January 1, 2021

 

MENGGAPAI 2021:  HALANGAN DAN CABARAN – FOKUS PENGAJIAN

( Fikrah Bangi:  818),

BBB: 17 Jamadil-Awwal 1442H. = 01 Januari 2021M. (Juma`at).

Tahun baru 2021 tiba hari ini. Sebagaimana biasa baik dari pemimpin negara membawa kepada individu bermuhasabah dan membina azam baru bakal dilaksanakan setahun mendatang sambil mengucap `Selamat Menyambut Tahun Baru 2021`  dan mendoakan keselamatan bagi semua.

Walau apa jua azam,  halangan paling besar dihadapi semua adalah wabak Covid-19 yang terus meningkat. Laporan akhbar pagi ini menunjukkan wabak Covid-19 di Malaysia mencapai peringkat tertinggi dengan kes terbaru  2,525 dengan kematian sebanyak 471 + 8.  Selangor negeri tertinggi sebanyak 1,205 kes, Sabah 299, Melaka 239,  Johor 194 diikuti dengan negeri-negeri yang lain. Manakala pada peringkat dunia Amerika terus mendahului negara-negara lain dengan kes 20,216,991 dan kematian  350,778, dikuti oleh India dengan kes 10,257,282 dengan kematian  148,774, diikuti Brazil dengan kes 7,619,970 dengan kematian 193,940 dan diikuti dengan negara-negara yang lain. Kesan dari vaksin yang mula digunakan sejak pertengahn Disember 2020, terutama oleh negara-negara maju belum menunjukkan keberhasilan yang jelas.

Hasrat mau melihat Malaysia sebagai `Negara Berilmu` dan maju dari segi tamadun dan peradaban menghadapi halangan dan cabaran. Halangan yang ketara bahawa institusi-institusi keilmuan yang menjadi ketalis bagi kemajuan terencat dengan amat teruk. Universiti yang terganggu dari segi pengajian normal sejak dari awal tahun tidak dibuka, tetapi apabila percubaan membuka kembali dengan kemasukan pelajar baru ada awal Oktober 2020 berlaku kekecohan, kerana  pembukaan ditarik balik. Seramai 1.4 juta pelajar terlibat dan tak jadi mendaftar. Mereka yang belum pernah mengikuti pengajian formal diminta mengikuti pengajian `atas talian`. Bayangkan betapa keciwa pelajar-pelajar baru yang pada awal begitu riang, kerana berpeluang masuk ke universiti, tiba-tiba terhalang memulai pengajian di universiti-universiti yang membuat tawaran kepada mereka. Semua berpendapat bahawa pengajian melalui talian tidak sama dengan pengajian secara berdepan dengan pengajar. Berita mutakhir dari Kementerian Pengajian Tinggi mengatakan bahawa IPT akan mula dibuka mulai Februari 2021.

Bayangkan betapa selama lebih kurang setahun bangunan-bangunan pengajian tinggi – IPT berjumlah 20 buah itu, kosong dari kehadiran pelajar. Makmal-makmal terbengkalai dari praktikal dan perpustakaan-perpustakaan terbiar tanpa kegunaan. Para pensyarah menyampaikan pengajaran secara ``atas talian`. Sebanyak mana sangat pengajian yang dapat diterima, tanpa dapat membuat rujukan di perpustakaan dan tanpa kelas tutorial untuk menghadamkan pengajian yang disampaikan. Pengajian sekarang adalah lebih teruk dari`Pengajian Luar Kampus`

Sementara itu, pengajian IPTS yang menghampiri jumlah IPTA di negera ini dan dahulu banyak mendapat pelajar dari luar negara dan banyak memberi pulangan hasil kepada negara, menghadapi kemerosotan yang amat teruk, kerana pelajar tidak dapat datang dan tiada pertambahan pelajar baru, manakala IPTS mengharapkan kepada yuran pelajar sepenuhnya hilang sumber pendapatan. IPTS adalah bersifat perniagaan dan sebagaimana perniagaan yang lain menghadapi  kemerosotan yang teruk, maka demikianlah IPTS sama menghadapi kemerosotan yang teruk. Maklumat yang didapati (Sinar 12.7.2020) bagi memulihkan pengajian swasta di negara ini memerlukan dana RM10 bilion, jika tidak pengajian-pengajian yang berkenaan terpaksa ditutup.

Turut terencat dari segi pembelajaran ialah 5.7 juta pelajar sekolah yang tergendala dari segi pengajian sejak awal tahun 2020. Mereka juga diminta mengikuti pengajian secara `atas talian` dengan segala kekurangan. Persekolahan cuba mula dibuka pada 24 Jun 2020, terutama bagi mereka yang bakal menghadapi peperiksaan SPM, STPM dan STAM. Sejumlah 500,444 kembali ke sekolah dan sekolah mulai ditutup 9 November 2020 sehingga akhir tahun dan peperiksaan SPM, STPM dan STAM dianjak ke Mac 2021.

Dengan perjalanan pengajian baik dari peringkat universiti, kolej, sekolah menengah dan rendah meresah dan merisaukan para ibu bapa. Mereka tersadai di rumah. Walaupun ada pengajian melalui `atas talian` bagi setengah anak-anak dan ibu bapa yang tidak sangat mementingkan pengajian, mereka tidak kesah,  mereka adalah sebagai anak-anak yang tidak bersekolah. Bagi yang sedar untuk belajar, betapa sejak gangguan Covid-19 mereka terabai dan pengajian dan jika kembali belajar, betapa banyak pelajaran yang tertinggal dan sukar untuk kembali mengikuti pengajian dengan sebahagian besar telah tertinggal.

Kerencatan pengajian dari peringkat rendah hingga kepada peringkat tertinggi bererti rencatnya keilmuan yang sepatutnya dapat dicapai oleh pelajar. Bayangkan berapa ramai yang berpotensi dan amat diharap oleh ibu bapa kecemerlangan anak-anak mereka di dalam pelajaran dan tertinggal dalam pelajaran, manakala peluang bagi setengah mereka untuk menyambung pengajian  ke tempat-tempat pengajian pilihan terncat dan terganggu. Ini adalah satu kerugian, bukan saja dihadapi oleh ibu bapa, tetapi negara.

Usaha bagi menyelamatkan pelajaran dan pengajian anak-anak perlu dilakukan agar mereka tidak terencat dari keilmuan dan negara tidak terencat dari pembinaan  tamadun dan peradaban.

Sekian.

No comments:

Post a Comment