November 24, 2016

ANTARA USAHA, ISTIT*A`AH DAN IKHTIAR


BBB, 23 Safar  1438H. =  23  November 2016 (Rabu):
Berhubung dengan  perbuatan (fi`l) hamba ada tiga istilah yang berhampiran maksudnya digunakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi dan juga oleh Ibrahim al-Laqani dan Sharihnya di dalam bahasa Melayu (Jawi) yang sengaja tidak mau memperkenalkan namanya.
Maksud usaha yang istilah di dalam bahasa `Arabnya adalah `kasb`. Menurut Ibrahim Al-Laqani:
Di sisi kami bagi hamba `kasb` ditaklif    dengannya  tapi tidak memberi kesan hendaklah arif
Iaitu kepada madzhab Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah wajib bagi orang yang mukallaf itu `kasb` yang menjadi taklif ia dengan dia, tetapi tiada memberi bekas sekali-kali. Kata pengarang pendapat ini bagi menolakkan  akan i`tiqad kaum Jabariyyah dan kaum Qadariyyah yang tindakan adalah dari diri mereka (memberi bekas).
Di dalam memberi huraian mengenai `kasb` kata Imam Ash`ari r.a., erti `kasb` mukallaf itu, recana daripada menyerta qudrat yang Qadim dengan qudrat yang baharu ada dalam meta`alluqnya halnya tiada memberi bekas qudrat yang baharu, melainkan menjadi kenyataan bagi Qudrat yang Qadim.  Kata Qadhi Baqillani, iaitu menyertai qudrat yang baharu dan meta`alluqnya, ya`ni Qudrat yang Qadim itu ta`alluq dalam asal fi`il dan qudrat yang baharu itu  ta`alluq dalam sifat fi`il daripada ta`at atau ma`siat.
Kata Ustadz Abu Ishaq r.a. menyertai qudrat yang baharu yang telah dijadikan Allah Ta`ala bagi hambanya dengan qudrat yang Qadim, bahawasanya ta`alluq dua qudrat itu dalam asal perbuatannya serta memberi bekas kedua di dalam asal fi`il.
Kata Ibn al-Hammam, iaitu recana daripada azam mus*ammim (kuat), ya`ni yang sahaja yang putus atas mengerjakan barang yang suatu atau meninggalkan dia, dan demikian itu hasil dengan qudrat yang baharu jua yang tiada dijadikan oleh Allah `Azza wa Jalla sekali-kali dan iaitu yang mengesahkan taklif shara` kepada orang yang mukallaf.
Kata Shaykh `Abdul Rahman al-Ajhuri, iaitu recana daripada yang mus*ammim jua  dalam mengerjakan barang suatu atau meninggalkan dia, ya`ni Allah Ta`ala itu menjadikan dalam orang yang mukallaf itu tamakkan atas azam yang mus*ammim.
Kata Imam al-Haramayn, iaitu recana daripada qudrat yang telah dijadikan oleh Allah Ta`ala dalam orang  yang mukallaf atas tuntut dan imtina` yang menyalahinya jikalau wujud syaratnya dan nafi mani`nya.
Kata Shaykh `Abdul Salam, iaitu recana daripada baharu yang thabit di dalam dzatnya orang yang mukallaf serta tiada memberi bekas seperti naz`ar kita, dan fikir dan harakah dan sukun.
Pendapat di atas adalah berlaian daripendapat kaum Jabariyyah yang mengatakan sekalian perbuatan hamba itu dengan Qudrat Iradat Allah jua, tiada sekali-kali menyertai dengan qudrat yang baharu.
Adapun konsep `Istita`ah` dikemukakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, menurutnya,
Bersependapat secara jama`ah, bahawa manusia tidak dapat bernafas dengan satu nafas dan tidak dapat berkejip  dengan satu kejip dan tidak boleh bergerak dengan satu gerak, melainkan dengan  kekuatan yang dijadikan Allah, pada mereka ialah istita`ah yang dijadikan oleh Allah kepada mereka itu bersama perbuatan mereka itu, tidak mendahului dan tidak mengakhiri daripadanya dan dia tidak mendapat perbuatan melainkan dengannya dan klau tidak sedemikian nescaya mereka itu dengan sifat Allah, mereka membuat  apa yang mereka kehendaki dan menghukum mengikut kemahuan , nescaya sedemikian bererti Tidaklah Allah kuat lagi berkuasa. Pada hal Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman bermaksud:
``Dan Allah melakukan apa yang dikehendaki.`` (Ibrahim: 27).
Bersependapat secara jama`ah sufi, bahawa bagi manusia perbuatan dan usaha (iktisab) secara hakikat, dengan demikian mereka diberi pahala di atas perbuatan mereka yang baik dan disiksa di atas perbuatan mereka yang jahat. Dengan demikian adanya  arahan yang bersifat suruh dan larang, janji baik (wa`ad) dan janji jahat (wa`id).
Menurut Abu Bakar al-Kalabadzi, makna usaha (iktisab) ialah, bahawa sesuatu yang dilakukan dengan kekuatan yang baharu.
Kata setengah yang lain iktisab ialah, iaitu melakukan perbuatan bagi menarik manfaat atau menolak mudaharat. Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Allah tidak memberati seseorang, melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.`` (Al-Baqarah:  286).
Mereka juga bersetuju secara jama`ah bahawa manusia memilih (ikhtiar) bagi iktisab yang dikehendakinya. Mereka tidklah tidak berdaya (majbul) dan mereka juga tidak dikerasi  (majbur). Dan tidak juga dipksa (dikarahah).
Menurut  Sayed Sabiq di dalam bukunya `Aqidah Islam, manusia diberi akal dan membuat pilihan dan memilih jalan mana yang patut diikut. Allah berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya kami memberinya pertunjuk kepada – sama ada jalan syukur atau jalan kufur (Al-Insan: 3).
Kata Sayed Sabiq, jelaslah Allah Ta`ala sudah memberikan pertunjuk dan bimbingan, ada yang menjurus ke arah yang haq dan ada yang ke arah batil, maka manusia itu membuat pilihan (dari segi zahir).
Adapun manusia sendiri pada hakikatnya tidak mengetahui apa yang sebenarnya yang telah ditentukan baginya. Tindakannya dan hasilnya memang tidak lari dari ketentuan Allah sejak azali. Namun di sini terletaknya significant, bahawa manusia itu mempunyai pilihan, berusaha ke arah melaksanakan harapan dengan ikhtiar dan juga doa`. Demikian juga berusaha mengelak dari kejahatan dan perkara-perkara negatif. Ikhtiar adalah usaha luaran bagi manusia bagi menjayakan harapan yang sudah pasti diketahui dan dipastikan Tuhan.
Dapat dikatakan kehendak, istit*a`ah dan ikhtiar adalah usaha luaran bagi manusia, yang hakikat dan kepastian diketahui  dan ditentu Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment