January 18, 2021

 

JUMLAH  PARTI YANG WAJAR

(Fikrah Bangi: 835),

BBB:  05 Jamadil-Akhir 1442H. =  18 Januari 2021.

 

Kita telah membicarakan tentang perlunya dikurangkan jumlah parti yang wajar ditawarkan bagi memasuki pilihanraya. Telah disebutkan di England dua parti yang bergilir-gilir memerintah negara itu, iaitu Conservative  dan Labour dan di Amerika terdapat dua parti yang juga bergilir-gilir memerintah negara itu, iaitu Republican dan Democrate. Berapakah jumlah parti yang sesuai dan sepatutnya dibenarkan bertanding di negara kita ?

Sebelum menyebut nama-nama parti yang sesuai, maka parti yang hendak diberi menjadi pilihan hendaklah, tidak mencerminkan kaum, tidak  sentimen kenegerian, tidak Sempena Tokoh Tertentu, Tidak bias kepada kepercayaan tertentu, bersifat Malaysia,  beridentiti Malaysia dan tidak mengambil nama parti dari negara luar.

Sebagai cadangan nama parti yang bersifat kecuali adalah dilihat maksimum nama parti yang ditawarkan oleh pihak pemerintah (ROS ?), ialah sebanyak tiga jenama parti, iaitu:

1)     Parti  Maju

2)    Parti Sejahtera

3)    Parti Prihatin

Parti-parti ini adalah berdasarkan  abjad semata-mata. Tidak bermaksud yang berkedudukan di atas adalah paling utama. Tiap-tiap kumpulan yang memilih satu parti berkenaan berhak mengolah kepada perspektif perjuangan dan pengisian yang mau ditawarkan kepada rakyat dan berhak mengadakan manifesto yang mencerminkan jenama dan arah perjuangan dan pengisian parti yang dapat memikat rakyat untuk mengundinya. Pengolahan dibenarkan selagi ianya tidak bercanggah dengan perlembagaan negara dan kepentingan rakyat jelata.

Kita mengajukan tiga parti, tidak dua sebagaimana di England atau di Amerika supaya pemilih tidak  terikat hanya kepada dua parti sahaja. Dalam erti kata lain mereka mempunyai pilihan ketiga. Ini juga memberi ruang kerjasama antara dua parti, jika berlaku ketiadaan majoriti yang jelas dalam penguasaan kerusi. Atau jika satu daripada tiga mempunyai majoriti yang kukuh,maka dua parti yang lain dapat bergabung dan menjadikan satu gabungan pembangkang yang lebih kuat atau boleh juga sebagai pembangkang yang tidak bersatu dari segi parti.

Bagi nama-nama ketiga parti di atas dapat menetapkan matlamat, perjuangan dan intiparti bagi parti-parti berkenaan. Sebagai contoh:

1)    Parti  Maju

·        Meningkatkan kualiti pelajaran rakyat sebagai faktor yang boleh memajukan rakyat, bangsa dan negara.

·        Meningkatkan ekonomi negara dan rakyat serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua lapisan masyarakat.

·        Menyediakan perumahan yang selasa menurut kemampuan masyarakat.

·        Menyediakan peluang menanam modal bagi swasta dan pemodal luar secara kerjasama di negara ini.

·        Mewujudkan suasana alam sekitar yang baik dan kondusif bagi perkembangan mental, rohani dan fizikal penduduk.

2)    Parti Sejahtera

·        Mementingkan pendidikan akli dan rohani

·        Peluang samarata bagi semua rakyat mendapat rezeki dan ekonomi.

·        Berhak mendapat kediaman yang lebih selesa yang membahagiakan keluarga.

·        Lebih mementingkan kebajikan keluarga dan masyarakat dan membasmikan gejala rasuah.

·        Kebebasan beribadat dan berdakwah.

3)    Parti Prihatin

·        Memberi keutamaan kepada bidang pendidikan dan memberi peluang belajar ke peringkat tertinggi menurut kemampuan.

·        Mementingkan alam sekitar yang kondusif bagi kehidupan masyarakat.

·        Memberi tumpuan kepada kesihatan supaya hidup rakyat secara sihat

·        Membasmikan kemiskinan dan cakna kepada warga emas dan OKU.

·        Mencungkil bakat masyarakat supaya dapat hidup secara kreatif, inovatif dan berdikari.

Di atas adalah contoh-contoh yang boleh diolah oleh  setiap pemimpin dan pendokong parti agar apa yang ditawarkan melalui parti pilihan agar ianya lebih menarik dan menawan. Pengolahan tentulah dapat dikembangkan melebihi dari contoh yang dikemukakan.

Adalah dicadangkan tempoh bagi reformasi pilihan parti dan pilihanraya mengambil masa  setengah abad, sebagaimana  parti-parti yang telah memerintah selama ini telah mengambil masa lebih dari setengah abad. Selepas itu, jika difikirkan perlu kepada reformasi kepartian yang baru, maka dapat ditukarkan kepada kumpulan parti yang baru yang mngkin dapat dipertingkat kualiti parti dan kepimpinan kepada yang lebih baik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment