BBB, 30 Muharram 1438H. = 31 Oktober 2016M. (Isnin):
Di dalam pendekatan tasawuf Sunni, maka
persoalan fiqh, khususnya yang berhubung dengan ibadat adalah merupakan sebahagian, keperluan, bahkan kewajipan di
dalam bertasawuf. Tanpanya tidak sempurna bahkan tidak bermakna bertasawuf.
Ianya juga sebagaimana akidah, tanpa akidah, bahkan tidak sempurna akidah, maka
tidak bermaknalah bertasawuf. Semuanya seharusnya lengkap melengkapi. Akidah
yang betul adalah merupakan perbersihan dari segi pegangan yang bersifat akli
dan rasional, tasawuf yang menekankan persoalan hati-rohani adalah penekanan
dan pembersihan dari segi dalaman. Maka demikian juga dengan persoalan fiqh,
khususnya ibadat yang betul adalah bersifat
amalan yang bersifat luaran, maka kesempurnaan ibadat adalah keperluan bagi
kesempurnaan tasawuf, bahkan amalan tasawuf adalah juga praktik dari segi
ibadat.
Kesedaran dari segi menjadikan ibadat
sebagai komponan bagi pendekatan tasawuf disedari dan dengan sengaja diambil
dan menjadi pendekatan bagi tasawuf Sunni. Kalau kita lihat pendekatan ini
dijadikan secara langsung, yakni bidang fiqh sebagai sebahagian daripada bidang tasawuf
seperti pendekatan yang dibuat oleh Abu Talib al-Makki (m.367H.) dengan
kitabnya yang berjudul Qut al-Qulub. Pendekatan ini disempurnakan oleh
Al-Ghazali (m.505H./1111M.) di dalam kitabnya yang berjudul Ihya` `Ulum al-Din. Di dalam kitabnya ini
persoalan ibadat dari segi solat, zakat, puasa, haji dan paktik-praktik ibadat
yang lain yang bersifat sunat dan sebagainya menjadi sebahagian dari pendekatan
tasawuf Al-Imam Al-Ghazali. Beliau menamakan komponan ibadat ini sebagai rub`u
al-Ibadat di dalam kitab beliau berkenaan.
Jadi apa yang mau ditekankan di sini,
bahawa Al-Sarraj dengan penuh sedar dan
sengaja menjadikan aspek ibadat adalah sebagai keperluan di dalam pendekatan
dan penyempurnaan tasawuf. Cuma tidak seperti Abu Talib al-Makki dan Al-Ghazali
membicarakan aspek-aspek berkenaan sebagai pembicaraan kitab fiqh, tetapi
Al-Sarraj melihatnya secara `Adab` dari aspek-aspek ibadat, kerana pembicaraan
secara fiqh perse adalah merupakan bidang yang patut dibicarakan sebagai
pendekatan fiqh.
Sebagaimana kitab-kitab fiqh memulakan
pembicaraan dengan keperluan dari segi
kesempurnaan bertaharah, maka demikianlah Al-Sarraj membicarakan pada bahagian permulaan
ialah adab-adab yang berhubung dengan taharah – termasuk wudhu`. Maka kata
Al-Sarraj:
``Seawal-awal adab yang diperlukan bagi
wadhu` dan bahagain taharah ialah perlu kepada ilmu dan mempelajarinya dan
mengetahui yang mana fadhu dan yang mana sunat, apa yang dituntut, apa yang
makruh, apa yang disuruh dengannya , apa yang disunat dan apa yang digemar
padanya dari segi fadhilat.``
Kata Al-Sarraj lagi, dari segi tafsil dan
lebih detail lagi, pembelajaran bukan setakat ilmu dan soalan, tetapi hendaklah
secara perbahasan dengan memberi perhatian agar ianya muwafakat dengan kitab
dan Sunnah. Iaitu dengan mengikut yang terbaik dan lebih sempurna.
Dilihat dari segi keperluan kepada ilmu
ini, maka perlu kepada pembelajaran. Misalnya untuk mendirikan solat ada
kewajipan. Keperluan dan syarat-syarat. Seseorang tidak boleh mendirikan solat
tanpa membersihkan dirinya terlebih dahulu. Lantaran itu bagi setiap kitab fiqh,
pengarangnya biasanya memulakan pembicaraan berhubung dengan `Taharah`. Tanpa
taharah tidak boleh mendirikan solat. Dibicarakan keperluan untuk taharah. Bila
seseorang itu perlu bertaharah, menurut keperluan sama ada perlu mengangkat
hadath kecil atau besar. Bila mau mengangkat hadath perlu kepada air. Perlu
mengerti apakah jenis-jenis air yang boleh digunakan bagi mengangkat hadath
kecil dan besar. Perlu memahami bagaimana
mengangkat hadith kecil dan besar sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an
(Al-Ma`idah: 6) dan huraian-huraian terhadapnya
Dari segi kesempurnaan wudhu` ialah
menyempurnakan syarat iaitu sebelas
syarat dengan menggunakan air mutlak, yakin dengan kemutlakan air, Islam,
mumayyiz, mengekalkan niat, suci daripada haidh dan nifas, tiada ada pada
anggotanya perkara yang boleh mengubahkan air, tiada ditaklikkan pada
niat, tiada sesuatu yang menegahkan air
sampai kepada anggotanya, mengetahui akan kayfiyatnya seperti tiada
dii`tiqadnya akan fardhu yang mu`ayyan dan sebagainya dan mengalirkan air pada
anggotanya yang dibasuh. (Sabil al-Muhtadin).
Adapun rukun wudhu` yang enam perkara, iaitu niat,
membasuh muka, tangan, menyapu kepala, membasuh kaki dan tertib.
Dan daripada adab wudhu` juga ialah
melakukan perkara yang sunat. Sunatnya adalah banyak antaranya: Bersugi,
berta`awwuz dan berbasmalah, membasuh dua tangan, berkumar-kumar, menigai dari
segi membasuh, menyapu kedua lubang telinga, menyelati jari-jari,muwalat, tidak
meminta orang lain menyucurkan air pada
aggota tanpa keuzuran, menggerakkan cincin ketika membasuh jari, menggosokkan
anggota, jangan bercakap-cakap dan membaca do`a pada tempat-tempat berkenaan
dan sebagainya. Sebagaimana ada yang sunat bagi wudhu`, maka demikian juga ada
yang makruh yang patut ditinggalkan perlakuannya seperti melebih-lebih pada
menggunakan air, tidak mendahulukan kanan dan sebagainya (Sabil al-Muhtadin).
Kata Al-Sarraj daripada adab wudhu` dengan
melakukan yang wajib dan sunat,katanya, ``Aku melihat jama`ah mereka itu selalu
memperbaharui wudhu` bagi setiap solat – fardhu, bahkan mereka itu mengambil
wudhu` sebelum masuk waktu solat dan apabila mereka selesai daripada wudhu`
mereka mendirikan solat – sunat dalam masa terluang dari wudhu` hingga kepada
solat berjamaah – fardhu.
Dan daripada adab mereka berterusan dalam taharah dalam persafiran dengan
alasan mereka tidak mengetahui ajal yang sebenar, sebagaimana firman Allah
Ta`ala bermaksud:
``Maka apabila tiba ajal mereeka tidak terlewat
walau sesaat dan tidak juga mendahului.`` (Al-A`raf: 34).
Berbagai pendapat juga dipetik oleh
Al-Sarraj bahawa kalangan mereka mengamalkan, setiap kali mereka hendak tidur
adalah dengan berwudhu`.
Demikianlah antara adab-adab dari segi
berwudhu` yang merupakan sebahagian dari pada taharah. Dengan ruang yang
terhad, Al-Sarraj tidaklah membicarakan secara detai berhubung dengan
wudhu`sebagai sebahagian daripada taharah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment