January 30, 2021

 

ELIMEN KEILMUAN DALAM DEWAN NEGERI

(Fikrah Bangi:  847),

BBB:  17 Jamadil-Akhir 1442H. = 30 Januari 2021M. (Sabtu).

Telah diperkatakan bahawa format sidang pada peringkat kerajaan negeri adalah bersamaan dengan yang berlangsung di parlimen. Cuma tempoh sidang yang biasanya diadakan dua atau tiga kali setahun itu lebih pendek masa sidang berbanding dengan sidang parlimen.

Mesyuarat misalnya bermula dengan Mesyuarat Pertama (Pembukaan) bagi penggal misalnya Ketiga, Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Kesepuluh yang telah diadakan pada tarikh contoh pada hari Selasa 27 Mac 2001 berlangsung hanya 4 hari dan berakhir pada Juma`at 2001 sebagai contoh.

Dari segi agenda pada hari pertama adalah ringkas bermula dengan do`a, proklamasi, Titah  Ucapan Diraja dan Penangguhan yang masa tidak sampai setengah hari.

Pada hari kedua. Ketiga dan keempat jadualnya hampir bersamaan iaitu dimulai dengan do`a, membentang kertas-kertas mesyuarat, usul, pertanyaan-pertanyaan, usul menyembah Ucapan Terima Kasih dan penangguhan. Manakala pada hari keempat dikemukakan Rang Undang-Undang, iaitu Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan (Saraan) (Pindaan) 2001. Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Saraan) 2001, Enakmen Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor dan Enakmen Usul Perlantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.

Sebenarnya apa yang dibincang dalam sidang DUN adalah sedikit dalam masa hanya empat hari. Ada sidang hanya berlangsung selama sehari sebagai memenuhi syarat perlu diadakan sidang.

Elimen ilmu dapat dimasukkan sebagai satu agenda pada awal sidang dengan memilih topik yang releven dan sering dialami oleh negeri Selangor. Misalnya Selangor sejak dulu sering mengalami gangguan air. Maka Taklimat Khas mengenai Air wajar diadakan pada awal sidang pada hari kedua dengan menjemput pihak Syabas atau Air Selangor membentangkan masaalah air di Selangor, berbagai syarikat konsesi yang wujud dan penyelesaiaan.

Taklimat dalam tempoh dua jam itu diikut dengan perbincangan dan pertanyaan-pertanyaan. Misalnya pada masa itu mengapa terlampau banyak syarikat berhubung dengan air yang sepatutnya ditadbirkan oleh Air Selangor sahaja. Persoalan cadangan mau membuat terowong mau membawa air dari Pahang wajar ditimbulkan. Persoalan juga boleh ditimbulkan mengenai industri haram di pinggir sungai yang mencemarkan sungai.

Pada sesi sidang yang lain persoalan ilmu yang boleh dibawa dan dibentangkan di dalam Dewan ialah seperti  mengenai:

Masalah Setinggan dan Perumahan Negeri Selangor.

Pada sesi yang lain mungkin boleh dibincangkan topik ``Kerajaan Tempatan dan Pentadbiran Daerah, keselarian atau  tidak keseimbangan dari segi perkhidmaan. Pada sidang yang lain mungkin boleh dijemput untuk perbincangan mengenai enakmen berhubung dengan pentadbiran agama Islam (1989), (1952) dan (2001) yang banyak kesannya kepada  umat Islam, khususya di negeri Selangor. Misalnya mengenai undang-undang syari`ah,  sekolah agama, perjalanan masjid dan surau. Pada sesi yang lain boleh dipilih topik yang releven, misalnya mengenai jenayah dan berbagai-bagai topik yang releven. Bagi setiap sesi berkenaan dijemput pakar-pakar dalam bidang berkenaan, termasuk dari kalangan akademik.

Bagi mewujudkan suasana keilmuan di kalangan ADUN-ADUN dan Pentadbir-pentadbir pada pereingkat negeri wajar diadakan seminar-seminar khas yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Menteri Besar  atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri misalnya mengenai – Peruntukan Federal dan Negeri: Keperluan  Pembangunan. Mereka yang terlibat dalam penyampaian kertaskerja tentulah dari pihak Federal, terutama dari Kementerian Kewangan dan juga dari pihak negeri.

Di luar musim pandemik kelak mungkin dibincangkan, Mengapa Selangor mengalami pandemik Covid-19 Tertinggi – Pengajaran dan kewaspadaan. Mereka yang dijemput menyampaikan kertas sidang adalah dari kalangan Kementerian Kesihatan dan kalangan akademik, terutama dari Fakulti-fakulti Perubatan universiti-universiti di negara ini.

Apa yang diharapkan, bahawa di DUN-DUN  wujud dan dihidupkan budaya ilmu, terutama yang berkait dengan tugas dan peranan ADUN-ADUN. Perlu diingatkan bahawa semua pihak adalah kekurangan dari segi keilmuan. Dengan adanya slot-slot ilmu yang dianjurkan di DUN dan di luar DUN menjadikan setiap wakil rakyat bertambah maklumat, terutama mengenai tugas-tugas sebagai wakil rakyat dan menjadikan mereka wakil rakyat yang berpengetahan dan dapat menjalankan khidmat dengan lebih baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment