January 9, 2021

 

JANGAN SALAH LANGKAH - UMNO ROBOH

(Fikrah Bangi: 826),

BBB:  26 Jamadil-Awwal 1442H. = 10 Januari 2021M. (Ahad).

Umno sebagai parti utama bagi orang Melayu bersama yang lain dalam BN, tetap menjadi harapan orang Melayu. Segala perkembangan parti itu diikuti dan diteliti. Sebarang penyelewengan yang berlaku tidak diingini. Pengajaran telah dilakukan terhadap kepimpinan dan parti itu pada pilihanraya ke 14 (Mei 2018). Perbandingan telah dilakukan antara pemerintahan PH dengan Umno+BN terdahulu.

Ingatlah ketika Umno rebah, maka Pas bersama Bersatu menolong Umno bangkit sesuai dengan kesedaran orang Melayu, maka selepas kemenangan Anwar melalui  PH di Port Dickson 14.10.2018, maka berlaku arus balik, melalui penyatuan antara Umno, Pas dan Bersatu. Maka Umno pulih dan mendapat kepercayaan kembali dengan memenangi Cameron Highland (Akhir 2018), Semenyih (awal  Februari 2019), Rantau (13 April 2019) dan Tanjung Piai (31 Okt.2019). Jelas menunjukkan bahawa pengaruh Umno dan BN mulai pulih kembali dengan sokongan Pas dan Bersatu.

Apa yang hendak ditekankan di sini Umno, mulai awal tahun 2021 ini mulai lupa kepada mereka yang menghulurkan tongkat untuk bangun dari rebah. Dilihat kepada budi yang diberi ini, maka adalah tidak munasabah kepada Umno mau memutuskan hubungan kerjasama dengan Bersatu, tetapi mau mengekalkan hubungan dengan Pas, kerana dilihat menguntungkan Umno.

Umno kini merasa diri mulai kuat kembali dan melihat Bersatu yang sama menolongnya sebagai musuh dan mau memmutuskan hubungan dengan Bersatu. Keputusan bagi memutuskan hubungan atau sebaliknya akan dicapai dalam Mesyuarat Agung Umno pada 31 Januari 2021 nanti. Tetapi jika salah langkah, andainya Umno mau bersendiri atau bekerjasama dengan PKR dan Dap maka Umno akan menghadapi implikasi yang boleh meruntuhkan Umno sendiri. Pas sekarang sedang menilai gelagat Umno dan  tidak semestinya berpihak kepada Umno, kecuali kekal di dalam PN.

Dalam keadaan sekarang, kejujuran pimpinan Umno dipersoal, sebagaimana didedahkan oleh Tan Sri Annuar Musa, bahawa pimpinan Umno, tanpa merujuk kepada Majlis Tertinggi, menulis surat kepada Yang Di Pertuan Agong menyokong Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang bererti meruntuhkan PN yang disepakati sebelumnya. Walaupun kerjasama dengan PKR dan Dap, katakan tidak jadi, maka wibawa dan imej pimpinan Umno telah rosak bukan saja pada pandangan gabungan di dalam PN, tetapi di kalangan masyarakat dan rakyat. Sekiranya keputusan diambil di dalam Mesyuarat pada 31 Januari 2021 nanti bersetuju bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu, maka sikap ini adalah selari dengan apa yang berlaku di Perak, bahawa pihak Umno cuba mendapat kerjasama dari PH, terutama dari PKR dan Dap. Jika keputusan diambil menolak kerjasama Umno dengan Bersatu dan kerjasama dengan PKR dan Dap dilakukan, maka dilihat bahawa desakan Umno untuk mengadakan pilihanraya ke 15 dalam masa terdekat, ianya adalah bercanggah dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga bukan sebagai kemahuan rakyat, maka Umno akan menghadapi undi protes dari  rakayat. Protes kerana mengadakan pilihanraya dalam masa yang tidak sesuai  dan  protes kerjasama dengan Dap dan PKR yang sebelum ini telah diambil keputusan sebagaimana dislogankan `No Dap, No Anwar). Dalam kata lain risiko yang akan dihadapi oleh Umno dan yang bekerjasama dengannya lebih teruk bagi Umno dari apa yang dialami di dalam pilihanraya ke 14 yang lepas.

Dalam keadaan sekarang  imej dan wibawa kepimpinan Umno telah tercalar dan di dalam keadaan sekarang diibaratkan, ``Ditelan mati emak, diluahkan mati bapak`. Dalam keadaan sekarang dan realiti bahawa Umno dan mana-mana parti pun tidak mampu untuk berdiri bertanding di dalam PRU ke 15 secara bersendirian. Umno tidak mampu menguasai majoriti, walaupun bersama BN di dalam suasana kini. Kiranya Umno bertekad untuk membuat keputusan janggal bekerjasama dengan PKR dan Dap yang difahamkan, ianya lebih merupakan kehendak  pimpinan atasan dan bukan dari akar umbi, maka bersedialah Umno menghadapi protes besar-besaran dari rakyat dan pengundi. Protes bukan bererti mereka bencikan Umno, tetapi lebih bersifat tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh kepimpinan.

Di dalam keadaan kini  dilihat adalah lebih baik dan menjaminkan survival Umno,  meneruskan kerjasama di dalam PN. Adalah difahamkan bahawa ketakutan Umno selepas dirinya pulih, bahawa Bersatu akan menjadi lebih kuat dan akan mengatasi Umno – tidak dengan Pas, sebenarnya keadaan lebih teruk jika Umno menyeberang kepada PKR dan Dap. Kedua parti tidak mudah untuk bersetuju memberi kepimpinan tertinggi kepada Umno. Kita menjangka apa yang akan dihadapi Umno bila menyeberang nanti lebih teruk lagi, bukan saja diibaratkan sebagau `Untung batu tenggelam, untuk sabut timbul, tetapi akan melemaskan Umno.

Sebaik-baik solusi bahawa Umno, tidak bersiafat emosi, bukan mengenang kepada kesilaman, tetapi hendaklah berunding secara bijaksana hingga dapat menghasilkan ` win win situation`. Berilah ruang bagi kepimpinan muda dan berwibawa bagi mengukuhkan kepimpinan yang ada sekarang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment