March 14, 2015

Persuratan Undang-Undang Melayu (Lama): Melengkapkan Pentadbiran


BBB, 22 Rabiul Akhir 1436 = 13 Mac 2015 (Juma`at):
Kerajaan Melayu, khususnya Melaka adalah kerajaan bertamadun dan berperadaban. Perjalanan pemerintahan melibatkan pentadbiran, urusan perdagangan dan perniagaan dengan pihak tempatan dan juga luar negara, pentadbiran keagaman dan juga hubungan luar. Bagi melicinkan pentdbiaran memerlukan aturan dan undang-undang. Sejak awal dari penubuhan kerajaan Melaka kesedaran kepada adanya peraturan dan undang-undang telah timbul. Selepas menerima Islam dan Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi Sultan (1422-1444) oleh Sayyid Abdul Aziz yang turun dari Makkah Baginda telah menggubal aturan-aturan. Iaitu dengan melantik Bendahara (Seri Wak Raja). Perdana Menteri (Raden Anum) bergelar Seri Amar Diraja, Penghulu Bendahari (Raja Kecil Muda) bergelar Seri Nara Diraja. Seterusnya Sejarah Melayu merakamkan bahawa:
``Syahadan Bagindalah yang pertama-tama meletakkan kekuningan larangan, tiada dapat dipakai orang keluaran dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir, dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa-apa, dan akan karang-karangan benda; dan tiada dapat diambil akan perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada jua dapat, melainkan kain, baju, dan destar, tiga perkara ini juga yang dapat dipakai. Dan larangan berbuat rumah bepermanjungan bertiang gantung tiada terletak ke tanah, dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk, dan teterapan keris; sebenar-benar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncongan emas berkepala perak ke atas boleh.``


(Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, 1967:  74).
Termasuk larang memakai emas, walau sekaya mana, kecuali diiberi keizinan Raja dapatlah dipakai selama-lamanya. Larangan juga daripada masuk ke dalam istana jika tiada kain beroancong dan berkeris dihadapan dan bersebai, tiada boleh masuk ke dalam; dan apabila masuk berkeris di belakang masuk ke dalam dirampas oleh penunggu pintu.`` (Ibid.).
Demikinlah larangan-larangan bertujuan untuk membezakan antara pihak bangsawan dengan rakyat, di samping untuk keselamatan. Aturan Diraja ini mengalami penambahan dan pembaikan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1458) sebagaimana tercatat di dalam Sejarah Melayu:
``Syahadan adalah Sultan Muzaffar Shah di atas kerajaan terlalu baik fi`il baginda, dengan adil dan murah dan saksama pada memeriksa segala rakyat; dan ialah menyuruh membuat undang-undang supaya jangan lagi bersalahan adat segala hukum menterinya.`` (Sejarah Melayu, 1967: 86).
Pada zaman kerajaan Melaka juga penggubalan undang-undang makin canggih dan bermutu. iaitu mengenai Undang-Undang Melaka yang juga bersamanya :
Undang-Undang Laut
Hukum Perkahwinan Islam
Hukum Perdagangan;
Undang-Undang Melaka mengandungi 44 fasal dalam mana fasal 1 hingga 23 ialah intisari undang-Undang Melaka iaitu antara yang utama ialah mengenai tugas orang-orang besar dari Bendahara kepada  Perdana Menteri,Temenggong dan penghulu Bendahari. Antara larangan diraja seperti pakaian dan warna kuning. Juga hukum penggunaan bahasa seperti titah, patik, murka, kurnia dan anugerah tidak boleh dipakai dikalangan rakyat. Hukum seterusnya mengenai jenayah seperti orang mengamuk boleh dibunuh, hukum membunuh, mencuri, hukum kecurangan lelaki dan perempuan yang boleh didenda dan yang lebih berat direjam, hukum mengenai kesalahan hamba, hukum mengenai tuduhan, hukum meminjam hamba untuk pekerjaan, hak bersahabat, hukum bertanam di tanah mati dan hidup, hukum ganggun pemeliharaan binatang di jalan lalu lalang. Hukum membakar - pencemaran dan memagari ladang seterusnya termasuk hukum perkahwinan dan rumah tangga.
Berhubung dengan Undang-Undang Laut adalah merupakan  undang-undang penting yang disumbang oleh Melaka di Nusantara. Undang-Undang Laut Melaka ini digubal pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1428-1528). Ia merupakan bahagian kedua dari Undang-Undang Melaka.
Antara kandungan ialah mengenai tugas segala nakhoda dan anak perahu.
Hukum orang berzina dengan isteri orang dalam jong dibunuh, hak nakhoda terhadap harta yang didapati.


Kesalahan-kesalahan di dalam jong. Orang berhutang dan ikatannya  dengan jong jika tak lunas hutang. Hukum muallim yang lalai hingga menyebabkan perlanggaran. Tindakan yang perlu diambil nakhoda bila berlaku ribut taufan. Adab yang perlu dipatuhi anak perahu, kewajipan menjaga jong dari kebakaran. Apabila jong tiba ke pelabuhan maka keutamaan tiga hari terawal diberi kepada nakhoda untuk berniaga. Jika tempoh belayar sudah berlalu dan tidak juga belayar, maka nakhoda mesti memulangkan sewa tapak.
Di samping undang-undang di atas terdapat pecahan khusus mengenai undang-undang belayar dan undang-undang perahu.
Undang-Undang Melaka ialah undang-undang yang menjadi panduan bagi pihak pemerintah menjalankan pemerintahan, manakala Undang-Undang Laut ialah bagi panduan peniaga-peniaga yang bergerak dengan perahu dan jung agar mengikut peraturan undang-undang supaya perusahaan dan perniagan dapat berjalan dengan baik.
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik 2, Penerbit Erlangga,, Jakarta, 1993:165-177).
Jika kita perhati didapati perkembangan undang-undang di Melaka makin canggih dari undang-undang yang berhubung dengan istana pada zaman Sultan Muhammad, kepada undang-undang yang perlu ditunaikan oleh pembesar-pembesar negeri pada zaman Sultan Muzaffar Shah. Kemudian berkembang kepada Hukum Kanun Melaka, iaitu undang-undang melibatkan pentadbiran negera Melaka seterusnya kepada yang lebih canggih, iaitu Undang-Undang Laut pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud, sesuai dengan Melaka sebagai sebuah negara Maritim. Undang-undang ini tidak terhad kepada Melaka, tetapi berkembang dan diguna seperti di Aceh, Patani, Johor dan berbagai pelabuhan di Nusantara.
Jelaslah Melaka bukan setakat negara, tetapi bertaraf sebagai sebuah empayar yang besar yang mempunyai kawasan dan jajahan serta pengaruh luaran. Ianya ditadbir secara undang-undang dan dengan kemajuan yang dicapai Melaka adalah tamadun dan peradaban Melayu unggul yang dibanggakan.

Sekian.

March 13, 2015

Sulalatu`s-Salatin (Sejarah Melayu) Karya Agung Melayu


BBB, 21 Rabiul Akhir 1436 =  12 Mac 2015 (Khamis):


Sulalatu`s Salatin adalah nama sebenar karya yang telah diubah oleh pengkaji-pengkaji – termasuklah oleh W.G. Shellabear kepada `Sejarah Melayu`, mungkin kerana berat sebutan judul yang berbahasa Arab. Sulalatu`s-Salatin adalah mempunyai pertalian yang rapat dengan beberapa karya histriografi Melayu yang lain terutama karya-karya yang dihasilkan pada zaman Aceh seperti Taju`s-Salatin dan Bustanu`s-Salatin.  Walau bagaimana di dalam tulisan ini rujukan akan dibuat sebagai Sejarah Melayu.
Sejarah Melayu tidak syak lagi adalah merupakan karya sejarah atau histriografi teragung dalam bahasa Melayu yang merakamkan asal usul pemerintahan Kerajaan Melaka, kemajuan dan keagungannya yang menjadi induk bagi pemerintahan negeri-negeri Melayu yang lain. Tempohnya melebihi satu abad mulai akhir abad ke 13 hingga awal abad ke 15, tetapi dari segi jatuh bangunnya `Kerajaan Melayu` berkekalan dan berkesinambungan hingga kepada pemerintahan kini.
Sejarah Melayu dimulai karangannya oleh Tun Seri Lanang Bendahara Negeri Johor pada tahun 1020H./1600M. atas permintaan `Orang Besar-Besar` bagi menyempurnakan naskhah asal yang dibawa dari Goa. Menurut catatan Tun Sri Lanang:
``Wa ba`dahu`, adapun kemudian dari itu telah berkata faqir yang insaf akan lemah kedaan dirinya dan singkat pengetahuan ilmunya; dan pada suatu masa bahawa faqir duduk pada suatu majlis dengan orang besar-besar, terlebih mulianya dan terlebih martabatnya daripada yang lain, maka berkata ia kepada faqir, ``Hamba dengar ada Hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, syahadan adalah beroleh faedah ia daripadanya.``
(Sejarah Melayu, Edisi Shellabear, W.G., Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 2).
Dari kenyatan di atas dapat difahami bahawa selepas lebih kurang seabad dari kejatuhan Melaka ke tangan Portugis, maka naskhah asal Sejarah Melayu yang kemungkinan salah satu daripada naskhah Sejarah Melayu di bawa Portugis ke Goa – tanah jajahan Portugis di India dan dibawa balik ke Melaka (ada yang berpendpat di bawa dari simpanan salah satu Gua, tempat simpanan naskhah) bagi diperbaiki oleh Tun Sei Lanang. Ini bermakna naskhah asal adalah dihasilkan sejak zaman keagungan Melaka dan asalnya dikarang oleh pengarang yang melihat antara perkara-perkara atau peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan mata kepala pengarang. Contoh seperti Perlantikan Sultan Muzaffar Shah dan merangka undang-undang, perlantikan Tun Perak menjadi Bendahara dan penentangan terhadap pencerobohan Siam dan sebagainya. Dibandingkan dengan Hikayat Hang Tuah ada setengah persamaan maklumat di dalam Hikayat Hang Tuan dan Sejarah Melayu, tetapi Hikayat Hang Tuah karya sastera epik yang diseri unsur-unsur imaginatif yang kurang menjaga dari segi fakta dan kedudukannya di dalam sejarah, sebaliknya Sejarah Melayu lebih mendekati fakta-fakta sejarah, lantaran itu judul barunya diberi sebagai sejarah Melayu, namun untuk dikatakan Sejarah Melayu sebagai karya sejarah, maka tidaklah sepenuhnya tepat sebab itu dikategorikan sebagai `Histriografi Melayu`. Walau apa pun Sejarah Melayu adalah sebuah `Karya Agung` yang pernah dihasilkan di dalam persuratan Melayu pada zaman tradisi.
Sejarah Melayu disusun secara pecahan  (34 Cerita) menceritakan tentang asal usul keturunan Raja Melaka yang juga asal keturunan Raja-Raja Melayu yang berasal dari Bukit Siguntang ke Singapura  dan ke Melaka membuka negara tersebut, bermula dengan Sultan Muzaffar Shah diceritakan juga tentang Merah Silu membuka Pasai dan pengislaman Rajanya Sultan Mlikul Salih. Sebagaimana Raja Pasai menerima Islam melalui mimpi, maka Sutan Melaka (Sultan Muhmmad) menerima Islam melalui mimpi dan kemudian didatangai Pendakwah Sayyid Abdul Aziz (Raja Pasai melalui Syeikh Ismail). Kenaikan Melaka peringkat awal diganggu oleh Raja Siam yang menghantar tenteranya mau menawan Melaka, tetapi atas kebijaksanaan Bendahara Tun Perak, maka ancaman musuh dapat dihendarkan. Dimuatkan tentang hubungan dengan kerjaan Majapahit dan Cina. Puncak dari pemerintahan ialah dengan kenaikan Sultan Mansur Shah yang bijaksana mengatur pemerinthan negeri dengan Bendahara terkenal Tun Perak dan Tun Mutahir dan wujudnya Laksamana Hang Tuah bersama kawan-kawannya.
Pada zaman Sultan Mansur Syah juga  berkembangnya pengajian. Pengajaran disampaikan oleh Maulana Abu Bakar yang dihadiri Sultan dan Pembesar-pembesar. Antara kitab yang dipelajari ialah Kitab Al-Durru l-Manzum, di samping pengajian bidang fiqh. Nahu dn saraf. Manakala pada zaman Sultan Mahmud Syah dikatakan baginda  dan pembesar-pembesar mempelajari Kitab al-Luma` (dikatakan Kitab Maklumat). Pendeknya pengajian keilmuan berkembang subur di Melaka yang dibimbing oleh Maulana Yusof. Jika di dalam Hikayat Hang Tuah pada akhir pemerintahan Melaka Hang Tuah bersama Bendahara dan Temenggung berekhalwat mengasingkan diri dan ceritanya  tidak lagi timbul, tetapi di dalam Sejarah Melayu Hang Tuah dikatakan meninggal pada zaman Sultan Mahmud dan dikebumikan di Tanjung Keling. (Sejarah Melayu, 1967: 213).  Sebagaimana Hikayat Hang Tuah Melaka mengalami kekalahan apabila diserang Portugis.  Sejarah Melayu tidak memberi tumpuan pada hubungan luar dan diplomatik. Walaupun Sejarah Melayu lebih dekat dengan realiti sejarah, tetapi tidak terlepas dari unsur mitos dan legenda, termasuk mengenai asal usul keturunan Raja. 
Didapati di dalam sejarah Melayu terdapat banyak unsur-unsur Islam. Ini menggambarkan bahawa pengarang termasuk seorang yang mendalam di dalam keilmuan Islam. Pengaruh Islam dapat dilihat dari judul asal Sejarah Melayu adalah berbahasa `Arab, iaitu Sulalatu`s-Salatin bermaksud – Jalur Keturunan Sultan-Sultan. Sebagaimana kitab-kitab Islam, maka Sulalatu`s-Salatin bermula dengan khutbah kitab bermula dengan basmalah, pujian kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah, bahkan membangkitkan tentang asal usul kejadian alam membawa kepada kejadian Adam. Ayat-ayatnya diselang seli dengan ayat-ayat di dalam bahasa `Arab.  Selepas daripada itu barulah pengarang masuk kepada tujuan mengarangnya. Selain daripada itu terdapat di sana sini ungkapan-ungkapan dan istilah-istilah keislaman yang digunakan oleh pengarang. Pendek kata Sulalatu`s-Salatin dikarang oleh pengarang yang mempunyai jiwa dan pandangan wujud keislaman.
Sesungguhnya Sejarah Melayu mengungkap dan menyerlahkan susur galur pemerintah dan asal usul Melayu yang menjadi akar tradisi sebagai tempat berpijak bagi langkah-langkah ke hadapan bagi membina kemajuan dan menghadapi cabaran masa hadapan.

Sekian.                   

March 12, 2015

Melaka Memperkasakan Persuratan Melayu: Epik Melambangkan Keagungan Melaka


BBB, 20 Rabiul Akhir 1436 = 11 Mac 2015 (Rabu):
Melaka adalah kerajaan Melayu yang muncul sejak akhir abad ke 14M. dan berkembang maju lebih dari satu abad di bawah kepimpinan beberapa orang Sultan seperti Sultan Muhammad, Sultan Muzaffar,  Sultan `Alauddin, Sultan Mansur, Sultan Mahmud dan Sultan Ahmad dengan beberapa Bendahara terkenal seperti Seri Amar Diraja,  Seri Wak Raja,  Seri Nara Diraja, Tun Perak,  Seri Maharaja dan Bendahara Tepak sebelum dikuasai oleh Portugis pada 1511. Melaka berkembang maju sebagai pelabuhan enterpot dan juga dikenali sebagai `Emporium of the East`. Ianya dimakmurkan oleh pedagang-pedagang Islam di samping pegang-pedagang alam Melayu. Antara pedagang-pedagang yang mendukung kemajuan Melaka termasuk berperanan menyebarkan agama Islam dan keilmuan Islam. Bahasa perantaraan yang digunakan di dalam pengajaran, pentadbiran dan perdagangan adalah bahasa Melayu yang bahasa tersebut berkembang luas yang merupakan lingua-franca di Nusantara.


(Al-Attas, Syed Muhammad Naguib, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu,  penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1972: 21-22).
Selari dengan keagungan Melaka  di dalam berbagai bidang yang disebutkan di atas. Melaka menghasilkan karya-karya kesusastreraan yang agung yang mencerminkan keagungan negara tersebut. Sebagai menggambarkan pencapaian Melaka sebagai negara berdaulat, makmur dan kuat serta mempunyai hubungan diplomat dengan negara-negara besar dunia, maka seniman dan sasterawan Melaka yang dipercayai rapat dengan istana dan mengetahui banyak berhubung dengan maklumat istana dan pemerintahan, maka dikarang sebuah epik yang diberi judul Hang Tuah. Menurut Profesor Mohd. Taib Osman dan Abu Hassan Sham bahawa:
``Hikayat ini (Hang Tuah) merupakan epik Melayu asli yang terbesar dan yang terpenting.``
(Mohd. Taib Osman dan Abu Hassan Sham, Warisan Prosa Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1983: 98).
Hikayat Hang Tuah ialah epik menceritakan tentang Melaka dari permulaan pembukaannya dan perkembangan, kemajuan hingga kejatuhannya selepas tempoh lebih dari seabad. Hang Tuah berlima saudara (Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Likiu) adalah melambangkan Melaka dengan pendukung-pendukung yang memajukannya yang boleh juga dilambangkan kepada Raja-Raja utama yang memerintah seperti Sultan Muhammad, Sultan Muzaffar, Sultan Alauddin, Sultan Mansur dan Sultan Mahmud yang dari pimpinan mereka termasuk watak-watak Bendahara dari Seri Amar Diraja, Seri Wak Raja, Seri Nara Diraja, Tun Perak dan Seri Maharaja Melaka mencapai tamadun dan peradaban yang tinggi. Pencapaian Melaka dan kewiraan watak Hang Tuah dan saudara-saudaranya dipandang tinggi dan dimegahi oleh bangsa Melayu. Persoalan benar atau tidak fakta-fakta yang tidak menepati sejarah tidak timbul, kerana pengarang dengan sedar, bahawa watak-watak yang digambarkan melebihi dari usia manusia biasa, begitu juga dengan watak-watak luar yang tidak selari dalam konteks sejarah. Apa yang diimaginasi dan mau ditampilkan oleh pengaranngnya ialah Keagungan sebuah kerajaan bernama Melaka dengan pemerintah-pemerintah, rakyat jelata dan interaksi dengan luar,  Hikayat Hang Tuah adalah sebuah karya kreatif dan epik !
Kandungan Hikayat Hang Tuah ialah tentang  asal usul Hang Tuah – dari Bentan dan pemergiannya ke Melaka dia bertembung dengan kehadiran Pateh Kerma Wijaya dari Jawa sebagai antigonis. Peranan Hang Tuah dan saudara-saudaranya ialah menjaga Raja, keselamatan dan keamanan Melaka di samping banyak melaksanakan misi-misi Diraja/Melaka dan menjadi  sebagai duta ke luar beberapa negara.
Hang Tuah diutus meminang puteri Inderapura dan juga ke Majapahit serta perkahwinan Raja Melaka, pertarungan antara Hang Tuah dan Gajah Mada semasa ke Majapahit. Episod Hang Tuah melarikan Tun Teja dan pertarungannya dengan Megat Panji Alam dari Terengganu tunang kepada Tun Teja dan Betara Majapahit dengan Raja Melaka. Hang Tuah difitnah dan klimek ialah pertikaman antara Hang Tuah dengan Hang Jebat dan episod kedua antara Betara Majapahit dengan Raja Melaka.
Tema yang penting yang menunjukkan kebesaran Melaka, bahawa Hang Tuah dan sahabat-sahabat memimpin misi-misi penting ke luar negara seperti Hang Tuah ke Benua Kling dan juga ke Cina, memimpin perutusan ke Siam, dengan kebijaksanaannya hingga Inderaputra Tunduk Kepada Melaka, Hang Tuah memimpin perutusan ke Turki sebanyak dua kali.


Dari cerita dan episod-episod di atas Hikayat Hang Tuah adalah memprojek imej dengan meletakkan Melaka dan Raja-Rajanya sebagai sebuah negara agung yang setaraf dengan negara-negara besar pada masa itu seperti dengan negara India, Cina, Siam dan Turki. Hang Tuah adalah lambang yang terus cergas sepanjang zaman Melaka, tetapi apabila Melaka menghadapi serangan dari luar – Portugis dinyatakan bahawa Hang Tuah mengundur diri yang mebawa kepada kejatuhan Melaka. Dikatakan Laksamana, Bendahara dan Temenggong mengasingkan diri untuk beribadat. Akan Laksamana Hang Tuah beribadat di Bukit Jugra, Bendahara di Tanjung Kling dan Temenggung di Tanjung Tuan (Nama-nama tempat ini masih kekal hingga sekarang). Kata Hikayat Hang Tuah:
``Maka Tuan Sheikh  (Gurunya dari Gujerat menemaninya semasa khalwat beribadat) itulah yang bersama-sama dengan Laksamana duduk di Bukit Jugra itu mengerjakan amar Allah siang malam, terlalu keras, tiadalah lagi Laksamana ingatkan pekerjaan dunia, melainkan syuhudnya pada Allah Ta`ala semata-mata... Maka tiadalah tersebut lagi perkatan Laksamana dan Bendahara dan Temenggong khalwat itu, wallahu a`lam bi`sawab.  Diikuti kemudian kekalahan Melaka di tangan Portugis.
(Hang Tuah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1973: 483).
Kejatuhan Melaka memanglah amat mengecewakan, tetapi pengarang Hikayat Hang Tuah mau membangkitkan semangat orang Melayu dengan beraspirasikan sejarah kegemilangan Melaka yang mengambil contoh bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dicapai. Adalah dijangka penghasilan Hikayat Hang Tuah adalah mengambil contoh Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiyyah dua tokoh wira Islam yang dikarang secara epik-kreatif. Kedua-dua epik Islam ini juga berakhir dengan episod sedih. Pengarangnya meniup semangat kewiraan kepada pembaca agar tidak keciwa, tetapi bangkit dengan jiwa penuh kewiraan Islam. Peranan kedua epik Islam ini disebut dalam Sejarah Melayu diminta dibaca bagi menaikkan semangat ketika menentang pencerobohan Portugis. (Sejarah Melayu, 1967: 264).
Melaka banyak menghasilkan persuratan Melayu. Hikayat Hang Tuah adalah satu dari penghasilan tersebut yang jelas menampilkan kemampuan bahasa Melayu mengungkapkan epik kewiraan yang panjang yang sekalkigus merakamkan kewiraan pahlawan, kedaulatan Raja dan negara Melaka.

Sekian.



March 11, 2015

Melaka Pusat Perkembangan Islam Di Nusantara


BBB.  19 Rabiul Akhir 1436 = 10 Mac 2015 (Selasa):

Pusat perkembangan Islam dan persuratan Melayu selepas kedatangan Islam ialah Melaka. Melaka meningkat menjadi Bandar Pelabuhan selepas peneriman Islam oleh Sultan Muhammad Shah di Melaka. Kemajuan Melaka antaranya dengan sokongan pedagang-pedagang Islam yang menguasai jalan dagang dari Asia Barat ke Gujerat hingga ke Melaka dan kepulauan di Nusantara. Melaka menjadi satu-satunya pelabuhan dagang, khususnya selepas malapnya Pasai yang jatuh ke bawah pemerintahan Majapahit pada tahun 1350. Kemajuan Melaka meningkat pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah pada pertengahan abad ke 15 dengan Bendaharanya Seri Wak Raja. Sejarah Melayu menggambarkan tentang kemakmuran Melaka:
``Sultan Muhammad Shah itu selama di atas kerajaan terlalu sekali adil baginda pada memeliharakan segala manusia. Maka negeri Melaka pun besarlah dan jajahan Melaka pun makin banyak, yang arah ke barat hingga ke Beruas Ujung Karang, arah ke timur had Terengganu. Maka masyhurlah pada segala negeri dan bawah angin datang ke atas angin bahawa negeri Melaka terlalu besar lagi dengan makmurnya.``


(Sejarah Melayu, Edisi W.G. Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpurt, 1967:  79-80).
Sultan Muhammad mengatur aturan daistiadat, termasuklah menjalankan upacara keagamaan seperti menyambut kedatangan Ramadhan secara besar-besaran yang dipanggil upacara `Mengarak Sejadah Ke Masjid` untuk baginda bersolat tarawih, begitu juga adat mengarak serban bagi sambutan hariraya.
(Sejarah Melayu, 1967, hilm. 79).
Melaka meningkat maju pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477) . Baginda memerintah dengan dibantu oleh seorang Bendahara yang bijaksana, iaitu Tun Perak. Sultan Mansur Shah sendiri mempelajari ilmu keagamaan dengan guru Maulana Abu Bakar yang datang dari Makkah, pengajian berterusan kepada zaman pemerintahan Sultan Mahmud pada akhir abad k 15 dengan berguru kepada Maulana Yusuf. Pada masa tersebut terdapat jawatan kadhi yang diketuai seorang yang berilmu antaranys Maulana Kadhi Munawir. Sejarah Melayu juga memaklumkan seorang sufi di Makkah iaitu Maulana Ishak telah menghantar sebuah kitab bersama Maulana Abu Bakar untuk dipelajari di Melaka, iaitu Kitab Al- Durr al-Manzum (Untaian Mutiara). Kitab berhubung dengan persoalan falsafah Islam yang mengandungi persoalan Usuluddin dan Tasawuf, iaitu mengenai persoalan tiga serangkani mengenai Dhat, sifat dan af`al. Kitab ini dipelajari di istana Melaka. Dikatakan pada peringkat awal pengajar dan pelajar tidak memahami kandungan kitab ini dan terpaksa dirujuk ke Pasai untuk memahami kandungannya. Kitab ini juga diminta Makhdum Patakan `ulama Pasai menterjemahkannya ke bahasa Melayu.  Kedudukan Pasai dari segi ilmu pada peringkat permulaan mengatasi Melaka.
Selain dari pengajian berlangsung diistana, pengajian juga berlangsung di luar istana, iaitu di masjid dan surau. Terdapat pusat pengajian khusus bagi pelajar-pelajar, termasuk dari luar Melaka. Tempat tersebut ialah di Pulau Upih. Sebagai sebuah pelabuhan enterpot, Melaka di datangai peniaga-peniaga dari kawasan Sumatera, Patani,Brunei, Jawa dan Sulawesi. Yang turut datang ialah pendakwah dan pelajar-pelajar yang antaranya belajar di Pulau Upih. Mereka pulang dan berdakwah antaranya di Pulau Jawa yang peringkat awal Islam tiba di Gresek yang dakwahnya dilakukan oleh Malik Ibrahim. Hasil dari pengaruh Melaka Islam bertapak di Demak, Sulawesi dan Filipina. Pada satu peringkat berlaku peperangan yang menyebabkan penganut-penganut Hindu melarikan diri seperti di Bali.
Sebagaimana ditimbulkan pengislaman Terengganu dan Pasai tidak meninggalkan warisan kitab agama yang dikarang oleh ulama` tempatan, begitu juga dengan pengajian agama di Melaka yang bertaraf lebih tinggi, juga tidak ada menyebut sebarang kitab yang dikarang oleh ulama` tempatan. Yang disebutkan ialah kitab dari luar iaitu Al-Durr al-Manzum yang diterjemah oleh Makhdum Patakan, namun kitab terjemahan ini juga tidak diwarisi (hilang ?) Mungkin masayarakat  dari zaman Terengganu, Pasai dan Melaka berpendapat, bahawa mengarang kitab adalah sesuatu yang besar dan semestinya dari ulama yang benar-benar alim di dalam bidang masing-masing. Semasa di Terengganu dan di Pasai dijangka bahawa pelajar-pelajar keislaman pada zaman tersebut belajar dengan menggunakan kitab-kitab berbahasa Arab dengan menterjemahkan dalam pengajaran dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Cara ini terus digunakan dari zaman tradisi hingga kini. Walau bagaimana untuk memahami bahasa Arab ini pelajar-pelajar dikehendaki mempelajari nahu dan juga saraf di samping mempelajari bidang-bidang keislaman yang lain. Sejarah Melayu menyebutkan antara pelajar-pelajar keilmuan Islam ialah Tun Bijawangsa, Tun Isap Misai dan Tun Muhammad yang alim dalam bidang nahu, saraf dan fiqah. Ini menunjukkan pelajar pada masa itu mempelajari bahasa Arab sebab itu mereka mempelajari ilmu nahu dan saraf. Ini membuktikan mereka menggunakan kitab-kitab bahasa Arab bagi mempelajari barbagai-bagai keilmuan Islam yang juga menandakan bahawa mereka belajar adalah pada peringkat tinggi, di samping wujudnya peringkat rendah dan biasa.
(Shafie Abu Bakar, Melaka Sebagai Lambang Keagungan Bangsa Melayu, dlm. Pertemuan Dunia Melayu `82, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987: 122-140).



Pemerintah Melaka, khususnya pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah mempunyai kesedaran keilmuan yang tinggi dan penghormatan terhadap Ilmu dan ulama juga tinggi. Misalnya  apabila kitab Al-Durrul Manzum yang dikirim Maulana Ishak dari Makkah bersama guru Maulana Abu Bakar, maka kitab dan guru berkenaan diberi penghormatan, kata Sejarah Melayu.
``Telah berapa lama di laut, maka sampailah ke Melaka, maka sangat dipermulia oleh Sultan Mansur Syah dan kitab Durrul Manzum disuruh baginda arak lalu ke Balai Rong. Maka Sultan Mansur Syah pun berguru pada Maulana Abu Bakar ...Maka segala orang besar-besar Melaka sekaliannya berguru pada Maulana Abu Bakar.``
(Sejarah Melayu, 1967: 149).
Guru bukan saja dihormati tetapi menegur Sultan. Misalnya Sultan Mahmud yang berguru dengan Maulana Yusof (bapa Kadhi Munawir) belajar Kitab Maklumat datang belajar dengan pakaian kebesaran Sultan, Baginda ditegur oleh Maulana Yusof, jika mau belajar kena ikut etika dan pakaian pelajar. Teguran dipatuhi Sultan Mahmud, baginda kembali menukar pakaian kepada pakaian pelajar, baru diterima belajar oleh Kadhi Yusof.
Sultan Mansur Syah mendalam dari segi keilmuan dan keislaman, ketika hampir ajalnya Baginda mewasiatkan puteranya, katanya:
``Ketahui olehmu hai anakku bahawa yang dunia ini tiada akan kekal adanya. Yang hidup itu akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalanku ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat sabar serta adil sangat-sangat.``(Sejarah Melayu, 1967: 164).
Selain dari pengajian keislaman yang tinggi berlaku di Melaka, Melaka mempunyai kebudayaan dan ciri senibina Islam yang unik, iaitu masjid-masjid tradisi di negeri Melaka seperti Trankira, Masjid Alai, Masjid Kg. Hulu dan banyak tempat yang lain dikatakan mengambil contoh dari seni bina ala Cina berbentuk paguda, iaitu secara bertingkat yang menandakan pengislaman Melaka ada hubungan budaya dengan negeri Cina.  Bahkan Masjid Negeri kini, Masjid Al-Azim juga mengambil ciri-ciri seni bina masjid-masjid tradisi.
Masjid ini juga sebenarnya membuktikan bahawa pengajian kerohanian tasawuf pada zaman tradisi amat berpengaruh. Tingkat-tingkat pada masjid juga melambangkan peringkat kerohanian yang dipelajari oleh pelajar yang mempelajari ilmu tasawuf-tarikat iaitu:  Syariat, Tarikat, Haqiqat dan Ma`rifat. Pengajian kerohanian dan pembahagian sedemikian begitu popular di Alam Melayu pada zaman tradisi. Selain dari mencerminkan pengajian kerohanian masjid Melaka ini juga mempunyai keistimewaan dari segi senibina tradisi, kerana dengan bertingkat sedemikian memberi ruang udara keluar masuk dan cahaya masuk menerangi ruang dalam masjid, selain daripada itu ianya mempunyai daya tarikan dan unik dari segi seni bina.
 Sesungguhnya apa yang dicarakan di atas membukti dan mengukuhkan ciri keislaman di Melaka yang harus diberi perhatian dan perlu dijadikan identiti utama dan kukuh bagi negeri Melaka.

Sekian.

March 10, 2015

Persuratan Awal Selepas Menerima Islam Dan Penggunaan Tulisan Jawi


BBB, 18 Jamadil Akhir 1436 = 09 Mac 2015 (Isnin):


Walaupun tulisan Jawi terawal mula digunakan di Terengganu, tetapi setakat ini tiada bukti dalam masa berdekatan selepas penggunaan tulisan Jawi, diwarisi hasil persuratan, khususnya bersifat keagamaan  di  negeri Terengganu. Sebagaimana dikatakan bahawa tulisan Jawi pertama dilahirkan di Terengganu ini sebenarnya penggunaannya tidak terhad di Terengganu, tetapi di dalam masa berdekatan meluas penggunaannya di kawasan Alam Melayu, khususnya di tempat-tempat awal menerima Islam. Salah sebuah negeri yang terawal menerima Islam ialah Pasai. Bukti menunjukkan ialah terdapatnya catatan pada batu nisan Sultan Malikul Salih bertarikh 1297M. Tarikh ini lebih awal dari tarikh Batu Bersurat Terengganu. Tarikh pada batu nisan ialah tarikh meninggalnya  Sultan Malikul Salih. Ini bererti tarikh pengislaman adalah lebih awal daripada itu.
Malikul Salih yang nama asalnya ialah Merah Sulu yang memerintah negeri Samudera Pasai dikatakan telah bermimpi di datangi seorang tua yang mengajar dalam mimpinya mengucap dua kalimah syahadah menerima Islam. Keesokan harinya tiba kapal membawa pendakwah Shaykh Ismail bersama Faqir Muhammad mengajarkan Malikul Salih hal ehwal Islam dan melantik beliau sebagai Raja bagi kerajaan Samudera Pasai. Berikut dari itu turut menerima Islam kawasan-kawasan yang berdekatan dengan Samudera Pasai, bahkan meluas ke seluruh Sumatera.
(Abdullah Haji Musa Lubis,Hikayat Raja-Raja Pasai, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1963: 27-37).
Hikayat Raja-Raja Pasai adalah karya pertama bertulisan Jawi lahir di negeri Pasai selepas menerima Islam, bahkan adalah karya terawal diketahui dihasilkan selepas kedatangan agama Islam dan penerimaan tulisan Jawi.  Ini bermakna penerimaan dan penggunan tulisan Jawi popular dan berkembang di Pasai dan di kawasan-kawasan yang telah menerima Islam. Hikayat Raja-Raja Pasai menceritakan sejarah pembukaan samudera Pasai yang dikaitkan dengan  Sultan Malikul Salih menerima Islam. Penceritaan dalam bahasa Melayu yang mudah sebagai karya pertama dihasilkan. Sebagai karya lama, maka ianya banyak mengandungi unsur mitos dan legenda di samping mengandungi fakta-fakta benar.
Bahasa di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai yang menceritakan tentang pengislaman Pasai adalah bahasa Melayu. Pengkaji-pengkaji meletakkan Hikayat Raja-Raja Pasai sebagai karya sejarah tertua. Menurut Liaw Yock Fang, di dalam bukunya, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik 2, bahawa:
``Hikayat Raja-Raja Pasai adalah hasil sastera sejarah yang tertua. Ia menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku antara 1250-1350, iaitu dari zaman Malikul Salih hingga sampai ditaklukkan oleh Majapahit pada tahun 1350.``
(Liaw Yock Fang, Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik 2, Penerbit Erlangga, Jakarta, 1993: 89).
Jika di Terengganu memulakan tulisan jawi dengan tulisan pada Batu Bersurat, maka dari Pasai yang sezaman dengan pengislaman Terengganu dan mempunyai hubungan rapat dengan Terengganu dari segi penyibaran agama Islam dan penulisan (Terdapat Kampung Pasai dan kuburan orang Pasai di Hulu Terengganu yang menandakan hubungan rapat dari segi dakwah keislaman dan perniagaan), maka Pasai meninggalkan warisan dari segi persuratan, bahasa dan pensejarahan melalui Hikayat Raja-Raja Pasai. Dalam proses dakwah keislaman, pada zaman Terengganu dan Pasai sudah tentulah banyak pengajaran keislaman yang disampaikan oleh guru-guru dan pendakwah-pendakwah di kedua-dua tempat. Yang menjadi pertanyaan sekian lama pengajaran telah disampaikan pada kedua-dua tempat ini, apakah bahan-bahan pengajaran – maksud kitab-kitab atau bahan-bahan penulisan yang digunakan bagi menyampaikan pengajaran keislaman, baik kepada pihak istana atau di kalangan orang ramai. Yang sudah pasti pendakwah-pendakwah ini tentulah membawa naskhah atau naskhah-naskhah Al-Qur`an atau dalam bentuk Muqaddam di dalam menyampaikan dakwah mereka. Adalah dijangka pada masa itu sudah ada kertas-kertas diguna, walaupun bukan bahan yang lumrah dan mudah didapati, lantaran membuat kertas sudah digunakan sejak zaman kerajaan Baghdad dalam hubungan dengan negeri Cina yang kaedah membuat kertas dipelajari dari sana.
Adalah dijangka bahwa pengajaran agama Islam dan penggunaan bahasa Melayu berjalan secara serentak dengan cara tidak formal. Bermaksud pengajaran keilmuan Islam diajar oleh guru-guru pada pengajian di istana, masjid dan pusat-pusat pengajian dengan berpandukan antara tek-teks keilmun di dalam bahasa Arab. Pengajian ini merupakan pengajian peringkat tinggi, guru-guru adalah kalangan orang alim yang antaranya datang dari luar sebagai pendakwah. Guru-guru selaku pendakwah adalah memahami bahasa Arab dan mampu mengajar berpandukan teks-teks di dalam bahasa Arab yang diterjemah secara spontan. Kaedah pengajaran sedemikian masih dilakukan di dalam pengajian-pengajian, khususnya secara tradisi.
Pada peringkat rendah, anak-anak dihantar mengaji Al-Qur`an secara beramai-ramai kepada guru Al-Qur`an. Semasa mengajar disertai pengajaran keilmuan-keilmuan Islam secara asas. Mereka juga diajar mengenal huruf dan menulis keilmuan berhubung dengan tajwid, tauhid, fiqh dan akhlak. Dengan cara ini dalam mana pada peringkat tinggi bagi kalangan orang tua mempelajari agama di masjid dan di surau, manakala anak-anak mengaji Al-Qur`an di rumah-rumah guru-guru Islam. Dengan cara ini keilmuan Islam dan kaedah menulis dapat diperluaskan ke tengah masyarakat.
Walaupun kaedah pengajian dan pembelajaran di atas dapat disifatkan sebagai tradisional dan kurang menggunakan peralatan mengajar, maka di dalam konteks zaman tradisi, ia sebenarnya  merupakan satu pendekatan baru di dalam pendidikan ibu bapa dan anak-anak di dalam menyampaikan keilmuan yang dapat menjadi panduan dan amalan yang sebenarnya jauh lebih maju dari zaman tradisi dan lama yang tidak tahu menulis dan membaca. Islam membawa perubahan radikal kepada masyarakat dari kejahilan kepada celik keilmuan yang menjadi panduan hidup mati seseorang Islam.

Sekian.

March 9, 2015

Tradisi Persuratan Melayu Bermula Dengan Tulisan Jawi


BBB, 17 Rabiul Akhir 1436 = 08 Mac 2015 (Ahad):


Tradisi persuratan Melayu ialah bermula dengan tulisan Jawi yang mengambil dari huruf-huruf Al-Qur`an. Pengambilan dari huruf-huruf Al-Qur`an ini hasil dari pengajian terhadap Al-Qur`an dan hukum hakam Islam. Apabila menerima Islam, mereka dikehendaki menunaikan perkara-perkara yang fardu (wajib), terutama solat yang perlu kepada pembacaan. Misalnya perlu kepada pembacaan Fatihah, tahiyyat dan lafaz-lafaz yang lain. Pengajaran boleh diajar secara lisan sahaja, tetapi kurang berkesan dari segi pengajaran. Pada peringkat awal adalah diajar mengenali huruf-huruf Al-Qur`an terutama bagi bacaan Fatihah dan huruf-huruf pada ayat lazim yang biasa dibaca di dalam solat. Ini membawa kepada pengenalan huruf, ejaan dan baris-baris bagi bacaan. Pengenalan ini membawa kepada pengejaan kata-kata di dalam bahasa Melayu, terutama bagi hukum hakam keagamaan. Seterusnya membawa kepada aplikasi pengejaan kata-kata di dalam bahasa Melayu yang memulakan tradisi persuratan dalam bahasa Melayu. Adalah menarik bahawa pengenalan dan pembelajaran bukan setakat huruf-huruf dan pembacaan, tetapi kaedah menulis itu diambil dari `surah – surat` di dalam Al-Qur`an, iaitu surah-surah sebanyak 114 dalam Al-Qur`an. Surat dari surah ini bermakna `menulis` - persuratan`. Adalah menjadi kebiasaan pengarang-pengarang kitab memulakan karangannya ``Hamba menyurat suratan ini`. Demikian begitu rapatnya tradisi persuratan Melayu dengan Al-Qur`an dan Islam.
Tentang permulaan tulisan jawi, sebagaimana telah maklum hingga ke zaman Samudera Pasai, walau pun sudah menerima Islam pada abad ke 14M, tetapi ternyata hingga ke akhir abad tersebut, nampaknya tulisan jawi belum digunakan di sana. Ini terbukti dari Batu Nisan Minye Tujuh bertarikh Jumaat 14 Zulhijjah 791H./1389M. tidak menggunakan tulisan jawi, tetapi masih menggunakan tulisan Pallava, manakala tulisan pada Batu Nisan Sultan Malikul Salleh (697/1297 atau 707/1307)  adalah menggunakan bahasa Arab.
Tulisan Jawi terawal ialah pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh Jumaat 4 Rajab 703H. bersamaan 22 Februari 1303M. Kemasukan tulisan Jawi ke Terengganu adalah bersama dengan kedatangan pendakwah-pendakwah yang biasanya juga sebagai peniaga-peniaga Islam. Kehadiran pendakwah-pendakwah ini tidak berasingan dari kehadiran pendakwah-pendakwah lain dari gelombang awal kehadiran mereka seperti ke Pasai, Perlak dan Jolo yang dalam tempoh berhampiran.
Adalah dijangka mengapa tulisan Jawi mula digunakan terawal di Terengganu, ini ialah kerana di kawasan Sumatera sudah ada tulisan yang dipinjam dari tulisan Pallava seperti di Minye Tujuh itu, manakala di Terengganu, masih belum ada penggunaan tulisan dan sudah tentulah pendakwah yang hadir ke Terengganu dari kalangan yang mahir menulis dan maklum berkenaan tulisan berkenaan termasuk huruf-huruf yang  digunakan di dalam tulisan Urdu dan Parsi. Pada masa berkenaan pengaruh kerajaan Moghul yang dipengaruhi Parsi bertapak di Benua kecil India. Penulisan pada Batu Bersurat ini tentulah atas kemahuan Raja Mandalika yang tertarik dengan agama Islam.
Apa yang menarik dari segi penggunaan tulisan jawi ini selain dari menggunakan sepenuhnya abjad-abjad dari huruf al-Qur`an, terdapat sama huruf-huruf tambahan dari 28 huruf Arab, sebagaimana tambahan di dalam tulisan Urdu dan Parsi yang juga menggunakan huruf-huruf Al-Qur`an. Huruf-huruf tambahan yang dimaksudkan ialah:   Ga, Cha, Nga, Nya. Ini bermakna pendakwah yang mengajar tulisan berkenaan seorang yang luas pengetahuan dan mungkin mengetahui bahasa Parsi yang juga mempunyai hubungan dengan tulisan Parsi . Walau bagaimana pada dasarnya tulisan pada Batu Bersurat ini tidaklah begitu arkaik dan tiga begitu sukar untuk membaca dan memahami. Kaedah ejaan adalah lebih mengikut bunyi dan tidak begitu terpengaruh dengan cara meletak baris di dalam bahasa Arab
Kandungan pada Batu Bersurat ini adalah mengenai:
Pengakuan Keesaan Allah dan Rasulullah s.a.w. adalah Pesuruh-Nya
Perisytiharan perjalanan hukum Islam di Hulu Terengganu oleh Raja Mandalika yang memerintah Terengganu pada masa itu
Hukum hutang piutang
Hukum kesalahan berzina
Hukum orang yang bermukah
Hukum orang bersaksi palsu
Kerwajipan mematuhi undang-undang
Bahasa yang digunakan di dalam Batu Bersurat adalah teratur. Di samping kata-kata yang masih sama sebagaimana digunakan pada masa kini, terdapat isilah-istilah yang agak arkaik seperti:
Dewata Mulia Raya  (Memaksudkan Tuhan), derma meraksa, buhumi (bumi), Tamra (kawasan), sanakala, tugal, balacara, bujan (bujang), hembelang (rejam), sepaha (satu perempat).
(Misbaha (Muhammad Salleh bin Haji Awang), Mengkaji Sejarah Terengganu, Kuala Terengganu, tt: 33-35).
Melihat kepada kaedah tulisan yang diperturunkan pada Batu Bersurat Terengganu adalah licin dan berperaturan, ini dapat difahamkan  kaedah menulis ini telah berlaku lebih awal yang agak lama. Bermaksud kaedah tulisan telah lebih digunakan di dalam pengajaran agama Islam antaranya bertempat di istana Raja Mandalika dan masjid/surau juga sudah digunakan dalam pentadbiran. Pendek kata penulisan bagi perisytiharaan sesudah penyebaran agama Islam telah meluas dan diterima sehingga membolehkan perisytiharaan dibuat. Penulisan-penulisan sudah tentulkah diguna di tempat lain sebelum kaedah penulisan yang dikenali itu diperturunkan pada Batu Bersurat Terengganu. Ini bererti pengislaman Terengganu lebih awal dari tarikh pengisytiharan. Perisytiharan adalah merupakan hari penting, formal dan bersejarah, maka diperintah Raja Mandalika menulis perisytriharaan Batu Batu Bersurat Terengganu. Menulis atas Batu Bersurat adakah perkara besar dan agak rumit, hanya perkara penting dan atas kehendak pihak pemerintah, maka ianya dilakukan. Misalnya seperti Batu Bersurat di Minye Tujuh, Batu Nisan Sultan Malik al-Salih dan seumpamannya.
Adalah dijangka, walaupun tulisam Jawi ini bermula di Terengganu, bahawa dalam masa yang dekat turut digunakan di dalam dakwah dan penyibaran agama Islam di tempat-tempat lain di rantau alam Melayu, kerana selepas daripada itu, tulisan jawi ini digunakan, bukan setakat  di dalam pengajaran agama Islam. Tetapi di dalam pentadbiran, bahkan dapat dikatakan dengan kedatangan Islam dan penggunaan tulisan Jawi, maka bermulanya tradisi persuratan dalam bahasa  Melayu. Melalui tulisan ini kitab-kitab ditulis, tulisan ketatanegaraan dihasilkan, bahkan bahan-bahan sastera turut dituliskan dalam tulisan jawi, termasuk bahan sastera yang dipengaruhi zaman Hindu.

Sesungguhnya tulisan Jawi adalah tulisan yang diwarisi dari Islam dan perlu dipertahankan. Sebahagian besar dari persuratan ilmu keislaman dan tradisi budaya Melayu terakam di dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi adalah budaya dan identiti Melayu yang amat berharga.
Sekian.


March 8, 2015

Takmilah Membina Keunggulan: Cabaran Masa Depan


BBB, 16 Rabiul Akhir 1436 = 07 Mac 2015 (Sabtu):


Dalam beberapa makalah yang lepas kita bernostalgik tentang bahasa dan orang Melayu. Bukti-bukti menunjukkan bahawa mereka adalah pribumi dan pewaris yang berhak. Tetapi itu adalah dambaan kepada kesilaman dan kepurbaan. Dengan realiti kini Melayu bersama masyarakat majmuk perlu bersama menghadapi kekinian bagi menggaris masa depan di dalam menentukan nasib bersama.
Membina masa depan, kita mencari-cari model terbaik kini bagi membina masa depan negara kita. Setelah kita bersama bangkit setara dengan negara-negara maju dan rasa rendah diri telah terlempar jauh, sebenarnya kita lihat, tidak ada negara yang dikatakan maju untuk diikuti, kecuali aspek-aspek tertentu. Itupun belum tentu sesuai, apalagi jika kepelbgaian dari tempat-tempat berlainan. Terbaik kita membina identiti yang sesuai dengan iklim tempatan sendiri.
Sebenarnya negara kita unik, sejak dari silam kita menerima kebijaksanaan buah fikiran filosof-filosof luaran sebagaimana berlaku juga bagi negara-negara jiran dan terakhir menerima lebih sempurna perutusan terakhir dari rangkaian hidayat yang bertalian dari moyang kita - Adam, antaranya Ibrahim hingga kepada Muhammad dari wilayah-wilayah tertua dikenali kewujudan manusia dan mencapai tamadun awal – Wilayah yang menjadi negara Nabi-Nabi yang akhirnya hidayah sama mengalir ke muara jiwa kita. Kita menjadi bijaksana memilih mutiara. Secara berterusan kita menerima penentuan sejarah berada dalam masyarakat majmuk yang unik yang seharusnya diterima secara positif.
Di dalam keadaan sekarang kita hendaklah menerima realiti positif dengan melihat pada masa depan yang positif, kerana kepelbagaian itu jauh lebih baik dari persendirian. Penulis melihat `Teori Takmilah` adalah releven bagi masa depan dan seharusnya bergerak bersama dalam pelbagaian dan kekecualian.
                                                        Takmilah
Dari segi pendekatan ialah mengunggul dan Memperkasakan bukan meleburkan identiti untuk disatukan, tetapi adalah kepelbagaian adalah dinamika bagi memperkasakan semua, tetapi tidak ada paksaan dari segi pegangan keyakinan.
Puncak Takmilah  yang menjadi Piawayan  tertinggi adalah Pembinaan Tamadun Dan Peradaban berasakan Islam dan semasa mirip kini. Menurut skema Takmilah, bagi membina tamadun dan peradaban negara kita ialah dengan memberi penekanan terhadap keilmuan bagi peningkatan kualiti yang melibatkan semua pihak.  Malaysia mampu mencapai keunggulan pendidikan dan menjadi hub pendidikan bertaraf dunia yang dapat menarik pelajar-pelajar menimba ilmu pengetahuan dan membina keilmuan di negara ini. Malaysia juga seharusnya berusaha meletakkan diri menjadi pusat Pengajian Islam bertaraf dunia yang pelajar-pelajar dan pengkaji-pengkaji lebih berminat mempelajari dan membina keilmuan Islam di sini yang seharusnya menjadi identiti pengajian di sini. Di dalam kata lain semua pihak baik yang Islam dan bukan Islam berhak dan mempunyai ruang di dalam mendalam dan membina keilmuan. Dalam pada itu usaha hendaklah digandakan bagi memperlihatkan keistimewaan dan kebaikan Islam dengan tujuan untuk mereka sama menimati kebaikan dan keistimewaan Islam.
Satu aspek yang penting yang menjadi identiti negara, nilai budaya dan imej pendidikan negara  ialah penggunaan bahasa yang barangkali tidak tepat menggunakan istilah `bahasa pengantar`, tetapi bahasa keilmuan yang diperlukan. Universiti seharusnya menerima pelajar yang lulus bahasa rasmi dan menggunakan bahasa rasmi negara di dalam subjek-subjek yang dimastikan bagi semua universiti sehingga setiap orang pelajar mampu bercakap dan menulis dalam bahasa berkenan dengan baik. Ini penting sebagai nilai dan jati diri dan rupa bangsa Malaysia.  Ada pun bagi kursus-kursus yang lain menurut keperluan bahasa bagi keilmuan berkenaan. Misalnya bagi bidang keislaman seharusnya menguasai bahasa Arab dengan baik. Begitu juga dengan bidang-bidang yang memerlukan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa yang lain. Pelajar-pelajar di universiti dari segi idealnya seharusnya menguasai tidak kurang dari tiga  bahasa dengan baik. Aspek bahasa rasmi menjadi identiti pengajian tinggi dan imej negara. Adapun di dalam bidang pentadbiran dan segala urusan yang lain hendaklah menggunakan bahasa rasmi. Berbagai pihak, terutama bagi agensi yang bertanggungjawab hendaklah menanamkan ke jiwa masyarakat rasa megah dan cinta kepada bahasa negara dan status berkenaan hendaklah diperkasakan oleh negara. Adapun bahasa etnik perlu dipelihara sebagai identiti yang mencirikan budaya.
Bagi mencapai kedudukan berkenaan Malaysia perlu menyediakan institusi pendidikan di dalam berbagai bidang, termasuk di dalam bidang keislaman bertaraf dunia. Kita yakin hasrat ini dapat dicapai memandang kewujudan universiti-universiti berjenama Islam menunjukkan taraf yang baik dan mampu dipertingkatkan dan universiti-universiti awam menunjukkan prestasi yang baik dan berada pada ranking universiti-universiti terkemuka di dunia. Universiti-universiti swasta juga perelu turut berperanan di dalam menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia. Di dalam hal ini universiti-universiti di Malaysia hendaklah mewujudkan tenaga-tenaga manusia yang pakar di dalam bidang-bidang keilmuan yang dihormati di dalam bidang akademik dan diakui bertaraf dunia. Universiti-universiti hendaklah mengeluarkan pelajar-pelajar yang tinggi mutu. Pelajar-pelajar luar juga berprestasi tinggi dan menjadi duta pengajian dan keilmuan dari universiti-universiti di Malaysia.
Tiang seri yang penting bagi Takmilah ialah aspek nilai yang merujuk kepada estetika, budaya, falsafah, nilai keilmuan, elemen kerohanian, kemanusiaan dan kealaman. Aspek-aspek ini memperkukuhkan jiwa dan kemanisan di dalam pembinaan ilmu dan nilai yang dapat membangunkan tamadun dan peradaban. Misalnya melalui pengajian bahasa dan sastera dapat menghayati kehalusan dan keindahan yang didukung oleh karya-karya. Demikian juga bidang budaya dapat memahami cara hidup dan nilai kelompok yang dapat menarik minat dan mengkagumi nilai-nilai kehalusan dan kemanusiaan. Nilai sedemikian dapat ditonjolkan untuk dihayati oleh berbagai pihak dan mereka turut menghargai nilai-nilai berkenaan. Manakala falsafah dan nilai keilmuan ialah dapat menikmati hikmat dan kebenaran yang ditonjol falsafah dan keilmuan yang ianya merupakan satu keindahan dan kelazatan sebagai wadah intelektual dan jiwa. Demikian juga elemen kerohanian ialah merupakan penghayatan peringkat tertinggi yang mampu dicapai oleh yang terlibat di dalam bidang berkenaan, tetapi ia adalah dimensi yang perlu diteroka bagi mengenali dan mencapai peringkat ini agar pihak lain dapat memahami, kalaupun tidak mencapainya. Kesedaran dari segi kemanusiaan mungkin dapat dicapai oleh peringkat biasa yang kesedaran ini dapat dicapai oleh orang awam nescaya dapat membentuk manusia dengan nilai murni seperti kasih sayang dan nemupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik. Begitu juga kesedaran kealaman merupakan nilai perlu ditanam, melalui nilai dan kesedaran ini pencerobohan dan kerosakan alam dapat dikawal, lebih-lebih lagi kesedaran ini diharap juga timbul dari kalangan awam yang dengan demikian dapat mengurangkan pencemaran, kerosakan hutan dan permukaan alam dan timbul kasih sayang untuk menjaga dan memelihara alam sebagai rumah kita semua.
Sebenarnya pengajian peringkat pengajian tinggi, bahkan apa jua pengajian, bukan untuk mencari pekerjaan dan kedudukan, tetapi seharusnya bagi menggali rahsia Tuhan, menyedari hikmat kejadian, menimbulkan rasa kemanusiaan, keinsafan dan kesedaran serta kepatuhan pada Tuhan, bagi menyemai bakti kepada masyarakat dan kemanusiaan serta pembelaan kepada kehidupan sejagat.
Tapi adakah ideal keilmuan ini dapat dicapai ? Seharusnya falsafah pendidikan dan matlamat keilmuan perlu disusun sedemikian rupa sehingga falsafah dan matlamat unggul pendidikan dapat dicapai. Keunggulan yang dibina melibatkan semua yang kegetiran sama diderita dan kemanisan sama dirasa.

Sekian.