June 30, 2018

SETAHUN MENUNGGU KELULUSAN PLAN


BBB,  15 Syawal 1439H. = 29 Jun 2018 (Juma`at):
Mesyuarat bagi Penubuhan jawatankluasa Teknikal  diadakan pada  14 Ogos 2012  di Pejabat Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Maka dengan adanya Jawatankuasa Teknikal perbincangan mengenai plan lebih mendalam selepas Jawatankuasa Teknikal mengadakan mesyuarat pertamanya pada 8 Januari 2013 (Selepas Perasmian Tapak pada 6 Januari 2013) yang juga dipamerkan plan pembinaan Masjid Al-Umm yang ditambahbaikan. Berikut dari itu  dilantik para consultants  menganggotai Mesyarat Teknikal  berkenaan. Mereka terdiri dari:
1.       Ir Haji Ishak bin Arshad, Pengerusi Teknikal
2.       Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad – Arkitek Urusbina Sdn. Bhd.
3.       Ir. Mohd Safari Ahmad – Tetuan Safari Engineering Sdn. Bhd.
4.       Mohd. Ashri Yusuf – Tetuan May Consult
5.       Haji Marzuki Che Omar – Tekad Nusantara (Kontrektor )
6.       En. Abdul Razak Abdul Rahman – Tekad Nusantara (Wakil  Kontrektor)
7.       Ir. Haji Ghazali Hussin – Teknikal Al-Umm
8.       Perunding Azfar – Mechanical and Electrical
·         Consultant berkhidmat sebelum Masuk Tapak (10.12.2013), iaitu sejak  Mac 2013,  selepas Pecah Tanah (6 Januari 2013).
Mereka ini pada awal bermesyuarat bersama dengan Jawatankuasa Induk (Pembinaan ), tetapi selepas ditubuhkan Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Teknikal ini kemudiannya mengadakan mesyuarat bulanan lebih awal (biasanya seminggu) membincangkan perkara-perkara teknikal dan kemudian melaporkannya kepada JawatanInduk Pembinaan untuk kelulusan atau sebaliknya.
Adalah dihasratkan bahawa selepas upacara `Pecah Tanah` pada 6 Januari 2013, maka  pembinaan fizikal Masjid Al-Umm hendaklah dilakukan dalam tempoh setahun dari masa tersebut. Dua fokus utama dibincangkan, terutama dalam mesyuarat teknikal yang turut sama dihadiri beberapa Ahli jawatankuasa Induk ialah usaha bagi menyiapkan plan untuk diangkat kepada MPKj bagi kelulusan, selewat-lewatnya pada pertengahan 2013. Tanpa kelulusan plan pembinaan fizikal tidak dapat dijalankan. Dan perkara yang juga penting dan dibincangkan terutama dalam jawatankuasa Induk ialah bagi mendapatkan dana bagi pembinaan.
Berhubung dengan plan adalah dibincangkan terhadap plan cadangan oleh Urusbina yang pada asalnya adalah disifatkan sebagai biasa. Menurut  Ar. Tuan Raja Fuaddin dalam Seminar Bulanan Masjid Al-Umm bagi bulan April 2018, bahawa sebagai arkitek,  pantang baginya dan yang lain meniru, apa yang dihasilkan adalah asli. Walau bagaimana sebagaimana telah dibincangkan, bahawa tiap yang datang kemudian tidak dapat lari dari membawa identiti yang telah sedia terbina sebelumnya. Ertinya identiti masjid telah terbina dan dikenali, mereka yang datang sedikit sebanyak mengambil identiti yang sedia ada dengan tambahan kreativiti dan inovasi, jika ada, jika ianya menyimpang 100% dari identiti yang telah terbina, kemungkinan ianya tidak dikenali sebagai sebuah masjid.
Di dalam hal ini plan awal yang disediakan oleh Urusbina Sdn. Bhd. Adalah:
Masjid dua tingkat yang keluasan lantainya 4,3 17 meter persegi yang dijangka dapat memuatkan 3,000 jama`ah.
Pada bahagian hadapan binaan bermula dengan pintu gerbang masuk ke ruang legar yang luas terbuka bagi kegunaan berbagai fungsi. Sebelah kanan gerbang ialah sebuah menara, demikian juga sebuah menara lagi pada bahagian kiri. Masuk ke ruang legar, di kanan ada ruang pejabat dengan kawasan wudhu` dan toilet pada sebelah kanan. Demikian sebelah kiri ada ruang pejabat dengan ruang wudhu` dan toilet untuk kawasan perempuan. Naik ke atas ada kawasan solat utama dengan pada bahagian kanan ada serambi di kanan dan juga dikiri. Pada bahagian kanan dan kiri ada pintu untuk keluar masuk sebagaimana sebelah kanan.
Ruang solat utama ini terbuka luas dan lawas, kerana pada bahagian atasnya tinggi dengan kubah di atasnya. Pada bahagian hadapan agak menarik. Pada bahagian  ini ada mihrab dan dan mimbar dengan bahagian kanan dan kiri bilik imam.
Satu tingkat diwujudkan ialah pada sebahagian separuh ke belakang dari ruang utama. Ianya ialah untuk ruang muslimat yang dapat memuatkan 500 jamaah.
Pada bahagian atas ialah atap yang sesuai dengan kawasan iklim setempat yang hujan panas dan tidak menggunakan konsep sutuh sebagaimana masjid-masjid di Asia Barat.
Oleh kerana Masjid Al-Umm berada di tepi bukit, terdapat ruang kosong pada bahagian bawah ruang utama yang dijangka pada asalnya ialah untuk parkir.
Plan asal tidak diterima sepenuhnya. Sebaliknya ia menjadi asas bagi perbincangan  dan perubahan yang dibincang dalam Jawatankuasa Teknikal dan Induk  (juga tapak pernah diwujudkan sekitardua tahun 2014-2015, namun ia sebagai duplikasi bagi teknikal dan ditiadakan) yang membawa kepada penambahan dan perubahan. Perbincangan memakan masa setengah tahun dan diangkat kepada MPKj, dan setengah tahun menunggu yang dalam masa menunggu itu ada perubahan-perubahan yang dibuat.
Sekian.

June 29, 2018

MENUJU TAKMILAH BAGI KEPERLUAN ASAS BAGI PRA PEMBINAAN


BBB,  13 Syawal 1439H. = 28 Jun 2018M. (Khamis):
Plan adalah prototype bagi pembinaan. Plan menjadi panduan bagi pembinaan. Sekecil mana bangunan sebelum didirikan, kalaupun tidak dilukis atau digaris terlebih dahulu, sekurang-kurangnya  ada di dalam minda rangka plan yang hendak didiri atau dibangunkan. Bangunan yang  lebih teratur dan yang lebih selamat perlu plan yang dihasilkan oleh juru plan atau arkitek yang berwibawa. Jika bangunan mau dibina di dalam  kawasan perbandaran atau taman perumahan plan perlu, bahkan wajib diluluskan oleh pihak perbandaran. Ini bertujuan:
a)      Menjaga keselamatan bangunan. Misalnya tidak runtuh kerana struktur bagunan tidak betul.
b)      Mendapat bekalan letrik dan air secara betul dan selamat.
c)       Mempunyai sistem perparitan yang betul hingga tidak banjir atau longkang tidak mengalir
d)      Mempunyai jalan keluar-masuk yang teratur dan selamat, termasuk semasa kecemasan bagi laluan bomba
e)      Tidak berada di dalam kawasan terlampau sesak hingga mengganggu ketenteraman dan kesihatan.
f)       Dan berbagai lagi.
Bagi sebuah masjid mesti mempunyai keperluan-keperluan khusus lantaran ianya institusi yang melibatkan pemerintah/pentadbir dan orang ramai. Antara keperluan ialah:
a)      Tapak yang jelas kebenaran milik masjid yang diluluskan pihak berkuasa
b)      Mendapat kebenaran dari pihak berkuasa bagi mendirikan masjid
c)       Mempunyai keluasan yang sesuai bagi sebuah masjid
d)      Berada pada lokasi yang sesuai untuk dikunjungi jamaah dan orang ramai
e)      Pembinaan adalah dari hasil yang halal sepertidana  dari orang ramai dan dari pihak berkuasa
f)       Mempunyai ciri keselamatan dan keperluan sebagaimana  dibincangkan pada bahagian kelompok pertama atas.
Masjid Al-Umm yang dicadangkan untuk pembinaan tidak terkeluar dari dua kelompok syarat-syarat di atas, bahkan banyak lagi keperluan yang dapat ditambah bagi pembinaan Masjid Al-Umm, segala keperluan dan syarat-syarat di atas adalah merupakan pra-syarat dan asas bagi pergerakan dari segi kualiti menuju Takmilah bagi pembinaan. Antara perkara yang diharapkan dari pembinaan:
a)      Walaupun disedari tapak bagi Masjid Al-Umm amat terhad dari segi keluasannya, tetapi ini hanya yang ada tapak bagi masjid selepas Masjid Al-Hasanah di Bandar Baru Bangi dan mendapat kelulusan dari segi gezet tanah dan kebenaran dari pihak JAIS bagi mendirikan masjid – Masjid Al-Umm.
b)      Tapak masjid berada pada lokasi strategik, berada ditanah tinggi di tengah-tengah kawasan Bandar Baru Bangi. Masjid hendaklah bersesuaian dengan kedudukan strategiknya.
c)       Sesuai dengan kedudukannya, Masjid Al-Umm kelak hendaklah masjid yang seboleh-bolehnya  Takmilah dari segi seni binanya
d)      Bagi mencapai sebolehnya Takmilah dari segi senibinanya, maka plan bagi Masjid Al-Umm hendaklah dihasilkan secara terbaik dan diluluskan oleh pihak berwibawa (Perbandaran) untuk menjadi prototype bagi pembinaan fizikal Masjid Al-Umm.
e)      Masjid Al-Umm hendaklah mendapat sokongan dana dari jamaah dan penduduk dan mereka adalah bersyukur dengan kejayaan pembinaan dan mesra mengimarahkannya.
Dari segi amalan kebiasaan, sesebuah bangunan yang mau didirikan seharusnya mendapat kelulusan plan dari pihak perbandaran atau pihak berkuasa dan dari plan inilah pihak kontrektor mengikuti sepenuhnya hingga siap bangunan dan pihak berkuasa yang dipohon mendapat kebenaran menggunakan bangunan (untuk mendapat CCC) akan membuat penilaian bagi kelulusan berdasrkan kepada plan yang telah diluluskan sebelum ini, jika ia menepati dengan spesifikasi plan asal, ianya akan diluluskan, tetapi jika tidak, maka ianya perlu membaiki dan mematuhi keperluan yang dikehendaki sebelum mendapat kelulusan.
Bagi Masjid Al-Umm ada plan asas bagi peringkat permulaan disediakan oleh Ar. Tuan Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dari Arkitek URUSBINA yang beribu pejabat di Perlis. Plan awal adalah bersifat permulaan danbelum sempurna, ianya  digunakan bagi Majlis Pelancaran Dana bagi Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012 berhampiran dengan Tapak Masjid Al-Umm.
Plan masjid Al-Umm yang dibaiki dan belum sempurna ini juga dipamerkan pada Majlis Pecah Tanah bagi Masjid Al-Umm yang dilakukan oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada masa itu, pada 6 Januari 2013 juga di hadapan Tapak bagi Masjid Al-Umm.
Namun plan permulaan ini menjadi asas perbincangan  yang memakan masa yang agak lama dan plan asas dan perubahan yang berlaku terhadapnya menjadi panduan bagi pembinaan Masjid Al-Umm.
Sekian.

June 28, 2018

PERKUKUH JAWATANKUASA - PLAN PEMBINAAN DITERIMA


BBB, 13 Syawal 1439H. = 27 Jun 2018M. (Rabu):
Jawatankuasa Pertama yang disifatkan sebagai Jawatankuasa `Perancangan` adalah istimewa  kerana mereka merupakan jawatankuasa awal. Antara perancangan yang dibuat ialah berusaha mewujudkan plan bagi Masjid Al-Umm, walau bagaimana tidak menjadi realiti untuk diikuti sebagai plan prototype bagi Masjid Al-Umm.
Antara perancangan yang dilakukan melalui mesyuarat 16 Jun 2010 di Pejabat ADUN Bangi ialah rancangan untuk membersih tapak Masjid Al-Umm yang merupakan hutan kecil yang masih ada pokok-pokok kelapa sawit, getah, pokok-pokok besar dan hutan tumbuhan pokok akasia. Walau bagaimana dalam rancangan untuk gotong royong, pihak Kontrektor yang juga AJK Pembinaan dan kawan-kawan yang juga menyediakan plan, bertindak membersihkan tapak terlebih dahulu dengan menggunakan buldozar dan baru dimaklumkan di dalam mesyuarat pada 28 Julai 2010 yang juga diadakan di Pejabat ADUN, tanpa persetujuan AJK dan membuat tuntutan bayaran sebanyak RM7,000/=  yang dianggap oleh Jawatankuasa sebagai mahal. Tindakan ini juga dianggap sebagai `conflict of interest` yang sepatutnya tidak berlaku.
Dengan tindakan itu kegiatan perancangan terhenti beberapa masa, kerana  selepas itu hadir Ramadhan 1431H. bersamaan Ogos 2010.
Walau bagaimana perkembangan semasa misalnya pada 23 September 2010 bersamaan 14 Syawal 1431H. pihak Jawatankuasa menerima jawapan dari JAIS, ``Tiada halangan bagi mendirikan Masjid`. Ini meningkatkan  semangat ke arah Persediaan mendirikan Masjid Al-Umm. Antara tindakan diambil:
1)      Mendapat respond hasil dari cadangan yang dibuat dalam mesyuarat di Surau Al-Umm Bandar Baru Bangi pada 20 Mei 2010 untuk memasukkan di dalam komiti jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Mereka ialah:
a)      Tan Sri Dato` Mohd. Nor Ismail Mantan Timbalan Naib Canselor UPM
b)      Dato` Dr. Haron Din Pengasas Dar al-Shifa`
c)       En. Omar Ja`far, Bekas Pendaftar Pembangunan UKM
d)      Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi
e)      Haji Mohd Napiah Sahrani, Nazir Masjid Al-Hasanah
Tan Sri Dato` Mohd Nor Ismail, walaupun beberapa kali dipohon menyertai AJK Pembinaan Masjid Al-Umm menolak, kerana mempunyai banyak komitmen dengan urusan-urusan yang lain.
Manakala Dato` Dr. Haron Din agak sebok dan tidak memberi respond sehinggalah beliau diziarahi oleh beberapa AJK pada 6 Julai 2013 di Kompleks Pendidikan Islam Bangi untuk melantik beliau sebagai Penaung dan dengan lawatan itu beliau menerima menjadi Penaung bagi AJK Masjid Al-Umm dan tugas rasmi pertama beliau ialah menentukan arah Qiblat Masjid Al-Umm pada 2 Januari 2014M. = 30 Safar 1435H.
Manakala Tuan. Omar Ja`far menerima baik perlantikan dan beliaulah mencadangkan agak diwujudkan Jawatankuasa Teknikal dengan Tuan Ir. Haji Ishak Arshad sebagai Pengerusi (Lantikan di dalam Mesyuarat pada 14 Ogos  2012).
Adapun Dr. Tajul Ariffin Noordin memang hadir sejak penubuhan Jawatankuasa awal pada 4 Februari 2010 sebagai YDP Persatuan Penduduk BBB.  Bahkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Pendidikan kerana kepakarannya di dalam bidang pendidikan. Perlantikan rasminya mengukuhkan Jawatankuasa Pembinaan.
Manakala Tuan Nazir Mohd Napiah Sahrani tidak mau wujudnya konflik tugasnya sebagai Nazir di Masjid Al-Hasanah agar tidak dikelirukan dengan menjadi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm. Walau bagaimana beliau banyak memberi kerjasama terhadap Masjid Al-Umm.
Mereka yang menerima adalah menjadi AJK perlantikan kali kedua.Bersama dengan perlantikan Ir. Haji Ishak Arshad. Sebelumnya  dimasukkan di dalam Jawatankuasa peringkat awal, iaitu Tuan Haji Mohd Kalok bin A. Latiff dan  Ar. Tuan Raja Fuaddin bin Raja Ahmad. Mereka diperkukuhkan ke dalam perlantikan kedua yang dikenali dengan peringkat Persediaan.
Tuan Ar. Raja Fuaddin berkesempatan menyediakan  Plan Pembinaan Masjid Al-Umm pada Majlis Pelancaran Derma bagi Masjid Al-Umm pada Sabtu 19 Mei 2012 yang dilakukan oleh ADUN Bangi, dan Tuan Ar. Raja Fuaddin juga menyelenggarakan Pameran Plan Pembinaan Masjid Al-Umm sempena dengan perasmian (Pecah Tanah) oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada  6 Januari  2013.
Plan yang disediakan oleh Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dari Syarikat URUSBINA di Perlis  ini menjadi asas perbincangan, pengolahan dan plan  pembinaan Masjid Al-Umm.
Sekian.

June 27, 2018

PLAN PROTOTYPE BAGI BINAAN


BBB, 12 Syawal 1439H. = 26 Jun 2018H. (Selasa):
Telah dibincangkan, bahawa bagi sesuatu bentuk fizikal ada prototypenya yang dikenali dengannya dan menjadi identiti baginya. Bentuk ini dibina berdasarkan  keperluan dan faedah yang didapati darinya. Bentuk ini dipengaruhi oleh keadaan, cuaca dan kedudukan setempat. Kemudian bentuk ini menjadi model ditiru sama ada secara langsung atau berlaku perubahan dan tambahan, tetapi biasanya tidak lari dari identiti umum hingga ianya bukan sesuatu yang lain hingga tidak dikenali.
Berhubung dengan persoalan kita, ialah bangunan, yang secara lebih spesifiknya ialah `Masjid`. Bangunan masjid ialah tempat ibadat bagi orang Islam seperti  bersolat. Antara keperluan yang  seharusnya dipenuhi bagi ibadat ini ialah:
1)      Bangunan perlu mengarah kepada Kiblat (ada mihrab)
2)      Ada ruang bagi jama`ah mendirikan solat
3)      Ada tempat bagi berwudhu` dan qadha` hajat
4)      Ada mimbar untuk khutbah
5)      Ada tempat lebih tinggi bagi muazzin mengazan.
Dengan ciri asas terbina masjid seperti Masjid Nabawi atau masjid-masjid yang lain. Selain dari kehendak asas ada keperluan-keperluan tambahan yang lain diwujudkan secara kreatif dan inovatif  seperti pada masa dulu ada beduk atau `ketuk` bagi memberitahu masuk waktu solat. Contoh asal diikuti, tetapi ada tambahan dan penyesuaian seperti ada sutuh bagi binaan di padang Pasir yang kurang hujan, tetapi perlu ada atap bagi kawasan tropika. Pertambahan yang lain seperti adanya kubah bagi mewujudkan ruang yang luas di bawahnya bagi ruang utama solat, di samping indah pandangan luar  dan ada menara bagi menjadikan suara muazzin melangkaui kawasan yang lebih luas.
Pada permulaan ditubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm (4 Februari 2010), sesungguhnya belum ada plan masjid dijadikan panduan dan belum ada plan permulaan dilakarkan, tetapi sudah pastilah imej dan ciri sebuah masjid sudah ada di dalam gambaran minda antara jawatankuasa, jika tidak semuanya. Ianya sudah pastilah tergambar difikiran dengan imej-imej dominan sebuah masjid yang ada kubah, menara, ada mihrab ada mimbar, ada ruang utama untuk bersolat, ada tempat berwudhu` dan tandas dan sebagainya, tetapi bagi Masjid Al-Umm adalah diharap ianya mempunyai plan yang menjadi prototype bagi binaan bagi Masjid Al-Umm.
Di dalam mesyuarat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm bagi tahun pertama (2010) yang diadakan sama ada di Surau Al-Umm atau di Pejabat ADUN Bangi di No. 8, Jalan ¼, lebih dari 10 kali mesyuarat, hanya pada mesyuarat kali keempat, iaitu pada 8 April 2010, jam 9.30 malam baru dibincang tentang plan Masjid Al-Umm. Sebagai AJK dan kontrektor berpengelaman Tuan Haji Mohd Sa`id bin Mohd Yunos diberi kepercayaan mengemukakan plan awal bagi pembinaan bagi Masjid AlUmm. Walaupun sudah dilakarkan plan kasar bagi Masjid Al-Umm mulai dari masa itu, tetapi gambaran jelas tentang plan yang dikehendaki belum dapat dipastikan. Namun ianya menjadi asas bagi perbincangan selanjutnya di dalam mesyuarat-mesyuarat berikutnya. Misalnya pada 21 April 2010 berdasarkan plan kasar itu dibincangkan tentang dana yang diperlukan bagi pembinaan Masjid Al-Umm bagi peringkat permulaan, iaitu RMsatu juta daripada RM10 juta bagi pembinaan keseluruhan. Berikutnya dalam mesyuarat kelima pada 6 Mei 2010 sekali lagi perbincangan dikhususkan kepada plan Masjid Al-Umm dan dibuat keputusan menulis surat  pada  7 Mei 2010 kepada PKNS melarang dari mendirikan sebarang bangunan keliling dari tapak bagi Masjid Al-Umm dengan salinan kepada Pejabat Daerah Hulu Langat dan juga salinan kepada MPKj. Manakala Mesyuarat 20 Mei 2010, sekali lagi dibincangkan tentang plan induk, termasuk tentang dana, tapak, geran, Dewan Orang Ramai berdekatan dengan tapak masjid dan Medan Usahawan (berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan Masjid).
Berikut dari itu pada 3 Jun 2010 Penulis sebagai Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm juga selaku ADUN Bangi bersama Dr. Tajul Ariffin Noordin  YDP Persatuan Penduduk  BBB yang juga AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan Setiausaha Tuan Haji Hussin bin Yunos berbincang dengan PKNS berhubung dengan tanah kosong berdekatan dengan tapak Masjid yang juga berhadapan dengan Dewan Orang Ramai, berharap tapak itu dijadikan  tanah lapang dan tempat parkir bagi Masjid dan Dewan Orang Ramai  (tidak berhasil).
Pendek kata mulai 8 April 2010 sudah ada plan kasar disediakan bagi Masjid Al-Umm yang dijadikan asas bagi perbincangan dalam mesyuarat-mesyuarat yang seharusnya menjadi prototype bagi Masjid Al-Umm, tetapi sebenarnya dari masa itu, bahkan hingga akhir tahun, sekurang-kurangnya bagi Penulis belum mendapat gambaran jelas plan bagi Masjid Al-Umm itu, lantaran ianya belum diperturunkan kepada gambar lakaran kasar bagi Masjid Al-Umm.
Sekian.

June 26, 2018

TAPAK INDAH LAHIRI DAN KESAN MAKNAWI


BBB, 11 Syawal 1439H. = 25 Jun 2018M. (Isnin):
Ibarat seorang ibu yang melihat anaknya di kalangan anak-anak yang ramai, yang menjadi tumpuan dan melihat di kalangan mereka, bahawa anaknya yang menjadi tumpuan, bahkan melihat dengan mata ibu, anaknyalah yang paling istimewa dan indah, walaupun berbanding dengan yang lain dengan mata biasa adalah biasa sahaja.
Demikianlah melihat Masjid Al-Umm yang merupakan hasil penat lelah dari daya kerja bersama, maka berbanding dengan masjid-masjid yang lain, Masjid Al-Umm adalah Masjid Istimewa,  sempurna dan tercantik ? Kalau kita tidak menghayati dan mengapresiasi, siapa lagi yang dapat melihat dengan mata yang mengusahakannya sebagai Masjid yang indah dan kena pada tempatnya. Masjid Al-Umm masjid terawal  dari segi persediaan tapak, tetapi dari segi realitinya masjid kedua lahir  di Bandar Baru Bangi.
Tapak Masjid Al-Umm sudah ada dalam plan pembangunan Bangi sejak 1972 dan dibangunkan sebagai Bandar Baru Bangi pada tahun 1975. Kawasan bagi tapak  Masjid Al-Umm pada masa itu ibarat permata yang masih lagi dalam batuan yang  masih tidak diberi perhatian,  dan masih merupakan `hutan kecil` yang  terpinggir dari pandangan dan tersebunyi dari perhatian. Bayangkan sejak bumi BBB dteroka, ianya dibersihkan dari  hutan asal kepada hutan getah dan kelapa sawit  dan dibiarkan dengan tumbuh hutan kecil  dan pokok akasia atau  gelam. Demikian kedudukannya hingga tahun 2010, sedang kelilingnya telah berubah dengan pembangunan sebagai penempatan baru – BBB.
Dari segi lokasi, tapak Masjid adalah  Lot 51177, Jalan 1/4A,
Seksyen Satu, 43650 Bandar Baru Bangi,
Tapak adalah berada betul-betul pada pertengahan Bandar Baru Bangi. Lot ini berada di antara dua bukit , iaitu  – Antara Bukit Bangi yang tertinggi bersempadan dengan di kanan (mengadap Kiblat) kawasan Golf, manakala sebelah kiri bukit yang kita namakan Bukit Mutiara, sebenarnya sambungan dari Bukit Bangi yang diratakan bahagian tengah menjadikan kawasan Seksyen Dua, BBB bersempadan dengan Seksyen Satu BBB, ditepi bukit sebelah kanan adalah kawasan persekolahan – Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi. Pada sebelah belakang dari Masjid adalah jalan utama dari Tol Bangi ke UKM dan juga ke Jalan keluar ke Jalan Reko atau ke Jalan Pejabat Daerah. Pada bahagian depan Masjid Al-Umm ialah Jalan utama juga dari Tol Bangike Bulatan UKM dan ke Seksyen Satu BBB. Dari sini juga boleh ke Jalan Reko dan ke Seksyen 7 yang juga boleh ke Sungai Chua, Kajang. Pendek kata Masjid Al-Umm dari atas bukit dapat menjenguh ke semua jalan dan dapat sampai kepadanya sama ada dari Tol Bangi dan juga Tol Kajang dan Jalan Reko, Kajang.
Dengan kenaikan bangunan Masjid Al-Umm di antara Seksyen Satu dan Seksyen Dua, BBB, maka bangunan Masjid Al-Umm adalah bangunan dominan yang merupakan bangunan terbesar dan menarik di kedua-dua seksyen, bahkan salah satu bangunan yang menonjol di BBB.
Dengan kedudukannya tersergam indah di pinggir Bukit Bangi-Mutiara, sekali pandang dan melalui imaginasi Masjid Al-Umm dilihat seolah-olah sebuah bahtera besar yang berlabuh di dermaga yang seolah-olah bersedia untuk bertolak bila-bila masa,  melambangkan kehidupan adalah musafir yang dalam pelayaran menuju ke destinasi di akhirat.
Dari segi maknawi, Masjid Al-Umm mendukung misi ikhlas para jama`ah, bahawa mereka dan orang ramai adalah pendukung utama Masjid Al-Umm, bahawa terdirinya Masjid Al-Umm adalah dari derma orang ramai, bahkan inisiatif mendirikan masjid sejak awal, dengan tapak disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, tetapi usaha dari awal diambil oleh masyarakat dan kepimpinan bermula dari memohon gezet tanah dari Kerajaan Negeri Selangor  sebagai tapak bagi Masjid Al-Umm, memohon keizinan mendirikan masjid dari JAIS, mencari dana hinggalah mendirikan Masjid Al-Umm. Masa yang diambil agak panjang memakan masa satu dekad, bermula dari perancangan dari tahun (2008), persediaan (2010), pembinaan (2013), penggunaan 2017 dan menunggu mendapat CCC (2018) insya Allah. Dalam masa sedekad ini berbagai masalah dan halangan yang dihadapi, terutama dari segi kewangan dan kelulusan-kelulusan berhubung dengan bangunan dari pihak berwajib. Namun dari kepahitan dan berbagai-bagai ujian ini adalah merupakan manis dari segi pengalaman. Ianya menguatkan rasa kekitaan dalam jama`ah, bahawa masjid ini adalah dari hasil usaha bersama dan ia adalah hak bersama dan merapatkan kita semua. Sesungguhnya selama setengah tahun penggunaan  Masjid Al-Umm (Disember 2017- Jun 2018) adalah merupakan pengalaman kudus dan rohani dalam mana dalam masa tersebut jama`ah dapat mengimarahkan masjid dengan bergotong royong membersihkannya untuk kegunaan, bersama di dalam saf berjama`ah  mengikuti imam  bersolat, mengikuti pengajian-pengajian dari guru-guru murshid dan puncaknya pada bulan Ramadhan 1439H. dapat beriftar bersama, bertasbih dan bersolawat mengiringi solat tarawih dan berwitir, bahkan berqiyam al-layl dan bersahur bersama menjelang subuh dan bersolat jama`ah. Ia adalah pengalaman sulung dan ulung  bagi kali pertama menggunakan Masjid Al-Umm.
Kita berharap atas dasar  kekitaan bersama dan usaha bersama terus mengeratkan hubungan antara jamaah dan terus sama mengimarahkan Masjid Al-Umm secara berterusan dan disambung terus oleh generasi mendatang.
Sekian.

June 25, 2018

MASJID AL-UMM SATU KEPERLUAN


BBB,  10 Syawal 1439H. = 24 Jun 2018M. (Ahad):
Masjid Al-Umm satu keperluan di sini bukan bermaksud keperluan dalaman atau pada masjid itu sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini tentang perlunya ada keperluan-keperluan bagi sesebuah masjid, tetapi di sini bermaksud ialah keperluan dari segi lokaliti, penempatan dan kawasan.
Keperluan kepada masjid pada peringkat awal Bandar Baru Bangi dihuni (30 November 1977) tidaklah mendesak, oleh kerana populasi di Bandar Baru Bangi adalah kecil, hanya dalam ratusan orang pada   akhir 1970an. Yang dirasakan penting mempunyai masjid pada peringkat awal adalah UKM yang mempunyai ramai pekerja dan pelajar-pelajar. Solat Jumaat pada peringkat permulaan didirikan di hadapan Bangunan Pendaftaran (lobby), berpindah ke ruang antara bangunan FSKK dan berpindah ke aras bawah Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM, hinggalah masjid UKM yang mula dibina pada 16 Mac 1979 itu siap pada 15 April 1982  dan digunakan. Bagi penduduk BBB yang sama menggunakan masjid UKM, khususnya untuk solat  Juma`at merasa  masih belum perlu kepada sebuah masjid khas di BBB. Cuma sejak 1990an ada perancangan untuk mendirikan surau di tapak yang disediakan  menggantikan Surau Al-Umm, tetapi tidak menjadi realiti. Hingga akhir 1990n tidak timbul keperluan Masjid Al-Umm apabila pihak kerajaan pada masa itu mendirikan Masjid Al-Hasanah dan mula digunakan – dirasmikan pada 10 Mac 2000 bersamaan 4 Zul-Hijjah 1420H. Dengan adanya Masjid Al-Hasanah, maka tidak timbul lagi rancangan untuk mendirikan Masjid Al-Umm. Pada dasarnya wujudnya Masjid Al-Hasanah, bukan bererti masjid itu dapat menampung jumlah penduduk yang  selepas tahun 2000 itu dalam lingkungan 150,000 penduduk. Ini ialah kerana daripada jumlah surau yang berjumlah 40 buah di BBB itu, 10 buah daripadanya diizinkan mengangkat tarafnya kepada surau yang mendirikan Juma`at. Jadi untuk mendirikan Juma`at dan kegiatan sebagai masjid dapat ditampung oleh surau-surau yang mendirikan Juma`at.
Sebenarnya sebahagian daripada surau-surau yang mendirikan Juma`at itu layak menaikkan diri sebagai sebuah masjid contoh Surau Al-Kauthar, Surau Bangi Perdana dan surau-surau besar seumpamnya, tetapi surau-urau berkenaan lebih selesa dan bebas dari menaikkan tarafnya kepada masjid sepenuhnya.
Dalam keadaan surau-surau yang layak dinaikkan taraf kepada masjid sepenuhnya, tetapi tidak mau menjadikan diri  masjid dan di dalam keadaan penduduk BBB bertambah tercetus gagasan Bangi Bandar Ilmu di dalam sambutan 30 tahun BBB (30 Julai-1 September 2007) yang dilancarkan oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 di Bandar Seri Putera Bangi. ADUN Bangi pada masa itu memasukkan perancangan mendirikan Masjid Al-Umm sebagai salah satu projek di bawah gagasan Bangi Bandar Ilmu.
Mendirikan Masjid Al-Umm dilihat sebagai satu keperluan  kerana pertambahan penduduk lebih 150,000 pada masa itu, sedangkan masjid yang ada pada masa itu hanya sebuah sahaja, iaitu Masjid Al-Hasanah. Lagi pula tapak sudah ada dan jika tidak diambil peluang, maka tidak ada tapak masjid yang ada walaupun luas hanya 2 ekar sahaja. Tapak ini adalah tapak awal bagi masjid BBB dan kedudukannya betul-betul di tengah-tengah BBB. Proses merealisasikan Masjid Al-Umm melalui beberapa tahap dan agak panjang masanya, iaitu melalui:
1)      Tahap Perancangan
Adun Bangi pada masa itu yang juga Pengerusi Surau Al-Umm meminta Setiausaha Tuan Haji Hussin Yunos menulis surat kepada Pejabat Tanah memohon digezetkan tapak tanah bagi Masjid Al-Umm. Permohonan diluluskan oleh Dato` Menteri Besar Selangor Bil. PTD UL/ 16/3/194-2006 (9) bertarikh 1 September 2009. Manakala permohonan dari pihak JAIS keizinan mendirikan Masjid Al-Umm – Tiada halangan mendirikan masjid Bil. (16) dlm. JAL.SEL.BKP/03/016/5/22 bertarikh 17 November 2009.
2)      Tarikh Persediaan
Mendapat persetujuan dari penduduk setempat pada 4 Februari 2010 dengan menjemput pengerusi-pengerusi surau berdekatan dan hadir 30 orang termasuk Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan sebuah Jawatankuasa Permulaan dibentuk yang dipengerusikan oleh ADUN Bangi dan Setiausaha Tuan Haji Hussin Yunos dan jawatan-jawatankuasa yang lain. Termasuk di bawah persediaan ialah pelancaran derma  pada 19 Mei 2012 dan perasmian tapak oleh Dato` Menteri Besar Selangor pada 6 Januari 2013.
3)      Permulaan Pembinaan
Bermula dari masuk tapak  pada 10 Disember 2013, iaitu selepas mendapat kelulusan plan masjid dari pihak MPKj pada 4 Disember 2013. Rujukan 11 dlm.MPKj 8/P/2/2013.
4)      Menggunakan Masjid Al-Umm
Setelah mendapat CPC pada 14 Disember 2017 . Penggunaan sempena Sambutan Maulid Al-Nabi s.a.w. pada 16 Disember 2017 bersamaan 27 Rabi`ul-Awwal 1439H.
Pertama dapat menggunakan Masjid Al-Umm pada bulan Ramadhan 1439H. bersamaan 17 Mei – 14 Jun 2018, termasuk memulakan solat Eidul Fitri pada 01 Syawal 1439H. bersamaan 15 Jun 2018M.
5)      Menggunakan Masjid Al-Umm bagi mendirikan Solat Juma`at
Menunggu kelulusan CCC yang dijangka diluluskan dalam masa terdekat Insya Allah.
Berdasarkan penggunaan setengah tahun Masjid Al-Umm mulai 16 Disember 2018 hingga kini sambutan masyarakat terhadap masjid Al-Umm amat menggalakkan. Pengimarahan berjalan dengan baik dan tidak ada masalah besar yang dihadapi. Ini bermakna Masjid Al-Umm didirikan menepati keperluan masyarakat. Ia adalah masjid kedua di BBB yang sebenarnya BBB memerlukan lebih dari dua buah masjid yang bertaraf masjid sebenarnya.
Sekian.

June 24, 2018

MASJID DIDIRIKAN ATAS KEPERLUAN


BBB,  09 Syawal 1439H. = 23 Jun 2018M. (Sabtu):
Sebagai dimaklumi dalam sejarah, selain dari Masjidil-Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Baitul-Maqdis, maka masjid yang pertama didirikan oleh Rasulullah s.a.w. selepas baginda berhijrah ke Madinah ialah Masjid Quba` dan Masjid Nabawi di Madinah.
Masjid didirikan, khususnya Masjid Nabawi di Madinah adalah atas keperluan. Lebih-lebih lagi pada peringkat awal hijrah ke Madinah al-Munawwarah, iaitu.
a)      Keperlaun sebagai tempat ibadah
Mendirikan Masjid Al-Nabawi adalah penting, terutama sebagai tempat ibadat umat Islam. Bagi tujuan bagi mendirikan solat tidak ada yang lain yang lebih sesuai selain dari mendirikan masjid.
b)      Sebagai tempat himpunan jama`ah
Bagi kaum muhajirin yang baru berpindah perlu  kepada tempat pertemuan bagi kaum muhajirin dan juga bagi kaum Ansar yang datang juga untuk pertemuan, termasuk menyediakan bantuan kepada mereka.
c)       Tempat perlindungan
Sebagaimana dimaklum, sebahagian besar dari mereka yang datang adalah terdiri dari kalangan mereka yang daif. Sejumlah lebih dari 300 orang dari kalangan yang baru berpindah pada peringkat permulaan berlindung di Masjid Madinah. Mereka ini dikenali sebagai Ahlu al-Suffah yang hidup dalam keadaan daif. Masjid menjadi temput berlindung mereka bagi peringkat permulaan.
Adapun yang berkemampuan dan mempunyai modal menjalankan perniagaan dan kalangan mereka yang senang  dan dapat membantu perkembangan Islam.
d)      Pusat Pengajaran
Penghijrahan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat ke Madinah menarik ramai mereka yang datang, bukan setakat pertemuan, tetapi bagi mempelajari selok belok mengenai Islam. Penduduk setempat dan ramai yang datang dari luar kawasan masjid datang memasang khemah di tepi Masjid Madinah dan menambat binatang tunggangan mereka bagi mendengar  pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh Rasuluulag s.a.w dan juga para sahabat. Jadi Masjid juga menjadi madrasah dan pusat pengajaran yang diikuti oleh penduduk yang menerima Islam. Mereka datang untuk mempelajari hal-hal Islam bagi amalan mereka dan mendakwah bagi perkembangan Islam.
      e) Masjid sebagai Pusat Pentadbiran
Hijrah Rasulullah ke Madinah telah membentuk Negara Islam yang pertama yang dikenali dengan Negara Madinah. Masjid adalah menjadi pusat pentadbiran bagi pemerintahan.
Masjid juga menjadi markas bagi menyusun kekuatan tentera yang menghadapi ancaman musuh seperti dari klaum Quraisy yang datang menyerang dari Makkah dan juga bagi menghadapi ancama-ancaman musuh ketat Islam, iaitu orang-orang Yahudi.
Masjid juga menjadi pusat kemasyarakatan dan kebajikan  bagi ummah.
Apakah bentuk masjid bagi memenuhi keperluan ?
Bagi memenuhi keperluan masjid dilihat dari awal, iaitu Masjid Nabawi di Madinah telah melalui transformasi dan perubahan dari yang asal dibina dari batang-batang tamar untuk tiang  dan pelepah dan daun tamar untuk atap berlantaikan bumi serta bermimbarkan batang khurma kepada ruang  empat persegi dengan bahagian tengah dan keliling berbumbung (1202H./1790M.) mempunyai menara pada segi-segi empat di keliling, kepada bangunan  berkubah hijau (13228H./1908M.) dan beberapa perubahan lagi hingga kini (1439H./2018M.) (Atlas Rasulullah s.a.w., PTS Islamika Bhd. 2014: 148-155).
Perubahan-perubahan yang berlaku tidak lari dari perkara-perkara asas:
1)      Mengadap Kiblat
2)      Ada ruang solat
3)      Ada mihrab sebagai tanda mengadap Kiblat
4)      Ada mimbar untuk khutbah
5)      Ada tempat berwudhu` dan qadha` hajat
6)      Ada tempat azan lebih tinggi dan kemudian ada menara (lebih kemudian)
7)      Ada kubah (lebih kemudian)
8)      Ada bahagian muslimin dan muslimat
9)      Ada berbagai bentuk pintu masuk-keluar, biasa berbentuk lengkung
10)   Berbagai-bagai tambahan yang lebih kemudian, misalnya bersutuh atau atap menurut cuaca setempat dan biasanya berciri estetika.
Berdasarkan keperluan-keperluan terbinanya masjid dan ciri-ciri masjid ini menjadi identiti bagi masjid dan menjadi contoh ikutan bagi pembinaan masjid-masjid di tempat dengan tambahan-tambahan yang bersesuaian dengan kawasan, cuaca dan keperluan setempat. Antara masjid dengan masjid yang lain ada kesamaan dan ada kelainan-kelainan yang mengidentitikan masjid berkenaan berbeza dengan masjid yang lain. Keadaan kelainan ini, bukan dari perbezaan keperluan, tetapi lebih dari segi kreativiti dan inovasi menjadikannya berbeza, unik dan tersendiri.
Sekian.

June 23, 2018

KEPERLUAN, PENIRUAN, KREATIVITI DAN TAKMILAH


BBB, 08 Syawal 1439H. = 22 Jun 2018M. (Juma`at):
Sebelum tiba pada peringkat estetika lahiri dan maknawi dan mencipta atau menghasilkan sesuatu yang bersifat estetik ada proses panjang yang dilalui manusia. Proses kreatif dan estetik adalah peringkat tinggi yang dicapai oleh manusia di dalam penghasilan. Ia adalah proses peringkat atas dari segi Takmilah.
Kreativiti dan estetika di luar dari kesedaran pada peringkat permulaan, walaupun elemen kreativiti mulai ada secara tidak langsung.
Daya gerak awal tindakan manusia adalah timbul dari rasa `keperluan` terhadap sesuatu` yang dianggap dapat memberi faedah kepada yang melakukannya. Keperluan asas bagi manusia sejak dari permulaan untuk survival ialah makanan, lindungan dan pakaian. Keperluan kepada makanan tentulah untuk kehidupan. Mereka mendapatkan makanan dari bahan yang ada sekeliling dari tumbuhan serti ubi, jagung dan padi. Atau dari haiwan yang ada di sekeliling seperti pelanduk, kambing lembu, kerbau, rusa dan sebagainya. Pada peringkat yang lebih maju, apabila bahan tumbuhan di sekeliling kehabisan dan pencarian di sekeliling menjadi sukar menggerakkan daya ikhtiar mereka untuk bercocok tanam, khusus bagi barang-keperluan makanan harian. Demikian juga menternak binatang sesuai diternak seperti ayam, kambing, lembu, kerbau dan sebagainya. Sebenarnya mereka bergerak ke arah lebih maju dan hidup lebih sempurna dari segi persediaan keperluan makanan dan sebagainya.
Dalam kehidupan mereka sentiasa terdedah kepada bahaya seperti terdedah kepada hujan panas, terdedah kepada penyakit dan ancaman, misalnya binatang buas yang boleh menewaskan mereka. Jadi mereka sedar akan perlunya lindungan. Pada peringkat awal mereka berlindung di gua-gua. Tidak semua tempat ada gua dan jika ada gua mungkin sukar dari mendapat makanan. Maka lantaran itu, timbul daya usaha bagi mengadakan tempat lindungan di tempat yang ada sumber makanan atau tempat mereka bercocok tanama seperti di pinggir sungai yang memudahkan mereka mendapat air dan dari sungai itu juga mereka mendapat sumber makanan sama ada ikan-ikan dan tumbuh-tumbuhan yang ada di sekitar pinggir sungai.
Tempat perlindungan pada peringkat awal, mungkin dibina dari kayu-kayu yang ada di sekeliling tempat kegiatan mereka dan untuk berlindung dari hujan dan panas ditutup pada bahagian atasnya dengan daun-daun palma atau sesuatu yang lebar menjadikannya sebagai atap. Mereka yang sudah dapat dikatakan sudah mempunyai keluarga berlindung di bawah lindungan bagi keselamatan dan kehidupan mereka. Mereka juga perlu kepada lindungan bagi tubuh badan mereka untuk mengelak dari sejuk dan terdedah kepada kerosakan dan bagi menjaga kesihata. Lindungan bagi tubuh yang dapat dikatakan sebagai pakaian awal ini adalah daripada daun-daun tumbuhan, kulit-kulit kayu atau kulit-kulit binatang ternakan atau yang diburu.
Pada kehidupan awal ini adakah sudah ada elemen kreativiti dan estetik ?
Ya sudah tentu sudah ada. Pembinaan tempat perlindungan awal, mungkin pada peringkat awal ini di atas tanah dengan beberapa tiang yang diatasnya ada beberapa kasau bagi meletakkan daun-daun palma yang disusun bagi melindungi dari hujan. Ada padanya dinding dari batang-batang anak kayu. Bentuk sedemikian sebenarnya adalah hasil dari kreativiti yang pada asalnya didesak oleh keperluan. Binaan ini dikenali dengan dangar, kemudian berkembang secara kreatif dengan diadakan tiang yang berlantai kayu agar dengan demikian lebih selamat dari banjir dan ancaman musuh seperti binatang buas dan sebagainya. Bangunan sedemikian dikenali sebagai pondok. Ia adalah bentuk bangunan yang standard pada zaman permulaan, terutama pada kawasan tropika. Ianya menjadi model ikutan dan tiruan bagi binaan pondok-pondol bagi penghuni-penghuni yang lain yang membentuk satu komuniti yang lain. Pondok bangunan ini berkembang dan bertambah, misalnya untuk ketua kelompok bangunannya ditambah dengan lebih besar, sesuai ianya rumah ketua yang menjadi tempat perhimpunan dan sebagainya.
Desakan keperluan dalam kehidupan menjadi lebih berkembang, misalnya wujudnya teknologi permulaan mencangkul, membajak dan juga menggunakan tenaga binatang untuk bertani. Pencarian rezeki dihutan menggunakan alat-alat tajam dengan menggunakan batu, manakala di sungai dari mengharungi sungai kepada menggunakan batang-batang kayu yang diikat yang kemudian dikenali dengan rakit membolehkan mereka ke tengah sungai dan bergeraka bagi merentasi sungai disamping mencari rezeki. Dari teknologi mengikat kayu-kayu juga buluh-buluh digunakan batang yang lebih besar untuk pergerakan di sungai, kemudian timbul idea melobangkan batang  kayu menjadikannya berbentuk perahu yang membolehkan mereka bergerak dengan lebih selesa dan cepat dengan menggunakan batang kayu untuk menggerak perahu dan juga menggunakan penganyuh.
Dengan segala kegiatan yang ada dalam kelompok berkenaan membentuk satu komuniti yang dikenali dengan kampung. Mereka menggunakan  peralatan dan keperluan dengan meniru apa yang telah ada dalam masyarakat dan menambahbaikan peralatan. Misalnya ada tempat yang mengfhasilkan peralatan seperti pisau, parang, kapak, beliaung dan sebagainya. Peniruan dan pembaikan terus berlaku untuk kegunaan dan kehidupan. Ianya adalah kemajuan dalam konteks zamannya. Ini melibatkan berbagai-bagai bidang seperti kediaman, teknologi pertanian, kenderaan, peralatan senjata, pakaian dan sebagainya.
Pendek kata dari awal kehidupan yang kita sifatkan sebagai primitif sudah ada penghasilan kediaman, peralatan, kenderaan dab pakaian sebagai hasil desakan hidup. Semuanya proses menuju Takmilah dalam konteks permulaan bagi kehidupan yang lebih sempurna dalam konteks zamannya.
Sekian.

June 22, 2018

ESTETIKA MAKNAWI


BBB, 07 Syawal 1439H. = 21 Jun 2018M. (Khamis):
Apakah yang dimaksudkan dengan estetika maknawi ?  Secara mudah jawapannya ialah lawan bagi estetika lahiri. Sebenarnya estetika maknawi lebih sukar  ditanggapi berbanding dengan estetika lahiri. Sebagaimana telah disebut estetika lahiri ialah sesuatu yang ditanggapi estetiknya dengan pandangan atau dapatan  lahiri.  Misalnya dari elemen kepelbagaian pada pandangan di tepi laut dengan pantai memutih memanjang, di tepiannya pohon-pohon rhu dan kelapa  tumbuh berbanjaran memanjang pantai berderu ditiup angin petang, berdepan dengan pandangan,  bergolong ombak memukul pantai dan jauh ke tengah perahu nelayanmembelah ombak pulang di waktu petang adalah gambaran yang menimbulkan estetika lahiri yang mesra, indah, menyenang , menggembira dan membahagiakan.
Adapun estetika maknawi sebenarnya adalah suasana yang timbul atau yang lahir dari diri manusia itu tercetus dari fenomena alamiah yang sama sebagaimana yang disifatkan lahiri, tetapi yang berbeda ialah penerimaan bagi sesuatu diri itu. Perbedaan ini disebab dan diakibatkan oleh persediaan dalaman bagi diri seseorang yang tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Terjadi perbezaan estetika maknawi bagi diri seseorang dengan yang lain oleh kerana:
1)      Pendidikan yang diterima seseorang
2)      Keilmuan yang dipelajari, dimiliki,  dialami dan dihayati
3)      Keterlibatan diri dengan aspek-aspek seni dan rohani atau kedua-duanya sekali
4)      Pengalaman dan kehidupan yang dilalui
5)      Kelembutan jiwa yang dimiliki
6)      Suasana dan sentuhan yang dialami
7)      Kemahiran mengeluarkan elemen estetika maknawi misalnya melalui bahasa, atau medium-medium seni yang lain.
Medium maknawi yang diterima adalah melalui:
Inderawi, Akal atau minda,  kalbu atau hati nurani dan rohani.
Proses yang diterima individu adalah berbeza dan ada darajat pengalaman dan penerimaan seseorang bergantung pada kewujudan elemen-elemen tujuh atau sebahagian dari yang disebut di atas.
Bayangkan pengalaman alamiah seorang kampung yang tidak berpelajaran (maaf menjadikan mereka contoh) yang mewarisi kerja orang tuanya, kerja kampung dengan bertani sebagai sumber kehidupan. Bagi petani yang tidak berpelajaran ini tidak ada sentuhan  hati nurani, akli apa lagi rohani. Baginya kehidupan yang dilalui adalah rutin biasa dan tidak ada apa-apa kecuali kerja bagi mendapatkan nafkah seharian. Begitulah dia meneruskan kehidupan dari pagi ke petang ke malam dan berulang tanpa sentuhan halus dan dalaman.
Berlainan dengan pandanga dari seorang yang mempunyai didikan dan  berjiwa seni yang melihat kehidupan  petani sebagai  sentuhan alamiah yang memberi rasa indah  dan melihat dengan rasa kemanusiaan, bahawa petani adalah jujur dengan kehidupannya,  berjuang dan bergelomang dengan selut dan lumpur dan kehidupan begitu mencabar bagi mendapat rezeki bagi menaggung anak isteri. Dari pengalaman yang bersifat hati nurani membentuk rasa kemanusian pada diri prmerrhati yang terdidik dengan ilmu dan seni. Apa yang dialami pemerhati ialah hasil dari didikan hati rohani dan kemanusiaan dari jiwa seni hati nuraninya.
Perbedaan juga dapat dilihat dari sentuhan yang bersifat akli, seorang yang belum terbuka mindanya atau yang baru mau belajar sukar dan merasa berat untuk belajar  dan ianya merupakan paksaan bagi dirinya, lantaran ia belum mengenali ilmu dan tidak mengetahui nikmat ilmu, sebaliknya orang yang mengenali dan menikmati ilmu, contohnya hingga kepada peringkat tinggi, belajar bukan sesuatu paksaan, bahkan sebagai satu kenikmatan. Seorang yang tiba kepada mengenali, mengalami dan menikmati ilmu –Kata Sayyiduna `Ali k.w,`` Tiada yang lebih tinggi dari  nikmat ilmu,`` merasa bergelumang dengan ilmu adalah nikmat yan tiada bertepi dan dia rela berterusan dengan ilmu. Orang yang berilmu ialah orang yang diangkat dirinya oleh Allah ke darajat yang tinggi.
Estetika maknawi yang lebih tinggi ialah estetika maknawi rohani. Orang yang mengenali, mengalami dan menghayati ialah yang mendalam dalam bidang keilmuan dan kerohanian. Bayangkan Al-Imam Al-Ghazali yang mendalam dalam bidang ilmu dan kerohanian yang menghabiskan keseluruhan hidupnya mendalami bidang keilmuan dan kerohanian dan menghasilkan karya-karya besar yang bermutu dalam bidang kerohanian seperti,  Ihya` `Ulum al-Din, Minhaj al-`Abidin, Al-Munqidz min al-Dalal dan berpuluh-puluh lagi karya kerohanian ialah orang yang tinggi dari cita rasa kerohanian dan mempunyai sentuhan rohani yang tinggi. Bagi kita orang awam, barangkali dapat merasa ketinggian sentuhan rohani apabila mendengar tilawah Al-Qur`an yang indah dan merdu pada waktu subuh yang syahdu yang menyentuh hati nurani atau bila mendengar azan pada waktu subuh yang sayup merdu dan menyentuh kalbu. Bandingkan dengan mereka yang tinggi dengan persediaan rohani yang tentu lebih tinggi dari segi tanggapan rohani dan kreativiti hingga mampu mengungkapkan ungkapan-ungkapan rohaniah yang tinggi seperti puisi-puisi oleh Rabi`ah al-`Adawiyyah, Hafiz, Firdausi, Sa`di, Iqbal dan sebagainya.
Aspek-aspek inderawi, hati-nurani, akli dan rohani, walaupun dibicarakan secara berlainan dan berasingan, tetapi dari segi praktik dan realiti, ianya terkadang berlaku secara serentak dan bertindihan. Sebagai contoh melihat  seni bina masjid serentak padanya kita melihat ada padanya elemen estetika lahiri  dan maknawi dengan elemen akli, hati nurani dan rohani. Bahkan padanya dapat dilihat secara serentak tinggi atau rendah mutu seni alami, hati-nurani, akli dan rohani  berasimilasi dan berintegrasi  dari segi estetika  yang menjadi identiti bagi hasil seni bina katakan sebagai sebuah masjid misalnya.
Sekian.

June 21, 2018

CIRI ESTETIKA LAHIRI


BBB, 06 Syawal 1439H. = 20 Jun 2018 (Rabu):
Memahami tentang estetika tidaklah mudah kerana ianya dikira sebagai bidang  seni, iaitu seni tinggi yang termasuk di bawah bidang falsafah, ianya membicarakan tentang keindahan, hakikat keindahan bahkan falsafah keindahan.
Menyebut tentang keindahan, iaitu peringkat paling bawah, ialah keindahan lahiri atau estetika lahiri, iaitu sesuatu yang berobjek dan dapat dikenali, dipersepsi dan dihayati melalui perantaraan inderawi. Lebih ketara melalui penglihatan mata dan juga pendengaran dan juga indera-indera yang tiga lain (bau, kecapan dan sentuhan).
Apakah yang dapat ditanggapi dan dihayati terhadap estetika lahiri ? Terawal dari sifat makhluk yang tabi`i. Antara cirinya:
1)      Persamaan
Dengan persamaan dilihat sebagai ciri keindahan. Contoh misalnya deretan pokok kelapa yang ditanam secara teratur dalam barisan-barisan. Demikian pokok bunga yang ditanam sama di dalam barisan dengan warna bunga yang sama, maka ianya dapat menimbulkan indah dari segi pandangan.
2)      Pasangan
Allah menyebut di dalam Al-Qur`an bahawa Dia mencipta manusia dan juga kehidupan yang lain adalah secara berpasangan. Penciptaan secara berpasangan sama ada manusia atau binatang bagi kepentingan perlanjutan biology dan turunan, sifat berpasangan itu sendiri menimbulkan keindahan. Pasangan lelaki perempuan, jantan dan betina dilihat melengkapkan ciptaan dan menimbulkan keindahan. Menjadikan pasangan hidup bahagia secara pasangan dan dapat menikmati hidup dari pasngan turunan yang merupakan keluarga di dalam kehidupan.
3)      Pertentangan
Antara ciri kejadian alam yang ditentukan Allah. Di dalam kehidupan ada ruang. Dalam ruang ini dapat dilihat ada kiri kanan, hadapan belakang, tinggi rendah, jauh dekat dan sebagainya. Elemen ruang juga menimbulkan ciri estetika. Misalnya di dalam sebuah bangunan ada ruang katakan sebelah kanannya sama  dengan ruang sebelah kiri yang merupakan pertentangan yang juga sebelah menyebelah persamaan. Pada diri biologi tubuh manusia terdapat elemen ini. Misalnya ada tubuh bahagian kanan dan kiri, ada tangan kanan dan kiri, ada kaki kanan dan ada kaki kiri, bahkan muka pada bahagian kanan biasanya serupa dengan bahagian kiri.
4)      Berselangan
Dengan berselangan juga menimbulkan rasa estetik. Misalnya di dalam seni taman sengaja ditanam secara teratur antara pokok yang tinggi dengan yang rendah secara berselang-selang berterusan, maka ianya menimbulkan rasa estetika. Dapat disebutkan misalnya kedudukan landscape tanah yang tinggi rendah merupakan salah satu elemen yang menimbulkan rasa keindahan.
5)      Kontras
Lebih khusus dari semata-mata pertentangan. Misalnya dalam perkara yang berhubung dengan warna yang menggunakan elemen gelap terang, hitam putih, lembut dan garang. Ini digunakan bagi menimbulkan rasa estetik dalam bidang dekorasi dan  pementasan. Ianya boleh dihubungkan dengan suara seperti tinggi rendah, kuat perlahan, lembut dan garang yang semuanya menimbulkan elemen keindahan. Elemen kontras ini juga boleh dikaitkan dengan watak, misalnya watak lembut dan garang dan sebagainya.
6)      Perubahan
Apa yang dibicarakan di atas adalah bersifat tetap, namun di sana di sebalik dari tetap ada unsur yang terus berubah yang merupakan salah satu dari  elemen alam yang menimbulkan estetika. Misalnya  perubahan hari dari pagi ketengahari, petang dan malam. Perubahan dari tua kepada muda, perubahan dari susah kepada senang yang dapat dilihat secara luaran dan nyata merupakan elemen menyedarkan kepada perubahan yang membawa kepada keinsafan  dan sebagainya.
7)      Kepelbagaian
Di samping dilihat sesuatu yang teratur, di sana sesuatu yang berpelbagaian juga menimbulkan rasa estetik. Sebagai contoh sebuah hutan yang tebal yang menghijau terdiri dari kepelbagaian tumbuhan yang saiz tumbuhan berbagai, ada yang tinggi ada yang rendah, ada yang tegak, ada yang condong, ada yang melempai dan ada yang melata, maka pandangan dari keseluruhan dalam satu ruang menjadikannya sesuatu yang estetik dari segi pandang. Kiaskan sifat pelbagaian yang lain misalnya corak bagi batik, kediaman yang berbagai dan sebagainya.
8)      Elemen Zaman
Kaedah melihat masa untuk mudah dilihat dan difahami yang merupakan pendekatan sejarah bagi memudahkan penerangan danb kefahaman. Misalnya melihat zaman dari  sa`at, minit, jam, hari, minggu, bulan,tahun, dekad, abad (kurun), mellinium dan seterusnya.
9)      Elemen Nilai
Dibicarakan bagi menunjukkan sesuatu dari segi nilai seperti baik dan buruk, baharu dan lama. Dengannya dapat dibezakan dengan jelas berhubung dengan nilai yang dikaitkan dengan yang dibicarakan.
10)   Campuran
Yang dibicarakan di atas adalah secara berasingan antara satu sama lain. Tetapi sesuatu  itu tidak semestinya wujud dengan elemen-elemen yang disebutkan secara berasingan, tetapi elemen di atas berada secara serentak bagi sesuatu  keadaan. Misalnya  pada masa yang sama wujud sesuatu yang bersamaan, bertentangan, kontras dan berpelbagaian.
Sesungguhnya ciri estetika lahiri adalah lebih dari apa yang diperkatakan di atas.
Sekian.

June 20, 2018

ASPEK ESTETIK


BBB, 05 Syawal 1439H. = 19 Jun 2018M. (Selasa):
Estetika dapat dibahagikan kepada estetika lahiri dan maknawi.
Estetika lahiri, ialah estetika yang dapat dilihat , dapat disaksi dan dapat dialami secara lahiri seperti melalui panca indera yang lima, manakala estetika maknawi ialah yang dapat difahami, dimengerti dan dihayati melalui elemen dalaman diri, iaitu melalui akli, hati dan rohani. Objek bagi estetika lahiri adalah nyata, berbenda dan berobjektif seperti bangunan, pandangan dari fenomena alam dan sebarang kejadian yang dapat ditanggapi melalui indera diri.
Aspek estetika yang bersifat lahiri adalah paling banyak, kerana aspek-aspek lahiri ini paling mudah didapati dan berhadapan dengan diri dan inderawi. Namun persoalan `paling banyak`  ini adalah relatif, kerana yang tidak bersifat lahiri juga banyak, namun ianya lebih sukar ditanggapi. Di dalam membicarakan tentang  `Estetika Masjid Al-Umm`, maka kita akan dapati aspek lahiri inilah paling banyak bakal dibicarakan, kerana aspek-aspek ini adalah nyata dan kelihatan, namun tidak dapat dinafikan aspek-aspek maknawi juga tidak kurang luas dan banyak persoalan yang dapat dibicarakan. Ini terpulang kepada keluasan dan ke dalam aspek maknawi yang ada pada kita.
Antara  yang bersiaft maknawi seperti mentransformkan sesuatu melalui bahasa yang dari bahasa itu dapat difahami, dihayati dan dialami aspek estetikanya. Sebagai contoh ungkapan yang bersifat puisi tentang sesuatu, contoh tentang keriangan menyambut hariraya, kedukaan tentang kematian dan sebagainya. Dari ungkapan di dalam puisi melalui bahasa dapat dihayati tentang keindahan ungkapan yang membawa rasa gembira atau dukacita. Hal ini dapatlah dikiaskan ungkapan-ungkapan melalui bahasa seperti hikayat, cerita, novel, cerpen dan berbagai bentuk puisi. Dalam kata lain aspek-aspek estetika lahiri dapat ditransform kepada maknawi melalui jambatan bahasa dan berasimilasi estetika lahiri  dengan maknawi yang berlapis pula dari segi estetikanya.
Estetika yang lebih tinggi, ialah yang bersifat minda. Misalnya ketinggian dan keindahan yang bersifat ilmu yang dicapai dan dapat dirumuskan dapatan di dalam kaedah-kaedah ilmu yang menarik dan mengkagumkan. Misalnya bagaimana imam-imam mazhab empat dapat menyusun kaedah keilmuan fiqh yang disusun secara bab-bab dan fasal-fasal misalnya mengenai ibadat dari aspek taharah ke solat dan ibadat-ibadat yang lain, muamalat, munakahat, jinayah dan jihad. Demikian imam-imam dalam bidang akidah menyusun aspek-aspek akidah hingga semuanya teratur dan dapat dipelajari. Aspek maknawi yang berhubung dengan minda juga dapat dikaitkan dengan rekacipta yang bertolak dari minda yang genius dan mengkagumkan dan menghasilkan rekacipta yang memberi faedah dan kemesraan dan kemudahan. Hal ini dapat dicontohi tentang keilmuan engineering  misalnya yang menghasilkan kenderaan dan berbagai rekacipta yang bersifat kreatif, estetik dan memanfaatkan. Demikianlah dapat dikiaskan dengan berbagai bidang keilmuan yang lain yang asalnya berupa dapatan dan diiringi bersama dengannya elemen kreatif dan estetik.
Aspek yang kaya dan memanusiakan manusia ialah yang berhubung dengan hati-nurani atau kalbu. Pada hakikatnya manusia dalam kehidupannya adalah berterusan berada di dalam lautan gelombang `rasa` yang berpangkalan dari kalbu. Di dalam kehidupannya manusia menempuh dan mengalami berbagai-bagai gelombang rasa akibat dari suasana keliling dan alamiahnya yang mewarnai kehidupannya yang mencetuskan `mood` baginya. Manusia di dalam kehidupannya tidak terpisah dari mendepani kesusahan. Ianya diakibatkan oleh misalnya sakitnya yang menjadikan suasana hidupnya murung dan dukacita, maka terungkap darinya ungkapan duka yang terpancar dari  rasa hatinya yang mengandungi elemen estetika. Contoh puisi atau lagu-lagu duka seperti ungkapan anak dagang diperantauanm atau anak yatim yang dalam kedukaan. Manusia pula waktu-waktu berada di dalam suasana ria dan suka. Misalnya dalam suasana sambutan hariraya Eidul Fitri, maka terluah melalui kata-kata mereka ungkapan suka.  Dari mereka juga terluah perasaan marah yang mencerminkan kekerasan dan menakutkan.
Satu aspek yang bersifat maknawi, ialah hasil dari kecapaian tokoh-tokoh bidang rohani yang mencerminkan ke dalaman dan kehalusan jiwa mereka yang terungkap pengalama rohani dalam kata-kata, misalnya ungkapan Rabi`ah al-`Adawiyyah tentang `Cinta Ilahi` dengan kata-kata puitis dan rohani, Iqbal dengan `khudhinya. Aspek rohani juga dibicarakan secara prosa. Misalnya bagaimana Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi secara genius dan rohani dapat menyusun pendekatan tasawuf yang menjadi panduan keindahan rohani, demikian ju a Al-Ghazali dengan Ihya`nya dapat meneroka aspek-aspek rohani yang menjadi panduan bagi umat mendalami bidang kerohanian.
Dari segi praktiknya tidak bererti  estetika lahiri dan maknawi ini terhasil secara terpisah sebagaimana dipisahkan di dalam pembicaraan, sebaliknya ianya boleh lahir secara gabungan, bergandinga dan tersulam antara satu sama lain secara kreatif dan estetika.
Sekian.

June 19, 2018

BAB - MASJID AL-UMM: KAJIAN DARI SEGI ESTETIKA



BBB, 04 Syawal 1439H. = 18 Jun 2018M. (Isnin):
Apa itu Estetika ?
Persoalan estetika berhubung dengan Masjid Al-Umm adalah bidang yang diberi perhatian khusus dan menjadi satu bab daripada buku `Masjid Al-Umm: Perspektif Takmilah``. Ini ialah kerana masjid adalah hasil dari seni bina, dan seni tidak terpisah dari estetika. Kalau dapat dikatakan Masjid Al-Umm sebagai zat atau bahan fizikal, maka nilai estetika adalah sebagai sifat yang tidak dapat dipisahkan daripadanya. Cuma barangkali ada aspek-aspek buruk yang relatifnya dilihat buruk dan tidak sesuai, tetapi ianya relatif. Pada keseluruhannya ianya menyempurnakan.
Sekali lagi apakah itu estetika ?  Ia adalah bidang yang berhubung dengan keindahan, bahkan mengkaji dari segi  estetika ialah mengkaji satu dimensi falsafah. Kewujudan ini indah lantaran ianya dicipta oleh Yang Maha Indah dan Dia sukakan keindahan dan apa yang dicipta adalah indah yang mencerminkan sebagai sifatnya yang indah.
Keindahan adalah sesuatu yang menyenangkan, menggembirakan, bahkan membahagiakan.
Keindahan boleh bersifat fizikal dan dapat ditanggapi dengan indera, seperti mata
Misalnya melihat pada ciptaan Allah memberi kelapangan, kenikmatan dan menambahkan sesuatu pada diri dengan elemen tahu yang positif. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam menjadi bukti (keyakinan) bagi yang mempunyai akal nurani.`` (Ali `Imran: 190).
Keindahan dapat ditanggapi dengan pendengaran. Sesuatu yang harmoni dan memerdu menimbulkan keindahan. Mendengan qari yang mentilawahkan ayat-ayat Al-Qur`an secara tartil dan menimbulkan keindahan, bahkan kekudusan.
Mendengar  kocakan air, kemerduan kicau burung di dahan tinggi pada waktu pagi menimbulkan keindahan, bahkan mendengar lagu yang diungkapkan secara merdu adalah keindahan,  mendengar deklamasi puisi yang digubah indah dan disampaikan secara indah adalah keindahan.
Demikian juga keindahan dan menyenangkan bau atar yang dipercik jamaah pada tangannya menyenang dan menikmatkan. Demikian keenakan makanan yang dimasak dengan baik juga indah dan menyelerakan. Demikianlah keindahan dan sesuatu yang menyenangkan dapat ditanggapi melalui indera lahiri manusia dan ianya menyenang dan menggembirakan.
Ada tanggapan estetika yang lebih tinggi.
Antaranya melalui cerapan harti. Dengan hati lahirnya rasa kasih, seperti kasih seorang ibu terhadap anak. Kiranya bersama keluarga menggembira  dan membahagiakan dan jika berjauhan merindui dan mengharapkan pertemuanm dan perkembalian. Kasih ibu terhadap anak tiada sempadan. Dari rasa kasih tergugah berbagai ungkapan estetik yang mencerminkan kasih sayang seorang ibu terhadap anak dan sebagainya. Kiaskan kasih-kasih yang lain seperti kasih seorang suami terhadap isteri, kasih seorang kekasih terhadap yang dikasihinya. Dari pengalaman-pengalaman melahirklan ungkapan-ungkapan yang indah dan tinggi dari burdaya estetika.
Pengalaman estetika juga ditanggapi dan dihayati melalui akli. Bayangkan keindahan dan ketinggian mutu keilmuan yang dapat dicapai oleh kalangan ulama` yang hasil keilmuan mereka dilahirkan dalam penulisan yang menjadi tatapan, pengajian dan kajian. Dari keindahan fikiran memberi sumbangan kepada peningkatan keilmuan dan peradaban bagi kalangan yang mempelajari, menghayati dan menjadikannya sebagai pegangan dan panduan hidupdan mati.
Estetika juga adalah melalui pengalaman rohani yang murni dan kudus. Bayangkan betapa indahnya jiwa yang terpupuk secara rohani sehingga terpupuk di kalangan rohaniawan sifat jujur, taqwa, mahabbah cinta, sabar, syukur dan redha. Ia adalah gambaran dan warna-warni rohani  yang tidak dicapai melainkan oleh kalangan rohaniawan.
Aspek-aspek di atas dibicarakan satu persatu secara berasingan, tetapi di dalam praktik dan realiti, kadang-kadang ianya berlaku secara  bersama antara elemen-elemen berkenaan. Ianya ibarat  sebagai warna warni yang mencerminkan kepelbagaian dalam taman kehidupan yang mengasyik dan membahagiakan.
Estetika  dari segi pembicaraan boleh dibicarakan secara berasingan, satu persatu,  namun  ianya juga  secara keseluruhan – secara himpunan dan kepelbagaian, lantaran pada hakikat segala ciptaan adalah keindahan – berestetika  lantaran Yang Menciptanya adalah bersifat Indah dan dariNya terpancar segala keindahan
Sekian.