June 28, 2018

PERKUKUH JAWATANKUASA - PLAN PEMBINAAN DITERIMA


BBB, 13 Syawal 1439H. = 27 Jun 2018M. (Rabu):
Jawatankuasa Pertama yang disifatkan sebagai Jawatankuasa `Perancangan` adalah istimewa  kerana mereka merupakan jawatankuasa awal. Antara perancangan yang dibuat ialah berusaha mewujudkan plan bagi Masjid Al-Umm, walau bagaimana tidak menjadi realiti untuk diikuti sebagai plan prototype bagi Masjid Al-Umm.
Antara perancangan yang dilakukan melalui mesyuarat 16 Jun 2010 di Pejabat ADUN Bangi ialah rancangan untuk membersih tapak Masjid Al-Umm yang merupakan hutan kecil yang masih ada pokok-pokok kelapa sawit, getah, pokok-pokok besar dan hutan tumbuhan pokok akasia. Walau bagaimana dalam rancangan untuk gotong royong, pihak Kontrektor yang juga AJK Pembinaan dan kawan-kawan yang juga menyediakan plan, bertindak membersihkan tapak terlebih dahulu dengan menggunakan buldozar dan baru dimaklumkan di dalam mesyuarat pada 28 Julai 2010 yang juga diadakan di Pejabat ADUN, tanpa persetujuan AJK dan membuat tuntutan bayaran sebanyak RM7,000/=  yang dianggap oleh Jawatankuasa sebagai mahal. Tindakan ini juga dianggap sebagai `conflict of interest` yang sepatutnya tidak berlaku.
Dengan tindakan itu kegiatan perancangan terhenti beberapa masa, kerana  selepas itu hadir Ramadhan 1431H. bersamaan Ogos 2010.
Walau bagaimana perkembangan semasa misalnya pada 23 September 2010 bersamaan 14 Syawal 1431H. pihak Jawatankuasa menerima jawapan dari JAIS, ``Tiada halangan bagi mendirikan Masjid`. Ini meningkatkan  semangat ke arah Persediaan mendirikan Masjid Al-Umm. Antara tindakan diambil:
1)      Mendapat respond hasil dari cadangan yang dibuat dalam mesyuarat di Surau Al-Umm Bandar Baru Bangi pada 20 Mei 2010 untuk memasukkan di dalam komiti jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Mereka ialah:
a)      Tan Sri Dato` Mohd. Nor Ismail Mantan Timbalan Naib Canselor UPM
b)      Dato` Dr. Haron Din Pengasas Dar al-Shifa`
c)       En. Omar Ja`far, Bekas Pendaftar Pembangunan UKM
d)      Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi
e)      Haji Mohd Napiah Sahrani, Nazir Masjid Al-Hasanah
Tan Sri Dato` Mohd Nor Ismail, walaupun beberapa kali dipohon menyertai AJK Pembinaan Masjid Al-Umm menolak, kerana mempunyai banyak komitmen dengan urusan-urusan yang lain.
Manakala Dato` Dr. Haron Din agak sebok dan tidak memberi respond sehinggalah beliau diziarahi oleh beberapa AJK pada 6 Julai 2013 di Kompleks Pendidikan Islam Bangi untuk melantik beliau sebagai Penaung dan dengan lawatan itu beliau menerima menjadi Penaung bagi AJK Masjid Al-Umm dan tugas rasmi pertama beliau ialah menentukan arah Qiblat Masjid Al-Umm pada 2 Januari 2014M. = 30 Safar 1435H.
Manakala Tuan. Omar Ja`far menerima baik perlantikan dan beliaulah mencadangkan agak diwujudkan Jawatankuasa Teknikal dengan Tuan Ir. Haji Ishak Arshad sebagai Pengerusi (Lantikan di dalam Mesyuarat pada 14 Ogos  2012).
Adapun Dr. Tajul Ariffin Noordin memang hadir sejak penubuhan Jawatankuasa awal pada 4 Februari 2010 sebagai YDP Persatuan Penduduk BBB.  Bahkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Pendidikan kerana kepakarannya di dalam bidang pendidikan. Perlantikan rasminya mengukuhkan Jawatankuasa Pembinaan.
Manakala Tuan Nazir Mohd Napiah Sahrani tidak mau wujudnya konflik tugasnya sebagai Nazir di Masjid Al-Hasanah agar tidak dikelirukan dengan menjadi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm. Walau bagaimana beliau banyak memberi kerjasama terhadap Masjid Al-Umm.
Mereka yang menerima adalah menjadi AJK perlantikan kali kedua.Bersama dengan perlantikan Ir. Haji Ishak Arshad. Sebelumnya  dimasukkan di dalam Jawatankuasa peringkat awal, iaitu Tuan Haji Mohd Kalok bin A. Latiff dan  Ar. Tuan Raja Fuaddin bin Raja Ahmad. Mereka diperkukuhkan ke dalam perlantikan kedua yang dikenali dengan peringkat Persediaan.
Tuan Ar. Raja Fuaddin berkesempatan menyediakan  Plan Pembinaan Masjid Al-Umm pada Majlis Pelancaran Derma bagi Masjid Al-Umm pada Sabtu 19 Mei 2012 yang dilakukan oleh ADUN Bangi, dan Tuan Ar. Raja Fuaddin juga menyelenggarakan Pameran Plan Pembinaan Masjid Al-Umm sempena dengan perasmian (Pecah Tanah) oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada  6 Januari  2013.
Plan yang disediakan oleh Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dari Syarikat URUSBINA di Perlis  ini menjadi asas perbincangan, pengolahan dan plan  pembinaan Masjid Al-Umm.
Sekian.

No comments:

Post a Comment