BBB, 06 Safar 1438H. =
06 November 21016 (Ahad):
Adalah banyak persoalan adab yang
dibicarakan oleh Al-Sarraj, maka selepas membicarakan adab-adab yang utama
dipilih intisari beberapa adab yang lain. Antaranya:
1) Adab Murid
Melibatkan bidang rohani, memerlukan
didikan dan bimbingan dari pihak
pembimbing yang dikenali dengan guru, murabbi
atau Shaykh – sama ada berada dalam kumpulan atau jamaah atau berada di
dalam institusi pendidikan seperti
madrasah dan sebagainya. Murid hendaklah mengikuti dan mematuhi apa yang diajar atau dididik
guru, sementara itu guru juga seharusnya menjaga adab yang boleh diikuti dan
diteladani.
Berkata Abu Sa`id al-Kharraz r.h.t.a.
daripada adab murid dan tanda kebenaran kemahuannya bahawa dia berkeadaan lemah
lembut, mengasihani, sanggup mengalami kesusahan (belajar). Dia redha dengan
ketentuan Tuhan dan dengan gurunya bagai anak yang baik dan mempunyai hubungan
baik dengan berbagai pihak. Dia berusaha beradab dengan adab para awliya` dan
al-siddiqin. Dia memohon dan bertawakkal kepada Allah.
Berkata Sahl bin `Abdullah, kerisauan murid
di dalam hatinya ialah bagi mendirikan segala yang fadhu, isrtighfar daripada dosa
dan mohon selamat daripada angkara makhluk.
Ditanya Yusuf al-Husayn, r.h.a. Apa alamat
murid ? Katanya, meninggalkan pergaulan yang merosakkan, waspada dari bahaya,
baik dengan kawan, mengamal yang diketahui, belajar apa yang tidak diketahui,
jangan terlibat dengan yang tidak berkenaan. berusaha dengan apa yang dijanji
Allah dan jauhi dari yang dilarang.
2. Adab Shaykh (Guru)
Shaykh hendaklah berlemah lembut dengan
sahabat dan memesrai mereka itu, bahkan melayan mereka dengan baik.
Dihikayatkan daripada Al-Junayd r.h.a. berkata kepada sahabat-sahabatnya:
``Kalau aku tahu solat dua raka`at itu
lebih afdhal daripada aku duduk bersama kamu, nescaya aku tidak duduk bersama
kamu.``
Shaykh juga hendaklah kasihan belas kepada
sesama kalangan murid yang diistilahkan sebagai fuqura` (kalangan sufi).
Dihikayatkan tentang Bish al-Hafi, bahawa dia
terketar-ketar lantaran berada di dalam kesejukan, maka ditanya, mengapa dengan
keadaannya (kesejukan), maka katanya, ``Aku teringat kepada kalangan fuqara`
yang tidak mempunyai sesuatu (lebih dari kesejukan). Aku tidak ada sesuatu untuk
menolong mereka itu sebagaimana aku suka kalau aku dapat menolong mereka itu
dengan diriku. Bermaksud Shaykh
mengambil perhatian terhadap yang lain, khususnya kalangan fuqara`.
Shaykh atau guru selain dari mengajar dan
membimbing murid – termasuk kalangan sufi dia juga perlu memberi nasihat untuk
kebaikan mereka.
Daripada
Ja`afar al-Khuldi berkata. Masuk
seorang lelaki menemui Al-Junayd r.h.a. Dia menyerahkan segala miliknya dan mau
bersama kalangan fuqara` dengan keadaan faqir. Maka aku mendengar Al-Junayd
berkata kepadanya, ``Jangan habiskan apa yang ada bersamamu. Simpanlah untuk
keperluan masa depan. Keluarkanlah yang lebih, tapi berwaspada. Utamakan
menuntut yang halal. Berwaspada dengan perbelanjaan.
3. Perlangsungan Majlis Ilmu
Keutamaan penuntut ialah mencari ilmu dan
mendapat tarbiah guru atau shaykh. Sebahagian dari masa yang dihabisi adalah
berada di dalam majlis ilmu.
Berkata Abu Nasr al-Sarraj, `Aku mendengarn
Ahmad bin `Ali al-Wajihi berkata, aku mendengar Aba Muhammad al-Jariri r.h.a berkata,``Duduk bermuzakarah
membuka peluang mengingatkan dan duduk
nasihat menasihati membuka ruang untuk diikuti.``
Berkata Abu Yazid r.h.a., ``Siapa yang
tidak mengambil manfaat dari diamnya yang bercakap nescaya dia tak dapat
mengambil manfaat dari apa yang dicakap !
Berkata Al-Junayd, seseorang seharusnya
tidak melampaui kalam dari apa yang dipegang.
Dihikayat dari Abi Muhammad al-Jariri
berkata, Seseorang yang didominasi keinsafan dan adab tidak melangkaui
kewajaran dan melebihi dari yang disoal.
Daripada adab mencari ilmu mestilah ada
kecintaan oleh pencari terhadap ilmu dan jujur di dalam pencariannya. Kata
Al-Junayd r.h.a. ``Jikalau ada ilmu di muka bumi, di bawah langit ini yang
lebih mulia dari ilmu yang kita ketahui, nescaya aku berusaha untuk mencarinya
dan mencari yang mengetahuinya sehingga aku mendapatinya. Begitu juga jika ada
tempat yang lebih semarak ilmu dari tempat kita, nescaya aku berusaha bersama
sahabat untuk mendapatnya.
Berkata Abu Sulaiman al-Darani r.h.t.a.,
``Kalau aku tahu di Makkah ada seorang yang dapat memberitahuku tentang ilmu
ma`rifat, nescaya aku usaha ke arahnya, walaupun berjalan kaki memakan jarak
beribu farsakh sehingga aku mendapatnya.
Semangat sedemikian berlaku kepada
pengumpul dan perawi Hadith seperti Imam al-Bukhari yang bila mengetahui ada
penghafal Hadith yang beliau belum mengetahui, maka dia sanggup pergi dan
mencari penghafal tadi, walau sejauh mana, lantaran bagi mendapat Hadith
berkenaan.
Seorang pelajar yang berada pada majlis ilmu seharusnya tidak
menunjukkan kepandaiannya mengatasi gurunya. Contoh Sahl bin `Abdullah pernah
ditanya mengenai masalah keilmuan yang dihadhirinya, tetapi dia tidak menjawab,
tetapi selepas dari itu, ia menjawab Maka ditanya kepadanya, mengapa pada
permulaan disoal tidak berjawab, tetapi kemudian dijawab. Sebabnya ada yang
lebih tahu daripadanya, kerana pada masa Dhu al-Nun al-Misri hadhir. Dia
menghormatinya dan sepatutnya persoalan dituju kepadanya.
Demikian antara petikan yang berhubung
dengan murid, guru atau shaykh dan perkara-perkara yang berhubung dengan
keilmuan yang walaupun kelihatan tradisional, tapi indah, menarik dan beradab.
Sekian.
No comments:
Post a Comment