November 27, 2016

TENTANG WA`AD DAN WA`ID


BBB,  19  Safar 1438H. = 19  November 201`6M. (Sabtu):
Sebagaimana telah disebut bahawa persoalan `Wa`ad` dan `Wa`id`, iaitu janji baik dan janji jahat adalah menjadi salah satu daripada lima prinsip Mu`tazilah. Bagi mereka berdasarkan rasional, bahawa Allah wajib menunaikan janji-janji berkenaan berdasarkan juga pada prinsip `keadilan`  yang juga merupakan salah satu daripada prinsip di atas. Wa`ad adalah bermaksud dengan amalan baik, manakala `wa`id` adalah amalan jahat.

Kata Abu Bakar al-Kalabadzi, bahawa secara jamaah kalangan sufi memaksudkan `al-wa`d al-mutlaq` adalah bagi orang mu`minin  lagi muhsinin.
Firman Allah bermaksud:
``Allah menjanjikan (wa`ada) kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, mereka akan beroleh keampunan dan pahala (balasan) yang besar.`` (Al-Ma`idah: 9).
Juga firman Allah bermaksud:
``Allah menjanjikan (wa`ada) dengan balasan yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada suatu keuzuran) dengan pahala yang amat besar.`` (Al-Nisa`: 95).
Manakala `al-wa`id al-mutlaq`, kalangan sufi secara jama`ah memaksudkan kepada kalangan `kuffar dan munafiqin.`
Berhubung dengan wa`id firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Adalah bagi  orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya) dan takut akan janji-janji azabKu (wa`id).`` (Ibrahim: 14).
Dan firman Allah bermaksud:
``Tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan rasul-rasul (yang diutuskan kepada mereka), lalu mereka ditimpakan azab (wa`id)  yang Aku janjikan.`` (Qaf: 14).
Kembali kepada prinsip yang dipegang oleh Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, bahawa pada dasarnya Allah  (harus) akan membalas terhadap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Siapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarrah sekalipun akan melihatnya – menerima balasan`` (Al-Zalzalah: 7). Seterusnya firman Allah bermaksud:
Adapun orang-orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada pada kehidupan yang senang linang (Al-Qari`ah: 6-7).
Sebaliknya yang melakukan kejahatan firman Allah bermaksud:
``Dan siapa yang melakukan kejahatan sebesar zarrah sekalipun akan dilihatnya (balasan).`` (Al-Zalzalah: 8). Seterusnya firman Allah bermaksud:
``Sebaliknya orang-orang yang ringan timbangan amal  baiknya, maka tempat kembalinya ialah `Hawiah` (Al-Qari`ah: 8-9).
Pihak kaum sufi sebagaimana Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah melihat secara bercanggah dengan kaum Mu`tazilah yang melihat bahawa Tuhan wajib membalas yang baik dengan syurga dan yang jahat ke neraka, tetapi kaum sufi sebagaimana Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah melihat ianya sebagai palsaan kepada Tuhan dan dengan paksaan melemahkan konsep ketuhanan. Sebaliknya kaum sufi dan Ahlu al-Sunnah adalah harus bagi Allah  melakukan semua tanpa paksaan. Harus misalnya bagi Allah mengampunkan yang berdosa besar dan memasukkannya ke dalam syurga. Demikian harus bagi Allah mengeluarkan orang yang berdosa, tetapi bersolat selepas dihukum  di dalam neraka dan memasukkannya ke dalam syurga. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Bahawasanya Allah tidak mengampun siapa yang mensyirik denganNya dan Dia mengampun selain dari itu bagi siapa yang dikehendakinya.`` (Al-Nisa`: 48).
Menurut Abu Bakar al-Kalabadzi, sikap orang mu`min sentiasa berada di dalam takut dan raja`. Dia mengharap kelebihan Allah bagi mengampunkan dosa-dosanya yang besar. Dia takut dengan keadilan Allah yang akan menghukum diri dengan sebab-sebab dosaa  yang dilakukan. Lantaran antara sikap seorang mu`min juga sentiasa bertaubat dari kesalahan dan dari dosa-dosanya  sama ada kecil, apa lagi yang besar.
Berhubung dengan wa`ad dan wa`id, seseorang hendaklah sentiasa berusaha dan cenderung kepada berbuat baik secara berterusan dan dengan kebaikan yang dilakukan dia bertafa`ul  (menyangka baik) dan mengharap balasan yang baik dari Allah dan sentiasa mengelak dan menjauhi diri dari perkara-perkara yang jahat. Namun seseorang itu tidak mendakwa dirinya  sebagai orang baik, bahkan mengakui tidak terlepas dari terjatuh di dalam kesalahan dan kekhilapan. Firman Allah bermaksud:
``Dan (sebahagian)  yang lain mengakui akan dosa-dosa mereka lakukan. Mereka telah mencampuradukkan amalan yang baik dengan amal yang lain – yang buruk.. Mudah-mudahan  Allah akan menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Amat Pengampun, lagi Amat Mengasihani. (Al-Taubah: 102).
Wa`ad adalah janji baik dan wa`id adalah janji jahat. Kita berusaha mengamalkan yang baik, walau bagaimana kita tidak mampu menilai  hakikat amalan kita apakah sebenarnya tergolong di dalam amal yang baik, banyak faktor penilaian termasuk keikhlasan, tetapi secara tafa`ul kita berdo`a dan memohon dari Allah menerima amalan baik kita  sebagai amalan yang baik. Pada  sisi Allah Dia berhak menentukan balasan, biasanya baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat, tetapi  adalah hak Allah melakukan sebaliknya. Sekali lagi kita hanya berusaha dan mengharapkan apa yang kita lakukan daripada amalan yang baik  diterima sebagai amalan baik dan mendapat  balasan yang baik dan berusaha menjauhi dari kejahatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment