BBB, 08 Safar 1438H. = 08 November 2016
(Selasa):
Salah satu bentuk penulisan yang digunakan
di dalam persuratan sufi ialah penggunaan bentuk-bentuk puisi. Bentuk puisi tidak asing, terutama di dalam
bahasa `Arab. Bentuk ini popular sebelum kedatangan Islam. Penyair-penyair
zaman Jahiliyyah adalah disanjung dan mereka menjadi jurucakap kabilah. Sebelum
Islam pertandingan-pertandingan menggubah puisi secara tahunan diadakan di
Pasar `Ukkaz dan mana-mana puisi yang menang digantung dan ditayangkan di
dinding Ka`bah sebagai penghormatan terhadap puisi-puisi yang bermutu dari
penggubah-penggubah yanbg berwibawa. Antara penyair-penyair zaman Jahiliyyah
seperti Al-Shinfari, Ta`abbata Sharran dan mereka yang puisi digantung di Ka`bah seperti
Imra`ul Qays, Tarfah bin al-`Abd, Zuhayr bin Abi Salma, Labid bin Abi Rabi`ah,
`Amru bin Kalthum, Al-Hirth bin Hillizah dan `Antarah bin Shaddad. Tema-tema
puisi berkisar pada kemegahan kabilah, peperangan, dendam, kecaman dan
sebagainya.
Kedatangan Islam yang sama membawa
Al-Qur`an, meruntuhkan ego kalangan mereka yang bermegah-megah dengan keindahan
puisi mereka, lantaran tidak mampu
berdepan dengan keindahan dan ke dalaman Al-Qur`an. Ini tidak bererti bentuk-bentuk
puisi tidak digunakan. Sebaliknya selepas Islam puisi digunakan sebagai medium pengungkapan bidang-bidnag
ilmu, antaranya digunakan bagi pengungkapan bidang tasawuf. Puisi di dalam
persuratan `Arab tidak sama dari segi ciri dan bentuk dengan puisi Melayu.
Kalau dalam puisi Melayu tradisional seperti pantun ada timbangan dari segi rentak dan berhujung
dengan ab, ab, dan puisi syair dalam bahasa Melayu, dikira dari segi rentak dan sukukata dan
berakhir dengan a,a,a,a. Adapun syair dan nazam di dalam bahasa `Arab adalah tertakluk pada ukuran wazan-wazan yang
tidak semestinya berhujungkan a, a, a, a. walaupun ianya menjadi salah satu kriterianya.
Puisi sebagaimana disebutkan menjadi salah
satu medium bagi pengungkapan tasawuf. Ada elemen yang intim antara puisi dan
ketasawufan. Puisi adalah bahasa yang diungkap secara berseni dan merupakan
pancaran kehalusan jiwa pengungkapnya tentang sesuatu yang diungkapkan, dan
tasawuf adalah merupakan seni rohani, iaitu ianya merupkan kehalusan jiwa
terhadap sesuatu yang bersifat rohani, maka assilimasi antara dua bidang seni,
iaitu satu yang bersifat seni alamiah dan hati nurani dan satu lagu bersifat
seni yang bersifat rohani, biasanya akan menghasilkan seni yang tinggi mutunya.
Dalam kata lain seni puisi yang diungkapkan bersama elemen seni rohani adalah
biasanya menghasilkan hasil perpuisian yang tinggi mutunya. Hal ini dapat
disaksikan bahawa puisi Islam yang tinggi mutunya adalah puisi yang ada di
dalamnya elemen rohani termasuklah ketasawufan. Misalnya ramai penyair Islam terbilang
adalah penyair-penyair yang mengungkapkan puisi-puisi rohani ketasawufan
seperti Hafiz, Firdausi, Sa`di, Jalaluddin Rumi, Jami, Iqbal, Amir Hamzah dan
lain-lain lagi.
Abu Nasr al-Sarraj dengan sedar menampilkan
bahawa puisi juga adalah menjadi medium pengucapan kesufian. Sebagai contoh
ungkapan tangis perpisahan antara sesama sufi.
Kata Al-Sarraj, aku mendengar Ja`far
al-Khaldi r.h.a. berkata,, ``Aku mendengar Junayd r.h.a.t. berkata, Sari
al-Saqati menyerahkan sehelai ungkapan,
sambil berkata, ``Inilah tempat yang memungkinkan engkau menunaikan hajatku,
maka dibuka lembaran, padanya termaktub, ``Aku mendengar sedu di pinggiran
padang pasir dengan sendu mengungkapkan,
``Aku menangis, tahukah engkau apa yang
membuat aku menangis ?
Aku menangis oleh kejauhan akan selamanya memisahkan
Perpisahan memutuskan hubungan hijrah
dariku kasih sayang !
Contoh puisi tabhil Dhu al-Nun al-Misri
yang amat sesuai jika didzikir dan diulang-ulang:
Siapa ladzat dengan Allah berjaya dengan
Allah
Meresap kejiwanya laluan
qadha` Allah
Jikalau tidak diriku dalam genggaman Allah
Bagaimana aku boleh mengelak hukum Allah
Bagi Allah larian nafas-nafasku untuk Allah
Tiada daya bagiku padanya selain dari
Allah.
Berpuisi Abu Hafs al-Shumshati di Ramlah tentang hidayah diperolehi
kawannya, katanya:
Sesungguhnya nyatalah jalan menjadi tujuan
Tiada siapa yang diperlukan untuk
ditunjukkan
Bila musim sejuk engkaulah perlindungan
Bila musim panas engkaulah teduhan bayang
Al-Junayd r.h.a. yang sentiasa memenuhi
waktunya dengan ibadat, dikatakan sering menghiburkan hatinya dengan ungkapan
berikut:
Tiada waktu siang tiada waktu malam
kelawasan
Aku tak peduli sama ada pendek malam atau panjang.
Berkata
Abu al-`Abbas bin `Ata` tentang syukur katanya:
Bagaimana sepatutnya bersyukur kepada
lumrah pemberi
Darinya
hujan turun tak terkawal
lempahan budi
Shukur hanya mesra kasih dari hati nurani
Ikhlas
tiada sama dengan kurniaan melebihi.
Terlalu banyak puisi-puisi sufi yang tinggi
mutunya ditampilkan oleh Al-Sarraj, yang lemah adalah diri yang tidak mampu
menterjemah setepat mungkin, lebih-lebih lagi lemah untuk melengkapkannya
dengan daya estetika lebih-lebih lagi bersifat rohaniah.
Apa yang dapat dikatakan elemen rohaniah
mampu meningkatkan bidang seni, khususnya puisi. Mempunyai jiwa seni adalah
satu anugerah yang patut disyukuri, lebih-lebih lagi jika mempunyai sentuhan seni rohani yang memungkinkan
kemampuan menggubah puisi-puisi yang rohani sifatnya. Paling tidak dengan
persediaan pada diri kemampuan seni ditambah dengan elemen rohani membolehkan
diri menanggapi seni rohani secara lebih mendalam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment