai ketara ini Majlis Presiden seharusnya dari awal membendung unsur-unsur perpecahan dari terus merebak. Keutamaan ialah memelihara perpaduan yang ada, bahkan memperkukuhkannya. Dengan majoriti yang tipis kini, seharusnya tidak dibiarkan kelemahan  membuka jalan kepada pihak lawan mengambil peluang dan mengeksploitasi kelemehan. Pihak yang merasa diri kuat perlu sedar tindak tanduk  yang tidak menguntungkan itu sedang diperhati rakyat.Kalau kuat, maka Umno tidak kalah dalam pilihanraya ke 14. Sebarang perpecahan akan mengundang kembali kekalahan.

Elak dari menjadi `Mat Jenin politik`.

Sekian.

January 4, 2021

 

BERAKHIRKAH ISU KARTEL DAGING SEJUK-BEKU DIPALSUKAN HALAL ? CABARAN !

(Fikrah Bangi: 521),

BBB:  20 Jamadil-Awwal 1442H. = 04 Januari 2021M. (Isnin).

Heboh sejak  Sinar membongkar wujud sindikit kartel tukar Daging haram menjadi halal mulai 2 Disember 2020. Umat Islam merasa mereka itu selama ini tertipu dengan perbuatan tidak bertanggungjawab dan sekaligus menjadikan mereka was-was, bahkan menjauhi dari menggunakan daging import yang selama ini dipercayai halal itu. Sebagai kesannya penjualan daging import secara drastik menurun dan kedai makan yang selama ini menggunakan daging import terjejas dari segi perniagaan.

Bagi menjelaskan kepada rakyat bererapa pihak yang terlibat. Sebagai contoh SPRM siasat  penguatkuasa bersekongkol dengan kartel dan menemui bukti kukuh kesalahan mereka (Sinar, 27 Dis. 2020: 2).

JAKIM, dianggap bahagian yang rapat dengan isu halal-haram mengakui ada kelemahan SOP sijil halal. Menurut Pengarah Kanan bahagian Penyelidikan JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menyatakan selain daripada JAKIM terdapat 344 agensi lagi yang terbabit di dalam  pengesahan halal sehingga sampai kepada pengguna (BH. 29 Disember 2020: 1), lantaran itu beliau mengakui JAKIM pada dasarnya  tiada kuasa kawal kartel daging (Sinar, 29 Disember 2020: 1).

Cakna dengan persoalan halal-haram bagi umat Islam ini berbagai pihak yang berkenaan membaut berbagai-bagai cadangan..Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Nadzim menyeru semua pihak yang berautoriti bekerjasama di dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ada yang berbendapat, oleh kerana JAKIM tidak mempunyai kuasa mempastikan soal –halal-haram, maka dicadangakan bahawa,JAKIM perlu diberi kuasa yang lebih. Walau bagaimana menurut Datuk Seri Zulkifli al-Bakri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pihak JAKIM akan mengeluarkan senarai pengimport berlesen, bagi mengenal pasti syarikat mana yang terlibat. Manakala Asyraf Wajdi dari Pemuda Umno, mencadangkan diperhalusi kembali peranan Majlis Halal Malaysia dan membuat laporan kepada PDRM supaya menyiasat.

Lebih dari itu, oleh kerana perkara ini serius, ada pihak mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara ini. Menurut Datuk Seri Dr. Zulkifli perbincangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) sudah dimulakan. Disamping menambah baik SOP berhubung dengan kaedah halal-haram pengimportan daging.

Setakat ini, syarikat Kartel Daging Haram didakwa pada 30 Disember 2020, tetapi ianya melibatkan sebuah syarikat sahaja, sudah tentu ia perlu kepada penyelidikan yang lebih mendalam, bagaimanakah rangkaian seludup daging haram ditukarkan kepada pembungkusan halal. Tentu ada yang sekongkol dan bagaimanakah rantaian persekongkolan ini terjadi dan sejak bilakan perbuatan menipu ini berlaku.  Apa lagi dikatakan bahawa aktiviti kartel daging haram di negara ini sudah berlaku sejak hampir 40 tahun lalu. Bagaimanakah perkara ini terlepas pandang oleh pihak yang berkuasa. Tentulah ada sindikit dan pihak yang melindunginya selama ini. Kita berharap semuanya akan terbongkar. Kita juga berharap dengan tibanya tahun baru, maka perkara ini akan berlalu begitu sahaja.

Di samping pihak berkuasa menyiasat dan membuktikan pihak bersalah dibawa kepada pihak keadilan dan peraturan kemasukan daging import diperbaiki dan  terjamin dari segi status halalnya melalui siri  dari segi penyembelihan, penyimpanan, penghantaran tidak bercampur dengan yang haram, penyimpanan, pengagihan dan penyimpanan pihak pengagihan  hingga kepada pemasakan dipastikan halal, maka perlu diambil langkah jangka panjang bagi menghasilkan daging halal dari segi tempatan.

Kita berpendapat bahawa ujian yang dikenaklan Allah sama dengan ujian wabak Covid-19, kita perlu berwibawa dan bermaruah, sementara kita perlu kepada vaksin bagi Covid-19, kita perlu berusaha menghasil dan mendapat vaksin dari kajian dan penawar yang bersifat tempatan. Demikian juga dengan isu pengimportan daging ini. Dalam masa kita mempastikan daging import yang masuk ke nagara kita hal, satu projek jangka panjang perlu diwujudkan. Kita ada pengajian tinggi yang mengkhususkan dari segi pertanian dan penternakan – kalau tidak cukup dan tidak mampu perlu wujudkan Agro-Teknologi Universiti yang memberi tumpuan bagi bidang ternakan.Kita ada Kementerian Pertanian. Kita berjaya ternak ikan. Kita perlu membuka ladang ternakan lembu, kerbau, kambing, biri-biri, arnab, rusa, kijang, landak, pelanduk dan sebagainya. Kita mempunyai tanah yang luas dan sesuai, mempunyai bahan makanan bagi ternakan dari kelapa sawit dan sebagainya, mempunyai tenaga yang masih memerlukan kerja. Bukan mustahil, jika ada dirancang secara besar- besaran dan teratur, kita bukan saja dapat menghasilkan keperluan daging tempatan, tetapi mampu mengeksport hasil ternakan kita ke luar negara.

Kita tidak miskin dari segi bahan, tetapi miskin dari ikhtiar dan menggunakan akal , fikiran dan keilmuan. Kita sepatutnya tidak bercakap hanya tentang status halal dan haram dari negara luar yang dikatakan datangnya bukan saja dari Australia, New Zealand, tetapi dari China, Ukraine, Brazil,  dan Argentina.

Keperluan dan kekayaan bagi menghasilkan ternakan tempatan ada di negara dan sekeliling kita, tetapi jangan sampai kita miskin idea dan usaha.

Sekian.

January 3, 2021

 

VAKSIN:  MARUAH NEGARA TERCABAR

(Fikrah Bangi: 820),

BBB: 19 Jamadil-Awwal 1442H. = 03 Januari 2020M. (Ahad).

Pandemik Covid-19 menyentuh wibawa dan maruah terutama negara-negara besar yang antaranya pada permulaan tidak memberi perhatian serius terhadap wabak ini. Tetapi negara-negara besar berkenaan tercabar apabila wabak berkenaan meningkat seperti di Amerika, India, Brazil, Rusia, Perancis, UK,Turkey, Itali, Spain dan German. Maruah mereka tercalar dan tercabar.

Tahap seterusnya negara-negara maju berlumba mencari vaksin bagi melawan wabak berkenaan. Setelah hampir setahun bertungkus lumus membuat kajian dan ujian, maka terhasillah vaksin-vaksin yang mula diuji dan digunakan sejak November 2020. Iaitu dengan penghasilan vaksin:

·        Pfizer   dihasilkan oleh Amerika dengan kerjasama German

·        Modena juga dihasilkan di Amerika..

·        Astra Zenica  oleh Oxford di London.

·        Cinovac atau Cinofarm  dihasilkan di China.

·        Sputnik dihasilkan oleh Rusia.

Kini berbagai negara berharap akan sama dapat manfaat dari hasil vaksin di atas terutama dari jenama Pfizer yang dikatakan 95% berkesan. Yang turut menggunakannya ialah Singapura dan Malaysia dikatakan akan menggunakannya pada Februari nanti.

Kejayaan penghasilan vaksin terutama oleh Amerika adalah memulihkan imejnya sebagai kuasa besar berkemampuan dan mendahului negara-negara maju di dalam menghasilkan vaksin. Kini negera-negara yang lain mengharap ihsan dari penghasil vaksin berkenaan yang nampaknya lebih mengutamakan negara Eropah dari negara-negara yang lain.

Penghasilan vaksin adalah secara tidak langsung adalah mempertingkatkah maruah dan imej  negara-negara yang sebelum ini turut tercalar akibat dari Covid-19.

Sebenarnya antara negara besar, berlaku perlumbaan dan mereka tidak mau turut kalah dari segi perlumbaan. Rusia tidak tunduk dan mengharapkan kepada Amerika dan lain-lain. Rusia turut menghasilkan vaksin tersendiri - Sputnik. Oxford dari England sebagai sebuah universiti tertua, tidak mau ketinggalan dan turut menghasilkan vaksin sendiri. Cina sebagai satu kuasa besar dan dicop sebagai negara pemula Covid-19 turut sama menghasilkan vaksin dengan Cinovic dan kini sedang digunakan oleh beberapa negara seperti di Timur Tengah dan di Sarawak, Malaysia.  Iran satu kuasa yang tidak mau tunduk kepada Barat, juga sama menghasilkan vaksin. Juga diberitakan turut sama menghasilkan vaksin ialah India dan disebut-sebut juga diusahakan oleh  Vietnam.

Bagi kita di Malaysia tidakkah tersentuh untuk menjaga maruah dan sepatutnya sama berusaha menghasilkan vaksin. Pada peringkat awal kita mendengar pihak Kementerian Sains dan Teknologi beura-ura mau berusaha bagi menghasilkan vaksin, tetapi ura-uran berkenaan sepi. Kita mempunyai universiti-universiti yang berada pada ranking terbaik di Asia dan dunia dan ada pakar-pakar yang selalu dijemput bercakap tentang pandemik. Kita kira tidaklah cukup bercakap tentang hasil yang telah dijayakan oleh pihak lain. Kita sendiri patut menghasilkannya sendiri. Kita mempunyai sejarah berjaya melawan wabak malaria, denggi dan Nipah. Tidak mustahil kita juga mampu berjaya menghasilkan vaksin untuk melawan Covid-19.

Kalau kita tidak mampu menghasilkan secara persendirian mengapa tidak diusahakan kerjasama, terutama di kalangan negara-negara Asean bagi menghasilkan vaksin.Negara-negara Asean patut mewujudkan institut bersama bagi mengkaji penyakit-penyakit berjangkit yang berlaku pada peringkat Asean dan global. Kerjasama yang dilakukan seharusnya tidak terhad kepada bidang ekonomi dan politik sahaja, tetapi meluas misalnya kepada bidang kesihatan, pelajaran, pelancungan dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak kemiskinan  idea dan pakar, tetapi kemiskinan dari usaha.

Di dalam konteks mau menjadikan negara kita `Negara Berilmu`, sebenarnya inilah peluang dan kesempatan bagi menampilkan kemampuan negara kita di dalam bidang kesihatan. Kita percaya berbagai-bagai universiti mempunyai kepakaran di dalam bidang kesihatan dan perubatan. Kita tidak tahu, apakah kementerian Kesihatan dan Pengajian Tinggi menganggap perkara ini tidak  releven ?

Usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan selama ini mengeluarkan data setiap hari tentang wabak dari segi meningkat dan menurunnya dan Kementerian Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri tentang sekatan dan kawalan bagi mencegah atau menahan dari merebaknya wabak amat dihargai. Adalah lebih baik ikhtiar turut diperluaskan dan dilakukan bagi menghasilkan penawar bersifat tempatan yang dapat menahan dan mencegah wabak Covid-18 berkenaan.

Dengan kejayaan kita insya Allah  dapat mencegah wabak dapat melakukan kebajikan, meningkatkan maruah dan imej negara kita di mata dunia.

Sekian.

January 2, 2021

 

VAKSIN – MARUAH

(Fikrah Bangi:  819),

BBB:  18 Jamadil-Awwal 1442H. = 02 Januari 2021M. (Sabtu);

Pada permulaan Corbid-19, awal 2020 seorang presiden di negara Amerika Selatan bersama rakyatnya menyertai tunjuk perasaan menentang norma baru yang disarankan seperti memakai  pelitup muka dan penjarakan. Donald Trump Presiden Amerika sendiri pada peringkat awal, tidak serius dan menunjukkan keengganan memakai pelitup muka, sikap ini ditunjukkan berdepan dengan khalayak. Tetapi negara kita menunujukkan kesiriusan sejak diisytiharkan oleh WHO Covid-19 sebagai pendemik pada 13.3.2020. Selepas mesyuarat khas tentang covid-19 pada 16.3.2020 Malaysia mengarah mulai 18.3.2020 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  berkuatkuasa selama dua minggu.

Sejak kesedaran tentang bahayanya wabak Covid-19 yang bermula dari Wuhan China itu, Malaysia mengambil tiga pendekatan:

1)    Laporan Harian Perkembangan

Tugas ini dilakukan oleh Ketua Kementerian Kesihatan Malaysia yang diketuai oleh Tan Sri Noor Hisham Abdullah. Beliau dan pasukannya melaporkan perkembangan harian wabak Covid-19 melalui sidang akhbar pada setiap petang – Kecuali hari minggu Tahap pemulaan memperlihatkan kejayaan memberangsangkan sehingga wabak dapat dilandaikan ke tahap yang paling rendah pada  Julai 2020. Tetapi wabak meningkat pada awal Oktober 2020 selepas berlakunya Pilihanraya Negeri Sabah. Wabak berkembang di Sabah dan negeri-negeri lain. Peningkatan berterusan hingga kepada peringkat mengatasi Sabah seperti berlaku di Selangor.

Laporan terkini bagi 1.1.2021 di  Malaysia yang jumlah terus meningkat:

Kes keseluruhan 115.078 , Kes baharu 2,068 dan kematian adalah  474(+ 3).

Tertinggi:  Selangor 776, Kuala Lumpur 457, Sabah  254,  Johor  112, diikuti negeri-negeri yang lain yang kesnya makin menurun.

Berbanding dengan peringkat global:

America – confirm  20,445,654

              Meninggal        354,215

              Pulih             12,125,806

India confirm:           10,286,709

           Meninggal            149,018

              Pulih                9,883,461

Brazil  - Confirm          7,675,973

           Meninggal            194,976

            Pulih                  6,747,065

Diikuti negara-negara lain yang jumlahnya makin menurun.

Wabak Covid-19 bukan suatu yang boleh dipermain-mainkan. Donald Trump dipersalahkan merebaknya Covid-19, kerana kecuaiannya dari awal. Kalah dalam pilihanraya.  Akibatnya Amerika adalah negara tertinggi menerima wabak, sedangkan pemimpin seperti di Selatan Amerika menerima tamparan atas kecelupran mulut mereka.

2)    Tahap Pengawalan Dan Kuatkuasa Undang-Undang

Dilakukan oleh Kementerian Pertahanan dan Kuatkuasa  Undang-Undang Dalam Negeri. Laporan harian mengenai penguatkuasa Undang-undang dilakukan oleh Menteri Pertahanan dan Kuatkuasa Undang-undang Dato` Seri Ismail Sabri

Melalui tahap-tahap:

1)    13.3.2020  - Covid-19 diisytihar oleh WHO sebagai Pendemik seluruh dunia.

2)    18.3.2020  -Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.. Adaptasi kepada norma baru.

3)    6 April 2020 Konsep zon.

Contoh Zon Mereh, Simpang Renggam, Johor, Sungai Lui, Hulu Langat dan City Tower, Kuala Lumpur.

Hari ini jangkitan meningkat kepada 3,793 kes, 102 positif (54%) dengan satu kematian.

4)    14.4.2020  - Hari terakhir PKP tahap kedua. Dan mulai 15.4.2020 tahap ketiga PKP.

5)    11.5.2020  PKPB disambung

Seterusnya bertahap hingga Julai, Ogos, Oktober dan hingga akhir Disember 2020. Melibatkan istilah PKP, PKPB, PKPP, dan PKPD.

6)    Terakhir PKP disambung hingga ke 31 Mac 2021.

Kawalan memberi kesan yang baik, tetapi dari satu segi  mengganggu kegiatan ekonomi menyebabkan kelonggaran dilakukan bagi membolehkan orang ramai bergerak dan mengaktifkan kegiatan ekonomi. Gangguan-gangguan yang lain turut terencat seperti pendidikan, pelancongan dan sebagainya.

3)    Tahap Penghasilan Vaksin

Maruah negara-negara Barat seperti Amerika, Negara-negara Eropah, bahkan Rusia tercalar, mereka terkapai-kapai di dalam menghadapi wabak Covid-19, bahkan mereka lebih teruk. Tahap mereka adalah sama lemah dari segi ini dengan negara-negara lain. Perlumbaan mencari vaksin adalah perlumbaan memulihkan imej mereka di mata dunia. Mereka dapat menebus maruah mereka dengan penemuan vaksin oleh:

1)    Pfizer dari Amerika dengan kerjasama German

2)    Astra Zanica – Modenas  juga di Amerika

3)    Oxford University - England

4)    Sinovic – China

5)    Sputnik – Rusia

Dengan penemuan vaksin di atas negara-negara Barat, terutama yang teruk mengalami wabak Covid-19 adalah berjaya menebus maruah mereka dengan penghasilan vaksin-vaksin berkenaan, walaupun setengahnya masih dalam proses ujian.

Seterusnya bagi negara-negara lain termasuk Malaysia adalah pada tahap mengharap ihsan dari negera-negara, khasnya penghasil vaksin untuk mendapat bekalan, tentulah dengan kos yang bagi penghasil-penghasil akan mendapat pulangan yang tinggi. Kita tidaklah mendapat keutamaan berbanding dengan Singapura yang telah mendapat vaksin, sedangkan kita menunggu hingga akhir Februari atau Mac 2021. Manakala vaksin dari Cina diuji di Sarawak.

Dalam kata lain kita adalah dalam tahap mengharap ihsan dari negara-negara atau syarikat-syarikat penghasil di atas.

Tidakkah maruah negara kita Malaysia  tercalar dan tercabar ?

Sekian.

January 1, 2021

 

MENGGAPAI 2021:  HALANGAN DAN CABARAN – FOKUS PENGAJIAN

( Fikrah Bangi:  818),

BBB: 17 Jamadil-Awwal 1442H. = 01 Januari 2021M. (Juma`at).

Tahun baru 2021 tiba hari ini. Sebagaimana biasa baik dari pemimpin negara membawa kepada individu bermuhasabah dan membina azam baru bakal dilaksanakan setahun mendatang sambil mengucap `Selamat Menyambut Tahun Baru 2021`  dan mendoakan keselamatan bagi semua.

Walau apa jua azam,  halangan paling besar dihadapi semua adalah wabak Covid-19 yang terus meningkat. Laporan akhbar pagi ini menunjukkan wabak Covid-19 di Malaysia mencapai peringkat tertinggi dengan kes terbaru  2,525 dengan kematian sebanyak 471 + 8.  Selangor negeri tertinggi sebanyak 1,205 kes, Sabah 299, Melaka 239,  Johor 194 diikuti dengan negeri-negeri yang lain. Manakala pada peringkat dunia Amerika terus mendahului negara-negara lain dengan kes 20,216,991 dan kematian  350,778, dikuti oleh India dengan kes 10,257,282 dengan kematian  148,774, diikuti Brazil dengan kes 7,619,970 dengan kematian 193,940 dan diikuti dengan negara-negara yang lain. Kesan dari vaksin yang mula digunakan sejak pertengahn Disember 2020, terutama oleh negara-negara maju belum menunjukkan keberhasilan yang jelas.

Hasrat mau melihat Malaysia sebagai `Negara Berilmu` dan maju dari segi tamadun dan peradaban menghadapi halangan dan cabaran. Halangan yang ketara bahawa institusi-institusi keilmuan yang menjadi ketalis bagi kemajuan terencat dengan amat teruk. Universiti yang terganggu dari segi pengajian normal sejak dari awal tahun tidak dibuka, tetapi apabila percubaan membuka kembali dengan kemasukan pelajar baru ada awal Oktober 2020 berlaku kekecohan, kerana  pembukaan ditarik balik. Seramai 1.4 juta pelajar terlibat dan tak jadi mendaftar. Mereka yang belum pernah mengikuti pengajian formal diminta mengikuti pengajian `atas talian`. Bayangkan betapa keciwa pelajar-pelajar baru yang pada awal begitu riang, kerana berpeluang masuk ke universiti, tiba-tiba terhalang memulai pengajian di universiti-universiti yang membuat tawaran kepada mereka. Semua berpendapat bahawa pengajian melalui talian tidak sama dengan pengajian secara berdepan dengan pengajar. Berita mutakhir dari Kementerian Pengajian Tinggi mengatakan bahawa IPT akan mula dibuka mulai Februari 2021.

Bayangkan betapa selama lebih kurang setahun bangunan-bangunan pengajian tinggi – IPT berjumlah 20 buah itu, kosong dari kehadiran pelajar. Makmal-makmal terbengkalai dari praktikal dan perpustakaan-perpustakaan terbiar tanpa kegunaan. Para pensyarah menyampaikan pengajaran secara ``atas talian`. Sebanyak mana sangat pengajian yang dapat diterima, tanpa dapat membuat rujukan di perpustakaan dan tanpa kelas tutorial untuk menghadamkan pengajian yang disampaikan. Pengajian sekarang adalah lebih teruk dari`Pengajian Luar Kampus`

Sementara itu, pengajian IPTS yang menghampiri jumlah IPTA di negera ini dan dahulu banyak mendapat pelajar dari luar negara dan banyak memberi pulangan hasil kepada negara, menghadapi kemerosotan yang amat teruk, kerana pelajar tidak dapat datang dan tiada pertambahan pelajar baru, manakala IPTS mengharapkan kepada yuran pelajar sepenuhnya hilang sumber pendapatan. IPTS adalah bersifat perniagaan dan sebagaimana perniagaan yang lain menghadapi  kemerosotan yang teruk, maka demikianlah IPTS sama menghadapi kemerosotan yang teruk. Maklumat yang didapati (Sinar 12.7.2020) bagi memulihkan pengajian swasta di negara ini memerlukan dana RM10 bilion, jika tidak pengajian-pengajian yang berkenaan terpaksa ditutup.

Turut terencat dari segi pembelajaran ialah 5.7 juta pelajar sekolah yang tergendala dari segi pengajian sejak awal tahun 2020. Mereka juga diminta mengikuti pengajian secara `atas talian` dengan segala kekurangan. Persekolahan cuba mula dibuka pada 24 Jun 2020, terutama bagi mereka yang bakal menghadapi peperiksaan SPM, STPM dan STAM. Sejumlah 500,444 kembali ke sekolah dan sekolah mulai ditutup 9 November 2020 sehingga akhir tahun dan peperiksaan SPM, STPM dan STAM dianjak ke Mac 2021.

Dengan perjalanan pengajian baik dari peringkat universiti, kolej, sekolah menengah dan rendah meresah dan merisaukan para ibu bapa. Mereka tersadai di rumah. Walaupun ada pengajian melalui `atas talian` bagi setengah anak-anak dan ibu bapa yang tidak sangat mementingkan pengajian, mereka tidak kesah,  mereka adalah sebagai anak-anak yang tidak bersekolah. Bagi yang sedar untuk belajar, betapa sejak gangguan Covid-19 mereka terabai dan pengajian dan jika kembali belajar, betapa banyak pelajaran yang tertinggal dan sukar untuk kembali mengikuti pengajian dengan sebahagian besar telah tertinggal.

Kerencatan pengajian dari peringkat rendah hingga kepada peringkat tertinggi bererti rencatnya keilmuan yang sepatutnya dapat dicapai oleh pelajar. Bayangkan berapa ramai yang berpotensi dan amat diharap oleh ibu bapa kecemerlangan anak-anak mereka di dalam pelajaran dan tertinggal dalam pelajaran, manakala peluang bagi setengah mereka untuk menyambung pengajian  ke tempat-tempat pengajian pilihan terncat dan terganggu. Ini adalah satu kerugian, bukan saja dihadapi oleh ibu bapa, tetapi negara.

Usaha bagi menyelamatkan pelajaran dan pengajian anak-anak perlu dilakukan agar mereka tidak terencat dari keilmuan dan negara tidak terencat dari pembinaan  tamadun dan peradaban.

Sekian.