BBB, 21 Safar 1438H. = 21 November 2016M. (Isnin):
Persoalan
perbezaan pendapat antara kalangan ahli `aqidah dengan kaum sufi
mengenai soal-soal `aqidah ini, walaupun dilihat kurang releven – sepatutnya
bagi bidang tasawuf, haruslah ditumpu pengarangnya terhadap bidang tasawuf,
namun dilihat dengan pandangan kedua
golongan yang tidak begitu dibicarakan oleh pihak yang lain, secara sekaligus pula ianya menjadi identiti
bagi pengarang dan kitabnya yang berjudul `Al-Ta`arruf li Madzhab Ahl
al-Tasawwuf.`
Berhubung dengan tajuk, `Ru`yat Allah`
atau `Meliaht Allah` adalah menjadi
tajuk yang penting di dalam bidang `aqidah dan pendapat-pendapat mengenainya.
Bagaimnanakah dengan isu melihat Allah ini ?
Persoalan ini memang tersebu t di dalam
Al-Qur`an dan Al-Hadith. Antara ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Pada hari akhirat itu muka (orang-orang
yang beriman) berseri-seri, melihat kepada Tuhannya.`` (Al-Qiyamah: 22-23).
Dan ayat yang lain bermaksud:
``Untuk orang-orang yang berusaha
menjadikan amalannya baik, dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang
mulia (iaitu melihat dzat Allah `Azza wa
Jalla di dalam syurga), dan air muka mereka pula (berseri-seri), tidak diliputi
oleh sebarang kekeruhan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga. Mereka kekal
di dalamnya selama-lamanya.`` (Yunus: 26).
Juga ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang
telah kami tentukan itu, dan TuhanNya berkata dengannya, maka Nabi Musa (merayu
denganNya) berkata, ``Wahai Tuhanku ! Perlihatkanlah kepadaku (akan dzatMu yang
Maha Suci itu) supaya aku dapat memandang kepadaMu.``
Allah berfirman, ``Engkau tidak sekali-kali
akan sanggup melihatKu, tetapi lihatlah ke gunung itu,, maka jika ia tetap
berada pada tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu. Maka tatkala Tuhannya `tajalli` (menzahirkan kebesaranNya) kepada
gunung itu, (maka) tajalliNya menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa
pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia , ``Maha Suci Engkau
(wahai Tuhanku) aku bertaubat kepadaMu dan akulah orang yang awal pertama beriman
(pada zamanku)``. (Al-A`raf: 143).
Berhubung dengan melihat Allah Ta`ala kata
Sharih bagi Matan Jauharat al-Tauhid sebagai pandangan Sunni berkata:
Dan setengah daripada ja`iz kepada Allah
Ta`ala pada hukum akal dan wajib percaya
pada shara` bahawa melihat akan Allah
Ta`ala dengan mata kepala dalam akhirat, tetapi tiada dengan kayfiyat
yang baharu dan tiada inhisar ya`ni dihinggakan bagi segala orang yang mu`min,
kerana dalilnya itu barang suatu yang ja`iz lagi dita`liqkan ia dengan barang
suatu yang mumkin, maka imkan ia wujudnya pada hukum dan wajib tentu adanya ia
pada dalil shara` yang wajib percaya ia dengan dia, maka yakinkanlah hatimu
dengan perkataan itu.``
Adapun melihat Allah bagi Nabi kita
Muhammad s.a.w. kata Sharih Matan Jauharat al-Tauhid:
``Dan bagi Nabi kita Muhammad s.a.w. itu
telah hasil ru`yah kepada Dzat Allah Ta`ala dalam mi`raj ia ke langit, ya`ni ru`yah
kepada Dhat Allah Ta`ala.``
Di samping pendapat di atas terdapat
pendapat yang bercanggah, iaitu Mu`tazilah yang berpegang pada rasional akal
yang berpendapat, tidak mungkin berlaku melihat Allah dengan mata kepada,
kerana hamba yang lemah dan fana tidak mungkin berdepan apa lagi melihat yang
Abadi`.
Adapun dari kaum sufi, bahawa mereka
sepakat secara jama`ah, bahawa Allah
Ta`ala boleh dilihat dengan mata
kepala pada hari akhirat. Bahawasanya Ia dilihat oleh orang mu`minun, tetapi
tidak oleh orang kafir, sebagaimana bukti dari ayat-ayat Al-Qur`an di atas.
Mereka juga berpendapat harus dilihat dengan akal dan mereka mewajibkan secara
pendengaran.
Adapun yang mengharuskan dengan akal,
kerana Ianya maujud dan setiap yang maujud, harus dilihatnya, lantaran Allah
meletakkan melihatNya. Kalaulah tidak
boleh dilihat, maka tidaklah diminta oleh Nabi Musa a.s. sebagaimana ayat
al-Qur`an di atas.
Di samping ayat Al-Qur`an terdapat Hadith
Nabi yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim dan Jama`ah bahawa Rasulullah
s.a.w.bersabda bermaksud:
``Sesungguhnya kamu akan melihat Tuhan kamu
sebagaimana kamu melihat bulan mengambang (al-badr).``
Mereka juga berpendapat bahawa Allah tidak
dapat dilihat dengan mata kepala di dunia, lantaran dunia adalah fana` dan
tidak mungkin berlaku pertemuan antara Yang Baqa` dengan yang fana` di dunia.
Kaum sufi bersalahan pendapat adakah Nabi
s.a.w. melihat Allah pada malam Isra`-Mi`raj. Pendapat jumhur kalangan mereka itu, bahawa
Rasulullah s.a.w. tidak melihat dengan mata kasar Baginda. Ianya tidak mungkin
berlaku bagi sebarang makhluk di dunia. Berhubung dengan hal ini `Aishah
r.`anha berkata, ``Siapa menyangka
bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melihat Tuhannya, maka sesungguhnya dia berdusta.``
Antara mereka yang berpendapat tidak
mungkin melihat Tuhan di dunia ini ialah Al-Junayd, Al-Thauri
dan Abu Sa`id al-Kharraz.
Namun ada kalangan sufi berpendapat,
Rasulullah s.a.w. melihatNya pada malam Isra`-Mi`raj. Baginda diistimewa
dengannya sebagaimana diistimewakan Nabi Musa dengan bercakap (Kalam) dengan
Allah. Ini sebagaimana dikhabarkan oleh Ibn `Abbas, Asma` dan Anas r.`anhum.
Kalangan sufi yang sependapat demikian ialah Abu `Abdullah al-Qurashiyy,
Al-Shibli dan yang lain.
Kata setengah daripada mereka, Baginda
melihatNya, tetapi bukan dengan mata kasar berdasarkan ayat Al-Qur`an
bermaksud:
``Tidak berdusta hati dengan apa yang
dilihat.`` (Al-Najm: 11).
Tiada kelainan pendapat di kalangan kaum
sufi. Pendapat-pendapat mereka adalah sebagaimana pendapat-pendapat kalangan
Sunni juga.
Sekian.
No comments:
Post a Comment