MENGHORMATI
DAN MEMANFAATKAN PARA ILMUAN
(Fikrah
Bangi: 845),
BBB:
15 Jamadil-Akhir 1442H. = 28 Januari
2021M. (Khamis).
Para
ilmuan diakui adalah berada pada martabat yang tinggi dan dihormati. Ilmu yang dimilikinya dapat
dimanfaatkan oleh mereka yang lain.
Dalam
pendidikan moden kita di universiti, para profesor, khususnya Emiritus, Agung
dan Diraja adalah kalangan yang diiktiraf dan dipandang tinggi sebagai pemimpin
keilmuan. Untuk sampai ke peringkat ini mereka bukan saja menuntut dan mengkaji
bidang keilmuan yang dipelajari secara formal yang memakan masa berpuluh tahun,
tetapi menghasilkan dapatan dari kajian mereka yang dianggap istimewa dan asli.
Bagaimana kalangan ilmuan dan masyarakat dapat sama
mendapat manfaat dari keilmuan mereka ?
Pada
masa penulis masih lagi menjadi tenaga pengajar di universiti, kita mempunyai
peluang untuk mendapat manfaat bidang keilmuan yang dihasilkan oleh seorang
profesor adalah melalui `Syarahan Perdana` yang disampaikan oleh seseorang
profesor yang dilantik. Pada peringkat awal seseorang profesor dilantik, maka
antara syarat untuk dinilai taraf profesorshipnya ialah mewajibkan calon
profesor itu menyampaikan `Syarahan Perdana Profesorshipnya` - Biasanya syarahan
diterbitkan di dalam bentuk booklet`. Cara ini adalah baik, kerana melalui
syarahan ini kalangan ilmuan yang lain dan masyarakat juga (melalui siaran
langsung media letronik) dapat memahami, menghayati dan mengambil faedah
daripada bidang keilmuan yang disampaikan. Melalui syarahan yang disampaikan,
para ilmuan dan masyarakat dapat menilai keilmuan dan ketokohan profesor
berkenaan dalam menguasai keilmuan yang disampaikan.
Walau
bagaimana mutakhir kini, kita tidak mendapat lagi maklumat penyampaian syarahan
profesor berkenaan. Amalan sedemikian adalah baik, bahkan patut diteruskan.
Menteri Pengajian Tinggi patut memberi perhatian. Menyampaikan syarahan
berkenaan bidang profesorship ini hendaklah menjadi syarat yang diwajibkan bagi
seseorang yang mau diconfirmkan sebagai profesor. Keadaan yang sama hendaklah
dikenakan kepada sesiapa yang dilantik menjadi profesor Emiritus, Profesor
DiRaja, Profesor Ulung dan sebagainya. Kemampuan seorang profesor menguasai
bidang dan menyampaikan syarahan yang baik, bukan saja menaikkan imej keilmuan
profesor berkenaan, tetapi juga menaikkan imej universiti, bahkan negara.
Menghormati
ilmuan, kecintaan terhadap ilmu, bahkan memupuk rasa ingin belajar hendaklah
dipupuk dan menjadi budaya di dalam semua lapisan masyarakat. Ini merangkumi
mereka yang berada pada tahap yang tertinggi membawalah kepada masyarakat
biasa.
Bagi
pihak pemerintah sama ada dari peringkat Perdana Menteri, Menteri-Menteri
Kabinet dan semua ahli dewan, wajar dari masa ke semasa terus didedah dan mendapat
peluang meningkatkan keilmuan. Pada peringkat negara adalah wajar bagi negara misalnya mendapat
pengalaman dari tokoh-tokoh politik, ilmuan dan berpengalaman. Misalnya untuk
tempoh katakan empat kali setahun, semasa sidang berlangsung dan pada masa yang
sesuai dijemput Bekas Presiden seperti Obama Bekas Presiden Amerika
menyampaikan `Syarahan Perdana` kepada Perdana Menteri dan semua ahli parlimen
mengikutinya. Dalam masa yang lain dapat dijemput misalnya Abe Bekas Perdana Menteri
Jepun menyampaikan `Syarahan Perdananya` kepada pemimpin dan tokoh-tokoh
politik di negara kita yang dalam masa yang sama dapat diikuti sama oleh rakyat
jelata. Selain dari tokoh-tokoh politik dapat juga dijemput tokoh-tokoh
terkenal misalnya Pemikir Semasa, tokoh di dalam bidang kewangan dan apa-apa
juga yang difikirkan sesuai. Pada masa ini tokoh-tokoh berkenaan, tidak perlu menghadirkan
diri secara fizikal, tetapi secara maya sebagaimana banyak dilakukan di dalam
sidang-sidang antarabangsa dan setempat.
Selain
dari jemputan terhadap tokoh-tokoh antarabangsa, penghormatan juga seharusnya
diberi kepada tokoh-tokoh ilmuan tempatan, khususnya mereka yang diberi penghormatan
menjawat jawatan seperti Profesor
Emiritus, Profesor Ulung, Profesor Di Raja dan profesor-profesor yang lain.
Misalnya dengan memberi ruang dan masa yang sesuai bagi ahli parlimen mengikuti
syarahan dan perbincangan sesuatu topik yang bersesuaian. Ini memberi
penghormatan terhadap tokoh ilmuan yang dijemput dan dapat meningkat keilmuan
ahli dewan yang hadir.
Pada
permulaan Penulis terpilih menjadi ADUN Selangor sekitar 1999 dan seterusnya
ada usaha dari pihak Pakatan Alternatif memperkayakan maklumat di dalam bidang
yang terpilih. Sebelum perbincangan diadakan setiap ADUN dibekalkan dengan buku
yang berhubung dengan topik yang mau dibincangkan, khususnya politik,
perjuangan dan sebagainya. Kaedah bersifat ala usrah politik ini banyak manfaat
bagi menyatukan arah, fikiran dan kefahaman ahli dengan buku-buku baharu dan
terkenal. Perkara yang sedemikian patut dilakukan oleh pihak pentadbir parlimen
dan DUN, agar ahli dapat meluaskan pengetahuan. Maaf diperkatakan, bahawa kita
bertanya sejauhmanakah ahli parlimen kita membaca terutama buku-buku yang
berhubung dengan tugas dan kerjaya mereka. Sejauhmanakah mereka membaca
buku-buku ? Lantaran kita jarang mendengar dalam ucapan rujuan dibuat terhadap
buku dan tokoh ilmuan yang releven yang dapat menambahkan maklumat dan panduan
ahli dewan.
Cinta
ilmu meluaskan pengetahuan dan menyelesaikan banyak persoalan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment