MASA
TERBAIK MENILAI TRADISI BERNEGARA
(Fikrah
Bangi: 828),
BBB:
27 Jamadil-Awwal 1442H. = 11 Januari 2021M. (Isnin).
Asas
pembicaraan kita adalah bertujuan membina `Negara Berilmu, Bertamadun Dan
Berperadaban.`` Banyak permasalahan politik, pandemik dan ekonomi yang timbul
kini. Dari segala pengalaman pahit getir
dan kegusaran adalah dilihat masa yang
terbaik menilai tradisi bernegara bagi memupuk kualiti bernegara yang
lebih sihat.
Sejak
merdeka pemerintahan negara kita mempunyai hiraki pemerintahan bertonggakkan
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Negara.
Ini
diikuti dengan kuasa pada Persidangan Raja-Raja yang diberi kuasa memilih DYMM
Yang Di Pertuan Agong dan Timbalannya yang Raja-Raja berkenaan mempunyai kuasa
di dalam negeri-negeri masing-masing dan Yang Di Pertuan Negeri mempunyai kuasa
di dalam negeri-negeri masing-masing (Negeri-negeri yang tidak mempunyai raja).
Sebagai
rakyat Malaysia, kita hendaklah berbangga dengan budaya pemerintahan yang kita
warisi dari tradisi dan darinya menjadi tonggak bagi pemerintahan negara dan
apabila negara merdeka budaya tradisi ini diperkukuhkan dengan Institusi yang
menjadi tonggak Pemerintahan Tertinggi yang dikenali dengan Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong. Juga pemilihan Timbalan Yang Di
Pertuan Agong, Institusi ini seingat penulis yang berkesempatan menyaksikan
tradisi pemerintahan dari 1942 (zaman Jepun) hingga zaman merdeka, tidak wujud
sebelum zaman merdeka. Jadi istilah DYMM Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong
adalah istilah baru dalam pemerintahan negara, tercipta menjelang kemerdekaan Negara Malaya
pada masa itu yang bermula dengan DYMM
Tuanku Abdul Rahman Raja dari Negeri Sembilan sebagai DYMM Yang Di Pertuan
Agong Pertama..
Sebagai
tonggak utama bagi pemerintahan negara, menurut perlembagaan Negara Malaysia bahawa
DYMM Yang Di Pertuan Agong adalah dipilih oleh Raja-Raja Melayu melalui
Persidangan Raja-Raja untuk tempoh selama lima tahun. Tetapi baginda boleh
meletak jawatan sebelum genap tempoh. Baginda juga boleh ditamatkan dari pemerintahan
dengan sebab-sebab tertentu yang wajar yang diputuskan oleh tidak kurang dari
lima orang Raja-Raja Melayu atau
disebabkan oleh kemangkatan.
Sejak
perlantikan DYMM Yang Di Pertuan Agong, institusi ini berjalan dengan baik dan
tidak menimbulkan permasalahan sebagaimana kecohnya di dalam bidang politik.
DYMM
Yang Di Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja
seperti Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Sebagai Tonggak pemerintahan DYMM merasmikan
pembukaan sidang-sidang parlimen dan menyampaikan titah amanat yang menjadi
tajuk rujukan perbahasan dalam sidang parlimen dan `Menjunjung Kasih` ke atas
titah yang disampaikan oleh Baginda.
DYMM
juga berkuasa melantik seorang Perdana Menteri setelah dipilih dan diberi
kepercayaan oleh rakyat. Di dalam keadaan kritikal antara menentukan pemilihan bagi
menggantikan seorang Perdana Menteri yang meletakkan jawatan dan ada lebih dari
seorang yang menuntut jawatan, maka dengan kebijaksanaan Baginda, Baginda
membuat pemilihan secara terbaik yang dapat dilakukan. Contoh perlantikan Tan
Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia berikut dari kekosongan
jawatan Perdana Menteri yang dikosongkan oleh Tun Mahathir Mohammed.
DYMM
Yang Di Pertuan Agong juga melantik ahli kabinet pemerintahan menurut nasihat
dari Perdana Menteri yang dilantik. Baginda juga melantik senators sebagai ahli dalam Dewan Senet. Peruntukan Perlembagaan
memberi kuasa kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong bagi menamatkan `dissolve` parlimen. Begitu juga DYMM Seri
Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sebagaimana
digunakan bagi menyekat dari diadakan pilihanraya (PRK) ketika berlakunya wabak
Covid-19 seperti di Batu Sapi di Sabah dan
di Perak.
DYMM
Yang Di Pertuan Agong juga melantik Attorny General dan Ketua-Ketua Hakim ,
Auditor General dan Ketua-Ketua Turus Angkatan Tentera Ketua angkatan Tentera
Darat, Laut dan Udara sebagaimana Baginda juga boleh menarik perlantikan atas
nasihat dari Perdana Menteri. Baginda juga melantik Ketua Suruhanjaya
Pilihanraya dan Ketua Suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah Negara.
DYMM
Yang Di Pertuan Agong adalah tonggak tertinggi pemerintahan Negara, padanya
terhimpun pusat kuasa. Daripadanya diperturunkan kuasa-kuasa melalui
institusi-institusi berbagai pemerintahan dan perlaksanaan. Baginda adalah
himpunan kuasa yang diamanahkan oleh Raja-Raja Melayu yang diperturunkan
melalui Persidangan Raja-Raja Melayu. Persidangan ini dirujuk apabila wujud perkara-perkara
penting yang memerlukan rujukan kepada persidangan berkenaan.
Demikianlah
uniknya institusi Yang Di Pertuan Agong
yang menjadi tonggak pemerintahan Negara Malaysia. (The Constitution 0f
Malaysia, 1964: 38. 49).
Sekian.
No comments:
Post a Comment