HADKAN JUMLAH
PARTI
(Fikrah
Bangi: 834),
BBB: 04 Jamadil-Akhir 1442H. = 17 Januari 2021M.
(Ahad).
Dalam
pemerintahan berparlimen ada kumpulan yang membentuk parti untuk bertanding
bersama parti-parti yang lain bagi mendapat sokongan rakyat yang mengundi. Jika
parti berkenaan mendapat sokongan dan mendapat kerusi yang banyak dan mengatasi
secara majoriti terhadap yang lain, maka ianya berjaya membentuk kerajaan dan
memerintah.
Amalan
memerintah secara berparti ini telah dilakukan di negara kita sejak zaman
kemerdekaan lagi. Pada peringkat awal misalnya wujudnya parti Perikatan
(Gabungan dari Umno, MCA dan MIC), Parti Negara dan Pas. Sepanjang pemerintahan
dari awal hanya parti Perikatan,kemudian ditukar kepada (selepas pembentukan Malaysia) Barisan Nasional
(BN). Parti BN ini hanya menguasai majoriti parti yang memerintah Malaysia –
kecuali beberapa parti yang pernah memerintah negeri-negeri seperti Pas di
Terengganu, Kelantan dan Kedah dan beberapa parti yang lain yang pernah
memerintah Sarawak dan Sabah.
Hingga
kini begitu banyak parti-parti yang tumbuh dan setengahnya telah hilang. Ada
parti yang berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC. Ada yang berdasarkan agama seperti Pas. Ada
yang berasaskan ideologi seperti sosialis dan komunis. Ada yang pada asalnya bagi
membela individu seperti Parti Keadilan Nasional. Ada yang merupakan serpihan
dari parti yang lebih besar seperti Semangat 46, Berjasa dan Amanah. Banyak
parti mungkin tidak bermasalah jika didominasi oleh parti yang menguasai
majoriti seperti pada zaman pemerintahan yang dikuasai BN sejak dari awal
kemerdekaan hingga 2018.
Kemelut
parti politik mulai terasa selepas BN dikalahkan pada 18 Mei 2018 dengan
majoriti tipis oleh pakatan jumlah parti yang dikenali dengan Pakatan Harapan
(PH) yang terdiri dari Parti Bumiputra Bersatu, Dap dan Amanah. Kemudian PH ini
diatasi secara majoriti tipis ole kumpulan yang dikenali dengan Pakatan
Nasional (PN) yang terdiri dari Bersatu (asalnya bersama PH) Umno (BN), Pas dan
Gabungan Parti Sarawak (GPS). Kini kedua belah pihak cuba menguasai majoriti.
Selama
ini akibat dari kepelbagaian arah parti banyak menimbulkan permasalahan.
Misalnya dari segi sentimen perkauman, sentimen kenegerian, pegangan
kepercayaan, jurang ekonomi dan sosial. Parti pada dasarnya ialah lambang dan
entiti bagi satu kumpulan yang menawarkan khidmat kepartian kepada rakyat.
Sebenarnya
cukup bagi memperkenal dan membezakan diri parti dengan menggunakan kod seperti
parti A, B dan C dan sebagainya. Bagi kumpulan yang mendokong parti-parti
berkenaan dapat mengisi dan mencorakkan perjuangan yang mau dibawa oleh parti
itu, selagi tidak bercanggah dengan perlembangaan negara. Terlalu banyak parti
sebenarnya tidak memberi faedah kepada rakyat dan tidak semestinya memajukan
negara. Ini adalah sebagaimana dialami oleh negara kita. Negara kita walau
hampir keseluruhannya diperintah oleh BN, tidak sangat membawa kepada
pembangunan dan kemajuan rakyat. Hingga ke akhir ini kepelbagaian parti membawa
kepada kecelaruan arah yang mau dibawa oleh parti-parti berkenaan. Semakin
akhir kita lihat parti-parti berkenaan tidak lagi setia kepada ideologi dan
manifesto yang dibawa. Yang dipentingkan ialah dapat menguasai pemerintahan,
walaupun antara mereka menjual prinsip dan melompat dari parti ke parti yang
difikirkan lebih selamat dan memberi mereka kedudukan dan pulangan. Ada setengah
meganggotai parti bukan berdasarkan prinsip perjuangan, tetapi kerana peluang
dan kesempatan. Lantaran itu berlaku penyelewengan, rasuah dan sebagainya.
Bagi
memperkemaskan sistem pemerintahan berparti, setelah setengah abad rakyat dan
negara di dalam situasi yang hampir sama, maka dilihat bagi memperkemaskan
sistem pemerintahan berparti ialah dengan mengurangkan jumlah parti kepada
jumlah minimum yang diperlukan.
Negara
yang menjadi contoh pemerintahan secara berparti dan berparlimen seperti England sebenarnya
didominasi oleh hanya dua parti, iaitu parti Conservative dan Labour
(Boroh/Pekerja). Manakala di Amerika yang disifatkan menjuarai kaedah
pemerintahan secara demokrasi didominasi oleh dua parti yang bergilir-gilir
memerintah, iaitu Parti Republican dan Democrat. Kedua-dua negara yang
diperintah dua parti itu secara bergilir-gilir berjalan dengan baik dari segi
pemerintahan. Sekarang di England diperintah oleh Concervative yang diketuai
oleh Perdana Menteri Boris Johnson yang mengepalai England keluar dari Kesatuan
Europah. Manakala Amerika baru melalui pemilihanraya yang membawa kepada Joe
Biden dari Democrat mengusaia pemerintahan dengan mengalahkan Thrump dari
Republican.
Tidakkah
wajar negara kita yang telah melalui lebih dari setengah abad pemerintahan
berbagai parti membuat perubahan dengan mengurangkan parti-parti yang
ditawarkan kepada rakyat memilih sebagai pemerintah. Parti-parti yang
dibenarkan wajar tidak membawa elemen kaum, ideologi luar, tidak bersifat kenegerian
atau dinisbahkan kepada tokoh-tokoh tertentu, tetapi semuanya membawa kesetiaan
kepada pemerintah dan negara, menyatupadukan rakyat, meningkatkan kualiti hidup
rakyat dan semua pihak sepatutnya menikmati sejahtera dan bahagia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment