BBB, 07 Safar 1438H. = 07 November 2016 (Isnin)
Sudah diperkatakan, bahawa bentuk
persuratan tasawuf pada peringkat awal ialah mengambil gaya pengriwayatan
Hadith sebagai terbukti dengan buku Al-Zuhd dan
buku Al-Wara` yang kedua-duanya dihasilkan oleh Al-Imam Ahmad bin
Hanbal. Sebenarnya bukan bidang persuratan tasawuf saja yang pada peringkat
awalnya mengambil gaya pengriwayatan Hadith, tetapi juga melibatkan bidang
seperti Al-Fiqh seperti al-Muwatta` oleh Imam Malik, bahkan Al-Umm oleh Al-Imam al-Shafie. Kita juga telah
menyebut bahawa Abu Nasr al-Sarraj dengan kitabnya yang berjudul Al-Luma`
adalah kitab tasawuf yang mulai menyimpang dari gaya Hadith perse, tetapi walau
macam mana konsep meriwayatkan masih banyak kedapatan di dalam kitab Al-Luma`
yang kini sedang diperkatakan.
Pada bahagian akhir karangan Al-Luma` ini
Abu Nasr al-Saarraj turut membicarakan tentang bentuk persauratan dalam tasawuf
atau persuratan yang ditulis oleh kalangan sufi, bahawa kalangan sufi turut
menggunakan kaedah persuratan di dalam menulis tentang tasawuf atau bagi
komunikasi kalangan sufi. Bentuk-bentuk persuratan yang digunakan mereka ialah:
1) Surat
menyurat atau surat kiriman
2) Bentuk Syair, nazam, bayt dan seumpamanya
3) Bentuk Kitab atau Buku.
1) Secara
Surat Menyturat
Kalangan sufi turut berkomunikasi dengan
menggunakan surat di kalangan mereka, khususnya sesama sufi atau kepada pihak
yang lain. Misalnya Al-Junayd mempunyai sejumlah surat-surat yang
diterbitkan – `Rasa`il al-Junayd`. Di dalam kitab Al-Luma` ini tidaklah
diperturunkan oleh Al-Sarraj format surat secara sepenuhnya, tetapi
dipetik sebahagian daripada isi kandungan
di dalam risalah atau surat dimaksudkan. Risalah adalah dihantar oleh kalangan
sufi kepada sufi yang lain. Biasanya mengenai
persoalan tasawuf, ingat beringat dan bersifat hikmah bagi meningkatkan
tanggapan kerohanian – dzauq dan wujdan, iaitu berhubung dengan estetika
kerohanian. Sebagai contoh.
Mencatat
Abu Nasr al-Sarraj, katanya,
``Aku mendengar Ahmad bin `Ali al-Karaji
r.h.t.a. berkata:
Al-Junayd telah menulis kepada Mimshadz al-Dinuri r.a.t.a. sebuah surat.
Maka apabila sampai surat berkenaan kepadanya dia membelek-belek surat berkenaan dan menulis di
bahagian belakang surat.
``Apa yang ditulis benar, amat benar dan semata-mata.
Tidak ada perbezaan dari segi hakikat.``.
Seterusnya mencatat
Al-Sarraj:
Menulis Abu Sa`id al-Kharraz kepada Abu
al-`Abbas Ahmad bin `At*a` r.huma Allah,
``Wahai Abu al-`Abbas, engkau dikenali
seorang yang sempurna bersih, dan bersih (bari`) sebagai kesan diri kepada yang
lain, engkau berada di atas Haqq bagi Haqq dengan Haqq yang tetap dengan Haqq
dan tidak ada yang lain. Haqq demikian dapat diuji dengan ujian. Dengan
ma`rifat engkau sedemikian, tunjuklah aku ke jalannya sehingga kalau aku
diterima, maka aku khadam baginya.
Contoh yang lain yang dicatat oleh
Al-Sarraj:
Menulis `Amru bin `Uthman al-Makki r.h.a. mengutus
sepucuk surat ke Baghdad yang dituju kepada satu jama`ah
sufi, maka antara kandungan suratnya:
``Sesungguhnya kamu tidak sampai kepada
hakikat yang hak hingga kamu merentasi jalan-jalan yang teratur, kamu megatasi
halangan-halangan yang merosakkan.`` Semasa surat dibacakan turut hadir ialah
Al-Junayd, Al-Shibli dan Abu Muhammad al-Jariri r.h. humullah.
Maka kata Junyad r.h.a., ``Semoga
perasaanku bersama di dalamnya.``
Maka berkata Al-Hariri, ``Semoga perasaanku
bersama di luarnya.``
Berkata Al-Shibli. ``Semoga
aku daripada yang dapat menghirup wangiannya.`
Berkata Al-Sarraj, seorang lelaki dari
sahabat Dzu al-Nun al-Misri jatuh sakit, maka dia menulis kepada Dzu al-Nun
al-Misri agar dia mendoakan kepada Allah keselamatannya. Maka menjawab Dzu al-Nun al-Misri surat
sahabatnya dengan tulisnya;
``Wahai saudaraku engkau memohon aku berdoa
kepada Allah untuk engkau supaya menghilangkan `kerosakan nikmat` ! Ketahuilah wahai
saudaraku, bahawa sakit dan derita itu menjinak diri dengan Allah bagi ahli-ahli
sufi dan sahabat bagi mereka itu dan juga kalangan orang yang susah, kerana
dalam kehidupan mereka sukar dalam keadaan memohon sembuh dari penyakit adalah
pengajaran, siapa yang tidak mengira bala sebagai nikmat, maka dia bukan dari
kalangan hukama`. Siapa yang tidak aman dari dikasihani dirinya, dia aman dari
tohmohan. Jadikanlah dirimu malu kepada Allah, nescaya tidaklah engkau mengadu.
Wassalam.
Kata Al-Sarraj, menulis Shah al-Karmani
r.h.a., kepada Abi Hafs r.h.a.
``Apabila engkau melihat aku sentiasa di
dalam musibah, bagaimana aku mau menyelamatkan diriku dari musibah ? Maka
menulis Abu Hafs r.h.a. menjawab surat
sahabatnya dengan ungkapan,
``Jinakkan musibah yang engkau alami dan
jangan jadi kejinakan dirimu dengan musibah pula menjadi musibah.`
Menulis Al-Junayd r.h.a. surat kepada `Ali
bin Sahl al-Isbahani, kandungannya ialah,
``Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa
hakikat yang lazim, maksud yang kuat dan berhikmah, azam yang betul lagi kukuh
tidak kekal pada seseorang, bahkan terputus dengan sebab-sebab, ada halangan
menyekatnya, tidak berkesan dari segi dalaman, lantaran terkeluar, tiada takwil
bagi maksud yang baik, melainkan tertutup. Yang jelas ialah hal yang benar
semata-mata, kesungguhan dalam perjalanan terhad di atas matlamat dan keilmuan tidak
mampu mencapai kejayaan. Dalil-dalil
yang haq menjelaskannya.
Sesungguhnya menulis surat bagi sufi bukan sekadar menulis surat biasa,
tetapi menulis surat ini adalah sebagai satu teknik menyampaikan pengajaran,
nasihat dan hikmat kepada sufi-sufi. Kamdungannya membawa ungkapan-ungkapan yang tinggi makna, indah dan berfaedah.
Merumuskannya, kata Al-Sarraj penggunaan surat adalah sebagai
medium menyampaikan pengajaran. Darinya dapat diperhati dan dihayati maksud
terlindung dan hikmat terpendam. Daripadanya
dapat diambil faedah dari isyarat-isyarat yang
sahih, ibarat yang fasih dan dapat mengamalkan menepati dengan apa yang
dimaksud oleh penulia-penulisnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment