December 23, 2019

SEMARAK ILMU BUDAYA


SEMARAK ILMU-BUDAYA
(Fikrah Bangi: 430),
BBB: 26 R. Akhir 1441H. = 23 Disember 2019M.Isnin).
Berikut dari kemelut 1969, negara yang mengalami kejutan menjadi aman. Banyak mereka menerima pengajaran. Dapat dikatakan, bahawa  selepas 1970 adalah merupakan era baru bagi Malaysia dengan menerima pimpinan baru Datuk Abdul Razak Hussein dengan negara di bawah pemerintahan MAGERAN. Semua parti politi bersatu di  bawah pemerintahan yang dapat diistilahkan sebagai Kerajaan Campuran. Dalam suasana sedemikian mengurangkan pertikaian politik. Banyak perubahan positif yang dapat diperkatakan, tetapi buat permulaan yang mau dibicarakan dulu ialah mengenai `Semarak Ilmu Budaya`.
Sebagaimana telah disebutkan, bahawa pada 18.5.1970 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai dirasmi dan dibuka. Aku merasa bertuah kerana diterima menjadi antara mahasiswa sulung belajar di UKM. Banyak pengalaman dan keistimewaan sebagai mahasiswa sulung yang mana kampus sementaranya ialah di Maltab Perguruan di Jalan Pantai, berdekatan dengan Universiti Malaya (UM). Kami mahasiswa UKM diterima menjadi ahli Perpustakaan di UM. Lantaran itu suasana pembelajaran adalah menjadi sebahagian dari pembelajaran di UM. Pada peringkat permulaan kami dialu-alukan oleh Profesor Ungku Aziz, Naib Canselor UM, semasa mendaftar keahlian Perpustakaan UM. Kami berinteraksi dengan Pak Ungku dan beliau menerangkan tentang buku-buku di Perpustakaan UM. Aku amat kagum permulaan berinteraksi dengan Pak Ungku tentang karisma dan watak profesornya. Mulai daripada itu selain dari kampus UKM maka kampus UM adalah menjadi sebahagian dari kampus dan kehidupan kami. Kami ke UM sama ada berkenderaan atau berjalan kaki sahaja untuk ke perpustakaan atau pada petang-petang jogging sambil m,emikmati kedamaian tasik UM. Sebenarnya selain dari dapat kemudahan perpustakaan dan kampus UM, sebahagian besar dari pensyarah di UKM, terutama Fakulti Sastera (kemdian dikenali dengan Sain Kemasyarakatan dan Kebudayaan (FSKK) dan sebahagian tenaga di Fakulti-Fakulti yang lain adalah dari UM. Jadi keilmuan yang kami terima adalah mirip keilmuan UM. Pada peringkat permulaan UKM mengikut pengajian berdasarkan penggal (tiga penggal setahun) sebelum UKM menukar kepada sistem semester.
Apa yang aku mahu tekankan bahawa, kemasukan kami ke universiti benar-benar didedahkan dengan  suasana akademik dan budaya yang tinggi  yang hingga  kini, kami tidak rasai seperti suasana seperti itu. Pada masa itu  kebebasan akademik amat terasa. Fakulti Ekonomi dan sastera  UM sering mengadakan seminar bahkan debat terbuka yang ahli panelnya bukan saja orang-orang akademik, tetap[i ahli-ahli poliyik sama ada dari pihak pembangkang dan kerajaan membicarakan soal ekonomi, politik dan sosial. Seminar dan forum sedemikian dihadiri ramai peminat  termasuk dari luar kampus memenuhi ruang seminar dan kampus. Sedangkan ahli budaya membincangkan misalnya tentang arah UKM sebagaimana dibincangkan dari sebelum penubuhan UKM lagi.  Perlu  disebutkan pada masa itu ada beberapa aliran kefahaman politik di UM dan dalam negera. Mereka adalah pendukung kerajaan (BN), pendukung Islam, sosialis dan parti Rakyat. Baik forum, seminar atau konvensyen yang sering diadakan di UM dan juga UKM, tokoh-tokh dari berbagai parti ini dijemput sebagai panel seminar, forum dan konvensyen. Lantaran dari berbagai kefahaman dibenarkan mengeluarkan pendapat, setiap forum dan seminar ditunggu untuk dihadiri. Maklumat  kegiatan akademik sedemikian diwar-warkan di dalam akhbar-akhbar. Perlu disebutkan bahawa pada masa tersebut belum dikenakan akta universiti (1974) ke atas pelajar dan universiti.
Selain dari semarak akademik, pada masa itu juga semarak budaya yang digerakkan oleh badan-badan bahasa, termasuk DBP dan pengajian tinggi Pertunjukan teater yang dihasilkan oleh seperti Nordin, Hasan, Bidin Subari dan ramai lagi amat menarik minat masyarakat. Karya-karya yang dihasilkan oleh Nordin Hasan (kemudian menjadi Sasterawan Negara) seperti Sireh Berte[uk Pinang Menari, Tok Perak dan banyak lagi dipentaskan di DBP dan banyak lagi. Pada masa itu juga bersemarak dengan karya-karya sastera seperti dari Othman Awang, Samad Said, Kris Mas   dan ramai mendapat sambutan masyarakat. Kegiatan ini membawa kepada tertubuhnya `Hadiah Sastera` yang memberi pengiktirafan kepada pengkarya-pengkarya yang berbakat.
Suasana kegiatan Ilmu dan budaya sebagaimana berlaku pada 1970an  nampaknya tidak lagi berlaku seperti itu.
Apakah kemalapan kini dapat dihidupkan kembali ?
Sekian.

No comments:

Post a Comment