November 26, 2016

PENENTANGAN TERHADAP FALSAFAH DAN PRINSIP MU`TAZILAH


BBB, 25 Safar `438H. = 25 November 2016 (Juma`at):
 Persoalan akidah yang dibicarakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, antaranya melibatkan  falsafah  ilmu kalam yang berkembang di dalam tradisi keilmuan dan peradaban Islam. Terdapat aliran-aliran yang tumbuh dan berkembang seperti Kharijiyyah,  Qadariyyah, Jabariyyah, Murjiyyah, Shi`ah, Mu`tazilah di sampaing Ahlu al-Sunnah wa al-Jamama`ah. Tiap satu berlaku persentuhan yang membawa kepada pertentangan antara prinsip-prinsip masing-masing.
Mu`tazilah adalah terbina dari elemen-elemen yang berkembang dari konflik politik dan pemikiran yang asalnya tumbuh dari Kharijiyyah, membawa kepada Qadariyyah dan dari mpertikaian pendapat antara Wasil bin `Ata` dengan gurunya Hasan Basari  melahirkan Mu`tazilah. Kemudian Mu`tazilah berkembang kepada aliran-aliran antara yang terkenal ialah, Aliran Basrah dan Baghdad yang didukung oleh guru-guru dan pengikut-pengikut masing-masing.
Antara ciri penting di dalam polimik intelektual ini, bahawa Mu`tazilah amat berpegang kepada rasional akal. Persoalan-persoalan keagamaan dibahaskan secara rasional akal. Misalnya mereka berpegang bahawa Tuhan adalah berdzat dan tidak bersifat, kerana dengan mengatakan bersifat bererti tidak lagi `ahad`, dengan berbilang sifat. Bagi mereka Allah melihat dengan dzat, mendengar dengan dzat, mengetahui dengan dhat. Demikianlah dengan sifat-sifat yang lain. Mereka mengatakan Al-Qur`an adalah diciptakan dan disampaikan secara wahyu, kerana tidak mungkin kalam Tuhan dapat dipisah dari DhatNya. Begitu juga mereka mengatakan Tuhan tidak dapat dilihat dengan mata kepala, sama ada di dunia  atau akhirat kerana tidak mungkin makhluk yang baharu berdepan dengan yang Abadi.
Ada lima prinsip utama yang ditegakkan oleh Mu`tazilah  berdasarkan rasional Akal:
1)      Mereka mendakwa mereka menegakkan tauhid Allah. Contoh mereka menafikan Tuhan bersifat dan mereka berpendapat Al-Qur`an makhluk.
2)      Mereka mendakwa mereka adalah penegak Keadilan Tuhan. Bagi mereka wajib Tuhan membalas baik kepada yang membuat baik dan wajib membalas jahat kepada yang membuat jahat.
3)      Wa`ad dan Wa`id – Janji baik dan jahat, wajib bagi Tuhan menunaikannya berasaskan kepada prinsip keadilan dan rasional yang ditegakkan.
4)      Al-Amru bi al-Ma`ruf dan al-Nahyu `an al-Munkar, adalah menjadi kemestian melaksanakannya bagi setiap pendukung agama Islam
5)      Tempat Antara Dua Tempat – Bagi menegakkan keadilan.  Bagi mereka Allah  wajib memberi keutamaan yang baik `As*lah dari yang S*alah.`
                                            (Watt, M,  The Formative Period  of Islamic Thought, 1973: 229).
Antara yang dibicarakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, ialah mengenai aspek `As*lah` yang menjadi salah satu prinsip Mu`tazilah. Cerita klasik berhubung dengan `As*lah`, dikatakan Wasil bin `Ata` bertanya gurunya mengenai anak kecil orang Islam yang meninggal dunia, bagaimana balasan terhadapnya. Dijawab ianya dimasukkan ke dalam syurga. Dihujahkan bagaimana dengan orang tua Islam yang masuk neraka, tidakkah wajar (as*lah) baginya mati kecil juga, supaya dapat masuk syurga ? Bagi Mu`tazialh (Wasil), berpendapat adalah lebih adil dan as*lah bagi Allah mewujudkan tempat antara dua tempat bagi meletakkan anak kecil, agar dengan itu mencerminkan keadilan Tuhan. Pokoknya bagi Mu`tazilah Tuhan wajib melaksanakan keadilan.
Berhubung dengan `As*lah ini mencatat Abu Bakar al-Kalabadzi, bahawa:
``Bersepakat secara jama`ah kalangan kaum sufi, bahawasanya Allah Ta`ala melakukan kepada hambanya menurut apa yang dikehendakiNya dan menghukum terhadap mereka menurut kehendakNya, sama ada lebih (as*lah – lebih baik) bagi mereka atau tidak, kerana makhluk adalah ciptaanNya dan suruhan adalah suruhannya, sebagaimana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.`` (Al-Anbiya`:  23).
Menghujah Al-Kalabadzi, kalau Tuhan tidak berhak melakukan kehendaknya, nescaya tidak ada beza  antara Tuhan dan hamba.
Menurut Al-Kalabadzi kaum sufi secara ijma` berpendapat, bahawa segala apa yang dibuat oleh Allah Ta`ala terhadap hambaNya daripada ihsan, hidayah dan kelembutan adalah merupakan kelebihan dariNya, sekiranya Dia tidak membuat sedemikian adalah harus bagiNya, Allah tidak wajib baginya membuat  sebarang perbuatan. Dia sebenarnya tidak memerlukan pujian dan kesyukuran.
Kaum sufi juga berpendapat bahawa memberi pahala dan menghukum yang berdosa, bukanlah merupakan tuntutan, akan tetapi dari segi kemahuan,  kelebihan dan keadilan.
Kaum sufi juga berpendapat secara jama`ah, bahawasnya jika Allah mengazabkan semua yang di langit dan di bumi, tidaklah Allah melakukan kezaliman kepada mereka itu. Kalau Allah memasukkan semua orang kafir ke dalam syurga bukanlah perkara mustahil bagi Allah, kerana makhluk adalah  makhlukNya dan suruh adalah suruhanNya, akan tetapi diberitahu bahawa Allah  memberi nikmat kepada orang mukmin selama-lamanya  dan mengazabkan orang kafir juga selama-lamanya. Dialah  yang benar pada firmanNya, khabarNya adalah benar, adalah berkewajaran bagiNya  melakukannya dan tidak harus bagi yang lainnya.
Kaum sufi juga berpendapat bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu kerana `illah, kalaulah kerana `illah, nescaya Allah menjadi `illah hingga kepada yang tidak berkesudahan, yang demikian adalah batal. Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.`` (Al-Anbiya`: 101).
Sesungguhnya  Allah tidak zalim. Apa yang ditekankan oleh Mu`tazilah tentang rasional adalah merupakan kewajaran terhad, sedang di sana ada hikmat-hikmat  dan maksud-maksud tersirat yang tidak dapat dicapai oleh akal terhad.

Sekian.

No comments:

Post a Comment