January 19, 2021

 

KURANGKAN  KUASA  POLITIK – PENTINGKAN KUALITI

(Fikrah Bangi: 836),

BBB:  06 Rabi`ul-Akhir 1442H. = 19 Januari 2021M. (Selasa).

Adalah dilihat kuasa yang ada pada orang politik terlalu besar, lantaran itu banyak mereka yang berusaha mengejar bagi  mendapat kedudukan di dalam politik. Kedudukan di dalam politik, terutama pada pihak yang memerintah membuka banyak kesempatan dan ruang, lantaran itu ada yang terlibat di dalam penyelewengan dan rasuah. Sebab satu cara mewujudkan keseimbangan ialah dengan menghadkan kuasa orang politik.

Antara cadangan seperti yang berlaku pada setengah negara yang lain ialah menghadkan tempoh menjadi presiden atau perdana menteri tidak lebih dari dua penggal. Ini sebagaimana berlaku di Amerika. Dengan menghadkan tempoh seorang Presiden atau Perdana Menteri memberi peluang lahir ramai  pemimpin yang berbakat. Tiap sepuluh tahun atau lima tahun lahir pemimpin yang baru yang membawa pendekatan yang segar dan baharu. Di Amerika misalnya dari tahun 1970an melahirkan  berpuluh presiden. Antaranya begitu berwibawa seperti John F. Kennedy, Jimmy Carter, Reagan, Ford,  Bush, Obama dan Joe Biden. Keadaan yang sama berlaku di England yang melahirkan seperti  Wilson, Thather, Boris Johnson dan sebagainya. Adalah rugi bagi negara kita sepanjang setengah abad negara kita hanya dibayangi oleh dua tiga Perdana Menteri sahaja yang prestasi , tetapi tidak melonjak kepada peringkat antarabangsa.

Tempoh yang melayakkan seseorang itu menjadi ahli parlimen hendaklah dihadkan tidak lebih dari tiga penggal. Dalam tempoh sedemikian melayakkan seseorang bagi menunjukkan prestasi mereka untuk berkhidmat. Tempoh sedemikian juga hendaklah melibatkan seseorang itu menjadi pemimpin utama di dalam parti. Dengan demikian memberi ruang kepada generasi muda mengambil alih kepimpinan dan menunjukkan prestasi mereka di dalam kepimpinan dan tidaklah sepanjang setengah abad hanya satu dua tokoh memimpin hingga ke usia yang begitu lanjut dan tidak lagi berprestasi tinggi.

Satu reformasi yang patut dilakukan, bahawa di dalam memberi peluang kepada parti sahaja untuk bertanding, maka hendaklah diperuntukkan sejumlah kerusi, iaitu 10% daripada ahli parlimen hendaklah dilantik dari kalangan ahli akademik, profesional dan kalangan mereka yang berjasa. Pada kebiasaan ahli parlimen kurang pengalaman di dalam bidang-bidang penting. Dengan adanya kalangan yang dilantik dapat memandu dan lebih licin dari segi pengalaman dan pentadbiran.

Wakil-wakil dilantik adalah boleh terdiri dari tokoh wibawa dalam bidang:

1)    Akademik     2) Ekonomi    3)  NGO      4) Tentera         5) Polis

6)  Koperasi             7) Kesihatan    8) Perdagangan 9) Perladangan 10) Pelancongan

11)  Belia       12) Pengangkutan   13) Pegawai Tadbir  14) `ulama     15) Komunikasi

16)  Bank       17)  Sukan  18)  Karyawan    19) Pesara      20)  OKU

21) Saintis     22) Undang-Undang.

Mereka hendaklah bersifat berkecuali di dalam Dewan  dan membuat pertimbangan memberi sokongan secara bebas. Mereka juga berperanan mengimbangi suara di dalam pengundian sesuatu usul dalam parlimen. Mereka yang berkelayakan boleh dipilih menyandang jawatan menteri atau timbalan menteri tidak lebih dari ( 5+ 5).  Sebagai contoh keahlian dalam parlimen kini terdapat beberapa orang ahli yang dilantik, mereka yang dilantik menjadi menteri dapat menunjukkan prestasi kerja dan tindakan-tindakan yang bernas, maka jika ada lima orang menteri yang dilantik dan berwibawa akan meningkatkan prestasi kabinet. Ianya menjadi contoh yang perlu diikuti mereka yang hendak menjadi ahli parlimen, bahawa mereka tidak cukup mendapat kedudukan dengan ramai sokongan ahli parti, tetapi hendaklah menunjukkan kemampuan dari segi minda, pelajaran dan tindakan. Adalah rugi bagi mana-mana kawasan  yang menghantar wakil mereka ke parliman sekadar memenuhi koata di parlimen dan jarang mengeluarkan pendapat dan malang sekali jika setiap kali bercakap rakyat dapat melihat  kelemahannya dari segi menampilkan hujah dan fikiran.

Ahli-ahli dilantik berdasarkan kepakaran mereka di dalam bidang-bidang yang penting ini hanya untuk tempoh satu penggal sahaja. Selepas itu mereka hendaklah diganti oleh yang lain. Jika mereka berhasrat untuk berada lebih lama bagi menyampaikan khidmat, maka ianya hendak melibatkan diri dalam politik dan tertakluk kepada keperluan-keperluan di dalam politik. 22 bidang di atas adalah sebagai contoh. Jika ada bidang-bidang lain yang dilihat lebih penting, maka ianya boleh ditukar dan diganti dengan yang lain bagi memenuhi koata yang disediakan. Begitu juga jika sudah ada ahli parlimen yang dipilih rakyat pakar di dalam bidang tertentu, maka bidang ini tidak perlu diisi, tetapi diganti dengan bidang yang lain.

Keadaan yang sama diikuti oleh pihak negeri. Misalnya tempoh dibenarkan menjadi menteri besar adalah terhad kepada dua penggal sahaja dan tempoh seseorang boleh menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri tidak lebih dari tiga penggal. Ada ahli yang dilantik (ini sudah ada contoh di Pahang. Cuma mungkin boleh ditambah.

Dengan  tempoh yang dihadkan bagi jawatan-jawatan yang dibicarakan memberi peluang lahirnya pemimpin yang dapat menunujukkan kewibawaan mereka. Oleh kerana tempoh yang diberi secara terhad, maka setiap yang terpilih akan berusaha menunjukkan prestasi mereka yang terbaik semasa peluang diberikan. Dengan ini ada dinamika dari segi kepimpinan dan memberi faedah kepada negara/negeri dan rakyat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment