January 25, 2021

 

MEMPERKASAKAN  PENGAJIAN  TINGGI  DAN  MEMASYRAKATKAN ILMU

(Fikrah Bangi: 842),

BBB:  12 Jamadil-Akhir 1442H. = 25 Januari 2021M. (Isnin).

Dua  perkara yang diharapkan kepada pengajian tinggi,khususnya  universiti, bahawa universiti berkembang maju dan ianya memberi manfaat kepada masyarakat.

Tugas memperkasakan universiti dengan ilmu adalah tugas  hakiki uiversiti, bahawa dengan peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan penjanaan dari segi  pendapatan yang dapat dilakukan oleh universiti sendiri, maka universiti berusaha meningkatkan kualiti dan pencapaian universiti. Bagi memajukan universiti, maka dari  awal universiti berusaha mendapat tenaga akademik terbaik di dalam berbagai bidang keilmuan yang ditawarkan. Misalnya dengan adanya beberapa orang tokoh akademik – profesor yang bertaraf antarabangsa, dan kualiti sedemikian adalah berterusan maka cukup bagi melonjakkan imej universiti bertaraf antarabangsa. Kualiti yang dicapai hendaklah bersama berlaku di kalangan pensyarah dan di kalangan pentadbir dan tenaga sokongan universiti.

Pemerkasaan universiti juga bergantung kepada mutu ilmu yang diperturunkan ke dalam kurikulum yang dikehendaki disusun secara terbaik dan disatukan dengan kurikulum dari berbagai bidang yang menyatukan pendekatan dari kurikulum. Soal kaedah penyampaian juga memerlukan kaedah yang kreatif dan inovatif sehingga ianya tidak statik, tetapi hidup, bahkan menambah minat di dalam pengajian ditambah dengan penggunaan alat-alat teknologi terkini.

Yang melonjakkan imej universiti ialah kemajuan di dalam bidang penyelidikan. Ilmu sebenarnya berkembang melalui penyelidikan. Bidang ini sebenarnya lebih utama diharapkan dari seorang tenaga akademik. Seorang tenaga pengajar tidak sepatutnya bergantung di dalam pengajaran terhadap bahan keilmuan yang lama dan tidak berubah, tidak bertambah dan menjemukan. Peningkatan keilmuan adalah melalui penyelidikan. Seorang tenaga akademik yang tidak menjalankan penyelidikan, tidak mampu membawa peningkatan keilmuan tanpa mengadakan penyelidikan. Dengan hasil penyelidikan  memperlihatkan mutu keilmuan seorang tenaga pengajar.

Satu tuntutan yang diharapkan dari tenaga pengajar ialah menerbitkan penulisan yang tidak lain dari hasil penyelidikan yang dilakukan. Bahkan kenaikan pangkat bagi seorang tenaga pengajar sebahagian besar bergantung kepada penyelidikan dan penerbitan yang dihasilkan. Mengajar, walaupun berpuluh tahun tanpa ada penerbitan menyebabkan seseorang tenaga pengajar tidak dinaikkan pangkat. Sebab itu diungkapkan kepada tenaga pengajar: ` Either you publish or perish`. Sesuatu yang diterbitkan, biasanya sebelum diterbitkan dinilai oleh beberapa pihak sebelum diterbitkan. Kita tidak mau  seorang profesor dilantik tanpa dinilai, antaranya dari mutu penerbitan yang dihasilkan dan kita tidak mau profesor yang tidak bermutu, sebagaimana dikatakan oleh Tun Dr. Arshad Ayob, bahawa kita mempunyai ramai profesor, tetapi tidak bermutu.

Walau bagaimana melihat kepada ranking universiti-universiti di negara kita, sebahagian daripadanya mendapat kedudukan yang baik pada taraf tempatan, Asean, Asia dan dunia. Ini menandakan bahawa kualiti sebahagian daripada universiti kita tidaklah tercorot  berbanding dengan universiti-universiti lain di dunia.

Melihat kepada harapan kedua, bahawa universiti haruslah memberi khidmat kepada masyarakat atau dalam kata lain ialah memasyarakatkan  universiti. Dari aspek ini dilihat kurangnya keterlibatan universiti kepada masyarakat. Dalam hal ini ada dua pandangan bahawa `Ilmu adalah demi ilmu` di samping `Ilmu  Untuk Masyarakat`. Pertama melihat para ilmuan tugasnya menjanakan ilmu. Mereka tidak mempunyai masa untuk turun melibatkan diri memperurunkan ilmu kepada masyarakat. Tugas ini harus dilakukan oleh kalangan pelajar yang mengikuti keilmuan yang dijanakan oleh para ilmuan. Tetapi satu pendapat atau aliran lagi melihat dari segi utiliti, bahawa ilmu yang dihasilkan tidak memberi makna, tanpa dijanakan kepada masyarakat.

Kedua-dua aliran ada kebenarannya. Memang ada ilmu yang tidak memerlukan tokoh ilmuan turun melibatkan diri dengan masyarakat. Sebaliknya keilmuan berkenaan diperturunkan oleh pendukung dan pengikut. Keilmuan bersifat falsafah, pendita, seniman, penyair, sufi dan bidang-bidang yang seumpamnya adalah mereka yang mencapai tahap tinggi dalam bidang masing-masing dan biasanya tidak sama dapat  diikuti oleh pendukung-pendukung, maka pada peringkat ini dikatakan ilmunya demi ilmu, seni untuk seni`, Falsafah menurut falsafahnya. Sememangnya sesebuah universiti bernasib baik jika dapat melahirkan tokoh pemikir, filosof, seniman, sasterawan, penyair dan sebagainya. Tapi ciri unggul yang sedemikian tidak mudah dicapai dan tidak ramai yang lahir. Namun diakui apa yang dicapai adalah hasil yang mendalam dan memberi kesan yang berkekalan.

Ilmu pada dasarnya adalah dihasilkan bagi kegunaan masyarakat. Apa yang dilihat dari universiti ianya adalah institusi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat di dalam berbagai bidang. Memasyarakat universiti dilihat keunggulan peranan yang diharapkan.

Sejauhmanakah ianya berlaku pada universiti dan pengajian tinggi  kita ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment