January 27, 2021

 

KERJA  BERPASUKAN

(Fikrah Bangi:  844).

BBB: 14  Jamadil-Akhir 1442H. = 27 Januari 2021M. (Rabu).

Kerja berpasukan atau secara jama`ah di dalam apa perkara memberi keberkatan dan hasil yang memuaskan – termasuklah di dalam menyibarkan ilmu. Kerja berpasukan ini dilakukan seperti melalui institusi atau secara berpersatuan. Mendirikan sebuah universiti memerlukan kerja secara berpasukan. Misalnya memerlukan pasukan yang menyediakan konsep, peruntukan, tapak dan infrastruktur. Paling penting selepas penyediaan infra-struktur  ialah usaha mewujudkan tenaga pengajar yang berwibawa dan seterusnya mendapat pelajar yang berkelayakan.

Untuk menjadikan sesebuah universiti dan sebarang pengajian memerlukan masa yang lama, bagi jamaah yang mengajar dapat merealisasikan falsafah, objektif, visi dan misi sesebuah universiti. Dalam masa tersebut terserlah wibaya tenaga pengajar. Misalnya sebagai profesor terkenal di dalam bidangnya dan semakin ramai lahirnya profesor yang menyerlahkan bidang keilmuan di universiti dan masyarakat, maka semakin terkenal universiti berkenaan.. Ini ditambah dengan keluaran-keluaran dari universiti berkenaan dianggap bermutu dan diktiraf oleh institusi-institusi yang keluaran-keluaran berkenaan berkhidmat dan diakui masyarakat.

Jika pun kerja-kerja perseorangan dilakukan, misalnya menghasilkan buku dan penulisan-penulisan yang lain, individu berkenaan menghasilkan penulisan adalah di dalam skop, fakulti, jabatan atau unit-unit di mana ia berkhidmat. Misalnya jika ia dari bidang perundangan, maka ianya berada di dalam skop perundangan dan ia merupakan perluasan bagi misi dan visi bagi bidang yang dilibati.

Kerja-kerja jama`ah dapat dilihat, bahawa bagi  jabatan dan fakulti menghasilkan jurnal-jurnal secara bersiri. Jurnal adalah terbitan bersifat ilmiah yang arikal kandungannya ditulis secara teliti oleh setiap diberi ruang atau peluang bagi tenaga akademik untuk menulisnya. Misalnya Jurnal Akademika diterbitkan oleh Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Jurnal Tenggara yang melibatkan penulis-penulis dari Asia Tenggara yang diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sari, Jurnal  yang diterbitkan oleh  Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Demikianlah bagi setiap jabatan atau fakulti dari berbagai-bagai universiti menghasilkan jurnal masing-masing. Misalnya dalam bidang perubatan, undang-undang, architecture, ekonomi dan berbagai-bagai lagi. Bahan-bahan penulisan yang dihasilkan oleh tenaga-tenaga pengajar ini yang biasanya tinggi dari segi ilmiah diguna dan diaplikasikan oleh pihak-pihak yang berhubungan dengan meluaskan bidang-bidang berkenaan atau menterejemahkannya kepada penghasilan. Dalam kata lain, ianya adalah satu cara memasyarakatkan ilmu yang dihasilkan kepada masyarakat.

Selain daripada itu di universiti sendiri ada semacam persatuan, misalnya Persatuan Akademik Universiti yang bertujuan antaranya bergiat di dalam bidang akademik dan kebajikan ahli. Kini terdapat Jama`ah Profesor Malaysia yang  tentunya ditubuhkan bagi menyebarkan keilmuan di tengah masyarakat. Menerbitkan buku-buku ilmiah dan kebajikan bagi ahli dan masyarakat.

Satu fenomena yang menarik di tengah wabak Covid-19 pelajar dan anak-anak  sekolah kita sama menjadi mangsa diakibatkan oleh Covid-19, mereka terganggu dari segi pelajaran. Setahun ketinggalan dari segi pelajaran. Apabila persekolahan dibuka pada 20 Januari 2021 baru-baru ini, hanya pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM, STPM, STAM dan yang setarap dengannya dibenarkan ke sekolah dengan menjaga SOP yang ditetapkan, manakala anak-anak yang lain yang berjumlah 4 juta itu dikehendaki belajar dari rumah secara atas talian (PdPR). Akibatnya berbagai masalah timbul, antaranya ramai dari ibu bapa tidak berkemampuan untuk membeli komputer atau telefon bimbit untuk digunakan oleh anak-anak. Antaranya melahirkan kekeciwaan di tempat mereka tidak diliputi perkhidmatan jalur lebar. Tidak kurang pula ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan untuk membantu anak-anak mereka belajar, di samping tidak kecukupan alat – peranti bagi yang mempunyai anak ramai yang belajar. Semua ini oleh kerana tempoh yang dikenakan pembelajaran berkenaan secara mengejut, tiada persediaan masa dan latihan yang sepatutnya diberikan.

Kita dapati Persatuan Ibubapa Guru yang kerja secara jama`ah berperanan memberi pendapat dan cadangan kepada pihak Kementerian Pendidikan menyediakan kemudahan peranti kepada anak-anak yang dikategorikan sebagai susah. Cadangan juga dibuat supaya dihidupkan kembali TV Pendidikan supaya mudah dikuti pelajar-pelajar. Manakala beberapa pihak mencadangkan agar diberi peruntukan kepada pelajar terutama B40 dengan mengeluarkan peruntukan secara kupun yang membolehkan mereka membeli komputer atau telefon bimbit bagi membolehkan anak-anak mengikuti pelajaran.

Keprihatinan secara jama`ah, bahkan ada secara individu menunjukkan semua pihak menyedari pentingnya ilmu bagi anak-anak dan masyarakat. Penyebaran secara terancang dan tersusun adalah penting bagi memberi peluang semua dapat peluang mempelajari ilmu dan menjadikannya sebagai panduan di dalam kehidupan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment