January 23, 2021

 

BUDAYA  ILMU: CIRI DAN IDENTITI NEGARA ?

(Fikrah Bangi:  640),

BBB:  10 Jamadil-Akhir 1442H. = 23 Januari 2021M.(Sabtu).

 Selepas mengalami penurunan dari segi pendidikan, ekonomi dan kehidupan sosial,  akibat dari Covid-19,  adalah menjadi harapan bagi negara kita, bahkan seluruh dunia yang semuanya mengalami wabak Covid-19, akan bangkit semula bukan saja di dalam bidang-bidang yang disebutkan, bahkan di dalam semua bidang. Kita berharap kali ini kita tidak perlu berkiblatkan ke timur, barat atau selatan, tetapi adalah berdikari dan berdiri di atas kaki kita sendiri dan bagi yang perlu kerjasama, maka kita bangkit secara bersama seperti sesama Asean, Kerjasama Negara-Negara di Lembang Pasifik dan sebagainya. Kita perlu bangkit dengan ciri dan identiti kita sendiri.

Faktor utama yang dapat menggerakkan kebangkitan dan kemajuan tidak lain daripada ilmu. Kemampuan berilmu sebenarnya tidak membedakan antara barat, timur dan selatan. Pencapaian dari segi berilmu terpulang kepada usaha negara dan kesungguhan rakyatnya. Runtuhnya Jepun selepas Peperangan Dunia ke II, tetapi selepas 75 tahun (kini), Jepun bangkit sebagai sebuah negara maju dari segi ekonomi dan teknologi bukan saja menyamai, bahkan mengatasi negara-negara barat.

Selepas 50 tahun (kini) yang dapat disifatkan sebagai  zaman renaissance bagi Malaysia, kita telah maju di dalam pelajaran yang sepatutnya  menjadi faktor bagi kemajuan negara. Kini kita mempunyai 20 universiti awam dan 10 buah universiti swasta. Daripada jumlah universiti di negara kita 15 daripadanya adalah dikategorikan sebagai universiti bertaraf dunia. Antaranya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putera Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Multi Media, Universiti Teknikal Malaysia, Melaka, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tunku Abdul Rahman. Manakala  16  top universiti, termasuk sebahagian dari universiti pilihan di negara kita  di bawah 200 terbaik di dunia. Namun terkehadapan dari universiti-universiti adalah Oxford, Stanford University, Harvard, California Institute of Technology dan Matsachusets Institute of Technology. (The Star, 5 September 2020: 6). Ia adalah merupakan ranking  bagi 1,527 universiti dari 93 negara di dunia. Negara kita yang mempunyai lebih dari  32  juta penduduk menawarkan kemasukan pelajar ke universiti secara tahunan adalah seramai 1.14 juta pelajar, iaitu seramai 510,000 ke IPTA dan 633,344 tawaran ke IPTS. (Sinar, 5.10.2020: 1). Ini bererti setiap 30 orang pelajar di negara ini  seorang mendapat peluang menyambung pengajian di universiti.

Dari kenyataan ini negara kita hebat dan mempunyai kesedaran tinggi dari segi pelajaran.Negara kita menurut  Tun Dr. Arshad Ayob Bekas Pengarah UITM bahawa negara kita sekarang mempunyai seramai  2,500 profesor. Maklumat ditambah oleh Pengarah Eksekutif Majlis Profesor negara Prof. Datuk Dr. Redzuan Che Rose adalah seramai 3,200. (Menurutnya sebahagian telah meninggal dan kini berjumlah 2,900 orang).  Manakala jumlah pensyarah di negara kita kini adalah seramai 65,000 orang.

Dengan jumlah universiti yang agak banyak, profesornya berjumlah dalam lengkongan 3.000 orang bersama tenaga pensyarah berjumlah 65,000 orang dapat diambil kesimpulan awal bahawa negara kita adalah negara maju dari segi ilmu pengetahuan yang sepatutnya maju juga dari segi pembangunan dan pencapaian di dalam berbagai bidang. Apakah realitinya sedemikian ?

 Satu masa dahulu, iaitu sekitar tahun 1960an kita memandang rendah negara-negara seperti Korea Selatan dan Vietnam. Dalam pertandingan bola sepak kita sering mengalahkan mereka. Mereka tidaklah maju pada masa itu dari segi teknologi dan ekonomi. Kita menganggap kalau pun tidak rendah daripada kita mereka adalah setaraf dengan kita, tetapi hari ini Korea Selatan jauh lebih maju dari segi ekonomi dan juga sukan. Vietnam yang dulu memang lemah daripada kita,tetapi di dalam setengah hal seperti sukan, bahkan ekonomi mulai  mengatasi kita. Di dalam hal ini, kita bertanya, apakah negara kita yang dapat disifatkan sebagai  maju dan mementingkan pelajaran itu sebagai negara maju ? Apakah kita maju seperti Singapura ? seperti Korea Selatan  ? dan adakah kita maju seperti Jepun ?  Sebenarnya kita seperti tidak bergerak dan terus berada pada tahap lama, di manakah silapnya ?

Tun Arshad Ayob melontarkan pendapatnya dengan menilai tahap yang paling tinggi dari segi pelajaran, bahawa profesor-profesor kita yang sepatutnya menjadi penggerak kemajuan sebenarnya menurutnya `Tidak Berkualiti`. Pendapat ini sama dengan pendapat Profesor Dr. Syed Hussain al-`Attas yang pada satu masa  menggelarkan sebahagian dari profesor adalah sebagai `Profesor Kangkung`. Profesor Datuk Dr. Redzuan Che` Rose dalam wawancara melalui TV 501, pada 21 Januari 2021 yang lepas cuba mempertahankan kelompok profesor universiti yang diketuainya. Hakikatnya ini adalah permasalahan kualiti pelajaran yang dihadapi negara kita dan kita berharap Menteri Pengajian Tinggi negara kita menganggapnya sebagai perkara yang serius dan berharap dapat menyelesaikan masalah kualiti yang dihadapi. Ia bukan saja pada tahap profesor, tetapi juga pensyarah, bahkan lulusan dan pelajar pengajian tinggi kita.

Kita memang mengharapkan mereka yang dikategorikan sebagai golongan genius ini dapat memimpin bukan saja universiti, tetapi masyarakat dan negara menjadi sebagai negara berimu dan maju.

Apakah harapan ini dicapai  ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment