November 18, 2016

BERCAMPUR PERSOALAN TASAWUF DAN AKIDAH - TAUHID



BBB,  17 Safar 1438H. = 17 November 2016 (Khamis):
Sebuah kitab tasawuf kandungannya seharusnya membicarakan persoalan tasawuf. Berlainan dengan kandungan kitab `Al-Ta`arruf li Madzhab Ahli al-Tasawwuf`,  selepas dari bahagian permulaan membicarakan tentang istilah tasawuf, maksud dan asal usul dan tiga bab berikutnya membicarakan tentang ahli-ahli tasawuf (tokoh), maka berikutnya dibicarakan persoalan yang berhubung dengan akidah, iaitu dalam jumlah yang banyak, iaitu:
1.       Bahagian permulaan istilah, asal usul dan ta`rif  tasawuf dari  bab  1 hingga   4
2.       Bahagian pertengahan, persoalan  berhubung dengan akidah bab  5 hingga  30
3.       Bahagian tiga (akhir) kembali kepada persoalan tasawuf  dari bab 31 hingga 75
Mengapa Al-Kalabadzi mengambil pendekatan sedemikian ?    Ini  adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
a)      Kelahiran tasawuf mulai akhir abad ke 2H. dan seterusnya berikut dari berlakunya pertelingkahan politik di kalangan umat Islam dari Zaman `Ali-Mu`awiyah dan berlarutan dari abad ke 2 dan berlarutan ke zaman kerajaan Abbasiah  membawa kepada lahirnya faham-faham yang dikenali dengan Qadariyyah, Jabariyyah, Mu`tazialh, Shi`ah, Sunni  dan pecahan-pecahan yang lain lagi. Dari persoalan politik  mereka membicarakan persoalan akidah, misalnya tentang konsep tauhid, sifat, Al-Qur`an, kalam, qadha` dan qadar, s*alah dan as*lah dan berbagai lagi. Masing-masing menegak faham masing-masing dan ada yang terjebak dan tersepit di tengah-tengah konflik fahaman dan kepelbagaian pendapat.
b)      Kelahiran tasawuf antaranya diakibatkan oleh antaranya rasa tidak senang dan tenang terhadap perpecahan dan kepelbagaian pendapat yang sebenarnya lebih memecahbelahkan umat Islam. Kelahiran tasawuf antaranya sebagai alternatif mengasingkan  diri dan inginkan suasana yang tenang di dalam mendekati Allah melalui ibadat, menjaga akhlak dalam hubungan dengan masyarakat. Mereka adalah kalangan mencintai damai dan tidak berhasrat untuk merebut kedudukan pangkat dan gelaran.
c)       Oleh kerana kelahiran tasawuf berikut dari konflik politik dan fahaman di dalam masyarakat umat, mereka sebolehnya tidak mau campur tangan berhubung dengan persoalan-persoalan, terutamanya akidah. Tetapi mereka berdepan dengan berbagai pendapat yang menuntut penjelasan. Mereka tidak  ada jalan pilihan, tetapi harus berdepan dan menjawab  persoalan-persoalan  - akidah terutamanya. Ini memberi penjelasan mengapa Al-Kalabadzi memasukkan persoalan akidah di dalam kitab `Al-Ta`arruf`  bagi menjawab dan menjelaskan tentang pendapat mereka berhubung dengan persoalan-persoalan akidah, khususnya menurut perspektif tasawuf.
Walau  bagaimana persoalan-persoalan akidah yang terletak di bawah ilmu tauhid, usuluddin  atau ilmu kalam adalah antaranya berbeza berbanding dengan pendekatan tasawuf yang antaranya bercampur dengan elemen dzauq dan wujdan dan sebagainya.
Sebagai  perbandingan dan  contoh  perbicaraan diambil bab terawal berhubung dengan akidah, iaitu tentang tauhid. Kata Tuan Haji Sa`id bin Haji Ibrahim di dalam bukunya, `Aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`aha, bahawa:
·         Aqidah tauhid, iaitu ilmu yang menyelidiki dan memeriksa kepercayaan seseorang berkaitan dengan ketuhanan, kerasulan dan  sam`iyyat dengan dalil-dalil yaqiniyyah  dan `aqliyyah  dan naqliyyah yang boleh menghilangkan semua keraguan yang ada di dalam hati seseorang manusia.
·         `Aqidah tauhid adalah satu ilmu yang mendedahkan kebatilan, keraguan dan pendustaan orang-orangf musyrikin terhadap orang-orang beriman yang mempercayai Allah, rasul-rasul, kitab-kitab Allah, hari akhirat, qadha` dan qadar.
·         `Aqidah tauhid mempunyai peranan yang penting untuk menetapkan keimanan di dalam hati seseorang serta meyakinkan wujud Allah dan meyakinkanNya (Haji Said  Haji Ibrahim: 9-10).
Persoalan yang berhubung dengan akidah tauhid ini dibahaskan dengan kaedah rasional akal dan diperkukuhkan dengan dali-dalil  `akli dan naqli.
Tentang akidah tauhid menurut perspektif sufi, khusus dari ungkapan Al-Kalabadzi bahawa tauhid adalah:
``Bersepakat kalangan sufi bahawa Allah Esa, Tunggal lagi Samad, Qadim lagi `Alim, Berkuasa lagi Hidup, Menbdengar lagi Melihat, `Aziz lagi `Az*im, Jamil lagi Kabir, Jawad lagi Ra`uf, Mutakabbir lagi Jabbar, Kekal lagi Awwal, Ialah Sayyid, Malik dan Rabb, Rahman dan Rahim, Berkemahuan dan Bijaksana, Bercakap, Pencipta, Pemberi rezeki. Bersifat dengan segala yang disifatkan diriNya dengan sifat-sifat, dengan nama dengan nama-nama yang diberi bagi diriNya. Berterusan Qadim dengan nama-namaNya dan sifat-sifatNya, tidak menyerupai dengan makhluk dengan sebarang wajah.
Seterusnya katanya,Dia bukan jisim, bukan bayang, bukan gambar, tidak berorangan tidak jauhar dan tidak `aradh, tidak berhimpun dan tidak berpecah, tidak bergerak dan tidak diam, tidak berkurang dan tidak berlebih ... seterusnya tidak boleh dibanding, lantaran tiada sepertinya  bandingan sesuatu.
Seterusnya dikatakan tidak mendahuluinya sesuatu dan tidak terputus selepasnya ... seterusnya apa yang mau digambarkan Dia tetap bersalahan !
Demikian ungkapan dari perspektif kesufian sekurang-kurang dari perspektif l-Kalabadzi.
Sedang di sana ada pendapat-pendapat sufi yang lain tentang tauhid seperti dicatat di dalam Al-Luma` karangan Al-Sarraj,  bahawa  Al-Junayd ditanya tentang tauhid, maka katanya, `` Menunggalkan  olehyang muwahhid dengan tahqiq wahdaniyyatNya dan sempurna ahadiyyatNya, bahawasanya Ia  adalah Wahid yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, menafikan adhdad,  andad  dan penyerupaan (bandingan), tidak disembah selainNya, tanpa tashbih dan takyip, tanpa tas*wir tanpa tamthil, Tuhan Yang Esa, Samad, Farda, tiada seumpamaNya oleh sesuatu. Dan Dia Mendengar lagi Melihat.
Sebagai contoh lagi, menurut Al-Sarraj  daripada Yusuf bin Husain al-Razi, bahawa seorang lelaki berkata kepada Dzu al-Nun al-Misri, ``Khabarkan daku tentang tauhid, apa dia ? Maka katanya, `` ~Engkau mengetahui bahawa kudrat Allah tidak dicampuri oleh sesuatu, Dia mencipta sesuatu tanpa `ilaj, Dia mencipta sesuatu tanpa `illah. Tidak ada di langit tinggi dan di bumi rendah pentadbir selain daripada Allah, apa yang tergambar di dalam waham engkau Dia adalah bersalahan.
Dan banyak lagi pendapat kesufian tentang tauhid.
Jelas bahawa pendapat tentang tauhid, bahkan tentang akidah secara ilmu tauhid adalah mengikut kaedah teratur dan rasional, tetapi pendapat kesufian menurut perspektif tasawuf yang bersifat dzauq, wujdan dan seni kerohanian.. Itulah antara faktor Al-Kalabadzi membawa pandangan kesufian  perkara-perkara yang berhubung dengan akidah usuluddin di dalam `Al-Ta`arruf`.

Sekian.        

No comments:

Post a Comment