November 3, 2016

ZAKAT DAN ADAB - SALAH TANGGAP TERHADAP SUFI


BBB,  02 Safar 1438H. =  02 November 2016M. (Rabu):
Sebagai Solat demikian juga zakat adalah merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Jika solat lebih kepada individu dan jama`ah dalam perlakuan bersolat, maka zakat adalah melibatkan  pegeluaran harta yang  wajib  dikeluarkan zakat oleh pemiliknya bila cukup syarat-syarat.
Zakat pada lughah bererti, membersihkan dari segi maknawi dan erti zakat dari segi istilah ialah membaiki, menumbuh, menambah dan menyuburkan sebagai memberkati dari amalan kebajikan dan puji terhadap perlakuan mulia yang rela dan seharusnya ikhlas dikeluarkan oleh pengeluarnya dari hasil pendapatan dengan jumlah tertentu diwajibkan dan mendapat manfaat darinya orang yang layak menerimanya. Adapun zakat pada shara` ialah nama bagi barang yang dikeluarkan dari harta atau badan atas wajah tertentu. Dan dinamai harta yang dikeluarkan itu dengan zakat dari kerana ia menyucikan harta dan membaiki dia dengan bertambah berkat dan kebajikan kepada harta dan yang mengeluarkan zakat.
Adapun dalil bagi mewajibkan zakat seperti ayat Al-Qur`an. Antaranya bermaksud:
``Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua bersama orang-orang yang rukuk.`` (Al-Baqarah:  43).
Juga ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sadaqah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa)  dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan do`akanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya do`amu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.`` (Al-Taubah:  103).
Manakala Hadith Rasulullah s.a.w. yang terkenal ialah:
Daripada Abi `Abd al-Rahman `Abdullah bin `Umar bin al-Khattab r.`anhuma berkata;
``Aku  mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (Bermaksud): `Dibinakan Islam di atas lima perkara, iaitu shahadah, bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat dan Haji ke Baitillah dan puasa Ramadhan. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Bahawa zakat itu melibatkan:
Pertama:  Zakat Badan, iaitu zakat fitrah
Kedua: Zakat yang melibatkan lima perkara:
a)      Zakat haiwan
b)      Zakat tumbuh-tumbuhan
c)       Zakat Naqad, iaitu emas dan perak
d)      Sakat Rikaz
e)      Zakat logam – Emas dan perak – termasuyk perniagaan
Pada setiap satu ada  syarat-syarat wajib . antaranya melibatka  nisab dan haulnya.
Zakat ini dikeluar dan diberikan kepada mereka yang berhak menerima zakat sebagaimana ayar Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya sadaqah-sadaqah (zakat) itu, hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hati mereka dan untuk hamba-hamba yang hendak merdekakan diri mereka dan orang-orang yang berhutang  (untuk dibelanjakan pada jalan Allah) dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah)  sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah  Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana.
Ada kekeliruan tentang zakat dan sufi, kerana salah tanggap, bahawa umumnya menganggap kalangan sufi adalah mereka yang faqir kedana yang tidak kecukupan keperluan dan mereka seolah-olah orang tidak bekerja, maka mereka adalah orang yang layak menerima zakat.
Bahawa mereka yang mempunyai jiwa kesufian  tidak semestinya orang faqir yang tidak mempunyai apa-apa. Sebenarnya jiwa kesufian sebagaimana telah diperkatakan ada di dalam jiwa orang kaya, ada di kalangan pemimpin, ada di kalangan intelektual, ada di kalangan usahawan, ada di kalangan tentera, ada di kalangan guru dan berbagai-bagai profession. Mereka yang seumpama ini, bukan saja tidak menerima zakat, bahkan kalangan merekalah yang mengeluarkan zakat.
Bahkan dilihat pada kalangan sufi sebagaimana yang diketengahkan oleh  Al-Sarraj, walaupun  mereka dari kalangan yang tidak berada, bahkan layak menerima zakat, dari segi menjadi adab, mereka tidak mau menerima zakat, bahkan menolak apabila diberi zakat kepada mereka.
Menurut Al-Sarraj, adapun adab-adab jama`ah sufi berhubung dengan zakat, mereka tidak makan dari zakat dan tidak meminta hak dari zakat dan mereka tidak mengambilnya, walaupun diharus oleh Allah mengambilnya. Kalau dimakan, maka adalah dari makanan yang halal lagi baik, mereka tidak mau mereka dianggap fuqara` yang memerlukan, mereka tidak mau dikasihani dan nampak mereka sebagai orang-orang yang berhajat.
Dikatakan Muhammad bin Mansur sahabat kepada Abi Ya`kub al-Susi  r.a., apabila beliau diberi sesuatu atau dibawa kepadanya sesuatu dari zakat atau sadaqah dan kaffarah yamin dan diketahuinya pemberian itu dari perkara-perkara berkenaan dia tidak mengambilnya dan tidak juga membahagikannya kepada sahabat-sahabat  fuqara` yang lain. Dia berkata, ``Sesuatu yang aku tidak redha bagi diriku dan tidak juga bagi sahabat-sahabatku``, tetapi jika dibawa kepadanya dan dia mengetahuinya bukan dari zakat dan sadaqah, maka diambilnya dan dia makan dari pemberian tersebut.
Dalam hubungan dengan zakat ada empat perkara perlu diberi perhatian yang ada hubungannya dengan adab:
Pertama: Hendaklah apa yang didapati dari harta itu adalah halal
Kedua: Dia menghimpunkan hartanya bukan untuk bermegah-megah, sombong dan menganggap diri lebih dari mereka yang menerima zakat darinya.
Ketiga: Dia hendaklah berakhlak baik, suka berbuat kebajikan kepada ahli dan keluarga.
Keempat: Menjauhi sifat megah dan menyakiti hati orang yang menerima zakat.
Zakat memang hak bagi asnaf-asnaf yang ditentukan. Kalangan sufi tidak semestinya faqir dan miskin. Mereka bukan saja tidak menerima zakat. Bahkan ada kalangan mereka yang benar-benar faqir dan miskin tidak mau menerima zakat, mereka adalah berintegriti dan kaya dengan jiwa dan adab.

Sekian.

No comments:

Post a Comment