November 2, 2016

ADAB-ADAB DI DALAM SOLAT


BBB, 01 Safar 1438H. = 01 November 2016M. (Selasa):
Tajuk yang berhubung dengan adab di dalam solat ini adalah tajuk penting, lantaran solat adalah ibadat utama yang disifatkan sebagai tiang agama yang siapa yang mendirikannya mendirikan agama dan siapa yang meninggalkannya adalah meruntuhkan agama.
Bagi mendiri dan menjaga adab-adab solat, kata Al-Sarraj perlu kepada keilmuan yang berkenaan denganya.  Solat sebagaimana ditakrifkan  dari segi lughahnya ialah al-do`a, manakala dari segi istilahnya ialah perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang pembukaannya dengan takbir dan penutupannya dengan salam.
Untuk bersolat perlu mengetahui syarat-syaratnya iaitu lapan perkara – Islam, mumayyiz, mengetahui masuk waktu dengan yakin, mengetahui akan solat itu fardhu atau sunat, suci daripada hadath besar dan kecil, suci daripada najis yang tiada dimaafkan pada misalnya pakaiannya, menutup `aurat dan menghadap ke arah Kiblat.
Begitu juga perlu mengetahui dari segi rukun solat yang tiga belas yang terdiri dari niat,mengadap Qiblat,  takbir, berdiri, membaca al-Fatihah, rukuk, i`tidal, sujud, duduk antara dua sujud, duduk bagi tasyahhud , baca tashahhyud dan memberi salam, tartib. Dan rukun ini terbahagi kepada tiga, iaitu.
Pertama: Rukun qalbi, iaitu yang takluk ia pada hati, iaitu niat.
Kedua:  Rukun qauli, iaitu yang ta`luk ia pada perkataan, iaitu takbiratul Ihram, , membaca al-Fatihah,  tashahhud akhir, salawat atas Nabi s.a.w. kemudiannya dan salam yang pertama,
Ketiga:  Rukun fi`li, iaitu ta`luq ia pada perbuatan, iaitu qiyam dan rukuk,, i`tidal, dua sujud, duduk antara dua sujud dan duduk akan tashahhud akhir.
Antara yang dikira sebagai adab solat, ialah bersedia untuk solat sebelum tibanya solat, tahu masa masuknya waktu solat.
Ditanya Abu Sa`id al-Kharraz r. ``Bagaimana masuk kepada solat ?  Katanya sebagaimana engkau berdepan Allah Ta`ala sebagaimana engkau berdepan denganNya pada hari kiamat, engkau berdiri di hadapanNya , tiada di antara engkau denganNya sebarang sekatan. Engkau diterima atau sebaliknya.
Abu Sa`id al-Kharraz r.h.a  juga pernah menjawab di dalam tulisan yang mensifatkan tentang adab solat, maka tulisnya, ``Apabila engkau mengangkat kedua tangan engkau dalam takbir, maka tidak ada di dalam hati engkau tumpuan melainkan kepada Allah yang Agong dan tidak ada bersama engkau sesuatu yang lebih besar daripada Allah, tumpuan hanya kepadaNya.
Menghurai Al-Sarraj kepada maksud kata-kata Abu Sa`id al-Kharraz ini, bahawa seseorang hamba apabila ia bertakbir, Allahu Akbar, maka tiada sesuatu di dalam kalbunya selain daripada Allah, maka apabila ia membaca (bertilawah), maka dari segi adabnya bahawa dia menyaksikan dengan pendengaran hatinya, seolah-olah dia mendengar dari Allah Ta`ala, bahawa yang dibacanya ialah Kalam Allah Ta`ala.
Dihikayatkan daripada Al-Junayd r.h.a. bahawa dia berkata, ``Bagi tiap-tiap suatu ada permulaan dan permulaan bagi solat ialah takbitratul ihram, bermaksa takbir yang pertama ini adalah beserta dengan niyyat, yang tidak solat melainkan dengannya, ia adalah `aqad engkau, bahawa solat engkau bagi Allah `Azza wa Jalla. Apabila sahlah `aqad, maka tidaklah masuk selepas itu ke dalam solat engkau daripada kekejian batin  yang boleh merosakkan solat, bahkan sepatutnya tidak ada yang boleh mengurangkan fadhilatrnya dan kekal yang bersolat hingga selesai solatnya.
Dikatakan bagi setengah `arifin, ``Bagaimana engkau takbir dengan takbiratul ihram ? Maka katanya,``Apabila aku melafaz, Allahu akbar, maka aku berdepan dengan Allah . Dia Yang Maha Agong, penuh Kehaibatan. Dan berkata yang lain,
``Apabila engkau bertakbir dengan takbir yang pertama (takbiratul ihram), ketahuilah bahawa Dia melihat akan shakhsiah engkau. Dia mengetahui apa yang di dalam hati kecil engkau. Bayangkan di dalam solat engkau syurga bagai di sebelah kanan engkau dan neraka di sebelah kiri engkau !
Diriwayatkan bahawa, ``Aku  mendengar  Ibn Salim r.h.a. berkata, ``
``Niat ialah kepada Allah, bagi Allah dan untuk Allah, adapun kekejian yang masuk di dalam solat seorang hamba selepas niat adalah merupakan seteru dan jika ianya berterusan  merosakkan tujuan niat di atas.
Dan daripada adab solat, kata  Al-Sarraj, bahawa seseorang hamba  apabila masuk ke dalam solat, maka tidak ada di dalam hatinya sesuatu selain daripada Allah yang dia berhadapan denganNya. Dia memahami KalamNya yang dibacanya, dia menikmatinya dan menghayatinya dengan penuh dzauq, kerana  tidak ada baginya solat melainkan yang difahami, dihayati dan dirasainya.
 Melakukan perkara-perkara sunat di dalam solat seperti mengekalkan tilik pada tempat sujud,  khusyu` dengan hati dan sekalian anggotanya, mentadabbur dengan zikir dan do`a,, masuk kepada solat dengan rajin, selesai hati daripada gangguan, menggenggamkan pergelangan tangan pada pergelangan kiri, membaca tasbih pada rukuk dan sujud, memberi salam kedua dan banyak lagi. Disamping ada amalan yang sunat ada perkara-perkara yang membatalkan solat seperti berkata-kata dengan kata-kata yang lain dari bacaan dalam solat, sengaja melanjutkn rukun yang pendek seperti i`tidal dan duduk antara dua sujud, berpaling dari qiblat,  terbatal wudhu`dan sebagainya.
 Inilah yang dimaksudkan oleh Al-Sarraj perlu berilmu tentang fadhunya, yang sunatnya dan adabnya dan kelebihannya dan yang nawafilnya. Solat selain dari tiang agama dia adalah, qurrat al-`ayn bagi al-`arifin, hiasan al-siddiqin dan maqam al-muqarrabin. Dan maqam solat ialah maqam waslah (perhubungan- mikraj rohni), kedekatan, haibah, khusyu`, takut dan ta`zim, tenang, mushahadah, muraqabah, asrar, munajat kepada Allah Ta`ala, wuquf di hadapan Allah, berharap pada penerimaan Allah dan berpaling daripada selain daripada Allah.
Pun begitu apa yang dibicarakan di atas adalah sebahagian kecil daripada adab-adab di dalam solat. Untuk kefahaman terlebih detail dan mendalam perlulah mempelajarinya melalui pengajian kitab-kitab fiqh, khususnya mengenai bab solat  dari guru-guru yang murshid.

Sekian.

1 comment:

  1. as salammualaikum ustaz , mengenai hal di atas. boleh kah saya ingiin mengetahui sumber
    rujukan ustaz

    ReplyDelete