January 20, 2021

 

DEWAN  NEGARA: PERTINGKAT KUALITI SIDANG

(Fikrah Bangi: 837).

BBB:  07 Jamadil-Akhir 1442H. = 20 Januari 2021M. (Rabu).

 Dengan namanya sebagai Dewan Negara, maka sepatutnya ianya lebih tinggi daripada Dewan Rakyat. Sememangnya hirakinya sedemikian. Tapi dari segi praktikalnya dan menjadi persepsi umum, kelihatan ianya lebih rendah daripada Dewan Rakyat. Keahliannya dilantik dari mereka yang dipilih mewakili pemerintah dan pembangkang menurut jumlah kerusi parlimen yang dimenangi di dalam pilihanraya. Pemilihan kelihatan sebagai membalas jasa kepada pihak kerajaan dan juga pembangkang (lebih kecil) dan biasanya mereka ini adalah dari kalangan veteran-veteran yang dianggap berjasa.

 Format sidang adalah sebagaimana sidang di mana pihak kerajaan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh ahli Dewan Negara, usul-usul dan rumusan. Kebiasaan sidang lebih pendek dan  menyokong apa yang terhasil dari sidang Dewan Rakyat, walaupun ada kalanya berlaku luar biasa  sidang menolak apa yang diputuskan di dalam Dewan Rakyat dan diminta dibuat kajian semula – Ketika suara Dewan Negara dikuasai mereka yang dilantik kerajaan terdahulu.

Walau apa pun Dewan Negara perlu direformasikan dan ditingkatkan kualiti sidangnya.

 Dewan Negara hendaklah benar-benar berada pada tahap tertinggi berbanding dengan Dewan Rakyat. Jika ianya sekadar `rubber stamp`, maka lebih baik ditiadakan saja Dewan Negara. Jumlah keahlian di dalam Dewan Negara hendaklah separuh dari jumlah keahlian Dewan Rakyat. Keahliannya separuh dari pihak kerajaan dan wakil-wakil dari setiap negeri dan separuh lagi ialah dari ahli akademik, profesional, para tenokrat dan mereka yang berwibawa di dalam bidang masing-masing. Format persidangan hendaklah diubah dari pihak kerajaan – Para menteri yang  `bersifat serbatahu`  dan menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh ahli Dewan Negara yang dilantik, tetapi ianya hendaklah diubah kepada para menteri dengan bidang-bidang masing-masing adalah pihak yang disoal, bertanggungjawab serta membentang jawapan apa yang disoalkan oleh para profesional yang dilantik.

Misalnya seorang menteri kewangan ditanya oleh pakar kewangan yang dilantik dari segi bajet yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat, bagaimanakah unjuran perbelanjaan yang dilakukan, apakah ada ketirisan dan setakat itu apakah kemajuan yang dicapai dan apakah dijangka mencapai objektif. Misalnya dalam musim Covid-19, Menteri Kewangan diminta menjawab dari manakah punca kewangan yang diperuntukkan begitu banyak, pengagihan yang dibuat. Adakah ianya mencapai objektif. Apakah implikasi dari perbelanjaan mengatasi kewajaran Keluaran Dalam Negara Kasar. Bagaimanakah cara bagi  memulihkan kewangan yang merosot.

Menteri Pengajian Tinggi misalnya dikehandaki menjawab apakah perancangan bagi meningkatkan kualiti semua pengajian tinggi. Apakah yang diharapkan dari universiti-universiti yang berada pada tahap ranking tinggi. Apakah penyelidikan yang dihasilkan yang memberi manfaat kepada negara. Sejauhmanakah universiti dapat memberi cadangan bagi mengatasi penganggur-penganggur lulusan universit dan sebagainya. Pendeknya pada tahap Dewan Negara para menteri adalah berdepan dengan soalan dan jawapan yang mencerminkan prestasi yang dicapai oleh kementerian masing-masing.

Format soal jawab yang memakan masa dalam tempoh lima dan sepuluh minit sahaja perlu diubah. Kalau satu hari atau lebih memerlukan jawapan dan pembentangan dari satu kementerian, maka berikan masa yang cukup untuk dijawab dan dibentang, bahkan kalau perlu turun padang. Sekarang berbagai-bagai alat teknologi dan komunikasi dapat digunakan dalam penerangan dan jawapan yang  dapat digunakan, bukan secara lisan berterusan. Persidangan mungkin bersifat seminar, dialog, foram, koloqium dan sebagainya sehingga apa yang dijawab dan dibentangkan memuaskan hati. Untuk keterangan yang mendalam tokoh-tokoh ilmiah dan profesional dari luar boleh dijemput untuk membentangkan pendapat dan mencari solusi dan jawapan. Kiranya apa yang dibentangkan oleh para menteri tidak memuaskan dan mencerminkan ketidakfahaman atau  tidak menguasai  bidang persoalan, maka jawapan dan rumusan yang dicapai di dalam Dewan Rakyat boleh ditolak dan diminta diperhalusi dan dikemukakan kembali. Dalam erti kata yang lain Ahli Dewan Negara yang berwibawa adalah bersifat peneliti, penilai apa yang dilakukan oleh semua kementerian, bahkan berhak disoal dan diminta jawapan oleh ahli Dewan Negara yang profesional dan berwibawa apa juga persoalan yang soalan berkenaan telah diberi tempoh secukupnya untuk persediaan bagi jawapan di Dewan Negara. Ahli Dewan Negara misalnya berhak bertanya, misalnya mengapa berlakunya kerosakan alam sekitar di negeri Perak. Bagaimanakah kerosakan begitu parah berlaku tidak sampai ke pengetahuan kepada pihak negeri. Perlu diminta siasatan dilakukan kiranya ada pihak yang bersekongkol, terutama dari pihak pentadbiran, sehingga apabila ianya didedahkan,maka seolah-olah perkera ini tidak diketahui. Persoalan-persoalan penting yang lain boleh saja dibangkit untuk dijawab, misalnya masalah rasuah yang berlaku di kalangan ahli politik, soal lompat parti dan jatuh menjatuhkan kerajaan dan sebagainya.

Pendek kata Dewan Negara adalah bersifat audit yang berani dan berkuasa bagi mempersoalkan segala perkara yang dijalankan di dalam pemerintahan, sama ada pada peringkat negara, negeri dan sebagainya.

Dengan taraf sedemikian Dewan Negara tidak dilihat sebagai Dewan yang rendah fungsi, rubber stamp dan sebagainya, sebaliknya Dewan yang berwibawa berfungsi bagi  memperbetulkan segala yang menyeleweng, bertindak terhadap yang salah dan mempastikan perjalanan pemerintahan di atas landasan yang betul dan bergerak secara licin dan maju.

Sekian.

No comments:

Post a Comment