(Di Kelab Golf Danau, UKM – 1hb. Mei 2009)
Bismillah wa bihi nasta`in
Cetusan Bangi Bandar Ilmu (BBI) bermula sempena Sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi dari 30 Julai – 1 September 2007. Majlis Pelancaran BBI dirasmikan oleh YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor Darul Ehsan pada 22 Jun 2008 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi.
Kehadiran Ikatan Ilmuan Nasional Malaysia (ILMUAN), iaitu sebuah NGO yang ditubuhkan sejak tiga tahun lepas dianggotai tenaga-tenaga akademik dari berbagai-bagai universiti di Malaysia yang antaranya bergiat di Bangi, sesungguhnya turut memperkukuhkan BBI. Pihak BBI pernah menawarkan ILMUAN kerjasama kegiatan ilmiah, namun masih belum berkesempatan. Jemputan merasmikan Mesyuarat Agung Ketiga ini diharap makin merapatkan peluang dan ruang bekerjasama bagi merancakkan kegiatan ilmu, khususnya di BBI.
Baik bagi BBI maupun Ilmuan kecintaan terhadap ilmu merupakan katalis menggerakkan kedua-dua badan bergiat di dalam bidang keilmuan. Sesungguhnya ilmu mengangkatkan martabat dan merupakan tuntutan Islam. Firman Allah:
Bermaksud: Allah mengangkat orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang menuntut ilmu kepada tingkat-tingkat darajat (al-Mujadalah: 11)
Mencari ilmu adalah mencari kebenaran. Ia adalah tugas murni yang manfaat ilmu dan kebenaran itu bukan saja kepada pencari yang dikenali sebagai pelajar, pengajar, pakar, professional dan ulama, tetapi juga kepada semua. Tahap-tahap dilalui manusia dari pagan, mundur, bertamadun, perperadaban dan maju adalah digerak melalui kesedaran ilmu.
Keilmuan yang dicari, ditemui dan diwarisi adalah dari penemuan-penemuan lampau, lepas dan kini terhimpun di dalam khazanah zaman menjadi arkib budaya intelektual tamadun dan peradaban menjambatani zaman dimanfaat oleh generasi-generasi yang terus menerus dinamik meningkatkan tamadun dan peradaban itu.
BBI dan ILMUAN sudah tentulah turut sama dengan kafilah tamadun dan peradaban yang terus bergerak dengan kenderaan zaman dan turut sama memberi sumbangan.
Tradisi murni yang identik dengan ulamak dan intelektual, para ilmuan menghasilkan tulisan-tulisan dan diterbitkan. Saya fikir ILMUAN yang dianggotai oleh tenaga-tenaga akademik dari berbagai universiti dan dari berbagai-bagai bidang sudah tentulah memberi tumpuan kepada penyelidikan dan penerbitan. Kita menunggu untuk menatapi penerbitan-penerbitan bermutu, khususnya dari ILMUAN.
Pencetus islah dan kemajuan selalu datangnya dari ulama dan intelektual. Peradaban Yunani dicetuskan oleh pemikir-pemikir dan filosof-filosof terkenal mereka. Peradaban Islam juga diolah oleh ulama di dalam berbagai bidang, demikian juga dengan peradaban barat. Universiti dan tenaga akademik adalah golongan yang dapat mencetuskan idea-idea bernas yang dapat membimbing masyarakat. Pada satu masa terutama pada tahun-tahun 1970an -1980an tenaga-tenaga akademik dan persatuan-persatuan akademik secara berani dan lantang menyuarakan pembelaan dan pandangan terhadap isu-isu semasa. Pandangan-pandangan mereka menyedarkan, dihargai dan dimanfaat oleh masyarakat. Kini keadaan sedemikian tidak lagi berlaku. Persatuan-persatuan akademik lesu dan tidak kedengaran, suara-suara lantang hilang ke kesepian. Ada tangan-tangan kasar menekan. Mereka ketakutan untuk bersuara dan lebih mengambil sikap mendiam diri dan sepi. Ini adalah amat merugikan masyarakat. Kita harap ILMUAN dapat mengisi kekosongan ini dan mengembalikan universiti kepada paksi dan fungsi.
ILMUAN yang terdiri dari tenaga-tenaga akademik diharap tidak merupakan sekelompok elit yang terpisah diri dari masyarakat dan berada di menara gading, sebaliknya hendaklah turun ke tengah masyarakat menyelami denyut nadi, suhu kegelisahan dan harapan mereka. Terlalu banyak masalah yang memerlukan panduan dan penyelesaian. Masyarakat cemas dengan kegawatan ekonomi dan pembuangan pekerja, kemelut politik semasa, jelek dengan rasuah berlaku di kalangan ahli politik dan awam, perkosaan terhadap undang-undang demi kepentingan kekuasaan dan berleluasanya gejala sosial yang mengancam ketenteraman. ILMUAN juga BBI diharap dapat menampilkan keberanian intelektual mereka dengan kritikan, pandangan bernas dan cadangan menyelesaikan permasalahan.
Sesungguhnya ILMUAN, BBI dan pencinta ilmu berada pada paksi kebenaran. Kalian dihormati. Leraikanlah kemelut dihadapi masyarakat dari kejahilan dan keraguan. Bimbingilah mereka ke jalan lempang. Diharap jika BBI berusaha membina Pemikiran Bangi, tetapi bersama ILMUAN berupaya membina budaya ilmu dan peradaban Negara dan umat. Insya Allah. Semoga kita dirahmati Allah. Al-Fatihah sempena pembukaan.
Sekian.
Dr. Shafie Abu Bakar
Bangi.
06 Jamadil Awal 1430
01 Mei 2009.
No comments:
Post a Comment