November 6, 2016

KONSEP SAHABAT


BBB, 05 Safar 1438H. =  05 November  2016M. (Sabtu):

Sahabat mempunyai makna lebih istimewa  berbanding dengan beberapa istilah yang berhampiran dari segi maknanya seperti kawan, teman,  taulan dan sebagainya, istilah sahabat mempunyai makna  yang lebih murni.
Menyebut sahabat mengingatkan kita kepada sahabat-sahabat yang sama generasi dengan Nabi s.a.w. Mereka mempunyai kedudukan yang tinggi, sebagaimana Hadith Rasulullah s.a.w.
Daripada `Amran bin  Hus`ain r.`anhuma berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.a.w. (bermaksud): ``Sebaik-baik umatku ialah yang di dalam kurunku, kemudian yang mengikuti mereka itu, kemudian yang mengikuti mereka itu, kemudian selepas kamu kaum yang mereka menyaksikan dan tidak mereka disaksikan, mereka yang khianat dan mereka tidak beramanah, mereka diingatkan tapi tidak mengambil perhatian dan merekla tamak terhadap dunia.``
Antara  ciri sahabat zaman Rasulullah s.a.w. , bahawa:
1)      Sahabat adalah kalangan mereka yang mulia dan amanah.
2)      Kalangan mereka menerima dan meriwayatkan Hadith
3)      Kalangan mereka menerima pengajaran secara langsung dari Rasulullah s.a.w
4)      Antara mereka berjihad bersama Rasulullah s.a.w. menyebarkan Islam
5)      Mereka menjadi contoh tauladan di dalam berbagai hal.
Tentang sahabat ini, Imam Ahmad meriwayatkan daripada `Abdullah bin `Amri bin al`As bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Sebaik-baik sahabat di sisi Allah, sebaik mereka itu kepada sahabatnya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah, sebaik mereka itu kepada jirannya.``
Di dalam memeilih sahabat tentulah seorang mau memilih yang terbaik baginya. Misalnya seorang yang alim, wara` dan dapat membimbing kepada jalan yang betul, tetapi perlu diingat diri juga dinilai oleh mereka yang mau memilih sahabat, sebab itu, bagi sahabat yang mencari sahabat perlu menilai diri dan jadikan diri sahabat yabng disukai sahabat dan jangan sebagai yang dibenci. Kata Sahl bin `Abdullah tentang memilih sahabat:
``Memilih sahabat, jauhi dari tiga jenis manusia, iaitu,
Yang bersifat keras lagi lalai, qari-qari yang melagu-lagu secara berlebihan dan sufi yang jahil.``

Konsep sahabat ini tentulah mau diikuti contoh mereka, termasuklah di kalangan sufi. Kalangan ini selain dari perseorangan, mereka bergerak secara jamaah dan berjamaah. Sudah tentulah ada adab yang diamalkan di kalangan mereka seperti di kalangan mereka ada guru-guru yang mereka hormati dan mengikuti pengajaran dan tunjuk ajar mereka. Kalangan mereka menisbhkan diri mereka sebagai fuqara`, bukan bererti faqir tidak berwang, tetapi maksudnya ialah mereka dari kalangan yang berhajat kepada Allah. Antara  faqir sufi ini bermusafir ke negara-negara yang jauh bagi menyebarkan agama Islam.
Kafaqiran adalah satu suasana yang menjadikan mereka tenang dari gangguan, terutama tamakkan material.
Kata Al-Junayd r.a`. Faqir adalah laut ujian  kesemuanya itu adalah kemuliaan.
Antara adab faqir (sufi) sebagaimana kata Sahl bin `Abdullah r.a:
``Adab sufi faqir ada tiga perkara:
1)      Dia tidak memohon  walaupun dalam masa berhajat
2)      Dia tidak menolak apabila diberi
3)      Dia  tidak mengharap kurniaan sedemikian pada waktu yang lain.
Kata Sahl bin `Abdullah r.h.a. lagi: Faqir melzimkannya tiga perkara: Menjaga rahsia, menunaikan kefadhuan dan memelihara kefaqiran dari dimaklumi orang lain. Tentang sahabat keta Dzu al-Nun al-Misri: Jangan bersahabat melainkan muwafakat dengan perintah Allah dan jangan dengan makhluk melainkan memberi kebaikan diri, jangan dengan nafsu,melainkan menyalahimya dan  jangan dengan syaitan, melainkan menyeteruinya dan jangan dengab  seteru. Melinkan ditentangi.
Antara adab seorang sahabat yang mengharapkan bimbingan dari sahabatnya yang lebih tahu darinya, dia hendaklah bersifat ikhlas dan benar-benar ingin mendapat keilmuan darinya dan tidak timbul niat untuk menguji guru dan mengetahui sejauh mana keilmuannya. Ianya juga  tidak seharusnya tidak banyak soalan,  mengada-ngadakan soalan, seperti yang berlaku antara kisah Nabi Musa dengan Nabi khidhir yang terputus hubungan persahabatan. Demikian seperti kisah Al-Junayd yang mengetahui maksud penyoal yang tidak ikhlas, bahawa Al-Junayd apabila disoal berhubung dengan masalah yang tidak berkenaan dengan penyoal, maka dikata oleh Al-Junayd, ``La haula wa la quwwata illa bi`Llah. Dan apabila diulang soalan berkenaan, maka dia berkata: ``Hasbuna Allah wa ni`ma al-wakil`` (Ali `Imran: 173).
Dan kebenaran di dalam pembelajaran kata  al-Harith al-Muhasibi:
``Sepenting-penting perkara di dalam dunia, ialah orang alim yang beramal dengan ilmunya dan `arif yang bercakap tentang hakikat.``  Dengan keduanya melengkapkan keilmuan dan menyerlahkan kerahsiaan secara mendalam.
Sahabat adalah satu keperluan di dalam kehidupan. Manusia tidak dapat hidup bersendirian, tetapi ada berbagai-bagai sahabat, ada sahabat yang dipilih untuk dijadikan teman hidup dan mengatasi kesunyian, ada sahabat yang diharap darinya keilmuan dan bimbingan dan ada sahabat yang diharap dapat menghadapi masalah dan sama bertolong-tolongan, tetapi semuanya memerlukan keikhlasan dan tidak mengambil kesempatan bagi kepentingan diri, dengan demikian sahabat tidak berkekalan. Sahabat diperlukan, tetapi hendaklah setia bersifat ikhlas dan jujur, nescaya berkekalan.

Sekain.

No comments:

Post a Comment