January 28, 2014

Berpeluang Melawat TG Dato` Dr. Haron Din Di IJN

-->
IJN, Kuala Lumpur, 25 Rabiul Awwal 1435 = 27 Januari 2014 (Isnin):

Bermula dengan kehadiran saudara Azemi Ahmad ke Gotong Royong bersama Penulis di Kajang Utama kelmarin (Ahad 26 Januari), sebagai seorang yang rapat dengan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, Penulis bertanya saudara Azemi tentang perkembangan kesihatan TG. Beliau menyatakan, ``Al-Hamdulillah semakin pulih``. Penulis bertanya kemungkinan untuk melawat TG. Beliau menjawab, beliau akan cuba dan beri tempoh hingga tengahari hari ini untuk mendapat kepastian.


Sebelum tengahari tadi Penulis menerima jawapan positif dari saudara Azemi, bahawa appointment kunjungan jam 6.00 petang hari ini dengan masa terhad dan jangan bercakap banyak ! Demikian peringatan dari anak TG - saudara Hamdi sebagaimana dimaklumkan oleh saudara Azemi.

Jam 4.00 petang Penulis bertolak ke rumah saudara Azemi dan saudara Azizi yang rumah mereka sebelah menyebelah di Kajang Utama. Saudara Azizi yang mahir memandu dan lebih tahu tentang selok belok jalan ditugas memandu yang kami jangka berdepan dengan jamned. Dengan memilih melalui jalan depan Parlimen, dengan sedikit kesesakan kami tiba jam 5.20 dan bersolat asar di Surau IJN. Kemudian kami bertiga naik ke tingkat dua menunggu jam 6.00  petang. Kami ditanya saudara Khairi menantu TG yang menjaga keselamatan TG dan mengawasi pengunjung. Kami maklumkan yang kami telah buat temu janji dengan saudara Hamdi untuk menziarah jam 6.00 petang ini. Saudara Khairi masuk mempastikan persediaan. Kami dibenarkan masuk lebih awal 10 minit.
Penulis bersama saudara Azemi dan Azizi memngucap salam dan bersalam dan di hulur tangan oleh TG dengan wajah ceria dari atas katil. Kami telah dimaklumkan terlebih dahulu yang TG prihatin terhadap perkembangan pembinaan Masjid al-Umm dan TG berminat mengetahui perkembangan lanjut. Tetapi diingatkan jangan bercakap panjang dan TG memang akan banyak bercakap, jika kita lanjutkan percakapan,  tapi dibimbang takut mengganggu kesihatannya.

Sebelum Penulis memulakan percakapan berkenaan Masjid al-Umm TG terlebih dahulu bertanya mengenai hasil pertemuan AJK Pembinaan dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Khamis 23 Januari lepas yang sepatutnya dihadiri Tuan Guru sama, tapi pada hari tersebut TG mulai dirawat di IJN dan tidak dapat hadir bersama. Penulis memaklumkan yang pihak LZS yang diketuai oleh CEOnya Tuan Haji Izam Mohd Yusof menerima baik kehadiran dan bersedia membantu dengan peruntukan, tapi harapan mendapat derma yang lebih tinggi ialah melalui tokoh-tokoh koporat yang maklumat dan urusannya akan dilakukan oleh pihak LZS. TG berminat untuk mengetahui – antara tokoh-tokoh berkenaan. Penulis memaklumkan yang surat permohonan diminta oleh LZS hantar, mulai dihantar oleh Setiausaha Tuan Haji Suib Maulud pada hari ini. TG menyebut, beliau akan usaha untuk menemui Pengerusi LZS yang juga Pengerusi Wakaf Selangor Tan Sri Anuar pada masa sesuai.

Pada kesempatan itu TG Dato` Dr. Haron Din melalui anaknya saudara Hamdi menunjukkan gambar Masjid di kampong TG di Perlis di dalam handphone yang baru diterima yang kos membinanya ditanggung oleh TG. Menurut TG kosnya ialah hanya RM2 juta, tapi dengan plan yang sama dan kontrektor yang sama, tapi dibiayai oleh kerajaan kosnya RM7 juta ! Begitu jauh bezanya !  Pada kesempatan itu Penulis juga menunjukkan gambar-gambar dalam handphone Penulis perkembangan terbaru mengenai pembinaan Masjid al-Umm. Antaranya penanaman cerocok bagi membina tembok bagi masjid yang disifatkan oleh TG yang melihatnya sebagai `kukuh` dan kawasan parkir yang sedang ditambak tanah. TG Dato` Dr. Haron Din nampaknya amat prihatin tentang Masjid al-Umm. Beliau melahirkan kerisauan kalau-kalau tidak sempat dikumpul dana selari dengan perkembangan pembinaan, namun TG optimis dengan izin Allah dan usaha berterusan insya Allah dana akan dapat dihimpunkan.

Kami bercakap dalam masa 10 minit selain dari kami bersama TG, sama berada di dalam ward itu ialah isteri TG Datin Khadijah, saudara Hamdi dan Dr. Huda kedua-duanya anak TG juga Dr. Azlin dan saudara Khairi yang kedua-duanya menantu TG. Selepas lebih kurang 10 minit menziarah, kami bersalam memohon diri sambil melahirkan doa dan harapan semoga TG segera sembuh.

Bila keluar kamar kami dapati pihak petugas menyediakan katil untuk memindahkan TG dari ward CCU ke ward biasa. Ini menandakan bahawa TG semakin sihat, sebab itulah akan dipindah ke ward biasa dan kami difahami TG akan keluar dari IJN dalam masa terdekat. Al-Hamdulillah dan syukur kepada Allah.

Bila pulang melalui Bandar agak jammed. Kami bersolat Maghrib di Surau Kajang Sentral sebelum tiba ke rumah.

Sekian.

January 27, 2014

Rasmikan Gotong Royong & Sampaikan Bantuan Kebajikan Di Kajang Baru

-->
Kajang Baru, 24 Rabiul Awwal 1435 = 26 Januari 2014 (Ahad):


Penulis selaku Mantan Adun Bangi-Kajang telah dihubungi oleh pihak AJK Rukun Tertangga Penduduk Kajang Baru, Kajang dengan tujuan mendapat peruntukan bagi mengadakan Gotong Royong membersih kawasan. Menyangka mereka masih keliru bahawa Penulis bukan lagi berstatus Adun, Penulis mencadangkan mereka berurusan dengan Pejabat Adun Bangi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Mereka menegaskan bahawa mereka tahu bahawa Penulis bukan lagi Adun Bangi, tetapi memandangkan banyak kegiatan Penulis sebagai Adun lakukan dahulu, mereka seolah-olah nostalgia terhadap Penulis dan maukan Penulis juga datang merasmikan gotong royong. Setelah berunding tentang tarikh, masa, kegiatan dan peruntukan yang diperlukan, maka Penulis meminta mereka datang pada Isnin 20 Januari 2014 ke pejabat Penulis untuk mengambil peruntukan. Keterlibatan kemasyarakatan Penulis ini tidak bermotif politik, sebaliknya sebagai mengenang budi masyarakat di Dun Bangi dan juga Dun Kajang yang pernah memberi kepercayaan kepada Penulis menjadi Adun di Bangi (2008-2013) dan Kajang (1999-2004). Penulis bersedia terlibat kepada kegiatan-kegiatan yang bersifat kebajikan dan pendidikan.


Pagi ini (Ahad 26 Januari 2014) sebagaimana dijadualkan Penulis tiba di Markas Rukun Tetangga Kajang Baru jam 8.00 pagi bersama saudara Azizi dan turut hadir kemudian ialah saudara Hamidi Bekas Ahli MPKj dan saudara Azemi Ahmad. Kami disambut oleh Penasihat AJK En. Paramis, Pengerusi En. Othman bin Ali, Timbalan Pengerusi En. Usamah bin Ibrahim, Setiausaha Puan Assunta Devi, Bendahari Puan Manbili, Ketua Biro Kebajikan Puan Maslina dan Ketua Biro Keselamatan En. Jamaluddin Muhammad. Turut hadir penduduk setempat yang terdiri dari berbagai kaum – lelaki dan perempuan, orang muda dan juga tua.


Bagi menyempurnakan gotong royong turut dijemput ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Kajang yang diketuai oleh En. Ahmad Reza. Pihak MPKj menghantar tenaga-tenaga kerja dengan tiga buah lori, turut hadir ialah pihak Bomba dengan petugas-petugas dan juga pihak Syabas. Sebelum gotong-royong bermula peserta-peserta dijemput bersarapan pagi dengan nasi lemak. Kemudian Timbalan Pengerusi menjemput Penulis menyampaikan ucapan perasmian.


Penulis selaku Mantan Adun Bangi-Kajang mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan kepercayaan penduduk yang mencerminkan rasa kasih sayang dan kemesraan penduduk masih berkekalan dan hendaknya berterusan. Mantan Adun memuji pihak AJK dan penduduk mengambil inisiatif mengadakan gotong royong dan merupakan masa yang tepat, kerana wabak denggi berlaku di Negara kita. Berita mutakhir sebanyak 280 kes berlaku sehari dan 145 daripada kes adalah di Selangor. Selangor tertinggi dari kes denggi dengan 23,852 kes 2013 dengan kematian 23, kini kes terbaru  3,168 kes. Sejak awal 2014 hingga kini 10 kematian berlaku. Di Selangor kawasan yang paling tinggi dengan kes denggi ialah Petaling Jaya, diikuti Hulu Langat dan daerah-daerah yang lain. Tadi saya ditunjukkan oleh Pegawai Kesihatan bahawa mereka telah dapat mengesan jejentik nyamuk denggi yang diisi di dalam tiga bekas plastik.  Gotong royong adalah merupakan pencegahan dan pencegahan adalah lebih baik dari pengubatan. Sesungguhnya kesihatan tidak disedari tinggi nilainya kecuali seseorang itu sakit. Dengan gotong royong mengeratkan hubungan tetangga dan kekeluargaan. Penulis melahirkan rasa gembira melihat penduduk di Kajang Baru dari berbagai kaum memberi kerjasama yang baik setiap kegiatan yang diadakan dan kerjasama sedemikian diharap dapat diteruskan. Kata Penulis, ``Saya difahamkan kegiatan hari ini merupakan fasa pertama yang kawasannya meliputi Jalan 9 (dekat Surau al-Hidayah) hingga Jalan Tiga. Untuk Fasa Kedua kelak melibatkan Taman Permai hingga kawasan Surau dan fasa ketiga meliputi seluruh Kajang Jaya.``


Selepas dari perasmian, gotong royong dimulakan yang fokus utama ialah padang berdekatan dengan Markas Rukun Tetangga dengan menebas semak, memotong batang pokok dan mengangkat barang-barang buangan ke lori MPKj. Penduduk beramai-ramai bergotong royong. Mereka yang keluar makin ramai. Antara mereka mengeluarkan barang-barangan yang hendak dibuang, manakala unit memotong pokok MPKj memotong dahan-dahan pokok. Sementara itu pihak Bomba dan Syabas menumpukan perhatian pada membersih longkang dan sampah di longkang-longkang berhampiran dengan Surau al-Hidayah.


Selepas bersama gotong royong penulis bergerak dari rumah ke rumah menyampaikan bantuan kepada warga emas yang uzur, iaitu Tuan Haji Abdul Rahman (58), Puan Pawai (70), En. Nenak Periakok (96), En. Mazlan (60) dan Puan Aeda (55).


Selepas menyampaikan bantuan, Penulis kembali ke majlis menerima cenderahati. Walaupun peruntukan disediakan kecil – sekitar RM1,500 sahaja, namun hasil dari gotong-gotong manfaatnya lebih besar dari itu. Semasa Penulis dan saudara Azizi memohon diri sekitar jam 11.00 pagi gotong royong  masih diteruskan. Sadara Azemi Ahmad yang merupakan penduduk setempat meneruskan gotong royong bersama mereka.

Sekian.

January 26, 2014

Memahami Implikasi GST

-->
BBB, 23 Rabiul Awwal 1435 = 25 Januari 2014 (Jumaat):

Bagi memahami apa itu GST dan implikasinya, maka Penulis pada malam ini turut menghadiri forum bertajuk, ``GST – Kesan Kepada Rakyat dan Negara`. Forum ini merupakan siri ke 7 dari Wacana Pemikiran Bangi, anjuran Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi bertempat di Kompleks Pendidikan Islam Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Adun Bangi dan Jaringan Siswazah Malaysia (JASA).


Turut hadir pada malam ini ialah, Tuan Haji Ahmad Sufi Munassir YDP Pertsatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, saudara Abdullah bin Abdul Karim Presiden JASA dan para peminat forum.

Ahli panel forum terdiri dari saudara Azrul Azwa Mantan Chief Economic Bank Islam yang kini merupakan Pemimpin di Institut Rakyat, Dr. Hanif Asistant Professor Kuliah Undang-Undang UIAM, saudara Mohd Ruslan Mohd Ali Persatuan Accountant Tax Agent dengan moderator saudara Alias Safar.

Sebelum forum bermula jam 9.30, Tuan Haji Sufi menyampaikan ucapan alu-aluan dengan mengucapkan terima kasih kepada ahli panel dan peserta-peserta yang sudi datang menjayakan forum. ``Tujuan forum diadakan bagi memberi kefahaman kepada penduduk BBB tentang apa itu GST yang kerap diperkatakan dan apakah implikasinya. Beliau juga mengumumkan beberapa kegiatan bakal diadakan oleh Persatuan penduduk seperti Kuliah Mingguan pada setiap Sabtu dan Himpunan Penduduk yang akan diadakan pada 9 Februari 2014.

Menurut moderator, GST (Government Service Tax) mula disebut dalam ucapan bajet 2005 yang dijangka dilaksana pada Januari 2007, tapi ditangguh dan dibaca semula pada 2009 dan patut dilaksana pada 2010 dan masih ditangguh dan dijangka dilaksana pada tahun hadapan.

Menurut panel pertama saudara Ruslan, ``Cukai jualan dan service  - Bila guna kita bayar sudah wujud dengan jumlah cukai 10%. GST adalah cukai kepada semua barang dan perkhidmatan secara menyeluruh dan cadangan dikenakan cukai 6%``, tambah saudara Ruslan, ``Setakat ini 146 negara di dunia telah mengamalkannya, termasuk jiran kita Singapura dan Thailand, tapi cukai dikenakan murah. Contoh Singapura 3%.``


Menurut Dr. Hanif, ``Cukai konvensional memberi ruang pihak tertentu mengelak dari cukai, tetapi dengan GST semua tanggung cukai yang dikenakan ke atas setiap barangan termasuk perkhidmatan (melainkan yang dikecualikan cukai).

Menurut saudara Azrul Azuan bagi perlaksanaan GST syarikat-syarikat bermodal RM500,000 ke atas dikehendaki mendaftar dan kerajaan dapat mengawal dari segi pergerakan cukai. Pemenang terbesar yang dapat mengawal cukai ialah kerajaan, kerana dapat mengawal dari berlakunya mengelak cukai. GST dianggap lebih adil kepada peniaga, tanpa mengabaikan rakyat terbanyak.


Menurut saudara Azrul, ``Kerajaan tak boleh bergantung pada Petronas sahaja yang petrol bakal habis. Cukai 6% bakal menampung keperluan kerajaan.``

Pendapat umum yang turut memberi pendapat:

Forum lebih bersifat andaian dan tidak berjaya memberi penjelasan yang memuaskan.
Namun pihak yang paling terkesan dengan GST ialah rakyat banyak.
Dengan GST tidak menjamin dari salah guna kuasa.
Dengan GST akan bertambah inflasi dan makin membebankan rakyat berpendapatan rendah. Apa lagi dengan kenaikan kos berterusan.
GST akan menurunkan pertumbuhan ekonomi Malaysia
Kenaikan harga barang tidak sebanding dengan pendapatan dan gaji.
Hutang isi rumah bertambah tinggi dengan hutang Negara lebih 50%
Untuk menjanakan pendapatan bukan GST hanya satu cara yang perlu dilaksanakan.
Bukankah kita mempunyai pakar-pakar ekonomi, tidak mampukah mereka menjanakan satu pendekatan ekonomi yang lebih baik dari GST ?
Malaysia patut mempunyai pendekatan ekonominya sendiri – terbaik dan menonjolkan kewibawaan dan kebijaksanaannya sendiri yang memberi faedah bagi rakyat dan Negara.

Sekian.

January 25, 2014

Kunjungan Dan Perbincangan Dengan Pelajar-Pelajar Ph. D.

-->
BBB, 22 Rabiul Akhir 1435 = 24 Januari 2014 (Juma`at):

Pagi ini Penulis dikunjungai oleh beberapa pelajar yang sedang membuat Ph. D. di beberapa buah universiti tempatan. Kunjungan ini sepatutnya berlaku semalam (Khamis), tetapi oleh kerana pada sebelah pagi Penulis mempunyai urusan di MAIS dan pada sebelah petangnya pula di Lembaga Zakat Selangor, maka pertemuan dibuat pada pagi ini. Selepas mengunjungi kediaman Penulis, mereka kemudian ke Pejabat Penulis untuk perbincangan. Mereka yang datang ialah:


1)      Puan Maisarah Bt. Yaacob Pensyarah di Institut Pendidikan Islam di Bangi yang   
      kini sedang membuat Ph. D. di Universiti Pertanian Malaysia di bawah Penyeliaan
     
           Dr. Kamariah Kamaruddin, judul tesisnya ialah:
           Tarbiah Di Dalam Novel Komsas (Komponan Sastera).

2)      Puan Zanariah Bt. Ibrahim Pensyarah di Institut Pendidikan Islam Bangi yang kini sedang membuat Ph. D. di Universiti Malaya di dalam bidang bahasa di bawah penyeliaan Dr. Maslida. Judul tesisnya ialah:
Lakuan Bahasa Diskriptif.
3)      Puan Siti Hajar Idrus dari Institut Pendidikan Islam Bangi yang sdang membaut  
      Ph. D. di Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam bidang Puisi Tradisional.
      Tajuknya berhubung dengan Teromba. Penyelia ialah Dr. Saiful.
4)      Nurul Farhani Abdul Razak (Anak Puan Maisarah) Guru graduate yang sedang   
      menunggu posting.
Secara kebetulan semasa mereka hadir saudara Azizi datang ke pejabat Penulis dan turut sama meraikan mereka.

Kami berbincang secara terbuka berhubung dengan bidang-bidang yang dikaji mereka. Bagi Puan Maisarah adalah bekas pelajar Penulis semasa di UKM dan menggunakan teori Takmilah semasa menulis Latihan Ilmiah. Penyelia beliau Dr.Kamariah Kamaruddin juga bekas pelajar Penulis semasa di UKM. Selepas membuat Ijazah sarjana beliau membuat Ijazah Ph. D. di Universiti Malaya dengan mengkaji sejumlah novel dengan menggunakan Teori Takmilah di bawah penyeliaan Profesor Dr. Mohamad Mokhtar bin Abu Hassan (Akademi Pengajian Melayu) dan Profesor Madya Dr. Che Zarrina Sa`ari (Akademi Pengajian Islam). Penulis adalah antara Pembaca Luar bagi penilaian tesis Ph. D. Dr. Kamariah. Kini Puan Maisarah membuat Ph. D. di bawah Dr. Kamariah yang juga akan menggunakan Teori Takmilah.


Masalah yang ditimbulkan oleh Puan Maisarah, bagaimana mengaplikasi dan membuktikan kandungan novel Komsas yang dipilih pada bahagian atas bagi komponen Takmilah, khususnya aspek Ketuhanan dan Kerasulan yang merupakan prinsip puncak bagi 7 prinsip. Menurutnya bagi lima prinsip yang lain jelas dan kurang bermasalah. Sebenarnya pada dua peringkat ini perlu pembacaan dan kefahaman yang luas tentang aspek Ketuhanaan dan Kerasulan bagi dikaitkan dengan kandungan yang dikaji yang melibatkan sudut pandangan dan nilai baik secara direct atau indirect. Pendekatan Takmilah boleh bertolak dari atas atau dari bawah dengan menggunakan kaedah yang wajar.

Bagi Siti Hajar yang mengkaji tentang Teromba perlu memahami Sistem Adat di negeri Sembilan, khususnya Adat Perpatih dan juga Sistem Sosial Masyarakatnya yang antaranya pernah ditulis oleh Gullick, Nordin Selat dan Dato` Abdul Samad Idris. Beliau juga perlu mengkaji dengan mendalam dari segi puisi Teromba yang bersifat bebas di dalam konteks puisi tradisional dan penggunaannya di tengah masyarakat dan potensi mengaplikasinya sebagai puisi moden. Bidang ini pernah dikaji oleh Profesor Madya Dato` Dr. Mohd Rosli Saludin yang membuat kajian peringkat sarjana di bawah penyeliaan Penulis tentang Teromba dan melanjutkan kajiannya pada peringkat Ph. D. di Universiti Malaya di dalam bidang yang sama. Beliau banyak menghasilkan penulisan yang perlu dibaca bila mengkaji tentang teromba.

Berhubung dengan bidang kajian Puan Zanariah bt. Ibrahim yang melibatkan bahasa, Penulis tidak membincangkannya, kerana di luar dari bidang Penulis.

Mengakhiri pertemuan Penulis menghadiahkan tiga buku bagi setiap orang daripada mereka, iaitu buku Bangi Bandar Ilmu, Gagasan Bangi dan Puncak Rindu.

Sekian.

January 24, 2014

Ke Lembaga Zakat Selangor, Memahami Perjalanan Dan Ruang Mendapat Dana

-->
Shah Alam, 21 Rabiul Awwal 1435 = 23 Januari 2014 (Khamis):

Petang ini jam 3.00  kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm tiba di Bangunan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di bawah MAIS sebagaimana temujanji yang telah dibuat sebelumnya bertujuan kemungkinan melengkapkan dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm. AJK pada petang ini sepatutnya dipimpin oleh Penaung bagi AJK Pembinaan Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din, tapi beliau berkeuzuran di saat akhir. Kunjungan diketuai oleh Penulis selaku Pengerusi AJK, Tuan Haji Mohd. Nor Yassin, Tuan Haji Abdul Rahman, Tuan Haji Suib Maulud, saudara Adham yang merupakan AJK dan Tuan Haji Azizi bahagian dokumentasi.


Kami disambut oleh pihak LZS diketuai oleh Tuan Haji Mohamed Izam Mohamed Yusof Ketua Pegawai Eksekutif  LZS, En. Abdul Basith Hamid Ketua Bahagian Pengagihan dan En. Huzairi selaku Setiausaha pertemuan.

Tuan Haji Izam mengalu-ngalukan kami ke LZS dan bersedia mendengar tujuan kunjungan kami. Dalam ucapan ringkas Penulis mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tuan Haji Izam selaku CEO LZS menerima kunjungan kami sambil Penulis memperkenalkan seorang demi seorang AJK yang hadir. Secara ringkas juga Penulis menerangkan tujuan kehadiran dan menyebut tentang usaha yang telah dilakukan tentang Pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Pembinaan sedang berjalan dan kini pada peringkat penanaman cerocok. Penulis memaklumkan jumlah keperluan kewangan yang diharap pihak LZS dapat membantu mencukupkan keperluan.


Sebelum Tuan Haji Izam memberi ucapan balas, Tuan Haji Abdul Rahman Daud Selaku AJK dan juga Pengarah Projek menyampaikan salam Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Beliau memberi penerangan secara menggunakan power point tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm yang disifatkan oleh Tuan Haji Izam sebagai `Besar dan Menarik`. Tuan Haji Abdul Rahman menekankan pihak AJK telah berjaya memungut setakat ini berjumlah RM4.16 juta dan memerlukan lagi sebanyak RM1.84 juta bagi menggenapkan jumlah RM6 juta yang melayakkan AJK menuntut janji dari Kerajaan Negeri Selangor menambahkan sejumlah yang sama.


Tuan Haji Izam memaklumkan, bahawa pihak LZS bersyukur tentang pertambahan pengeluaran zakat di Selangor dari setahun ke setahun dari tahun 2011 sebanyak RM330 juta, 2012 RM450 juta dan 2013 RM517. Polisi LZS menurut fatwa bahawa zakat yang dipungut mesti dihabiskan pengeluaran setiap tahun itu kepada asnaf yang ditentukan syarak. Berhubung dengan masjid, ``Kita tidak boleh menggunakan zakat bagi pembinaan masjid, tetapi dapat menggunakannya bagi tujuan mengimarahkannya seperti menyediakan peralatan dan jumlah maksimumnya tidak melebihi RM50,000/=. Satu cara bagi membantu masjid, ialah dengan menawarkan kepada pengeluar zakat – terutama dari koporat – jika mereka berhasrat dan berminat untuk menderma bagi pembinaan masjid. Ini merupakan satu alternatif bagi mendapat dana masjid. Ini dilakukan oleh pihak LZS yang mempunyai bahagian khas bagi menguruskan derma sedemikian. Tuan Haji Izam menyebut Bangi salah satu cawangan LZS yang banyak menerima pengeluaran zakat. Ini bermakna ramai kalangan pengeluar dan korporat yang mengeluar zakat dan mereka ini wajar didekati yang kemungkinan mereka berhasrat untuk menderma kepada masjid, khususnya bagi kawasan mereka sendiri. Tuan Haji Mohd. Nor Yassin selaku Bendahari menyebut, ``Memang ada dari kalangan mereka menyalurkan derma kepada Tabung Masjid al-Umm dan antaranya ada yang menyalurkannya melalui LZS – MAIS, kita mengucapkan terima kasih,`` tambahnya, ``Kita berharap ramai lagi dari kalangan mereka akan berbuat demikian.``


Sambil minum Tuan Haji Izam menyebut selain dari peruntukan besar bagi asnaf  termasuk pendidikan antara yang terbesar  bahawa LZS terlibat menyediakan keperluan kebajikan seperti penyampaian Bantuan Keperluan Hariraya` yang disalurkan kepada setiap daerah secara tahunan. Pihak LZS juga mendaftar jumlah faqir-miskin di Selangor, iaitu sejumlah 30,000 yang mereka diberi bantuan. Dijangka 2014 jumlah mereka akan bertambah kepada 38,000 orang . Bantuan juga diberi kepada ibu tunggal dan ibu tinggal menurut had kifayah. Antara bantuan ialah dengan menyediakan pusat dylisis. Tuan Haji Izam menyebut antara pusat dylisis disediakan di Hulu Langat berjumlah 5 tempat, Petaling 7, Gombak 4 dan di daerah-daerah yang lain. Jumlah mereka yang dirawat dari segi dylisis ialah 16,000 orang. Juga dibantu pesakit jantung yang peruntukan bagi mereka kadang-kadang agak tinggi.


Pihak LZS juga meluluskan sebanyak RM2 juta peruntukan kecil bagi mereka yang benar-benar menghadapi kecemasan. Bantuan seperti ini biasanya antara RM50/= hingga RM500/=. Pendek kata LZS dan cawangan-cawangan dari satu segi sebagai institusi kebajikan yang banyak pihak yang berkelayakan menggantung harap kepadanya.

Pertemuan mesra itu berakhir dengan janji akan membuat urusan susulan antara AJK dengan pihak LZS.

Sekian.

January 22, 2014

Lanjutan Puisi Generasi Kolej Islam


BBB, 20 Rabiul Awwal 1435 = 22 Januari 2014 (Rabu):

Puisi Islam tidak semestinya memperkatakan akidah dan hukum hakam Islam secara langsung, tetapi segala persoalan dapat diperkata dan dijadikan tema puisi yang dipersepsi dan dilihat dari sudut pandang keislaman. Lantaran itu kita dapati ada tema yang dekat persoalan keislaman dan ada tema biasa, tetapi dilihat dari pespektif keislaman. Badaruddin H.O. misalnya memperkatakan tentang perutusan Rasulullah s.a.w. yang temanya memang dekat dengan Islam dengan judul puisinya

Purnama Benderang Di Atas Kepala

(Purnama benderang di atas kepala
Hari ini dan sebelumnya
Hari esok dan sesudahnya
Menguak mendung awan pesona).

Dalam gelap sinar zaman berawal atau berakhir pun
Oh ! Rasul – hati dunia ghairah merinduimu
Meski mereka orang Afrika atau mereka orang Asia
Meski mereka orang Eropah atau mereka orang Amerika.

Lagu tanah Hijaz iramanya mengalun
Lagu pujaan kafilah kehidupan
Bagaikan tiada puas telinga mendengar
Lalu meresap mengelus di hati
Dan engkau oh, Junjungan telah menapakkan kakimu
Di alun-alun sepanjang perjalanan yang nekad
Dari rumah Maha Pengasih dari rumah Maha Pencinta
Dengan langkah berderap gegarnya di setiap benua.

Dalam gelap sinar zaman berawal atau berakhir pun
Oh, Rasul – dada ini terharu sedang mata hati
Menembusi jaring-jaring waktu di denyut jantung berdetik
Umat yang pertama berjabatan salih di Kota Yathrib
Dengan yakin dan takwa mendendangkan lagu tarhib
Dengan yakin dan takwa melaungkan gema takbir
Dan engkau oh, Junjungan sudah menetapkan makrifat
Dan Yathriblah udara menafaskan hangat pejuang-pejuang yang gigih
Meski mereka kaum bangsawan atau merekalah golongan hartawan
Meski mereka kaum rakyat bawahan atau merekalah hamba tebusan
Telah menjalin benang halus di bawah menara persaudaraan
Telah membuhul simpulan kasih dan khidmat kemanusiaan.

….
Berita Minggu, 26 Jun 1966.
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, MengenangMu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 94-96).

Badaruddin  menggunakan teknik mengulang pengucapan permulaan dan pengakhiran
Purnama Benderang …(4 baris) dan diulang kembali pada penutup. Pengulangan juga dilakukan 5 kali bagi lima pecahan:

Dalam gelap sinar zaman berawal atau berakhirpun
Oh Rasul ….

Ini mengingatkan kita pada teknik marhaban yang dipecahkan bahagian-bahagian dengan:

Ya Nabi salam `alaika         Ya Rasul Salam `alaika
Ya Habib salam alaika         salawatullah alaika

Ianya merupakan teknik yang wajar.
Membaca puisi ini tentang peranan Rasullah menyatukan umat dan mendirikan Negara Islam Madinah ini mengingatkan kita kepada puisi Iqbal yang melihat peranan dan kejayaan unggul Rasulullah dalam menyatukan umat dan mendirikan Negara Madinah, bahkan meluaskan pemerintahan. Bermadah Iqbal:

Dan tempatnya berkhalwat ialah Gua Hira`
Diwujudkannya Negara, hukum dan pemerintahan
Banyak dialaminya malam tidak tidur lena
Supaya umatnya dapat bermukim di singgahsana Persia
Dalam detik perjuangan besi hancur oleh pedangnya
Dalam saat sembahyang waspa jatuh bagaikan hujan dari matanya.
                                                           (Asrar Kudi III)
(H. Bahrum Rangkuti, Asrar Khudi – Rahsia-Rahsia Pribadi – Dr. Moh. Iqbal, Bulan Bintang, Jakarta, 1976: 34-35).

Jelas ungkapan-ungkapan walaupun tak sama, tapi bersatu tema tentang perjuangan Rasulullah s.a.w. menegak Negara Islam di Madinah. Baik oleh Baharuddin H.O atau oleh Iqbal amat luas wawasan puisi mereka dan indah ungkapan. Kedua-dua mencerminkan tema dan ciri sastera yang Islamik sifatnya.

 A. Munir seorang lagi penyair Kolej Islam yang nama penuhnya ialah A. Munir bin Yaakub dilahirkan di Temerloh, Pahang. Mendapat pendidikan di tanah kelahiran di Temerloh dan menyambung pengajian di Kolej Islam. Mula menulis pada tahun 1964 dalam bidang sajak. Puisinya mendapat tempat di dalam Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Bahasa dan lain-lain.

Sebagaimana penyair-penyair Kolej Islam yang lain menulis puisi bernafaskan keislaman, demikianlah dengan A. Munir mempuisikan tema-tema yang berhubung dengan Ketuhanan, Rasulullah dan kealaman. A. Munir menulis tentang kelahiran Rasulullah.

Kelahiran Di Pekat Malam

Muhammad
Kelahiranmu di pekat malam
Sedang anak-anak teresak meronta dahaga
Ayah dan ibu nyenyak beradu
Apa diharap apa dinanti.

Dalam sorak sorai peminum anggur
Juga kedurjanaan meraja serata
Darah berbuih dari gadis-gadis manja
Apa dosanya apa pintanya
Siapa Tuhannya mana kiblatnya ?

Rasulullah diutuskan kepada umat sebagai rahmat kepada sekalian alam. Menurut A. Munir seterusnya dalam puisinya;

Pada janji-janji Tuhan
Tugas nabinya selesai sudah
Atas agama Islam pengajaran suci
Adalah kesempurnaan limpahan rahmat
Muhammad akan bangun menatap wajah umat.

Mei 1967
Dewan Bahasa Julai 1967.

Puisi A. Munir ini bersifat langsung dan begitu jelas, sehingga terasa kurang dari daya estetik. Gaya dan ciri sedemikian juga terasa di dalam puisi beliau berjudul:

Hamba Dan Tuhan

Demi Tuhan manusia adalah hamba
-          paling angkuh mendabik dada
walau disula atau dipanggang api.

Demi Tuhan manusia adalah hamba
-          paling takwa sujud menyembah
walau direbus darah mengalir basah.

….

Dewan Masyarakat, September 1967.

(Mengenangmu, 1989: 75-76).

A.  Munir sama berperanan menyemarakkan kelahiran penyair-penyair Generasi Kolej
Islam Kelang 1960an sebagai satu jalur perkembangan perpuisian tanahair, khususnya yang bernilai keislaman.

Sekian.

Contoh Puisi Generasi Kolej Islam


BBB, 19 Rabiul Awwal 1435 = 21 Januari 2014 (Selasa):

Mutu perpuisian Generasi Kolej Islam adalah selari dengan penyair-penyair sezaman yang mempunyai kedudukan. Antara mereka terkenal lantaran puisi mereka mendapat pengiktirafan. Antara mereka memenangi Hadiah sastera Malaysia pada peringkat awal hadiah berkenaan diperkenalkan. Seorang dari mereka dimaksudkan ialah saudara Marhan. Marhan ialah nama samaran bagi saudara Abdul Rahman bin Salleh. Mendapat didikan hingga ke Kolej Islam Kelang. Sejak 1970 beliau mengendalikan pendidikan swasta di Machang, Kelantan. Puisinya tersiar di dalam berbagai media seperti Dian, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera dan sebagainya. Kumpulan puisinya ialah Dengan Bayang (1974).  
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, Mengenangmu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1989: 502).
Puisinya yang memenangi Hadiah Sastera tahun 1972 ialah:

Melalui:
Fikir, Mata, Telinga dan Lidahku

Melalui kalbuku nan terbuka
Fikirku adalah bintang-bintang yang mengerdip
Segala cita-cita dan harapan
Yang bisa membentuk dan membangun
Kerukunan suatu umat
Keperibadian satu bangsa.

Mataku adalah arasy nan luas
Di perjalanan kutub dan ufuk
Atas segala sifat
Dan warna-warni yang berjisim
Sesungguhnya zat-zat dan makrifat.

Telingaku adalah perakam
Didesir angin dan ombak
Menyelinap dan meresap
Ruang-ruang yang terbuka
Sebenarnya suatu hakikat
Yang wujud dan fana
Yang mujarad dan nyata.

Lidahku api dan angin
Membakar dan meruntuh
Istana dan mahligai
Yang bertakhta di mata
Dan beraja di hati.

Ilahi Rabbi
Jiwaragaku untukmu.

Machang,
18 April 1971
(Dewan Sastera, Julai 1972: 39)

Puisi di atas adalah bersifat fikiran yang melihat fungsi-fungsi akal, inderawi mata, telinga dan lidah yang mempunyai peranan – melalui fikiran dapat membangun kemajuan, mata bagi menangkap dan menanggap makna lahiri dan maknawi, begitu juga telinga sebagai saluran mendapat maklumat dan memahami wujud secara mujarad atau nyata. Begitu juga dengan lidah yang boleh membina melalui saranan-pengajaran yang baik dan boleh sebagai racun dan api yang membakar dan meruntuhkan. Idea puisi ini tersusun rapi. Walaupun ianya bersifat idea dan pandangan, penyair berjaya meluahkannya di dalam bahasa yang indah dan tinggi daya estetiknya.

Selaku penulis kelahiran Kolej Islam selain dari Marhan turut menerima Hadiah sastera ialah Hadzrami A.R. dengan judul puisinya (Lagu Laut Jam Sebelas Pagi, 1971). Hadzrami A.R. kelahiran Pasir Mas, Kelantan (1941). Bersekolah di Ma`had Muhammadi, kemudian ke Kolej Islam, Kelang (1958-1963). Pernah bekerja di Berita Harian, Pegawai Akhbar di Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah, Pegawai Akhbar di Kementerian Penerangan dan Ketua Pratonton dan Penapisan TV 3, Kuala Lumpur. Menulis puisi, cerpen dan kritikan. Kumpulan puisinya Dunia Di Bibir Kiamat (1971), Terbit Matahari (1972). (Mengenangmu, 1989: 497).

Lagulaut Jam Sebelas Pagi

Mereka berkumpul di teluk itu
Pantai melengkung bibir gadis
Rapat ke tepi perahumu
Pegang ujung pukatarik
Ramairamai kecil-besar, bersuara
   Tarik weih, tarik weih
Ombak berombak membantu memutih.

     Mereka paling miskin bangsaku.

Kolek-kolek sunyi dari motobot berbunyi
Berlinggang atas permaidani air
Orang tua dengan kain lusuh
Dari pinggang hingga kepala
Berbisik pada kawannya dengan curiga:
         Masuki kindungan, masukkan
         Udang baring bikin belacan.

       Mereka paling tersepit bangsaku.

…..

Pantai Rusila,
Terengganu: 11.45 pagi
6.3.1971.

(Dewan Sastera, Jun 1971: 40).

Di atas adalah gambaran nelayan menarik pukat ke pantai beramai-ramai bagi menangkap ikan dan udang baring. Mereka adalah kumpulan nelayan yang terkenal miskin. Hadzrami terkesan ketika singgah di pantai dan memerhati realiti episod kehidupan mereka sebagai nelayan pantai.

Hadzrami juga terkesan dengan pemergian seorang pejuang bangsa terkenal di dalam bidang pendidikan – sewaktu umurnya masih muda. Fragmen:

Nestapa
(Untuk Allah Yarham Aminuddin Baki)

Tembok duka gurun nestapa
Waktu belakangan –
Meriah berpawai di depan mata
Berjulangan –
Wajah demi wajah ghaib di senja
Ke balai penghadapan –
Pemergian orang-orang berjasa.
Ia yang pergi dengan lagunya bernama
Gemuruh jantung –
Maka kulepaskan dengan kelu terpaku
Rabu bersabung –
Sekuasa diri memupuk restu.

Berkibas sayu malaikat di kiri kanan
Mengiring tamu –
Dari pintu dunia menyeberang jalan
Disambut syahdu –
Ke pantai abadi berpandu obor kebaktian
Dipayung sayap-sayap biru

Tangisan anak-anak  pada kehilangan besar
Penghormatan –
Pemergian setelah permaidani terhampar
Kebesaran –
Sedang harga manusia yang sebenar
`lah disemaikan.

…….

Ia yang pergi dengan lagunya bernama
Ia yang pergi dengan lagunya bergema
Menapak tangga mahligai menguntum senyum
Laut zaman beriak memercik harum.

Sayap-sayap malaikat berkipas kiri kanan
Menyongsongi hayat (dan maut) mengusung iman
Mendorong rentak pada peragu mencapai depan.

Tuhanku –
Ada kekuatan padaku sebentar terpaku

Berita Minggu, 2 Januari 1966.

Aminuddin Baki Pejuang selaku Ketua di Kementerian Pendidikan peka terhadap kelemahan anak bangsa di dalam bidang pelajaran. Ungkapannya `Itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelapara` begitu terkenal. Dia berjuang bagi menaikkan prestasi anak bangsa dalam bidang pelajaran. Kematiannya dikala masih muda ditangisi anak bangsa. Hadzrami turut mencatat tentang kesedihan ini.

Mutu puisi kedua-dua penyair – Marhan dan Hadzrami, berbetulan kedua-dua penyair dari Kelantan, mendapat pendidikan di Kolej Islam tidak dipertikaikan. Puisi kedua-dua mereka diiktiraf dan memenangi Hadiah Karya Sastera Kerajaan Malaysia.

Sekian.