November 30, 2016

KEDUDUKAN ANTARA RASUL DAN MALA`IKAH


BBB,  29 Safar 1438H. = 29 November 2016M. (Selasa):
Turut dibicarakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi di dalam bukunya  `Al-Ta`arruf li Madzhab Ahli al-Tasawwuf` ialah berkenaan Rasul dan Malaikah.
Menurut Al-Kalabadzi, mereka itu ya`ni  kalangan sufi, jumhur dari kalangan mereka  mendiam diri dari melebihkan rasul-rasul ke atas mala`ikah-mala`ikah dan mendiam diri juga dari melebihkan  mala`ikat-malaikat ke atas rasul-rasul. Mereka berkata, ``Kelebihan ialah bagi siapa yang melebihkannya oleh Allah. Bukan dari segi jauhar (malaikat dari cahaya, rasul manusia dari tanah) dan bukan dari segi perbuatan. Mereka tidak melihat salah satu daripadanya memberat bagi yang lain sama ada  dengan khabar atau pertimbangan akal. Namun ada setengah mereka melebihkan rasul dan setengah mereka nelebihkan mala`ikat.
Dari hal yang lain pula, Muhammad bin al-Fadhl berpendapat, ``Jumlah  mala`ikat  adalah lebih afdhal dari jumlah orang mu`minin, namun di kalangan orang mu`minin pula ada yang melebihi mala`ikah. Seperti lebihnya  para anbiya` di atas mala`ikah.
Mereka  juga berpendapat di kalanganb rasul-rasul ada yang berlebih kurang, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan sesungguhnya Kami melebihkan setengah  nabi-nabi di atas setengah yang lain.`` (Al-Isra`: 55). Dan firman Allah bermaksud:
``Rasul-rasul itu  Kami lebihkan sebahagian daripada mereka  atas sebahagian yang lain.`` (Al-Baqarah: 253).
Mereka tidak menentukan yang lebih dan kurang, kerana sabda Rasulullah `a.s. bermaksud:
``Jangan kamu melebihkan dari kalangan anbiya` `` - Riwayat Bukhari dan Muslim.
Mereka mewajibkan  dengan kelebihan  Nabi Muhammad s.a.w. dengan khabar dan sabda Baginda.
``Aku Sayyid bagi anak Adam dan tidak ada kemegahan, Adam dan siapa yang lainnya adalah di bawah panji-panjiku.``
Firman Allah bermaksud: ``Kamu, (wahai umat Muhammad), adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah), umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala  perkara yang salah (buruk dan keji).`` (Ali `Imran: 110).
Mereka juga secara jama`ah menyatakan bahawa para nabi adalah selebih-lebih kejadian manusia (al-bashar), dan tiada di kalangan manusia yang mengatasi  para nabi dari segi kelebihan, tidak sahabat, tidak wali dan tidak lain daripada mereka itu, walaupun tinggi kedudukan dan besar pemikiran. Lantaran sabda Nabi s.a.w. ``Ini kedua-dua tokoh adalah ahli syurga dari kalangan awwalin dan akhirin, kecuali para nabi dan rasul.`` (Hadith Tirmidzi).
Dimaksudkan kedua orang itu ialah Abu Bakar dan `Umar. Dan Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan bahawa adalah sebaik manusia, selepas para nabi.
Berkata Abu Yazid al-Bist*ami, ``Kemuncak terkeatas  bagi para al-siddiqin ialah awal bagi para anbiya` dan tiada  hujungan bagi para anbiya` sebagai ghayah.
Kata Sahl bin `Abdullah dengan gambaran yang intuitif dan estetik rohani bahawa, pengakhiran himmah orang `arifin ialah sekatan. Dia berdiri mengetuk keizinan, maka diizinkan baginya, maka dia memberi salam, maka dipersalinkan baginya (pakaian), maka dia berada pada pinggiran, sedangkan, himmah-himmah para anbiya` meningkat  tinggi mengelilingi `arash, maka  bergemerlap cahaya, terangkat dari mereka halangan (kotoran) dan dia berhubung dengan Al-Jabbar, fana mereka di sana. (Perlu difahami ini adalah gambaran imaginatif intutif dan seni rohani yang bukan dalam ruang realiti biasa). Pokoknya gambaran bagi membezakan tahap kerasulan dengan para arifin yang begitu jauh  rendah dari segi kedudukan..
Membandingkan oleh Abu al-`Abbas bin `Ata` kedudukan nabi:
Serendah tahap para rasul adalah tertinggi martabat para nabi
Terendah martabat para nabi adalah tertinggi martabat para siddiqin
Terendah  martabat para siddiqin tertinggi martabat para shuhada`.
Dan terendah martabat para shuhada` tertinggi martabat para s*alihin
Dan terendah martabat para  s*alihin tertinggi martabat para mu`minin.
Abu Bakar nampaknya tidak banyak membicarakan tentang mala`ikat yang sebenarnya lebih sulit membicarakan tentangnya.
Berhubung dengan nabi  ini turut dibicarakan tentang shafa`ah.
Kaum sufi bersepakat secara jama`ah  bahawa shafa`ah adalah berlaku kepada  Rasulullah s.a.w. Firman Allah bermaksud:
``Dan  mereka tidak memohon shafa`at, melainkan bagi siapa yang diredhai oleh Allah dan mereka pula senentiasa cemas takut dari ditimpa azabnya.`` (Al-Anbiya`: 28).
Dan kata orang-orang kafir, ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapa pun yang memberi shafa`at.`` (Al-Shu`ara`:  100).
Dan bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Shafa`atku kepada  `ahli al-kaba`ir` dari kalangan umatku.`` Juga sabda Baginda bermaksud:
``Bersama seruanku ialah shafa`h bagi umatku.``
Dikeluarkan kedua-duanya oleh Ahmad, Abu Daud, Al-Nasa`i dan Ibn Hibban.
Demikian pendapat kaum sufi tentang kedudukan  rasul, nabi, malaikat dan dikaitkan juga kalangan auliya`, `arifin, siddiqin, s*alihin, shuhada` dan para mu`minin.

Sekian.

November 29, 2016

PERSOALAN ROH MENGASYIKKAN PENCARIAN, MEKANISME MENDEKATI TUHAN


BBB, 28 Safar 1438H. = 28 November 2016 (Isnin):
Tentang manusia dilihat dari segi lahir yang mempunyai fizikal yang dikenali dengan `tubuh badan` sebenarnya tidak mempunyai perbedaan dari kehidupan yang lain – contoh binatang. Manusia dan binatang sama dilahirkan dan struggle menghadapi penghidupan yang perlu kepada makan-minum bagi meneruskan penghidupan. Pada peringkat tertentu manusia perlu bertarung dengan apa yang dinamakan musuh dan kadang-kadang menemui maut bagi mempertahankan sumber survival dan keselamatan bagi kehidupan.
Tetapi manusia bukan saja sekadar mau hidup dan mengatasi keperluan fizikal bagi kehidupan fizikal, tetapi dia berjuang kerana kemanusiaan, mempertahankan keyakinan dan bagi membina dan mempertahankan ketamadunan dan peradaban manusia itu sendiri. Manusia  dalam perkembangannya mencari makna kehidupan,  arah, tujuan dan puncak kehidupan. Hal ini dibicarakan melalui ilmu dan ma`rifat sebagaimana telah dibicarakan. Ilmu dalam erti kata yang luas meningkatkan darjat manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Allah mengangkatkan  mereka yang  beriman daripada kalangan kamu dan yang diberi ilmu kepada darjat-darjat.`` (Al-Mujadalah: 11).
 sebagaimana kata Socrates yang tidak menyimpang dari falsafah dan tujuan di dalam Islam, bahawa hidup tanpa penelitian terhadap diri (diri dalam maksud yang luas)  tidak memberi erti kehidupan.  Sebenarny a dalam semangat mau mengetahui rahsia alam dan kandungan menggerak manusia meneroka berbagai bidang ilmu pengetahuan yang membawa mereka mencapai kemajuan dan tamadun ke tahap kini. Namun manusia tidak saja mempunyai akal, tetapi rasa kemanusiaan yang dilambang dengan hati nurani. Manusia yang menerokai melalui aspek ini melihat keluhuran, kekaguman dan keterpesonaan terhadap ciptaan Tuhan yang indah dan menawan, menimbulkan  rasa seni dan kehalusan, merasa kasihan belas dan pembelaan. Ianya memberi kesan kepada gaya hidup, peralatan, perlindungan yang dipengaruhi oleh  elemen kemanusiaan dan seni yang memartabatkan manusia oleh elemen hati nurani dan seni. Ianya menjadi budaya dan cara hidup manusia yang membentuk berbagai-bagai jenis peradaban yang menandakan kemajuan manusia di dalam bidang kemanusiaan.
Pun bagaimana manusia maju di dalam bidang keilmuan, peradaban dan kemanusiaan, manusia masih merasa kekosongan selagi satu lagi aspek diri manusia yang belum dipenuhi. Iaitu aspek rohani.
Aspek ini sebenarnya lebih subjektif dan tinggi dari  aspek hati nurani.. Bahkan ianya aspek yang  tidak mampu manusia mencapainya sebagaimana dicapai melalui akal dan hati nurani. Firman Allah bermaksud:
``Akan mereka bertanya kepada engkau  (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah, roh ialah adalah daripada perkaraku. Dan tidaklah diberi kepada kamu daripada ilmu melainkan sedikit.`` (Al-Isra`: 85).
Walaupun persoalan roh adalah rahsia Allah, namun  ianya cuba didekati dari segi kerohanian dan bidang tasawuf ialah bidang yang paling rapat membicarakan persoalan yang memuncak kepada aspek kerohanian yang sebenarnya bukan dirindui oleh golongan sufi sahaja, tetapi dirindui oleh  semua yang mencintai kerohanian.  Aspek yang sukar dimengerti apa lagi lebih sukar mencapainya adalah menjadi  kemesraan membicarakannya. Dan dilhat berbagai tanggapan diungkapkan aspek-aspek-yang berhubung dengannya dengan penuh kemesraan dan kerinduan.
Al-Kalabadzi memetik pendapat tentang roh ini bahawa berkata Al-Junayd tentang roh:
``Roh sesuatu memberi kesan pada keinginan tahuan yang hakikatnya Allahlah yang mengetahui tentangnya. Tidak ada seorang mengetahui hakikatnya dan bagaimana mengibaratnya dengan tepat, lantaran Allah berfirman, ``Roh adalah dari perkaraku (Al-Isra`: 85). Lantaran itu ada  berbagai-bagai andaian.
Misalnya berkata Abu `Abdullah al-Nabaji, `` Roh adalah sesuatu yang  latif di luar dari sentuhan rasa, tidak termampu diungkap dengan sebarang yang maujud.``
Berkata Ibn `At*a`,  Allah menjadikan roh sebelum jasad kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya Kami menciptakan kamu (ya`ni roh), dan Kami membentukkan kamu (ya`ni jasad).``(Al-A`raf: 11).
Bersepakat secara berjama`ah kalangan sufi kata Al-Kalabadzi, bahawa roh adalah berada di dalam jasad.
Ada yang berpendapat bahawa roh ialah sesuatu yang lembut berada  di dalam diri. Contoh kelembutan dalam diri seperti penglihatan yang dengan kelembutan (pantulan cahaya) memungkinkan penglihatan, tetapi roh tentulah lebih halus, bahkan lebih misteri..
Berkata yang lain, roh ialah sebagai hembusan yang lembut  di dalam diri yang dengannya hidup manusia, bernafas, hangat yang menggerakkan diri, menenang bahkan membangkitkan nafsu syahwat.
Demikianlah berbagai pendapat mengenai roh daripada semurni-murninya yang sifatnya bagaikan malaikat. (Al-Ruh juga dimaksudkan kepada malaikat Jibril). Di dalam skema sufi roh dilihat sebagai puncak perjalanan kualiti diri yang bersifat fizikal yang melalui pembersihan (ketaatan dan ibadat) boleh meningkat dan melepas diri dari tahap nafsu ammarah kepada mulhamah, kepada lawwamah, kepada mutmainnah, radhiah dan mardhiah. Daripada tahaf nafsu kepada ketenangan kalbu dan kepada kemurnian roh dan dari roh digunakan istilah rohani kontra dengan alam jasmani.
Walau apa pun, dengan pencarian manusia dalam bidang akli, hati dan rohani menggerakkan manusia  meneroka yang memajukan mereka dalam bidang fizikal sebagaimana yang dicapai kini, tetapi dilihat bukanlah bererti kemajuan, jika hanya pada tahap fizikal semata-mata, lantaran manusia bukan bersifat jasad yang menghasilkan  tamadun semata-mata,. Di dalamnya ada hati nurani yang lebih murni yang melalui nya meninggikan manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan  yang dengan dengannya mengindahkan manusia dengan nilai-nilai adab, akhlah dan keluhuran yang dikenali sebagai nilai peradaban. Pun dengan kedua-dua bidang manusia tidak mencapai kesempurnaan dengan meninggalkan satu aspek dalaman diri, iaitu kerohanian yang memantapkan manusia dengan pegangan dan keyakinan dan dengan nilai dalaman – kerohanian dan elemen jasad dan hati nurani membuka ruang kepada nilai kemurnian dan kebahagian yang sebenar yang dijanjikan oleh Yang Abadi.
Roh adalah suatu yang mistri yang mengasyikkan pencari di dalam menuju Ilahi.

Sekian.

November 28, 2016

MA`RIFAT - AQIDAH DAN TASAWUF BERBEZA PENDAPAT


BBB, 27 Safar  1438H. =  27 November 2016 (Ahad):
Persoalam `Ma`rifat` adalah persoalan popular di dalam `aqidah dan tasawuf, tetapi kedudukan dan pendekatan adalah berbeza dalam `aqidah dan tasawuf.
Di dalam skema keilmuan `aqidah,  `Ma`rifat` berada pada peringkat permulaan, manakala kedudukan `Ma`rifat` berada pada peringkat akhir dan puncak bagi ketasawufan.
Di dalam pendekatan ilmu aqidah adalah dikatakan: `Seawal-awal yang wajib bagi insan (muslim)  yang `aqil, baligh. Ialah ma`rifat (mengenal Allah).
Berkata  Ibrahim al-Laqani di dalam Matan Jauharah dan Sharinya;
``Ya`ni wajib atas segala orang yang baligh lagi `aqil itu mengenal (ma`rifat) yang yaqin barang yang wajib bagi Allah Ta`ala dan barang yang mustahil bagi Allah Ta`ala dan yang ja`iz,  dan wajib pula atas orang itu mengenal yang yaqin kepada barang yang wajib dan barang yang mustahil dan ja`iz yang bagi Rasulullah s.a.w.. Syahadan ma`rifat kepada Allah Ta`ala itu hendaklah ada ia wujud empat perkara. Pertama hendak yaqin, kedua hendak  dengan dalil yang yaqin, dan iaitu baharunya alam ini, ketiga hendaklah kekal. Keempat hendak ada permulaan ma`rifat itu kemudian daripada `aqil baligh.``
Dan tiada wajib ma`rifat kanak-kanak sebelum sampai baligh seperti kata Imam Abu al-Hasan, maka iaitu qawl yang rajih. (Dan kata) Imam Abu Mansur Maturidi, dan kanak-kanak sebelum sampai baligh itu wajib ma`rifat akan Allah Ta`ala, jikalau ada mempunyai akal ia, dan jikalau mati sebelum ma`rifat akan Allah Ta`ala maka disiksa oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala di dalam neraka.
Jelas apa yang dimaksudkan dengan ma`rifat bagi ilmu `aqidah, ialah bermaksud ilmu, iaitu ilmu aqidah yang harus dipelajari dengan secara teratur.
Adapun ma`rifat yang dimaksudkan dengan ilmu tasawuf, maka dfianggap tahap tertinggi yang dicapai di dalam bidang kerohanian, tetapi tidak semua mencapainya. Jalan ke arah ma`rifat di dalam bidang tasawuf, bukan melalui kaedah ilmu secara rasioanal, tetapi melalui pencapaian dari segi kerohanian dan juga sering bersifat intuitif, dzauq dan wujdan
Berkata Shaykh Abu Qasim al-Junayd tentang ma`rifat dalam ungkapannya.:
``Ma`rifat di sisi mereka itu satu sifat daripada cara mengenali yang Haqq dengan namaNya dan sifatNya. Kemudian dia melaksanakan perintah Allah di dalam muamalatnya,. Kemudian bersih dari akhlaknya yang keji dan hina, kemudian dia berlamaan pendiriannya dan berterusan hatinya bersama  i`ktikafnya, dia mendekati Allah dengan kecantikan pembawaannya, Allah membenarkan dengan  segala ahwalnya, terputus dari bisikan hati kecilnya yang mengganggu dan hatinya tidak berpaling dari tumpuan kepada Allah, dia berterusan bermunajat kepada Tuhannya dengan tahqiq pada setiap lahzah perkembalian kepadanya. (Lisan al-Din bin  al-Khatib, Raudat al-Ta`rif, tt. 418).
Menurut Abu al-`ula  `Affifi, Ma`rifat ialah puncak cinta Ilahi. Dia bukan  hasil dari taakul akli, tetapi hasil dari kekuatan yang lain yang mengatasi akal, iaitu melalui dzauq, wujdan. Bahkan kata Affifi, ``Adalah kalangan sufi menghimpunkan antara ma`rifat dan cinta Ilahi sebagai sesuatu yang satu dan haqiqat yang satu. Bahkan dikatakan `Al-Ma`ruf` dan Al-Mahbub adalah dua nama bagi sesuatu yang satu dan ma`rifat dan al-hubb dua wajah bagi hakikat yang satu. (Affifi, Al-Tasawwuf al-Thaurat al-Ruhiyyat fi al-Islam, 1963: 246-247).
Abu Bakar al-Kalabadzi tidaklah menerangkan  tentang konsep dan ma`rifah, sebaliknya yang diutarakan ialah pendapat-pendapat tokoh berhubung dengan `pengenalan Allah` Menurut Al-Kalabadzi, berpendapat secara jama`ah kalangan sufi bahawa tentang keesaan Allah yang kata mereka sebenarnya tidak memerlukan dalil dari yang baharu, kerana yang baharu tidak mampu membuktikan yang kekal. Sebab itu katanya, apabila Al-Nuri ditanyakan, ``Apakah dalil yang membuktikan ada Allah ?``. Maka dijawabkan ``Allah`!. Apabila ditanya tentang akal, maka katanya, ``Akal adalah lemah, dan tiap-tiap yang lemah tidak menunjukkan, melainkan kepada kelemahan sepertinya.
Berkata Ibn `Ata`, ``Akal adalah alat bagi  ubudiyyah, bukan  pembuktian bagi Rububiyyah.``.
Kata Abu Bakar al-Qaht*i, ``Akal  setakat mnengithbat, bukan pembuktian kebenaran.``
Al-Junayd berkata, ma`rifat ialah `ma`rifat` secara ta`rif dan ma`rifat sebenar ma`rifat. Ta`rif ialah memberi huraian bagi pengenalan, sedang ma`rifat sebenar yang diistilah sebgai ma`rifat khas, ``Tidak dapat mengenaliNya secara hakikat, melainkan  denganNya.``
Berkata kalangan sufi terkenal, ``Kami kenal Allah Ta`ala diriNya dengan DiriNya. Dan menunjukkan kami ma`rifat dirinya dengan diriNya.``
Berselisih pendapat tentang ilmu dan ma`rifat. Kata Al-Junayd,``Ma`rifat membuktikan kejahilan (ilmu) engkau selepas engkau mengetahuinya.``
Berkata Sahl bin Abdullah, ``Ma`rifat ialah mengenal kejahilan  (ilmu) engkau tentang ma`rifat.`` Tambah Sahl, ``Ilmu thabit dengan ma`rifat, dan akal thabit dengan ilmu, adapun ma`rifat, maka sesungguhnya dia thabit dengan dzatnya.``  
Berkata yang lain, ``Nyata sesuatu secara zahir dengan ilmu dan secara batinnya ialah dengan ma`rifat.``
Ditanya Dzu al-Nun al-Misri, ``Dengan apa engkau mengenal Tuhan ? Katanya, ``Tatkala aku terlintas perkara ma`siat, dia mengingatkan daku kebesaran Allah Jalla Jalalah menjadikan aku malu kepadaNya.``. Ma`rifat baginya jalan mendekati Allah yang menunjukkan ma`rifatnya denganNya.
Demikian berbagai pendapat mengenai  ma`rifat yang begitu subjektif dan begitu theosofik yang tidak ada satu ta`rif yang konkrik. Pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh kalangan sufi menurut persepsi,  pengalaman, tanggapan, dzauq dan wujdan mereka, sehingga  Sahl bin `Abdullah mengungkapkan tabhil begitu indah merupakan pancaran dari hati nuraninya sendiri, katanya,
Subhanallah, tidak mampu hamba memahami ma`rifat 
Mencerminkan kelemahan hamba  mencapai ma`rifat  !

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              

November 27, 2016

TENTANG WA`AD DAN WA`ID


BBB,  19  Safar 1438H. = 19  November 201`6M. (Sabtu):
Sebagaimana telah disebut bahawa persoalan `Wa`ad` dan `Wa`id`, iaitu janji baik dan janji jahat adalah menjadi salah satu daripada lima prinsip Mu`tazilah. Bagi mereka berdasarkan rasional, bahawa Allah wajib menunaikan janji-janji berkenaan berdasarkan juga pada prinsip `keadilan`  yang juga merupakan salah satu daripada prinsip di atas. Wa`ad adalah bermaksud dengan amalan baik, manakala `wa`id` adalah amalan jahat.

Kata Abu Bakar al-Kalabadzi, bahawa secara jamaah kalangan sufi memaksudkan `al-wa`d al-mutlaq` adalah bagi orang mu`minin  lagi muhsinin.
Firman Allah bermaksud:
``Allah menjanjikan (wa`ada) kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, mereka akan beroleh keampunan dan pahala (balasan) yang besar.`` (Al-Ma`idah: 9).
Juga firman Allah bermaksud:
``Allah menjanjikan (wa`ada) dengan balasan yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada suatu keuzuran) dengan pahala yang amat besar.`` (Al-Nisa`: 95).
Manakala `al-wa`id al-mutlaq`, kalangan sufi secara jama`ah memaksudkan kepada kalangan `kuffar dan munafiqin.`
Berhubung dengan wa`id firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Adalah bagi  orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya) dan takut akan janji-janji azabKu (wa`id).`` (Ibrahim: 14).
Dan firman Allah bermaksud:
``Tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan rasul-rasul (yang diutuskan kepada mereka), lalu mereka ditimpakan azab (wa`id)  yang Aku janjikan.`` (Qaf: 14).
Kembali kepada prinsip yang dipegang oleh Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, bahawa pada dasarnya Allah  (harus) akan membalas terhadap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Siapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarrah sekalipun akan melihatnya – menerima balasan`` (Al-Zalzalah: 7). Seterusnya firman Allah bermaksud:
Adapun orang-orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada pada kehidupan yang senang linang (Al-Qari`ah: 6-7).
Sebaliknya yang melakukan kejahatan firman Allah bermaksud:
``Dan siapa yang melakukan kejahatan sebesar zarrah sekalipun akan dilihatnya (balasan).`` (Al-Zalzalah: 8). Seterusnya firman Allah bermaksud:
``Sebaliknya orang-orang yang ringan timbangan amal  baiknya, maka tempat kembalinya ialah `Hawiah` (Al-Qari`ah: 8-9).
Pihak kaum sufi sebagaimana Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah melihat secara bercanggah dengan kaum Mu`tazilah yang melihat bahawa Tuhan wajib membalas yang baik dengan syurga dan yang jahat ke neraka, tetapi kaum sufi sebagaimana Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah melihat ianya sebagai palsaan kepada Tuhan dan dengan paksaan melemahkan konsep ketuhanan. Sebaliknya kaum sufi dan Ahlu al-Sunnah adalah harus bagi Allah  melakukan semua tanpa paksaan. Harus misalnya bagi Allah mengampunkan yang berdosa besar dan memasukkannya ke dalam syurga. Demikian harus bagi Allah mengeluarkan orang yang berdosa, tetapi bersolat selepas dihukum  di dalam neraka dan memasukkannya ke dalam syurga. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Bahawasanya Allah tidak mengampun siapa yang mensyirik denganNya dan Dia mengampun selain dari itu bagi siapa yang dikehendakinya.`` (Al-Nisa`: 48).
Menurut Abu Bakar al-Kalabadzi, sikap orang mu`min sentiasa berada di dalam takut dan raja`. Dia mengharap kelebihan Allah bagi mengampunkan dosa-dosanya yang besar. Dia takut dengan keadilan Allah yang akan menghukum diri dengan sebab-sebab dosaa  yang dilakukan. Lantaran antara sikap seorang mu`min juga sentiasa bertaubat dari kesalahan dan dari dosa-dosanya  sama ada kecil, apa lagi yang besar.
Berhubung dengan wa`ad dan wa`id, seseorang hendaklah sentiasa berusaha dan cenderung kepada berbuat baik secara berterusan dan dengan kebaikan yang dilakukan dia bertafa`ul  (menyangka baik) dan mengharap balasan yang baik dari Allah dan sentiasa mengelak dan menjauhi diri dari perkara-perkara yang jahat. Namun seseorang itu tidak mendakwa dirinya  sebagai orang baik, bahkan mengakui tidak terlepas dari terjatuh di dalam kesalahan dan kekhilapan. Firman Allah bermaksud:
``Dan (sebahagian)  yang lain mengakui akan dosa-dosa mereka lakukan. Mereka telah mencampuradukkan amalan yang baik dengan amal yang lain – yang buruk.. Mudah-mudahan  Allah akan menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani. (Al-Taubah: 102).
Wa`ad adalah janji baik dan wa`id adalah janji jahat. Kita berusaha mengamalkan yang baik, walau bagaimana kita tidak mampu menilai  hakikat amalan kita apakah sebenarnya tergolong di dalam amal yang baik, banyak faktor penilaian termasuk keikhlasan, tetapi secara tafa`ul kita berdo`a dan memohon dari Allah menerima amalan baik kita  sebagai amalan yang baik. Pada  sisi Allah Dia berhak menentukan balasan, biasanya baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat, tetapi  adalah hak Allah melakukan sebaliknya. Sekali lagi kita hanya berusaha dan mengharapkan apa yang kita lakukan daripada amalan yang baik  diterima sebagai amalan baik dan mendapat  balasan yang baik dan berusaha menjauhi dari kejahatan.

Sekian.

November 26, 2016

PENENTANGAN TERHADAP FALSAFAH DAN PRINSIP MU`TAZILAH


BBB, 25 Safar `438H. = 25 November 2016 (Juma`at):
 Persoalan akidah yang dibicarakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, antaranya melibatkan  falsafah  ilmu kalam yang berkembang di dalam tradisi keilmuan dan peradaban Islam. Terdapat aliran-aliran yang tumbuh dan berkembang seperti Kharijiyyah,  Qadariyyah, Jabariyyah, Murjiyyah, Shi`ah, Mu`tazilah di sampaing Ahlu al-Sunnah wa al-Jamama`ah. Tiap satu berlaku persentuhan yang membawa kepada pertentangan antara prinsip-prinsip masing-masing.
Mu`tazilah adalah terbina dari elemen-elemen yang berkembang dari konflik politik dan pemikiran yang asalnya tumbuh dari Kharijiyyah, membawa kepada Qadariyyah dan dari mpertikaian pendapat antara Wasil bin `Ata` dengan gurunya Hasan Basari  melahirkan Mu`tazilah. Kemudian Mu`tazilah berkembang kepada aliran-aliran antara yang terkenal ialah, Aliran Basrah dan Baghdad yang didukung oleh guru-guru dan pengikut-pengikut masing-masing.
Antara ciri penting di dalam polimik intelektual ini, bahawa Mu`tazilah amat berpegang kepada rasional akal. Persoalan-persoalan keagamaan dibahaskan secara rasional akal. Misalnya mereka berpegang bahawa Tuhan adalah berdzat dan tidak bersifat, kerana dengan mengatakan bersifat bererti tidak lagi `ahad`, dengan berbilang sifat. Bagi mereka Allah melihat dengan dzat, mendengar dengan dzat, mengetahui dengan dhat. Demikianlah dengan sifat-sifat yang lain. Mereka mengatakan Al-Qur`an adalah diciptakan dan disampaikan secara wahyu, kerana tidak mungkin kalam Tuhan dapat dipisah dari DhatNya. Begitu juga mereka mengatakan Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata kepala, sama ada di dunia  atau akhirat kerana tidak mungkin makhluk yang baharu berdepan dengan yang Abadi.
Ada lima prinsip utama yang ditegakkan oleh Mu`tazilah  berdasarkan rasional Akal:
1)      Mereka mendakwa mereka menegakkan tauhid Allah. Contoh mereka menafikan Tuhan bersifat dan mereka berpendapat Al-Qur`an makhluk.
2)      Mereka mendakwa mereka adalah penegak Keadilan Tuhan. Bagi mereka wajib Tuhan membalas baik kepada yang membuat baik dan wajib membalas jahat kepada yang membuat jahat.
3)      Wa`ad dan Wa`id – Janji baik dan jahat, wajib bagi Tuhan menunaikannya berasaskan kepada prinsip keadilan dan rasional yang ditegakkan.
4)      Al-Amru bi al-Ma`ruf dan al-Nahyu `an al-Munkar, adalah menjadi kemestian melaksanakannya bagi setiap pendukung agama Islam
5)      Tempat Antara Dua Tempat – Bagi menegakkan keadilan.  Bagi mereka Allah  wajib memberi keutamaan yang baik `As*lah dari yang S*alah.`
                                            (Watt, M,  The Formative Period  of Islamic Thought, 1973: 229).
Antara yang dibicarakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, ialah mengenai aspek `As*lah` yang menjadi salah satu prinsip Mu`tazilah. Cerita klasik berhubung dengan `As*lah`, dikatakan Wasil bin `Ata` bertanya gurunya mengenai anak kecil orang Islam yang meninggal dunia, bagaimana balasan terhadapnya. Dijawab ianya dimasukkan ke dalam syurga. Dihujahkan bagaimana dengan orang tua Islam yang masuk neraka, tidakkah wajar (as*lah) baginya mati kecil juga, supaya dapat masuk syurga ? Bagi Mu`tazialh (Wasil), berpendapat adalah lebih adil dan as*lah bagi Allah mewujudkan tempat antara dua tempat bagi meletakkan anak kecil, agar dengan itu mencerminkan keadilan Tuhan. Pokoknya bagi Mu`tazilah Tuhan wajib melaksanakan keadilan.
Berhubung dengan `As*lah ini mencatat Abu Bakar al-Kalabadzi, bahawa:
``Bersepakat secara jama`ah kalangan kaum sufi, bahawasanya Allah Ta`ala melakukan kepada hambanya menurut apa yang dikehendakiNya dan menghukum terhadap mereka menurut kehendakNya, sama ada lebih (as*lah – lebih baik) bagi mereka atau tidak, kerana makhluk adalah ciptaanNya dan suruhan adalah suruhannya, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.`` (Al-Anbiya`:  23).
Menghujah Al-Kalabadzi, kalau Tuhan tidak berhak melakukan kehendaknya, nescaya tidak ada beza  antara Tuhan dan hamba.
Menurut Al-Kalabadzi kaum sufi secara ijma` berpendapat, bahawa segala apa yang dibuat oleh Allah Ta`ala terhadap hambaNya daripada ihsan, hidayah dan kelembutan adalah merupakan kelebihan dariNya, sekiranya Dia tidak membuat sedemikian adalah harus bagiNya, Allah tidak wajib baginya membuat  sebarang perbuatan. Dia sebenarnya tidak memerlukan pujian dan kesyukuran.
Kaum sufi juga berpendapat bahawa memberi pahala dan menghukum yang berdosa, bukanlah merupakan tuntutan, akan tetapi dari segi kemahuan,  kelebihan dan keadilan.
Kaum sufi juga berpendapat secara jama`ah, bahawasnya jika Allah mengazabkan semua yang di langit dan di bumi, tidaklah Allah melakukan kezaliman kepada mereka itu. Kalau Allah memasukkan semua orang kafir ke dalam syurga bukanlah perkara mustahil bagi Allah, kerana makhluk adalah  makhlukNya dan suruh adalah suruhanNya, akan tetapi diberitahu bahawa Allah  memberi nikmat kepada orang mukmin selama-lamanya  dan mengazabkan orang kafir juga selama-lamanya. Dialah  yang benar pada firmanNya, khabarNya adalah benar, adalah berkewajaran bagiNya  melakukannya dan tidak harus bagi yang lainnya.
Kaum sufi juga berpendapat bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu kerana `illah, kalaulah kerana `illah, nescaya Allah menjadi `illah hingga kepada yang tidak berkesudahan, yang demikian adalah batal. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.`` (Al-Anbiya`: 101).
Sesungguhnya  Allah tidak zalim. Apa yang ditekankan oleh Mu`tazilah tentang rasional adalah merupakan kewajaran terhad, sedang di sana ada hikmat-hikmat  dan maksud-maksud tersirat yang tidak dapat dicapai oleh akal terhad.

Sekian.

November 25, 2016

SOAL PAKSAAN ATAU PENYERAHAN ?


BBB,  24 Safar 1438H. = 24 November 2016 (Khamis):
Abu Bakar al-Kalabadzi memilih persoalan `Jabr` yang menjadi pegangan kaum Jabariyyah, bagaimana pagangan kalangan kaum sufi berhubung dengan `Jabr` berkenaan. Jabr sebagaimana yang dipegang oleh kaum Jabariyyah adalah bertentangan peganagan kaum Mu`tazilah. Bagi kaum Jabariyyah bahawa manusia tidak mempunyai daya dalam menentukan perbuatannya sebaliknya  terpaksa  dan semuanya terserah kepada kehendak Allah semata-mata tanpa ikhtiar dari hamba, manakala kaum Mu`tazilah pula berpendapat, manusia adalah melakukan perbuatannya dengan kuasa yang Allah beri kepadanya.
Menurut Abu Bakar al-Kalabadzi, tidak ada `jabr`, melainkan ada dua yang bertentangan, iaitu menyuruh atau memaksa membuat sesuatu perbuatan dan yang menentang atau mengingkari perbuatan, maka dia menjabarkan suruhan ke atasnya
Makna `ijbar` menurut Al-Kalabadzi, ialah  pelaku tidak menyukai melakukan  apa yang disuruh dia lakukan dan membencinya dan terpaksa meninggalkan apa yang disukainya. Maka dia memilih melakukan apa dibencinya. Kalaulah tidak dipaksa dan diijbar kepadanya, nescaya dia akan membuat apa yang ditinggalkan kerana terpaksa, tetapi disukai.
Sebagai contoh pandangan falsafah Greek yang negatif terhadap kehidupan, bahawa kehidupan adalah  sebagai satu paksaan. Dibandingkan sebagaimana mythology Sisiphus, yang melihat kehidupan adalah sebagai paksaan dari pihak Tertingga, hidup sebagai kerja paksaan sebagai dipaksa menggolek batu dan kaki bukit ke puncaknya, apabila hampir tiba ke puncak, maka batu tersebut menggelonsor turun balik, dan terpaksa di diguling menolak balik ke atas, begitulah berulang-ulang secara negatif, jemu dan tiada hujungnya. Bermaksud kehidupan manusia adalah sebagai paksaan, terpaksa bekerja, makan minum, tidur bangun berulang-berulang dan tiada hentinya hinggalah dan diteruskan oleh orang yang lain, begitulah berterusan. Ertinya hidup adalah paksaan, bukan dari kemahuan dan pilihan !
Pandangan negatif terhadap hidup ini tentulah amat bercanggah dengan Islam, bahawa kehidupan seharusnya diterima secara kesyukuran kerana merasa nikmat iman dan hidayah ke jalan lempang. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan kamu wahai orang-orang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman itu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya di dalam hati kamu. Dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasiq serta perbuatan durhaka pula perkara-perkara yang kamu benci. Mereka yang bersifat demikian, ialah orang-orang yang tetap menurut jalan lurus.`` (Al-Hujurat: 7).
Mereka yang memandang hidup secara negatif, adalah mereka yang sakit jiwa dan mental, mereka perlu kepada tarapi yang bersifat rohani dan pendedahan tentang kepentingan dan nikmat ilmu. Lantaran dengan ilmu dapat memahami segala fenomena dan kejadian yang mengkagumkan dan mententeramkan akal fikiran. Dari segi kerohanian ialah mendapat ketenangan jiwa yang dengan keduanya dapat ditumpahkan rasa kehambaan pada Yang Maha Pencipta yang merupakan juga kenikmatan yang tiada tara.
Di dalam Islam tidak ada sifat putus asa dari rahmat Allah. Firman Allah bermaksud:
``Katakanlah  (wahai Muhammad), ``Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan ma`siat),  janganlah kamu berputus asa daripada  rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang amat Pengampun, lagi amat Mengasihani``  (Al-Zumar: 53).
Satu dari aspek Jabr ialah  melihat kehidupan sebagai paksaan sebaliknya,  bahawa manusia  tidak perlu bertindak, tetapi mengambil sikap `Penyerahan`  sepenuhnya, lantaran katanya, tridak ada daya usaha bagi manusia, segala di dalam ketentuan Allah, manusia  di dalam kehidupan seperti bulu yang dihembus angin dan dibawa angin ke arah di mana dan ke mana dia bergerak, atau sebagai debu pada permukaan padang pasir, bila dia disentak angin dan dibawa ke mana sahaja dan jatuh di mana saja bila kematian angin dan bakal bergerak bila angin bertiup kembali. Falsafah pegangan sedemikian juga amatlah negatif, tiada daya dan kemahuan. Sudah tentulah pandangan sedemikian memundurkan, hatta untuk berbuat kebajikan juga, tiada  naluri dan daya kemahuan.
Manusia hendaklah bersifat positif. Kata Al-Kalabadzi, Allah menjadikan baginya ikhtiar, istihsan, iradah dan iman. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan baginya. Tugas baginya memilih bagi membuat kebaikan dan kebajikan, kerana ia jalan baik dan indah memberi faedah bagi diri dan orang ramai dan juga alam keilingan.
Firman Allah bermaksud:
``Demikianlah, Kami memperelokkan pada (pandangan) tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka.`` (Al-An`am: 107).
Berhubung dengan persoalan yang telah dibicarakan kata Ibrahim al-Laqani di dalam Matan Jauharah dan sharahnya:
``Tiada hamba itu dengan dikerasi semata-mata seperti i`tiqad orang Jabariyyah dan tiada hamba  itu  dengan pilihan sendirinya seperti i`tiqad orang Qadariyyah, kerana dalil nass Kitab dan Hadith Nabi s.a.w. dan ijma` segala `ulama` ahlu millah al-Islam dan dalil aqli yang telah tersebut semuanya di dalam segala kitab yang mut*awwalat.  Dan tiada sekali sebenar yang maujud lain daripada Allah Ta`ala itu memberi bekas dengan perbuatan atau dengan adatnya atau dengan kuatnya. Dan jikalau memberi pahala Allah Ta`ala akan kita, maka sungguhnya dengan fadhl Allah Ta`ala. Dan erti fadhl itu, iaitu recana daripada memberi rahmat Allah Ta`ala akan hambanya dengan ikhtiar, tiada dengan ijab seperti i`tiqad orang Mu`tazilah. Dan jikalau menyiksa Allah Ta`ala akan hambanya sanya dengan adilnya yang khalis dan erti adil itu menjadikan barang suatu dalam tempatnya dan Maha Suci Allah Ta`ala daripada z*ulm, kerana bahawasanya barang suatu daripada mumkinat semuanya itu makhluk Allah Ta`ala.
Demikian penjelasan Abu Bakar al-Kalabadzi tentang pegangan kaum sufi berhubung dengan perbuatan manusia yang sikap, pendirian dan pegangan mereka adalah selari dan sama dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Sekian.