January 3, 2021

 

VAKSIN:  MARUAH NEGARA TERCABAR

(Fikrah Bangi: 820),

BBB: 19 Jamadil-Awwal 1442H. = 03 Januari 2020M. (Ahad).

Pandemik Covid-19 menyentuh wibawa dan maruah terutama negara-negara besar yang antaranya pada permulaan tidak memberi perhatian serius terhadap wabak ini. Tetapi negara-negara besar berkenaan tercabar apabila wabak berkenaan meningkat seperti di Amerika, India, Brazil, Rusia, Perancis, UK,Turkey, Itali, Spain dan German. Maruah mereka tercalar dan tercabar.

Tahap seterusnya negara-negara maju berlumba mencari vaksin bagi melawan wabak berkenaan. Setelah hampir setahun bertungkus lumus membuat kajian dan ujian, maka terhasillah vaksin-vaksin yang mula diuji dan digunakan sejak November 2020. Iaitu dengan penghasilan vaksin:

·        Pfizer   dihasilkan oleh Amerika dengan kerjasama German

·        Modena juga dihasilkan di Amerika..

·        Astra Zenica  oleh Oxford di London.

·        Cinovac atau Cinofarm  dihasilkan di China.

·        Sputnik dihasilkan oleh Rusia.

Kini berbagai negara berharap akan sama dapat manfaat dari hasil vaksin di atas terutama dari jenama Pfizer yang dikatakan 95% berkesan. Yang turut menggunakannya ialah Singapura dan Malaysia dikatakan akan menggunakannya pada Februari nanti.

Kejayaan penghasilan vaksin terutama oleh Amerika adalah memulihkan imejnya sebagai kuasa besar berkemampuan dan mendahului negara-negara maju di dalam menghasilkan vaksin. Kini negera-negara yang lain mengharap ihsan dari penghasil vaksin berkenaan yang nampaknya lebih mengutamakan negara Eropah dari negara-negara yang lain.

Penghasilan vaksin adalah secara tidak langsung adalah mempertingkatkah maruah dan imej  negara-negara yang sebelum ini turut tercalar akibat dari Covid-19.

Sebenarnya antara negara besar, berlaku perlumbaan dan mereka tidak mau turut kalah dari segi perlumbaan. Rusia tidak tunduk dan mengharapkan kepada Amerika dan lain-lain. Rusia turut menghasilkan vaksin tersendiri - Sputnik. Oxford dari England sebagai sebuah universiti tertua, tidak mau ketinggalan dan turut menghasilkan vaksin sendiri. Cina sebagai satu kuasa besar dan dicop sebagai negara pemula Covid-19 turut sama menghasilkan vaksin dengan Cinovic dan kini sedang digunakan oleh beberapa negara seperti di Timur Tengah dan di Sarawak, Malaysia.  Iran satu kuasa yang tidak mau tunduk kepada Barat, juga sama menghasilkan vaksin. Juga diberitakan turut sama menghasilkan vaksin ialah India dan disebut-sebut juga diusahakan oleh  Vietnam.

Bagi kita di Malaysia tidakkah tersentuh untuk menjaga maruah dan sepatutnya sama berusaha menghasilkan vaksin. Pada peringkat awal kita mendengar pihak Kementerian Sains dan Teknologi beura-ura mau berusaha bagi menghasilkan vaksin, tetapi ura-uran berkenaan sepi. Kita mempunyai universiti-universiti yang berada pada ranking terbaik di Asia dan dunia dan ada pakar-pakar yang selalu dijemput bercakap tentang pandemik. Kita kira tidaklah cukup bercakap tentang hasil yang telah dijayakan oleh pihak lain. Kita sendiri patut menghasilkannya sendiri. Kita mempunyai sejarah berjaya melawan wabak malaria, denggi dan Nipah. Tidak mustahil kita juga mampu berjaya menghasilkan vaksin untuk melawan Covid-19.

Kalau kita tidak mampu menghasilkan secara persendirian mengapa tidak diusahakan kerjasama, terutama di kalangan negara-negara Asean bagi menghasilkan vaksin.Negara-negara Asean patut mewujudkan institut bersama bagi mengkaji penyakit-penyakit berjangkit yang berlaku pada peringkat Asean dan global. Kerjasama yang dilakukan seharusnya tidak terhad kepada bidang ekonomi dan politik sahaja, tetapi meluas misalnya kepada bidang kesihatan, pelajaran, pelancungan dan sebagainya. Kita sebenarnya tidak kemiskinan  idea dan pakar, tetapi kemiskinan dari usaha.

Di dalam konteks mau menjadikan negara kita `Negara Berilmu`, sebenarnya inilah peluang dan kesempatan bagi menampilkan kemampuan negara kita di dalam bidang kesihatan. Kita percaya berbagai-bagai universiti mempunyai kepakaran di dalam bidang kesihatan dan perubatan. Kita tidak tahu, apakah kementerian Kesihatan dan Pengajian Tinggi menganggap perkara ini tidak  releven ?

Usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan selama ini mengeluarkan data setiap hari tentang wabak dari segi meningkat dan menurunnya dan Kementerian Pertahanan dan Keselamatan Dalam Negeri tentang sekatan dan kawalan bagi mencegah atau menahan dari merebaknya wabak amat dihargai. Adalah lebih baik ikhtiar turut diperluaskan dan dilakukan bagi menghasilkan penawar bersifat tempatan yang dapat menahan dan mencegah wabak Covid-18 berkenaan.

Dengan kejayaan kita insya Allah  dapat mencegah wabak dapat melakukan kebajikan, meningkatkan maruah dan imej negara kita di mata dunia.

Sekian.

No comments:

Post a Comment