October 6, 2013

Gelombang Ketiga Tradisi Keislaman Dan Keilmuan Islam Di Terengganu


BBB, 29 Zulkaedah 1434 = 05 Oktober 2013 (Sabtu):

Perbincangan yang lepas melibatkan dua gelombang utama di dalam tradisi keislaman dan keilmuan di Terengganu, iaitu Tradisi keislaman dan keilmuan pada zaman Batu Bersurat, iaitu pada peringkat menerima Islam dan menerima kunci keilmuan, iaitu penerimaan tulisan Jawi yang terbukti pada Batu Bersurat Terengganu. Manakala Gelombang Kedua, ialah merupakan peringkat pengisian yang memerlukan masa yang agak lama. Penerimaan Islam dan kunci keilmuan tidak dapat menghasilkan keilmuan tanpa usaha mempelajari ilmu pengetahuan keislaman dan menyebarkannya ke tengah masyarakat. Kita telah melihat pembelajaran terhadap keilmuan telah berlaku. Ada pelajar telah menimba ilmu pengetahuan keislaman dari sumbernya langsung, iaitu dari Makkah seperti yang dilakukan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah. Keilmuan yang dipelajari dan pelajar-pelajar yang mempelajarinya menjaringkan hubungan antara pusat-pusat keilmuan dan kemajuan pada zaman tradisi seperti dengan Pasai, Melaka dan Aceh. Tradisi Keislaman dan Keilmuan menjadi kukuh dengan kelahiran ulama dan tradisi pengajaran mulai dari pertengahan abad ke 17 ke akhir abad ke 19. Satu faktor yang menarik bahawa dengan perkembangan Islam dan perluasan keilmuan Islam dengan menggunakan bahasa Melayu dan tulisan jawi meningkatkan bahasa Melayu yang pada asalnya sebagai bahasa bertaraf rendah dan pinggiran menjadi bahasa keilmuan dan juga lingua franka di Alam Melayu. Bahasa Arab menjadi bahasa Ilmu bagi keilmuan Islam, lantaran itu selepas penerimaan Islam banyak istilah-istilah keislaman masuk ke dalam bahasa Melayu.

Gelombang ketiga dari tradisi keislaman dan keilmuan ialah gelombang pemantapan dari segi keislaman dan keilmuan dalam konteks zaman tradisi iaitu pada akhir abad ke 19 hingga ke awal abad 20. Pemantapan berlaku akibat wujudnya pemerintahan yang mantap dan pentadbiran yang cekap. Pada akhir abad 19 Terengganu adalah sebuah negeri yang aman. Negeri Terengganu sejak pemerintahan Baginda Umar (1839-1876) dapat menyediakan tapak yang kukuh bagi kemajuan negeri Terengganu  yang puncaknya berlaku pada masa di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin ke III (1881-1919) seorang Raja yang Alim dan amat meminati ilmu pengetahuan.

Keamanan dan kegiatan Keilmuan di Terengganu telah menarik minat beberapa pihak terhadap Terengganu. Ianya menjadi destinasi pelarian dari negeri Patani yang menghadapi  tekanan dari pihak Siam. Menurut sejarah sehingga Abad ke 17, kawasan dari Semenanjung Kra membawa ke Selatan Tanah Melayu adalah termasuk di bawah negeri negeri Melayu, tetapi selepas dari abad tersebut Siam telah menjalankan dasar mencerobohnya ke atas negeri-negeri Melayu di selatan hingga tahun 1769 kekuasaan Siam telah tiba ke sempadan Petani setelah menguasai beberapa negeri Melayu seperti Legor, Petalong dan Senggora yang kemudian ditukar namanya kepada Nakorn Si Thamarat, Pethalong  dan Songkhla. Kerajaan Patani pada mulanya mengandungi 9 jajahan yang tersendiri, iaitu Chana,Thaepa, Patani, Yala, Raman, Rangae, Nongchik, Yamu (atau Yaring) dan Narathiwat. Kawasan-kawasan ini menghadapi serangan dari Siam berterusan pada tahun-tahun 1603, 1632 dan 1633, tetapi dapat mempertahankan kedaulatan hinggalah 1786, negeri-negeri tersebut jatuh ke tangan Siam. Pemberontakan timbul terhadap Siam tahun-tahun 1789-91, 1808 dan peperangan 1832  merupakan kekalahan terakhir akibatnya berlaku pelarian politik  secara besar-besaran ke negeri-negeri sempadan seperti Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
(The Muslim Malays of South Thailand,  A History of Their Struggle for survival as Muslims Against Thai Oppression and Their Future, The Islamic Review & Arab Affairs, Nov- Dec, 1969, hlm. 16 -23).
Juga Buyong Adil, Sejarah Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974: 72).

Daripada pelarian tersebut antaranya melimpah ke Terengganu. Ada beberapa peringkat pelarian. Penulis masih ingat bagaimana ninda penulis pada masa hayatnya ditahun-tahun 1960an menceritakan sejak pertengahan abad ke 19 moyang kami melarikan diri ke Terengganu sesudah kalah perang pada tahun 1830an itu. Dia dapat menitih nama-nama dari keturunan  `Wan`  kami yang penulis catat hingga kepada generasi sepuluh ke atas. Generasi kelima kami melarikan diri setelah kalah perang antaranya mendarat dan membuka Hiliran, Kuala Terengganu, ada pecahan yang lain membuka Kg. Kebul, Kg. Kesum dan Kg. Leret di Kuala Terengganu dan satu pecahan daripada mereka ke Paka, membuka Kg. Tebing Tembah, Paka.

Antara pelarian yang tiba di Terengganu ialah dari kalangan intelektual dan berkedudukan di Patani, contoh keluarga Shaykh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fatani yang tinggal di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, satu dari turunannya lahir di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, iaitu Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani yang mengarang kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn. Tetapi keluarga ini tidak kekal di Terengganu, sebaliknya berpindah dan menetap di Makkah. Adalah dijangka hubungan antara Haji Abdul Malik bin Isa dari Sungai Rengas dengan keluarga Petani di Pulau Duyung, khususnya dengan keluarga Shaykh Daud al_Fatani berlaku sejak di Terengganu yang membawa Haji Abdul Malik ke Makkah berguru dengan Shaykh Daud al-Fatani.

Ada dua keluarga lagi dari Patani yang terkenal yang berpindah ke Kuala Terengganu, iaitu Haji Wan Abdullah bin Wan Mohd. Amin yang merupakan tokoh ulama terkenal. Sebelumnya oleh kerana keluarga ini mempunyai pertalian dengan keluarga Shaykh Daud Patani membolehkan beliau sama ke Makkah dan turut berguru dengan Shaykh Daud di sana dan guru-guru lain. Kembali ke Terengganu terkenal sebagai tokoh ulama kerana kealimannya beliau digelar sebagai `Lidah Terengganu`` yang juga dikenali dengan `Tuk Shaykh Duyung`. Sebagaimana orang Tua Haji Wan Abdullah adalah seorang Kadhi di Patani, maka beliau juga berkhidmat sebagai kadhi dan kemudian menjadi Mufti. Ulama` ini berkesempatan berkhidmat di bawah dua Sultan Terengganu terkenal iaitu Baginda Umar (1839-1876) dan Sultan Zainal Abdin III (1881-1919).
(Mohamad Bin Abu Bakar, Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Mohd. Amin (Tok Syeikh Duyong, Pesaka IV, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 1987: 76).

Seorang lagi tokoh yang datang dari Petani dan menetap di Bukit Bayas, Kuala Terengganu ialah Haji Abdul Kadir Bukit Bayas. Beliau adalah dari keluarga yang sama dengan Haji Wan Abdullah bin Mohd. Amin. Beliau mengajar di Bukit Bayas dan berkesempatan dengan Sultan Baginda Umar dan Sultan Zainal Abidin Ke III. Baginda turut berguru dengan kedua ulama tersebut selain dari turut sama ke Makkah dan mwndapat peluang mendalami keilmua Islam di sana.

Satu lagi jalur keturunan yang memberi kesan kepada peningkatan keislaman dan keilmuan Islam di Terengganu ialah turunan Sayyid. Berlainan dari tokoh-tokoh dari Petani yang diakibatkan oleh tekanan politik di Siam yang menyebabkan mereka dan keluarga mendapat perlindungan, bahkan memberi sumbangan bakti kepada negeri Terengganu. Turunan Sayyid dimaksudkan ialah Sayyid Zainal Abidin seorang pedagang beras dari jawa telah datang berniaga dan menetap di Kuala Terengganu. Beliau sebagai pedagang tidaklah memberi kesan kepada tradisi keislaman dan keilmuan di Terengganu, tetapi dari turunannya yang mendapat pendidikan tempatan dan antaranya ke Makkah menyemarakkan perkembangan ilmu dan budaya politik bagi negeri Terengganu.

Dapatlah dilihat bahawa identiti Terengganu yang terbina selama ini yang berorientasikan Islam dan keilmuan Islam menjadi lebih meningkat dengan kehadiran tiga jalur keturunan, iaitu Haji Wan Abdullah bin Wan Mohd. Amin yang terlibat di dalam bidang keilmuan dan pentadbiran, Tok Shaykh Kadir Bukit Bayas yang menyemarakkan perkembangan Ilmu dan kehadiran Sayyid ke Terengganu, iaitu turunan Sayyid Zainal Abidin  yang melahirkan tokoh ulama & Sasterwan Sayyidd Muhammad yang terkenal dengan panggilan (Tuan Besar) dan anaknya Sayyid Muhammad iaitu Sayyid Abdul Rahman yang terkenal dengan panggilan (Tuan Paluh) menyemarakkan Terengganu dengan keislaman Ilmu pengetahuan.

Sekian.

October 5, 2013

Penerusan Pengajian Di Sungai Rengas: Mendepani Zaman Transisi


BBB, 28 Zulkaedah 1434 = 04 September 2013 (Jumaat):

Pengajian Lanjutan Shaykh Abdul Malik bin Abdullah sampai ke peringkat puncaknya semasa dikendalikan oleh Tuan Haji Abdul Malik bin Isa cicit Tuk Pulau Manis di Sungai Rengas berikutan perkahwinan beliau dengan isterinya di situ. Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Baginda Omar (1839-1876) yang disifatkan sebagai Sultan yang progresif dan cintakan ilmu pengetahuan.  Kitab-kitab bertulisan tangan adalah diwarisi ke zaman Haji Abdul Malik. Beliau mendapat pengajian di Makkah mulai (1245H./1829M.) berdasarkan kitab salinan terawal beliau pada sebuah kitab nahu – Nurul-Sajiyyah fi Hall al-Alfaz al- Ajarrumiyyah dan kembalinya ke Terengganu tidak lewat dari (1253H.) Tarikh beliau mendapat anak – Haji Muhammad. Pada tahun 1267 beliau pergi sekali lagi ke Makkah kali kedua bersama anaknya Muhammad dan berada di sana selama 4 tahun dan pulang ke Terengganu pada (1271H.).
Maklumat di dapati dari catatan Muhammad bin Haji Abdul Malik pada sebuah kitab  al-Kaylani kitab Saraf karangan Abu al-Hasan Ali bin Hisham al-Kaylani, catatan:

``Sanah kepada hari Khamis tujuh belas haribulan Safar ketika itulah kita menaruh surat tarikh. Telah menyurat tarikh, kita Haji Muhammad bin Abdul Malik bin Isa bin Badru al-Din bin Abdul Malik Datuk Pulau Manis yang empunya maqam di sana. Maka adalah asalnya kita lihat akan tarikh orang tuha kita Haji Abdul Malik menyurat dengan khatnya pada kitab Kamus. Adalah tarikh beranakkan kita sanah 1253 zuhur hari Arba` 29 Zulhijjah, kemudian tatkala sampai umur kita empat belas tahun, orang tuha kita bawa kita pergi ke Makkah al-Musharrafah bersama-sama dengan dia duduk di dalam Makkah jumlah taqrib empat tahun. Turun di Makkah sampai ke Terengganu bulan Muharram sanah 1271H.``
(Shafie bin Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya, UKM, 1976/77: 178).

Dari maklumat di atas, bahawa Haji Abdul Malik bin Isa berguru dengan  Shaykh Daud al-Fatani antara (1245-1253H.). Dalam masa tersebut ia belajar dengan Shaykh Daud dan menyalin kitab-kitab yang dipelajari dan kemudian membawanya pulang ke Terengganu menjadi bahan pengajaran. Pada kali kedua pemergiannya ke Makkah bersama anaknya Muhammad (1267-1271), Shaykh Daud sudah meninggal dunia (m.1265/1849M).
Namun kegiatan penyalinan kitab yang dimiliki Haji Abdul Malik terus berlaku sama ada di Makkah dan selepas perkembalian ke Terengganu pada kali kedua. Penyalinan terakhir oleh Haji Abdul Malik ialah 1277, iaitu 32 tahun selepas beliau belajar di Makkah. Ertinya Haji Abdul Malik bin Isa meninggal tidak awal daripada 1277H.

Semasa Haji Abdul Malik bin Isa ke Makkah pengajiannya di Sungai Rengas dikendalikan oleh pelajar-pelajar senior seperti Muhammad Zain bin Haji Muhammad (salin kitab 1267/1850), Ali bin Qadi Muhammad Salih Fatani (Salin 1283/1865), Khatib Awang (menyalin 1295/1875). Yang lain-lain  Abdullah Datuk Mata-Mata, Abdul Rahman bin Khatib Idris, Haji Ismail bin Muhammad Zain, Umar bin Haji Idris dan Muhammad bin Ismail.

Pemergian Haji Abdul Malik kali kedua ke Makkah (1267-1271) bersama anaknya lebih bertujuan mendedahkan anaknya Haji Muhammad sebagai anak sulung dengan pengajian di Makkah, tempat Haji Abdul Malik dan Tuk Pulau Manis mendapat pengajian dan kelak bagi meneruskan pengajian di tanahair. Sememangnya Haji Muhammad yang mendapat pengajian di Pengajian Shaykh Abdul Malik, di Makkah dan kemudian kembali di tanahair, adalah seorang yang mendalam ilmu pengetahuan. Beliau sendiri menyalin kitab-kitab sekurang-kurang sebagaimana dapat dikesan ialah sebanyak 7 buah kitab, iaitu:

1)      Kitab Fawa`id al-Shansuriyyah Sharh al-Manzumat al-Rahbiyyah oleh Abdullah al-Shanshuriyyah – disalin 1270H. 133hlm.  Kitab Fiqh’
2)      Matn Khulasat al-Tauhid oleh `Ali Al-Najjar disalin 1267H. 9hlm. – Kitab Usuluddin.
3)      Matn Jauharat al-Tauhid oleh Ibrahi al-Liqani, 14hlm. Matan Usuluddin.
4)      Al-Tuhfah fi Hall al-Faz al-Shaykh Khalid wa al-Ajjarumiyyah, 406hlm. Kitab Nahu.
5)      Hashiyah `ala Sharh al-Azhariyyah, oleh Hasan al-`Attar, ada 37hlm. Nahu-Sarf.
6)      Sharh al-Qatr, oleh Ibn Hisham, ada 16hlm, Kitab Nahu.
7)      Kitab Sarf, Pengarang ? ada 36hlm.

Haji Muhammad nampaknya bukan saja mendalami ilmu fiqh dan usuluddin, tetapi mendalami ilmu nahu, iaitu ilmu yang perlu bagi memahami kitab-kitab Arab yang jumlah kitab-kitab Arab yang disalin jauh lebih banyak (301 buah) dari kitab-kitab di dalam bahasa Melayu (78 buah) yang bertulis tangan.

Beliau yang hidup antara 1253-1327H, = 1837- 1920 berumur lanjut hingga ke zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin Ke III (1881-1919). Oleh kerana kealiman beliau maka Haji Muhammad bin Abdul Malik dilantik menjadi Kadhi di Kuala Terengganu. Gelaran beliau sebagai Tuan Kadhi lebih terkenal dari nama peribadinya. Beliau dipanggil sebagai `Tuk Kali` bermaksud `Tuk Kadhi` dengan mempunyai mohor bagi perjawatan kadhinya. Jadi dapatlah difahami di dalam masa meneruskan pengajaran di Pondok Pengajian warisan yang terletak di tepi Sungai Rengas sebagai anak Sungai bagi Sungai Terengganu, beliau terpaksa berulang alik ke Kuala Terengganu bagi menjalankan tugas kadhinya melalui jalan sungai. Menurut orang tua di Sungai Rengas, Haji Muhammad seorang alim dihormati dan menjadi adat bagi pembesar-pembesar pada zaman itu, pergerakan Haji Muhammad diusung oleh juru-juru usung yang membawanya dengan pengusung dari satu tempat ke satu tempat pergerakannya.

Sebagaimana telah disebutkan pengajian di Sungai Rengas ini turut dihadiri oleh pelajar-pelajar dari luar dari Terengganu, iaitu dari Patani dan Johor, pusat pengajian di sini menjadi tempat lindungan pejuang-pejuang dari Pahang yang menentang kemasukan British ke negeri itu. Semasa Penulis membuat kajian, Tuan Haji Mat bin Awang (al-Marhum) Imam Masjid Sungai Rengas masih ingat, Pondok Pengajian di Sungai Rengas menjadi tempat lindungan pejuang-pejuang Penentang Penjajahan di Pahang diketuai oleh Mat Kilau dan rakan-rakan pejuang, bahkan mereka mengambil kesempatan belajar di Pengajian tersebut. Antara pejuang-pejuang dari pahang meninggal di Hulu Terengganu, iaitu Tok Gajah yang kuburannya terdapat di Pasir Nering Hulu Terengganu.

Zaman Haji Muhammad bin Abdul Malik `Tuan Kali` adalah zaman transisi yang dapat dilihat di dalam beberapa aspek.

Zamannya mulai berakhir kegiatan menyalin kitab-kitab pengajian, kerana mulai awal abad 20 kitab-kitab pengajian  sudah mulai dicetak seperti Percetakan  al-Amiriyyah  al-Wahabiyyah di Makkah, percetakan Bulaq Mesir, percetakan Muhammad Affandi Mesir yang semuanya bergiat selepas bahagian ke dua abad 19 dan pada permulaan abad ke 20M. kitab-kitab berbahasa Melayu mulai dicetak di Percetakan al-`Amiriyyah Makkah dan Bulaq Mesir. Penerbitan tempatan seperti Sulaiman Mari di Singapura turut mencetak kitab-kitab Jawi, diikuti di Pulau Pinang Percetakan Rawa. Jadi kegiatan menyalin tangan kitab-kitab mulai berakhir.

Pada zaman ini (akhir abad 19) Penjajahan Barat mulai datang ke Terengganu dalam usaha mereka untuk menguasai Terengganu sejak 1894, tetapi oleh kerana wujudnya Sultan Zainal Abdin ke III yang alim dan tidak menyenangi kehadiran British dikukuhkan lagi penentengan ulama antaranya Tukku Paloh (Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad) sebagai Shaykh al-`Ulama terhadap penjajahan menyebabkan mereka tidak dapat menguasai Terengganu.
(Yusof Embong, Peranan Dan Sumbangan Ulama Terengganu, Pesaka, VII, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, 1992: 19).

Hingga awal abad 20 pengajian persekolahan mulai wujud di Terengganu, termasuk persekolahan agama seperti Sekolah Arab Sultan Zainal Abidin (1925), maka kehadiran pendidikan moden menggugat pendidikan tradisi, walapun tidak memupuskan langsung pengajian tradisi. Mulai 1356/1928 pengajian di Sungai Rengas dipindah ke Padang Midin di bawah pengajaran Tuk Guru Haji Embong Ismail (m.1969) dengan menggunakan kitab-kitab bercetak dan berterusan hingga zaman Kemerdekaan (1957). Walau bagaimana Pengajian Tradisi, khususnya Institusi Pengajian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah yang berterusan selepas era Batu Bersurat hingga zaman moden amat memberi kesan di dalam menyebarluaskan pengajian Islam di Terengganu hingga negeri Terengganu bukan saja antara negeri terawal menerima Islam dengan bukti Batu Bersurat, tetapi pendidikan keislaman melalui Pengajian Institusi Syeikh Abdul Malik merupakan era pengisian dari cetusan keislaman yang dibukti Batu Bersurat hingga menyentuh ke zaman moden. Ini juga memberi kesan bahawa kesedaran pendidikan Islam di negeri ini lebih ke hadapan berbanding dengan negeri-negeri yang lain dan ini antaranya memberi kesan bagi sikap anti penjajahan, bukan saja menolong pemberontak dari Pahang, tetapi berlaku pemberontakan Tani di Terengganu yang digerakkan oleh Haji Abdul Rahman Limbong (1928).

Sekian.

October 4, 2013

Perubatan Pada Pengajian Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah


BBB, 27 Zulkaedah 1434 = 3 Oktober 2013 (Khamis):

Ternyata pada pengajian tradisi juga ada pengajian perubatan, walaupun tidak ada kitab-kitab secara formal sebagaimana kitab usuluddin, fiqh dan tasawuf. Sebaliknya tercatat sebagai risalah-risalah yang kebanyakannya dalam saiz yang kecil. Untuk mengatakan ianya secara kebetulan kewujudan risalah-risalah perubatan tidaklah tepat, kerana kewujudannya agak banyak. Kebanyakannya merupakan kaedah amalan perubatan tempatan. Bermaksud bukan bersumber dari luar seperti usuluddin, fiqh dan tasawuf. Kecuali ayat al-Qur`an digunakan bagi tujuan perubatan dan perlindungan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, Yasin dan sebagainya serta doa-doa. Ada juga perubatan dengan menulis ayat Qur`an pada mangkuk putih dan masukkan air bagi diminum untuk elak dari gangguan makhluk halus dan sebagainya.
Di bawah petikan untuk tulisan ini lebih ditumpukan kepada perubatan amali berasaskan bahan-bahan tempatan, khususnya tumbuh-tumbuhan.

Bahan Tempatan

Penggunaan bahan perubatan biasanya bersumberkan tumbuh-tumbuhan yang khasiatnya diketahui sehingga hari ini.

INGATAN

(Tulisan ini lebih bersifat WARISAN dan DOKUMENTASI). Pembaca dinasihatkan jangan mengamal dan menggunakan resepi tanpa kajian dan ujian.

Ubat Lelah:

Maka ambil air secupak dan air ibu kunyit secupak, kemudian masak biar tinggal tiga leng, maka minumlah hingga habis. Maka buat pula ubat makan, maka ambil kapur barus dan halmak dan gaharu dan akar jelaka dan bawang kedua, maka sekalian itu buat serbuk, kemudian masuk air madu dijadikan ma`jun, maka makan dengan air hangat. Afiyat Ilahi.

Sebagai pula ubat lelah, maka ambil sirih pinang, maka ikat dengan bapan  tujuh warna, makan bubuh pada pipis limau nipis, maka mintalah ubat lelah, maka ambil daunnya tujuh helai, kemudian makan dengan sirih pinang. Diikuti dengan doa.

Ubat Sakit Kepala Menawan

Ambil bawang merah, jintan hitam, halia butir, selasih butir, maman, cekur jeringai – sekalian itu giling lumat, tak ada syirki, halus-halus – bungkus dengan kain, maka hidukan pagi-pagi dan petang-petang dan berdoa pada waktu makan dan waktu hendak tidur.

Ubat Buasir

Ambil daun bunga melur, daun susun kelap, daun jambu penawar, maka risis sekalian itu, maka basahkan pada duburnya, sebagai lagi buasir ambil daun pegaga gajah (?) dan daun restum marabiah (?) dan jitam hitam, secawan telur, maka rebuhnya (rebus), setelah sejuk, maka jaramlah pada duburnya – Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat buasir ambil akar barut urat dan akar kucim (misai kucing?) dan mata kamisam, maka asah dengan air malam, maka jemur ke barut – Insya Allah Ta`ala.

Ubat Restung (Resdung ?)

Atau berairkan darat, maka ambil cendana putih dan cendana hitam, buah pala, maka asah dengan air, maka minum tiga pagi dan pantangnya, jangan makan perah – Insya Allah.

Sebagai lagi ubat restung, maka ambil cendana, cengkih buah pala, asah keduanya dengan air didih, maka minum tiga pagi – Insya Allah Ta`ala.
Sebagai ubat restung kerang lihirnya  atau sakit dadanya atau hatinya, maka ambil kulit limau purut dan garam dan air madu sama banyak, maka minum insya Allah Ta`ala.

Sebagai  lagi ubat restung kerang lihirnya atau sakit dadanya atau hulu hatinya, maka ambil kulit limau purut dan garam dan halia dan bawang putih dan didana (adun ?) cuka, maka sekelian itu giling lumat-lumat. Setelah sudah maka telan. Insya Allah Ta`ala..

Sebagai lagi ubat restung angin, ngilu kepalanya, gatal matanya dan hidungnya, maka ambil daun ara dan akar asam jawa dan buah pala dan sirih dan biji sawi dan temu kanji dan bunglai dan lada sulah dan minyak sapi dan kapur barus perbuat minum tiga pagi- Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat restung angin ngilu kepalanya atau gatal mukanya dan hidungnya dan matanya, maka ambil daun halia dan akar asam jawa dan butal (butir ?) benalu hijau dan bawang kedua dan kapur barus dan biji sawi dan bonglai dan lada sulah, maka rebuh (rebus) semuanya, maka minum tiga pagi – Insya Allaj Ta`ala.

Sebagai ubat restung angin ngilu kepalanya atau gatal mukanya dan hidungnya dan matanya, maka ambil daun halia dan akar asam jawa dan butir bena hijau dan bawang keduanya dan kapur barus dan biji sawi dan bunglai dan lada sulah, maka rebus semuanya, maka minum tiga pagi. Insya Allah Ta`ala.

Tiada Boleh Ke Sungai (Sembelit)

Bab pada menyatakan ubat tiada boleh ke sungai senang, maka ambil daun peria katak dan biji jagung, maka giling lumat-lumat hancurkan dengan cuka, maka boleh pada hari-harinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh buang air  seni, ambil tanah sarang angkut dan bawang putih selabu dan air cuka, maka giling lumat-lumat, maka comorkan pada arinya. Inna Allah `ala kulli shayin qadir.

Sebagai lagi ubat tiada boleh buang air seni, maka ambil tanah ditengah dapur, maka tuntung, maka pipis lumat-lumat airnya santan, maka asah buat kedaki, maka tampalkan pada hari-harinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi tiada boleh buang air seni atau tahi keras tiada maunya keluar, maka ambil jemuja  kharsani dan jemuja jawa dan jitam hitam dan buah pala jingku (ciku ?) dan  pucuk dan manjakani dan hujung matub, maka pipis semuanya, maka ambil santan bersebiji, maka ramas, jangan buih air, ambil patinya, maka campurkan segala rempah itu, maka makanlah. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh buang air, maka ambil garam dengan daun mengkudu hiris giling, maka angkatkan pada apa, maka masukkan ke dalam  boleh, maka tiupkan ke dalam duburnya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh kumah, maka ambil daun jemuja kharsani dan biji sawi pipis lumat-lumat, maka bacuh dengan cuka, maka comorkan pada ari-arinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ari-ari bengkak, maka ambil daun  seruni laut selakam hirah dan manjakini, ciku sedu ayah sediakala pucuk, maka pipis lumat, tapis ambil airnya menyalim ampasnya pupukkan pada ari-arinya. Insya Allah Ta`ala.

Sebagai lagi ubat kencingkan darah, ambil jintan hitam maka rendam pudi lumat-lumat, maka campurkan dengan sakar sama bahagi, maka digelek dengan minyak sapi kemudian tali besar buah bidara  tiga butir sepakai dan pantang tujuh hari. Insya Allah Ta`ala  sebagai ubat kumah putih ambil lada dan jemuja jawa dan biji sawi, maka pipis lumat-lumat pudi dengan juga  comorkan pada ari-ari. Insya Allah ta`ala.

Sebagai lagi ubat tiada boleh kencing, maka ambil daun peria dan lenga pipis lumat-lumat, maka gosokkan pada ari-arinya dan saubnya. Insya Allah.

Sebagai lagi ubat air lender atau darah, maka ambil jekeling tiga biji dan kedaki tiga biji, maka rendam menanti lembut, maka pipis lumat-lumat, maka bubuh air bermalam, minumlah. Insya Allah Ta`ala atau medu atau

Bab ini  Suatu Bab Pada Menyatakan Ubat Segala Penyakit

Dan sekalian penyakit itu daripada angin serhabut yakni merah seperti hati dan setengah daripadanya penyakit angin atau resnang atau buasir atau semelit atau senak atau sebak atau menyocok atau manikam-manikam dalam perut, sakit atau sengal atau lumpuh atau barah atau mati kaki tangan atau barang sebagainya, maka inilah ubatnya kita makan pertama ambil lada sulah berat sepeha (1/4 tahil) dan jabir tengah tahil dan pati halia setahil dan kejelaga  dua tahil dan lakar hutan empat tahil dan bawang putih tujuh labu dan akar kanjang kara sepeha dan bawang merah tiga labu dan ubi cina tiga tahil dan jintan hitam sepeha dan jemuja kharsani dua mas dan cengkih dua mas dan buah pala tiga buah dan pulut hitam secawan kahwa dan  adas manis secawan dan adas pedas secawan dan kemukus secawan dan jintan putih secawan dan halia secawan dan kanja barang patutnya dan opiun yang baik barang patutnya, maka sekalian itu pipis lumat-lumat, maka surat  itu ini pada pinggan putih:
An am as as ah 3 la

Ayat Qur`an (al-Isra`, 17: 82)

(Bermaksud: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada ayat al-Qur`an apa yang menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman)
Maka bubuh air madu barang patut pada pinggan putih itu dan bubuh minyak sapi pada kuali masakkan sekadar jadi ma`jun, maka makanlah sebesar buah bidara, makan pagi sebutir petang sebutir. Insya Allah Ta`ala.

Petikan di atas adalah sebahagian kecil daripada banyak lagi kaedah-kaedah mencari penawar, mengubat, merawat yang dipelajari di Pengajian Shaykh Abdul Malik. Pengaji-pengaji menumpukan pada pengajian utama, iaitu bidang-bidang agama, tetapi dibekalkan juga terutama bagi yang meminati dengan ilmu dan kaedah perubatan. Mereka yang keluar bukan saja memimpin dalam bidang keilmuan agama, tetapi mampu mengubat orang yang sakit. Mereka mungkin jadi guru dan juga bomoh (istilah tukang berubat pada zaman tradisi).

Penulis memang berhasrat menerbitkan bahan-bahan pengajian di Pengajian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah dan lanjutannya dan telah mendapat lesen penerbitan sejak
5 September 2013 atas nama Galeri Bangi Bandar Ilmu dengan no. Daftar 002253102-V dengan identiti Penerbit ISBN:978-967-12136 dengan Kategori Penerbit: Penerbit Syarikat Swasta PNM 24-3 Jld. 48 (76).

Sekian.

October 3, 2013

Pembukaan Tender Menjual Dokumen Pembinaan Masjid Al-Umm Lot 51177 Seksyen Satu Bandar Baru Bangi

-->
BBB, 26 Zulkaedah 1434 = 02 Oktober 2013 (Rabu):

Setelah Perasmian Tapak Masjid al-Umm Bandar Baru Bangi dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor pada 23 Safar 1434 = 06 Januari 2012, maka pada hari ini (tarikh di atas), pihak AJK Pembinaan Masjid Al-Umm BBB memanggil kontrektor berminat untuk membeli dokumen dan seterusnya menghantar permohonan bagi menjadi Kontrektor Pembinaan Masjid al-Umm.


Sebelum dari ini pihak AJK Pembinaan yang terdiri dari dua bahagian, iaitu AJK Induk Pembinaan yang diketuai Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi  Induk & AJK dan Tuan Haji Ishak bin Arshad Ketua Bahagian Teknikal & AJK telah berusaha menyediakan segala keperluan bagi menjayakan pembinaan Masjid al-Umm. Hadir pada pagi ini Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB selaku AJK merangkap Pengerusi Kompleks Pendidikan Islam BBB, Tuan Haji Ishak Arshad Ketua JK Teknikal yang juga AJK, Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK Publisiti, Tuan Haji Mohd. Nor Yassin Bendahari, Tuan Haji Mohd Suib bin Maulud Setiausaha, Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar Setiausaha Kerja,  saudara Azizi Adnan Bahagian Dokumentasi. Turut hadir seorang Pelajar Ph. D. dalam bidang Seni Bina UKM yang juga Pensyarah – Satu Jabatan dengan Tuan Haji Ishak Arshad yang juga selaku Pensyarah di Fakulti Seni Bina UKM.  Hadir bersama ialah:
Arkitek Urusbina  Tuan Haji Raja Fuaddin bin Raja Ahmad.
Juru Ukur Bahan dan Dokumen Tender May Consult yang diketuai saudara Shahrum dan Perunding dari Syarikat Azfar.


Sebanyak 12 konterktor yang layak telah dipanggil untuk mendapatkan dokumen tender, tapi 9 kontrektor saja yang hadir, iaitu:

  1. GTS Contractor Sdn. Bhd.
  2. Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
  3. Mergong Jaya Services Sdn. Bhd.
  4. Vastec Engineering Sdn. Bhd.
  5. Twinty Enterprise Sdn. Bhd.
  6. I`tiqad Maju Sdn. Bhd,
  7. Bangi Mas Sdn. Bhd.
  8. Ufukrata Sdn. Bhd.
  9. Pembinaan Sham.

Tidak hadir

  1. SDE Bina Sdn. Bhd.
  2. Merger Network Sdn. Bhd.
  3. Jalinas Sdn. Bhd.

Turut hadir wakil-wakil dan pengiring-pengiring kontrektor yang kesemuanya berjumlah 35 orang.


Dr. Shafie selaku Pengerusi dalam kata-kata alu-aluan bersyukur kepada Allah, akhirnya  Pembukaan dan Penjualan Tender dapat dilakukan. Beliau berterima kasih kepada semua pihak, termasuk AJK-AJK, penderma-penderma, semua pihak yang memberi kerjasama hingga Pembukaan dan Penjualan Tender dapat dijalankan terutama pihak Kerajaan Negeri Selangor, MAIS-JAIS, MPKj, Jabatan Kerjaraya, Bomba dan lain-lain, seterusnya pihak kontrektor-kontrektor yang berminat untuk memasuki tender.
Pengerusi AJK Pembinaan itu menyebut bahawa Masjid al-Umm terdiri dari 3 tingkat

1)      Basement – untuk multipurpose
2)      Tingkat 2 – Ruang solat utama
3)      Tingkat 3 _ Ruang solat wanita

Dijangka bila siap ianya menjadi Masjid Kedua di BBB yang dijangka dapat memuatkan seramai 3,000 jamaah secara serentak. Penjualan dokumen pada asalnya dijangka dijual pada 18 September 2013, tetapi oleh kerana masalah teknikal diubah pada hari ini  dan tarikh tutup untuk menghantar dokumen secara lengkap ialah tidak lewat dari jam 12.00 tengahari pada Isnin 21Oktober 2013. Tempoh siap adalah dalam 18 bulan.


Lebih lanjut keterangan disampaikan oleh Ketua AJK Teknikal Tuan Haji Ishak dan saudara Shahrum dari pihak Juru Ukur Bahan dan Tender sebelum Lawatan Tapak.

Menurut Tuan Haji Ishak, pihak kontrektor mestilah mengisi borang dan keperluan B.Q & Quantities secara lengkap. Pembelian borang boleh dibeli mulai hari ini dengan bayaran RM500/= secara bank draft. Dokumen yang sempurna diisi hendaklah disertai bayaran secara bank draft sebanyak RM5,000/=. Mana-mana kontrektor yang tidak berjaya bayaran RM5,000/= ini akan
dipulang balik.


Saudara Shahrum dari May Consult Sdn. Bhd. Menerangkan tentang kerja-kerja yang melibatkan plan drawing (oleh architect), piling work sebanyak 370 pile points, pembinaan bangunan masjid, 2 menara, kubah dan tunjuk langit, rumah sampah, TNB single chamber, furniture fitting, mechanical  & Electrical, termasuk  aircond. System ,dan External works dan bayaran-bayaran termasuk professional fees.


Penerangan hari ini adalah secara kasar dan bagi kontrektor terpilih diperuntukkan ruang untuk berbincang, selain daripada itu bahan dokumen dan segala maklumat berhubung dengan Masjid al-Umm akan dipamerkan di Pejabat Pembinaan Masjid al-Umm. Rujukan secara detail boleh dibuat pada pameran berkenaan dan boleh bertanya secara langsung apa-apa persoalan di Pejabat Pembangunan Masjid al-Umm. Penerangan juga dibuat oleh pihak architect Tuan Raja Fuaddin. Tender laku dalam masa 90 hari dan condition of contract menurut (PAM 2006).

Semasa ke Lawatan Tapak, para contractor diberitahu bahawa tanah tapak bagi masjid  ialah seluas 2 ekar. Tanah ini telah dibersih dari tunggulan dan telah berpagar. Kerja-kerja ini dilakukan sejak bulan Ramadhan yang lepas . Kepada yang melawat, mereka diberitahu bahawa area bangunan masjid adalah 4,317 meter persegi atau 46,456 kaki persegi, basement sama levelnya dengan jalan di bawah. Kawasan memerlukan tambahan tanah dari luar sebanyak 2,000 meter cubic tanah.


Adalah diharapkan Masjid al-Umm akan menjadi sebuah masjid yang unik, mempunyai identiti tersendiri dan menjadi sumber ilmu dan landmark bagi Bandar Baru Bangi.
Pihak masjid mengalu-ngalukan derma bukan saja kewangan biasa, tetapi boleh memilih misalnya untuk menderma carpet, aircod., kipas, kubah, menara, mimbar, marmar, lampu-lampu hiasan, pagar bahkan simen dan sebagainya. Sila hubungi pihak AJK atau datang sendiri untuk rundingan.

Maklumat lanjut hubungi:
 
Dr. Hj. Shafie Abu Bakar           019 273 7566  Pengerusi
Tn. Hj. Mohd Nor  Mohd Yasin 019 238 3944  (Bendahari)
May Bank Islamic Bandar Baru Bangi   5628 3460 7208  ``Tabung Masjid Al-Umm``

Sekian.

October 2, 2013

Munajat Nabi Allah Musa Di Bukit Tursina


BBB, 25 Zulkaedah 1434 = 01 Oktober 2013 (Selasa):

Firman Allah; Wa kallama Allahu Musa Taklima (al-Nisa` 4: 164).
Bermaksud: Dan Allah berkata-kata kepada Musa kata-kata secara langsung (Tiada perantaraan).

Apa yang dimaksudkan dengan munajat yang diperturunkan di bawah dari teks bukanlah ditekankan berhubung dengan bagaimana Nabi Musa berkomunikasi dengan Allah, tetapi lebih kepada penyampaian ajaran-ajaran kepada Nabi Musa (sebenarnya ajaran Nabi Muhammad s.a.w. di dalam teks). Sebahagian dari teks ringkas adalah:

Bismi Allah al-Rahman al-Rahim
Wa bihi nasta`in  bi Allah al-A`la:

Ini cetera hikayat tatkala Nabi Allah Musa `alayhi al-salam munajat ke Bukit Tursina, maka berkata-kata dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala, maka sabda Nabi Allah Musa. Ya Ilahi ya Rabbi, Ainni bi haulik: Ertinya  tiada dapat melihat rupaKu, maka bahawasanya mati ia. Maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala: Ya Musa bahawasanya ucap olehmu:

La ilaha illa Allah Muhammad Rasul Allah salla Allah `alayhi wa sallam

Maka pahalanya seberat bumi dengan langit dan segala isinya.
Ya Musa barang siapa tiada menyebut namaku kepada tiap-tiap hari malam dan siang, maka Ku turunkan seksa akan dia dengan seksa yang amat sangat dari kerana ia lupa dan lalai akan Daku. Maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa, maka barang siapa menahani hatinya daripada segala pekerjaan yang jahat, maka Aku lepaskan ia daripada seksaku daripada dunia dan akhirat, maka Nabi Allah Musa, Ya Tuhanku, adakah Engkau berkata-kata dengan Nabi dahulu daripada kemudian daripada hambaMu, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, maka Aku berkata-kata dengan Kasihku Muhammad Rasulullah, doanya pun aku perkenankan. Maka sembah Nabi Allah Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang sembahyang lima waktu. Maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa orang itulah yang amat bercahaya-cahaya mukanya lagi Aku ampun segala dosanya dan Aku beri rahmat ia di dalam dunia datang pada hari akhirat.

Maka sembah Nabi Musa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang memberi sadaqah segala faqir dan miskin, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Aku memberi rahmat dan nikmat daripada dunia dan akhirat dan Aku ampun segala dosanya. Maka sembah Nabi Musa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang memberi makan orang yang lapar.
Maka firman Allah subhana wa Ta`ala, Ya Musa dan tiada kukenakan seksa api neraka dan tertutplah pintu neraka dan rezekinya pun tiadalah berkurang. Maka sembah Nabi Musa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang mandi janabat itu. Maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa beribu-ribu rahmat aku negarahkan ia  dititik air daripada tubuhnya itu sepuluh dosanya ku ampun, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku, apa pahalanya orang yang mandi berlangir pada hari Jumaat itu, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa tiadalah aku memberi kalam menyurat akan dia segala perbuatannya tujuh hari itu, jikalau  lupa sekalipun akan dia aku dan ampun dosanya dan lagi bercahaya-cahaya mukanya pada hari kiamat, maka terlebih daripada bulan dan matahari. Maka sembah Nabi Musa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya mengunjung orang yang sakit, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa, Aku beri pahalanya, tatkala ia turun daripada rumahnya berjalan ia atas rahmatKu dan suatu langkahnya seribu dosanya Aku ampun dan Aku beri ia berjalan atas rahmatKu. Maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang mandi akan mayat sama Islam, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala pada Musa, Ya Musa Aku lepas akan dia  daripada seksa api neraka pada tatkala hari kiamat dan daripada seksa dan daripada setitik air yang gugur daripada mayat itu dua laksa dosanya Kuampuni dan satu maligai Aku kurniakan dalam syurga akan balasnya. Maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang sembahyang akan mayat samanya Islam dengan kurnia Allah Subhanahu wa Ta`ala Ya Musa, tatkala ia mati segala malaikat dari langit turun sembahyang akan mayat orang itu. Maka sembah Nabi Musa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang menahani hatinya daripada larangan  Allah Subhanahu wa Ta`ala seperti segala yang haram, maka firman Allah Sunhanahu wa Ta`ala, Ya Musa aku berikan rahmatKu dan nikmatKu akan mereka itu pada hari kiamat. Maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku, apa pahalanya orang yang memberi kain akan orang yang miskin, anak-anak yatim, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa Aku beri kain dari dalam syurga aku balasnya. Maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang membaca Qur`an dan membaca kitab, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa berjalan atas titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat dan Aku  masukkan ia ke dalam syurga.
Maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya segala raja-raja dan orang yang besar-besar  menyuruh segala rakyatnya sembahyang, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa aku masukkan ia ke dalam syurga dengan tiada dikekiranya  pada hari kiamat  dan Aku surat akan pahalanya sebilang tumbuh-tumbuhan atas bumi, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang menahani matinya daripada mashghul, tatkala kehilangan harta dicuri oleh orang, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, maka Aku ampuni dosanya jikalau sebanyak rambut dikepalanya atau roma ditubuhnya sekalipun Aku ampuni dan doanya pun aku qabul akan, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya  kanak-kanak kecil mati, maka segala ibunya, bapanya  tiada menangis. Maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa  bahawasanya aku menyuruh akan tujuh orang Nabi memeliharakan dia  itu.
Maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku, yang mana tujuh itu ya Tuhanku, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa, pertamanya Adam `alayhi al-salam, dan kedua Nuh `alayhi al-salam, dan ketiga Ibrahim `alayhi al-salam, dan keempat Ismail `alayhi al-salam, kelima Musa `alayhi al-salam, keenam Isa `alayhi al-salam , ketujuh Muhammad Rasul Allah salla Allah `alayhi wa sallam, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang menahani dirinya daripada berzinah dan minum arak, tuak dan makan `kandabarkand`, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala pada Nabi Musa, Aku beri titahkan dengan malaikat dan rahmatKu, tatkala ia mati aku nugerahkan, maka sembah Nabi Musa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya  orang yang mengerjakan puasa, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa aku beri bercahaya-cahaya mukanya dan segala tubuhnya bercahaya-cahaya di dalam kuburnya, berapa-rapa rahmatku akan dia dan dinding api neraka pada hari kiamat , maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, ya Tuhanku apa pahalanya orang yang mengambil air sembahyang pada ketika dinihari, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, ya Musa daripada setitik air sembahyang itu seribu rahmatku dan kusudahkan malaikat menyurat pahalanya dan seribu dosanya diampun tatkala hari kiamat, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang yang meminta akan samanya Islam, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa aku suruhkan Malaikat menyuratkan pahalanya serasa ia puasa tujuh tahun pahalanya dan tiada ia pandang api neraka pada hari kiamat, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku apa pahalanya orang taubat itu daripada segala dosanya, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa Aku lepaskan ia daripada api neraka pada hari kiamat dan Aku masukkan ia ke dalam syurga Jannah al-Na`im, maka sembah Nabi Musa, Ya Tuhanku apa pahalanya perempuan membubuh bau-bauan akan suaminya, tatkala ia  pergi sembahyang di masjid, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa, Aku suruhkan mala1ikat menyuratkan  segala amal dan pahalanya itu daripada, setitik air sembahyangnya seribu rahmatKu kurnia akan dia dan seribu dosanya Aku ampun, tatkala hari kiamat pahalanya seperti orang yang mengucap salawat akan Nabi salla Allah `alayhi wa sallam dan Aku masukkan ia ke dalam syurga yang indah-indah, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Tuhanku, apa pahalanya orang yang menyapu masjid, maka firman Allah Subhanahu wa Ta`ala, Ya Musa Aku nugerahkan ia pahalanya seribu bidadari dalam syurga akan balasnya, maka sembah Nabi Musa pada Allah Subhanahu wa Ta`ala, apa dosanya perempuan yang menghiasi dirinya di belakang suaminya, maka firman Allah Subhanahu wa Ta-ala pada Nabi Musa, Aku masukkan ia ke dalam neraka jahannam seribu tahun lamanya dengan orang yang mecium baunya oleh laki-laki yang lain di dalam dunia segala malaikat pun kutuk akan dia.

Demikianlah soal jawab duteruskan antara Nabi Musa dengan Allah Subhanahu wa Ta`ala.

Pengarang mengambil kesempatan dari peristiwa percakapan Allah dengan Nabi Musa dijadikan teknik soal jawab di dalam teks.
Pengarang mengelak diri dari membicarakan soal yang berhubung bagaimana keadaan keberadaan Nabi Musa berdepan dengan Allah untuk mengelak dari persoalan akidah.
Sebenarnya walaupun dikatakan percakapan Nabi Musa, namun inti kandungan adalah pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. Nabi Musa dijadikan mekanisme di dalam percakapan.  Apa yang disampaikan ialah pengajaran yang dituntut Islam. Pendekatan adalah kreativiti penulis, bukan sebenarnya percakapan Nabi Musa dengan Allah sebagaimana dibicarakan. Jadi peristiwa `Percakapan Allah Dengan Nabi Musa` dipinjam sebagai teknik menyampaikan dakwah keislaman. Jika tidak melalui peristiwa ini, pengarang tidak berani mengenengahkan Percakapan Allah kepada Makhluk yang boleh membawa implikasi dari segi akidah. Adalah lebih baik dan tidak digalakkan menggunakan teknik ini di dalam penulisan kreatif moden.

Sekian.

October 1, 2013

Hikayat Nabi Wafat


BBB, 24 Zulkaedah 1434 = 30 September 2013 (Isnin):

Bismillahi al-Rahmani al-Rahim

Wa bihi nasta`in. Inilah certeranya peri tatkala Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam pulang ke rahmatullah Ta`ala. Sekali peristiwa Baginda Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam pergi sembahyang ke masjid, setelah sudah sembahyang maka baginda pun pulanglah dari masjid itu, maka Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam pun berbaring-baring seketika. Firman Allah Ta`ala, ``Hai Jibra`il pergilah engkau turun ke dunia bawa olehmu Malakul Maut kerana aku hendak mengambil nyawa kekasihku Muhammad itu.`` Maka Jibra`il pun pergilah ke rumah Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam. Maka Baginda pun bangunlah daripada tidurnya melihat Jibra`il datang itu. Lalu Jibra`il pun memberi salam `alaikum ya Rasulallah. Maka Rasulullah pun segera menyambut salam Jibra`il itu, ```Alaikum al-salam, hai taulanku Jibra`il, ``Siapakah serta tuanhamba datang ini ?`` Maka sahut Jibra`il, ``Malak al-Maut ada serta dengan hamba datang ini.``
Maka sabda Rasulullah salla Allah `alayhi wa sallam, ``Ya `Izra`il apa kerja tuan hamba turun ke bumi ini hendak mengambil nyawa hambakah atau hendak mengejungi hambakah, ?``  Maka sahut `Izra`il,`` Ya Rasulallah kerana firman Allah Ta`ala menitahkan hamba turun ke bumi itu hendak mengambil nyawa Tuan Hamba, kerana Allah Ta`ala  terlalu amat kasih dan berahi akan bau Tuan Hamba daripada manusia Nabi Allah Adam datang kepada hari ini, melainkan Tuan Hambalah yang terlebih daripada segala Nabinya dan Pesuruhnya.`` Shahadan bacalah oleh Tuan Hamba itu anni, maka dibacalah Rasulullah salla Allah `alaihi wa sallam demikian bunyinya: (Surah al-Zumar, 39: 30-31)
(Bermaksud: Sesungguhnya Engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar, berhujah di hadapan Tuhan kamu).
Setelah sudah dibaca oleh Rasulullah itu Anni, maka Rasulullah pun tahulah akan dirinya hilang itu.``

Demikianlah petikan dari permulaan Hikayat Nabi Wafat yang agak kreatif. Fakta kematian Rasulullah adalah benar, tetapi tidaklah digambarkan dalam sirah sebagaimana gambaran dalam karya sastera di atas. Di dalam Sirah Nabawiyah digalurkan isyarat kewafatan Rasulullah dengan turunnya ayat terakhir pada Haji Wada`bermaksud:
`Pada hari ini telah kusempurnakan untukmu agamamu, dan telah ku-cukupkan kepadamu ni`matKu dan telah Ku-redhai Islam menjadi agama bagimu (al-Maidah, 5:3).
Kemudian Rasulullah sakit pada akhir Safar tahun ke 11 H. Dalam pada itu Baginda terus menghantar tentera diketuai Usamah ke Sham. Baginda berkhutbah Wada` (Perpisahan). Khutbah ini difahami Abu Bakar sebagai isyarat pengakhiran hayat Rasulullah dan Abu Bakar menangis. Rasulullah menyampaikan wasiat kepada kaum Ansar.

Adapun gambaran terakhir secara sejarah menjelang wafat Rasulullah s.a.w. :

``Aisyah berkata, ``Aku masuk kembali kepada beliau (Rasulullah), beliau menatap ke langit dan berkata ``Fir Rafqil A`la ! Fir Rafiqil A`la.`` (Kepada Dhat Yang Maha Tinggi, kepada Dhat Yang Maha Tinggi.

Abdurrahman bin Abu Bakar masuk dengan membawa kayu siwak yang masih basah. Baginda saw melihat benda tersebut. Aku (Aisyah) beranggapan beliau menghendaki kayu tersebut. Aku mengambilnya, membersihkannya, dan memberikannya kepada beliau. Beliau menggosok gigi dengan sangat baik. Kemudian beliau menyerahkannya kepadaku, tapi kayu siwak itu terjatuh dari tangan beliau.
`Aisyah berkata, ``Di depan beliau ada bejana yang berisi air. Beliau memasukkan tangannya ke dalamnya, lalu membasuh mukanya sambil berkata ``Lailaha illa Allah, inna lil maut lasakarat.`` (Tidak ada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya mati itu ada sakaratnya. Kata Aisyah, ``Kemudian beliau meluruskan jari-jari tangan kiri dan berkata: ``Fir Rafiqi A`la ! Fir Rafiqi A`la, `` sampai meninggal dengan tangan mengarah ke air.``
`Aisyah berkata, ``Maut datang kepada Rasulullah saw, ketika kepala beliau berada di pangkuanku. Beliau pengsan sebentar, lalu tersedar. Pandangannya mengarah ke atap dan berkata,``Allahumma Ar-Rafiqal A`la ( Ya Allah ! Dhat Yang Maha Tinggi)``. Itulah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah saw.
(Abul Hasan `Ali al-Hasani an-Nadawi, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad Saw –Kata Pengantar Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Mardhiyah Press, Nandan No. 74, RT 7 RW 39 Sariharjo, Ngangik, Sieman, Yokyakarta, 2008: 484-495).

Demikian perbezaan antara gambaran secara kreatif dengan realiti sejarah.
Gambaran Rasulullah sebelum meninggal secara kreatif oleh penulis secara panjang lebar dengan dialog Rasulullah dengan malaikat. Ungkapan sedih Aisyah dan Fatimah. Baginda mencium Fatimah dan berjanji akan bertemu di titian sirat al-mustaqim dan di dalam syurga (percakapan baginda dengan Fatimah digambarkan begitu panjang). Turut menangis Bilal, Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Rasulullah berjamaah terakhir pada hari Jumaat dan menyampaikan khutbah.

Rasulullah bertanya sekiranya ada sebarang hutang yang sepatutnya beliau lunaskan.. Tapi semuanya diam, namun pada akhirnya seorang sahabat bernama `Aqasah berkata,
``Tatkala Junjunganku pergi perang sabilillah, maka junjunganku pun naik ke atas kuda memalu ke kanan dan ke kiri, maka terpalulah hamba dengan camti kuda Junjunganku yang berat tujuh man itu. Setelah didengar oleh Rasulullah sembah `Aqasah demikian, maka sabda Rasulullah, ``Hai memanda Bilal pergilah tuan hamba ke rumah Fatimah ambil kuda camti kuda hamba hendak membayar hutang hamba dengan `Akasah itu di dalam dunia ini, maka Bilal pun segeralah ia pergi ke rumah Fatimah, maka didapatlah Fatimah lagi menangis, maka Bilal pun memberi salam kepada Fatimah ujarnya ``al-salamu `alaykum ya Khalifatal Jannah !`` Maka segeralah disahut oleh Fatimah salam Bilal itu. Maka katanya ,``Hai memanda Bilal, apa kerja tuan hamba datang ini. Maka sahut Bilal, sebab pun hamba datang ini disuruh oleh Rasulullah, memanti camti kuda yang berat tujuh man itu. Maka kata Fatimah, ``Ya memanda Bilal, mengapa maka tuan hamba memanda camti itu.`` Maka Bilal pun berkata-kata, `` Seorang lelaki bernama `Aqasah ialah yang hendak mendakwa ayahanda itu,` maka ujar Fatimah, ``Ya memanda Bilal, Sampai hatinya `Aqasah itu hendak memalu Junjunganku kerana baginda lagi di dalam uzurnya dengan sakitnya.``

Cerita selanjutnya Bilal dan Fatimah pergi sama ke tempat Rasulullah dengan tangis. Rasulullah minta dirinya dipalu dengan camti dibawa sebagai balasan.  Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali juga Fatimah meminta diri mereka diganti dengan paluan yang lebih, tetapi semuanya ditolak oleh `Aqasah. Sebagai kemuncak apabila Rasulullah membuka pusatnya untuk dipalu, tetapi bukan dipalu, sebaliknya `Aqasah mencium pusat Rasulullah dan sujud kepada Baginda dengan memohon shafaat pada hari akhirat !
Ini merupakan klimeks cerita yang mendebarkan semua pihak dengan penyelesaian dan ending yang amat menarik yang menjadikan cerita Nabi Wafat ini menarik.
Respond Rasulullah terhadap episode dengan `Aqasah, baginda bersabda, ``Hai segala kamu sekalian sidang Jumaat bahawa `Aqasah inilah alamat orang isi syurga.`` Maka sabda Rasulullah, ``Hai `Aqasah daripada siapa engkau menengar kata yang demikian itu, maka kata `Aqasah, ``Daripada Sayyid Junjunganku tatkala lalu daripada rumah Aishah, maka Tuan hamba berkata demikian itu, ``Barangsiapa mencium pusatku, bahawa orang itulah alamat isi syurga, sebab itulah maka hamba perbuat sesuatu hajat hamba supaya janganlah sia-sia adanya.`` Maka muka `Aqasah pun bercahaya-cahayalah seperti bulan purnama empat belas haribulan dan baunya seperti bau orang yang di dalam syurga.`
Episod ini menarik dan mewarnai secara dramatic cerita sedih dan sayu para sahabat menjelang dan kewafatan Rasulullah.

Peristiwa helah menuntut bela terhadap Rasulullah memang berlaku dalam sejarah, tetapi bukan menjelang kewafatan Rasulullah, tetapi secara kreatif pencerita menjadikannya sebagai satu episode dramatis di dalam Kisah Kewafatan Rasulullah. Cerita ini benar-benar hidup dan menarik.

 Menurut Ismail Hamid, ``Dalam kesusasteraan Arab klasik cerita tentang kewafatan Nabi Muhammad telah digubah oleh seorang penulis Islam untuk mengesahkan peristiwa wafatnya Nabi Muhammad. Salah satu cerita yang dimaksudkan itu berjudul Qisah Wafat Rasulullah. Cerita tentang kewafatan Nabi Muhammad itu telah digubah juga oleh penulis Melayu. Cerita kewafatan Nabi Muhammad dalam bahasa Melayu adalah bersumber dari cerita dalam bahasa Arab seperti yang tersebut di atas. Cerita dalam hikayat Melayu terdapat tokok tambah sehingga menjadikan hikayat yang tersebut sebagai sebuah karya fiksyen yang menarik perhatian pembacanya. Sementara itu menurut van Ronkel cerita tentang kewafatan nabi dalam bahasa Melayu telah disalin dari sebuah karya Parsi berjudul Wafat Nameh.``
(Ismail Hamid, Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan Peradaban Islam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Petaling Jaya, 1983: 41-42).

Sesungguhnya karya sastera berunsur Islam sedemikian menjadi bahan tambahan bacaan dalam pengajian yang dapat dijadikan bahan pendidikan tambahan bersama kitab-kitab keilmuan.

Sekian.

September 30, 2013

Tradisi Sastera Islam: Lanjutan - Cerita Nabi Sulaiman Dengan Ratu Balqis


BBB, 23 Zulkaedah 1434 = 29 September 2013 (Ahad):

Telah dibincangkan terdapat bahan tradisi sastera Islam di Pengajian Shaykh Abdul Malik (Tuk Pulau Manis) yang berjudul Raudat al-`Ulama` di tarjamah/disadur oleh Abdul Jamal Beladau, iaitu cicit bagi Tuk Pulau Manis. Selain dari Raudat al-`Ulama sebuah karya Tradisi Sastera Islam ialah cerita Nabi Sulaiman Dengan Ratu Balqis.
Di dalam kajian sastera Melayu, cerita sedemikian dimasukkan di bawah Cerita Para Nabi di bawah Sastera Melayu Lama.
(Ismail Hamid, Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan Peradaban Islam, Penerbat Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1983: 44-56).
Di Pengajian Shaykh Abdul Malik terdapat sebuah salinan Cerita Nabi Sulaiman Dengan Ratu Balqis. Cerita-cerita mengenai Nabi memang terdapat di dalam al-Qur`an dan terdapat pula cerita-cerita mengenai Nabi-Nabi diolah secara panjang lebar, terutama di dalam kitab yang diberi judul Qisas al-Anbiya`.

Menurut Ismail Hamid, Tukang-tukang cerita itu kebanyakannya terdiri daripada penganut ugama Islam yang berasal dari ugama Yahudi dan Kristian. Mereka ini mempunyai pengetahuan yang dalam tentang warisan ugama-ugama itu. Tokoh-tokoh penulis Islam yang banyak menjadi sumber rujukan dan penulisan tentang cerita para nabi ialah seperti Abdullah bin Sallam (m.663M.) bekas Rahib Yahudi, Ka`b al-Ahbar (m.652M.) berasal Yahudi dari Yaman, Wahab bin Munabbih (m.730M.) berketurunan Parsi tinggal di Yaman. Di samping itu  al-Tabari (839-923) juga turut menulis tentang Tarikh al-Rasul wa al-Muluk dan beberapa yang lain. (Ismail Hamid, 1983: 45.

Antara cerita yang paling popular tentang cerita nabi ialah Cerita Nabi Sulaiman Dan Ratu Balqis. Nabi Sulaiman dikenali sebagai Nabi dan Raja Yang Amat Besar dan dapat menguasai binatang dan memahami peercakapannya. Nabi Sulaiman mempunyai pembantu-pembantu, bukan saja dari tentera dari kalangan manusia biasa, tetapi dibantu oleh jin, ifrit dan mempunyai cincin sakti. Maklumat asas memang terdapat di dalam al-Qur`an dan dipetik ayat-ayat yang berkait dengan penceritaannya. Namun satu corak tradisi cerita lama penggunaan elemen-elemen super natural dan imaginasi yang anih selalu menjadi unsur dan tema penceritaan. Elemen-elemen sedemikian terdapat di dalam cerita seribu satu malam, bahkan terdapat di dalam laporan pelayar-pelayar silam. Ini adalah ciri kebiasaan di dalam penceritaan tradisi, tuduhan yang mengatakan sebagai semuanya unsur Israiliyyat tidak sepenuhnya benar. Kerana ianya merupakan ciri-ciri cerita tradisi zaman Islam. Ciri zaman Hindu-Buddha ada keanihan tersendiri seperti kelahiran dikaitkan dengan buluh betung, menjelma dari buih dan berada di atas kepala gajah.

Cerita Nabi Sulaiman melibatkan burung Hud-Hud sebagai pengantara yang menghantar risalah Islam kepada Raja Saba` - Ratu Balqis. Petikan:

``Maka berkata Abu Abu Abbad (Hud-hud Sulaiman) bagi Abu Shajad (Hud-Hud Yaman), siapa yang memilik negeri kamu ini, maka katanya, ``Satu Raja perempuan namanya Balqis, dan katanya ia baginya dan apa qadar sampai kerajaannya. Maka jawab ia bahawasanya ia memilik akan segala qabail negeri Yaman sekaliannya dan adalah di bawah kerajaannya itu dua belas ribu qala`id dan tiap-tiap seorang daripada qala`id dua ratus ribu orang yang muqatil dan tiap seorang daripada muqati dua orang khadamnya.
Dari gambaran kekuasaan Raja Yaman kedua Hud-Hud terbang melihat kekuatan askar Nabi Allah Sulaiman, tapi bila Hud-Hud Nabi Sulaiman datang beliau dimurkai Raja Sulaiman kerana kehilangannya. Hud-hud tiada semasa Nabi Sulaiman perlu air untuk solat asar, lalu dia menceritakan berkenaan dengan negeri Saba`. Dari maklumat penceritaan Hud-Hud diperintah agar menyampaikan kitab (warqah) dari Raja Sulaiman agar Raja Saba patuh dan menerima Islam. Hud-Hud berusaha menghantar surat Nabi Allah Sulaiman dengan diiringi ribuan burung yang mengejutkan Ratu Balqis dan pengawal-pengawal terlalai, menyebabkan Hud-hud berpeluang menyelinap dan mencampakkan surat kepada Puteri Balqis. Kandungan surat antaranya merupakan petikan dari ayat al-Qur`an Surah al-Naml, 27:30 bermaksud:
Dan bahawasanya ianya dari Sulaiman dan bahawasanya Dengan Nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim, bahawa engkau janganlah meninggi diri. Datanglah patuh menerima Islam .

Kesampaian surat dan seruan dibincang oleh Ratu Balqis dan pembesar-pembesar. Ratu Balqis bertanya pendapat jika ia dari seorang Rasul, maka tiada jalan mengingkarinya, tetapi jika tidak, tidak akan dipatuhi. Akhirnya jelas surat dari seorang Rasul dan Raja yang Agung. Ratu Balqis datang ke istana Nabi Allah Sulaiman.
Kehadiran Ratu Balqis disambut dengan penuh hebat dan dia tidak menyedari dia seolah-olah melangkah di atas permukaan air laut yang menyebabkan Ratu Balqis mengangkat kainnya yang dikatakan Sulaiman yang memberi salam daripada sembahyang asarnya terlihat akan betis Ratu Balqis yang berbulu. Petikan berkenaan:

``Dan turun ia daripada kudanya dan memegangkan dia segala dayangnya dan kemudian ia mau mengangkatkan kainnya kerana hendak mengarung di dalam laut, maka tatkala cita dengan demikian itu, maka jatuh pengsan dan berkata ia pada dirinya ini laut yang mentergelam orang dan tak dapat tidak daripada tergelam, kemudian  maka bahawasanya menyelakkan betisnya daripada pakaiannya supaya masuk di dalam sarah, maka selesai Nabi Sulaiman daripada sembahyang, maka terpandang ia atas pandangan tiada qasad dan melihat atas dua kakinya, maka tiba-tiba banyak bulu betisnya, maka tatkala memandang Nabi Allah Sulaiman, maka mekembalikan pandangnya daripadanya, maka berkata, Hai Tuhanku bahawasanya pandangku tiada dengan sengajaku.``
Apa yang disifatkan sebagai aib pada puteri Saba` itu kemudian dipulih sempurna. Akhirnya Balqis berkahwin dengan Nabi Allah Sulaiman dan memperluaskan kerajaan di sebuah pulau.

Walau bagaimana keduanya tidak sunyi daripada mendepani ujian. Episod yang boleh dianggap sebagai anti klimek di dalam penceritaan, kononnya Raja Sulaiman kehilangan kerajaan kepada pencuri jin Sarha yang mencuri cincinnya menyebabkan ia diusir keluar dari istana dan berkahwin dengan anak nelayan. Jin Istarha tak senang tinggal di istana kerana diganggu oleh bacaan ayat-ayat suci dan melarikan diri dan mencampakkan cincin ke dalam laut dan ditelan seekor ikan yang ditangkap oleh nelayan dan ikan itu dibelah perut oleh isteri Nabi Sulaiman dan cincin itu dikembalikan kepada Nabi Sulaiman. Dengan itu ia mendapat kembali kerajaannya memerintah di Baitul Maqdis.

Fakta tentang Nabi Sulaiman adalah benar di dalam sejarah dan disebut di dalam al-Qur`an termasuk tentang Ratu Balqis, burung Hud-Hud dan Jin Ifrit . Namun bagi menghidup dan memanjang cerita fakta ditokok tambah dengan gambaran kehebatan istana Ratu Balqis dan kekuatan tentera dan kebijaksanaan pegawai-pegawai. Fakta kewujudan negeri Saba` di Yaman memang benar.  Gambaran kekuasaan Nabi Sulaiman lebih hebat. Dia menguasai angin, memahami bahasa binatang yang tunduk kepadanya termasuk jin dan ifrit.

Episod kunjugan Ratu Balqis sengaja diatur bagi menunjukkan kebesaran Nabi Sulaiman dan menjadikan Ratu Balqis terpesona dengan berbagai keanihan, termasuk perjalanan di atas cermin yang disangka Ratu Balqis ia mengharungi air laut. Untuk menkontras rasa ghirah, pencerita menggambarkan betis Ratu Balqis berbulu dan dikatakan Nabi Sulaiman terpandang dengan tidak sengaja selepas memberi salam pada akhir sembahyang asar.

Tujuan penceritaan bagi mengagungkan Nabi Sulaiman yang tiada tandingan dari segi pemerintahan, tetapi anti klimeks bila digambarkan diusir keluar dari istana dan menjadi nelayan. Ayat-ayat di dalam penceritaan adalah licin. Pembaca perlu ingat, apa yang dibicarakan adalah cerita, bukan kitab agama. Sebagai cerita ianya mengandungi unsur estetik dan kreatif serta mengalami tokok tambah, imaginasi, pengaruh budaya dan konsep penceritaan semasa.

Sekian.