November 29, 2016

PERSOALAN ROH MENGASYIKKAN PENCARIAN, MEKANISME MENDEKATI TUHAN


BBB, 28 Safar 1438H. = 28 November 2016 (Isnin):
Tentang manusia dilihat dari segi lahir yang mempunyai fizikal yang dikenali dengan `tubuh badan` sebenarnya tidak mempunyai perbedaan dari kehidupan yang lain – contoh binatang. Manusia dan binatang sama dilahirkan dan struggle menghadapi penghidupan yang perlu kepada makan-minum bagi meneruskan penghidupan. Pada peringkat tertentu manusia perlu bertarung dengan apa yang dinamakan musuh dan kadang-kadang menemui maut bagi mempertahankan sumber survival dan keselamatan bagi kehidupan.
Tetapi manusia bukan saja sekadar mau hidup dan mengatasi keperluan fizikal bagi kehidupan fizikal, tetapi dia berjuang kerana kemanusiaan, mempertahankan keyakinan dan bagi membina dan mempertahankan ketamadunan dan peradaban manusia itu sendiri. Manusia  dalam perkembangannya mencari makna kehidupan,  arah, tujuan dan puncak kehidupan. Hal ini dibicarakan melalui ilmu dan ma`rifat sebagaimana telah dibicarakan. Ilmu dalam erti kata yang luas meningkatkan darjat manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Allah mengangkatkan  mereka yang  beriman daripada kalangan kamu dan yang diberi ilmu kepada darjat-darjat.`` (Al-Mujadalah: 11).
 sebagaimana kata Socrates yang tidak menyimpang dari falsafah dan tujuan di dalam Islam, bahawa hidup tanpa penelitian terhadap diri (diri dalam maksud yang luas)  tidak memberi erti kehidupan.  Sebenarny a dalam semangat mau mengetahui rahsia alam dan kandungan menggerak manusia meneroka berbagai bidang ilmu pengetahuan yang membawa mereka mencapai kemajuan dan tamadun ke tahap kini. Namun manusia tidak saja mempunyai akal, tetapi rasa kemanusiaan yang dilambang dengan hati nurani. Manusia yang menerokai melalui aspek ini melihat keluhuran, kekaguman dan keterpesonaan terhadap ciptaan Tuhan yang indah dan menawan, menimbulkan  rasa seni dan kehalusan, merasa kasihan belas dan pembelaan. Ianya memberi kesan kepada gaya hidup, peralatan, perlindungan yang dipengaruhi oleh  elemen kemanusiaan dan seni yang memartabatkan manusia oleh elemen hati nurani dan seni. Ianya menjadi budaya dan cara hidup manusia yang membentuk berbagai-bagai jenis peradaban yang menandakan kemajuan manusia di dalam bidang kemanusiaan.
Pun bagaimana manusia maju di dalam bidang keilmuan, peradaban dan kemanusiaan, manusia masih merasa kekosongan selagi satu lagi aspek diri manusia yang belum dipenuhi. Iaitu aspek rohani.
Aspek ini sebenarnya lebih subjektif dan tinggi dari  aspek hati nurani.. Bahkan ianya aspek yang  tidak mampu manusia mencapainya sebagaimana dicapai melalui akal dan hati nurani. Firman Allah bermaksud:
``Akan mereka bertanya kepada engkau  (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah, roh ialah adalah daripada perkaraku. Dan tidaklah diberi kepada kamu daripada ilmu melainkan sedikit.`` (Al-Isra`: 85).
Walaupun persoalan roh adalah rahsia Allah, namun  ianya cuba didekati dari segi kerohanian dan bidang tasawuf ialah bidang yang paling rapat membicarakan persoalan yang memuncak kepada aspek kerohanian yang sebenarnya bukan dirindui oleh golongan sufi sahaja, tetapi dirindui oleh  semua yang mencintai kerohanian.  Aspek yang sukar dimengerti apa lagi lebih sukar mencapainya adalah menjadi  kemesraan membicarakannya. Dan dilhat berbagai tanggapan diungkapkan aspek-aspek-yang berhubung dengannya dengan penuh kemesraan dan kerinduan.
Al-Kalabadzi memetik pendapat tentang roh ini bahawa berkata Al-Junayd tentang roh:
``Roh sesuatu memberi kesan pada keinginan tahuan yang hakikatnya Allahlah yang mengetahui tentangnya. Tidak ada seorang mengetahui hakikatnya dan bagaimana mengibaratnya dengan tepat, lantaran Allah berfirman, ``Roh adalah dari perkaraku (Al-Isra`: 85). Lantaran itu ada  berbagai-bagai andaian.
Misalnya berkata Abu `Abdullah al-Nabaji, `` Roh adalah sesuatu yang  latif di luar dari sentuhan rasa, tidak termampu diungkap dengan sebarang yang maujud.``
Berkata Ibn `At*a`,  Allah menjadikan roh sebelum jasad kerana firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya Kami menciptakan kamu (ya`ni roh), dan Kami membentukkan kamu (ya`ni jasad).``(Al-A`raf: 11).
Bersepakat secara berjama`ah kalangan sufi kata Al-Kalabadzi, bahawa roh adalah berada di dalam jasad.
Ada yang berpendapat bahawa roh ialah sesuatu yang lembut berada  di dalam diri. Contoh kelembutan dalam diri seperti penglihatan yang dengan kelembutan (pantulan cahaya) memungkinkan penglihatan, tetapi roh tentulah lebih halus, bahkan lebih misteri..
Berkata yang lain, roh ialah sebagai hembusan yang lembut  di dalam diri yang dengannya hidup manusia, bernafas, hangat yang menggerakkan diri, menenang bahkan membangkitkan nafsu syahwat.
Demikianlah berbagai pendapat mengenai roh daripada semurni-murninya yang sifatnya bagaikan malaikat. (Al-Ruh juga dimaksudkan kepada malaikat Jibril). Di dalam skema sufi roh dilihat sebagai puncak perjalanan kualiti diri yang bersifat fizikal yang melalui pembersihan (ketaatan dan ibadat) boleh meningkat dan melepas diri dari tahap nafsu ammarah kepada mulhamah, kepada lawwamah, kepada mutmainnah, radhiah dan mardhiah. Daripada tahaf nafsu kepada ketenangan kalbu dan kepada kemurnian roh dan dari roh digunakan istilah rohani kontra dengan alam jasmani.
Walau apa pun, dengan pencarian manusia dalam bidang akli, hati dan rohani menggerakkan manusia  meneroka yang memajukan mereka dalam bidang fizikal sebagaimana yang dicapai kini, tetapi dilihat bukanlah bererti kemajuan, jika hanya pada tahap fizikal semata-mata, lantaran manusia bukan bersifat jasad yang menghasilkan  tamadun semata-mata,. Di dalamnya ada hati nurani yang lebih murni yang melalui nya meninggikan manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan  yang dengan dengannya mengindahkan manusia dengan nilai-nilai adab, akhlah dan keluhuran yang dikenali sebagai nilai peradaban. Pun dengan kedua-dua bidang manusia tidak mencapai kesempurnaan dengan meninggalkan satu aspek dalaman diri, iaitu kerohanian yang memantapkan manusia dengan pegangan dan keyakinan dan dengan nilai dalaman – kerohanian dan elemen jasad dan hati nurani membuka ruang kepada nilai kemurnian dan kebahagian yang sebenar yang dijanjikan oleh Yang Abadi.
Roh adalah suatu yang mistri yang mengasyikkan pencari di dalam menuju Ilahi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment