October 10, 2018

PERSEDIAAN MENERIMA PENYERAHAN MASJID AL-UMM


PERSEDIAAN MENERIMA PENYERAHAN MASJID AL-UMM
(Fikrah Bangi: 22)
BBB,  01 Safar 1440H. = 10 Oktober 2018M. (Rabu):
Telah dibicarakan bahawa proses mendirikan Masjid Al-Umm memakan masa yang lama dan melalui dua fasa, iaitu `Fasa Persediaan` dari kelulusan gezet tapak  Masjid Al-Umm  oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) surat bertarikh 1 September  2009 dan diikuti oleh kelulusan pihak JAIS, tiada halangan  mendirikan Masjid surat bertarikh 17 November 2009. Proses pengurusan berterusan sehingga akhir tahun 2013.
Proses pembinaan fizikal  Masjid Al-Umm ialah bermula dengan `Masuk Tapak` pada 10.12. 2013, iaitu beberapa hari selepas mendapat kelulusan plan. Proses pembinaan lebih lama daripada proses persediaan. Proses pembinaan ini berterusan hingga tarikh mendapat CCC yang diluluskan di Pejabat JAIS pada 4 Oktober 2018. Tempoh yang diambil adalah satu dekad.
Berikut dari kelulusan CCC di atas, adalah dimaklumkan oleh pihak  JAIS, satu `Upacara Penyerahan` secara rasmi masjid  Al-Umm akan dilakukan . Penyerahan akan  dilakukan oleh pihak Kontrektor yang membina Masjid Al-Umm kepada pihak JAIS selaku Pemilik Masjid Al-Umm dan akan diterima oleh pihak JAIS – Pengarah JAIS atau Wakilnya dan selepas menerimanya, pihak JAIS akan menyerahkannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan  dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang akan melaksanakan pentadbiran dan Pengimarahan Masjid Al-Umm sebelum diadakan pilihanraya di kalangan ahli kariah surau-surau  yang dizonkan di bawah Masjid Al-Umm.
Adapun tarikh yang dipersetujui bagi mengadakan upacara penyerahan ini ialah pada petang 11 Oktober  2018, iaitu sehari sebelum diadakan solat Juma`at kali pertama di Masjid Al-Umm. Dari segi legalnya Masjid Al-Umm sudah layak mendirikan Juma`at pada Juma`at 5 Oktober  2018, iaitu sehari selepas mendapat CCC, tetapi oleh kerana tempoh persediaan amat singkat, cuma sehari selepas mendapat CCC, maka adalah disetujui oleh pihak JAIS untuk menangguh dan memulakan solat Juma`at pertama  pada Juma`at 12 Oktober 2018. Dengan demikian  ada masa bagi membolehkan Upacara Penyerahan dilakukan.
Upacara adalah bersifat formaliti dan ringkas, iaitu selepas solat `Asar bertempat di ruang utama Masjid Al-Umm.. Pihak Masjid Al-Umm telah mengadakan mesyuarat membincangkan persediaan bagi upacara berkenaan setelah berbincang dengan pihak PAID, Hulu Langat. Untuk  penyertaan upacara pihak JAIS akan menjemput semua ahli-ahli yang bermesyuarat bagi meluluskan CCC di Pejabat JAIS pada 4 Oktober yang lepas yang berjumlah 20 orang. Manakala pihak Masjid akan menjemput semua ahli Jama`ah Masjid Al-Umm, semua Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm, semua Jawatankuasa Teknikal yang terdiri dari kontrektor, arkitek, consultant-consultant dan mereka yang terlibat dengan pembinaan Masjid Al-Umm. Pihak Masjid Al-Umm juga akan menjemput pengerusi-pengerusi surau-surau yang berdekatan dengan Masjid Al-Umm untuk menyertai upacara Penyerahan Masjid Al-Umm. Pihak Masjid juga akan menjemput pihak ADUN Sungai Ramal, MPKj, Bomba, Pejabat Daerah, Polis, Persatuan Penduduk dan beberapa yang lain bagi meyertai Majlis.
Majlis ringkas itu dijangka bermula dengan:
·         Do`a oleh Imam Masjid Al-Umm
·         Ucapan Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm.
·         Ucapan Pengarah JAIS atau Wakilnya.
·         Penyerahan Dokumen oleh Kontrektor
·         Tandatangan Warkah  Penyerahan dan Pernerimaan oleh Kontrektor, Pengarah JAIS dan Pengerusi Masjid
·         Penyerahan Cenderahati
·         Bergambar
·         Minum petang
·         Bersurai
Upacara walaupun ringkas, tetapi adalah bersejarah bagi Masjid Al-Umm dan pendudk.
Sekian.

No comments:

Post a Comment