June 15, 2009

Tazkirah

(Peingatkanlah, sesungguhnya peringatan

memanfaatkan orang-orang beriman – Al-Zariyat: 55)


Mengiringi solat dan doa

Subuh di surau tua itu

Kita lazimi dengan tazkirah

Seorang daripada kita ke depan

Bersimpuh bertawarruk

Mencapai kitab pilihan

Di atas rehal membuka lembaran

Kita pun menghampiri diri

Bersama di dalam halaqah

Khusyuk tunduk penuh perhatian

Selepas basmalah, hamdalah, salawat

Berhamburan firman dan sabda

Tafsiran dan huraian makna

Kita yang tunduk khusyuk

Menyambut mesra mutiara kata

Mengalir lembut dipermukaan hati

Resap menyejuk jiwa dan minda.

Tazkirah adalah mauizah

Tentang kebenaran dan kebatilan

Menyerlah yang baik

Mencegah yang dilarang

Memupuk peribadi murni

Memupus buruk dan keji

Mempasti hukum hakam

Antara halal dan haram

Antara dosa dan pahala

Antara syurga dan neraka

Betapa diri dan ammarah

Berharian dengan dosa terdedah

Amat mudah tergelincir dari paksi

Ke parit longkang keji

Liku-liku berduri.

Di subuh hari bertazkirah

Embun pagi membasah

Dedaun hati dan minda

Makanan rohani pagi

mendahului makanan jasmani

adalah bekal panduan

sebelum kita berpisah

dalam suasana barakah

berjabat tangan bersalam-salaman

turun menuju arah haluan

Meniti hidup seharian.



Shafie Abu Bakar

Surau Al-Umm

Bandar Baru Bangi.

02 J.Akhir 1430

27 Mei 2009.

No comments:

Post a Comment