November 14, 2016

KESIMPULAN - AL-LUMA` KITAB TASAWUF MELENGKAPI


BBB,  13 Safar 1438H. =  13 November 2016M. (Ahad):
Daripada perbincangan, huraian dan  pengolahan terhadap kandungan kitab Al-Luma` oleh Abu Nasr al-Sarraj al-Tusi dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Kitab Al-Luma` adalah kitab terawal melengkapi ruang lingkup tasawuf berbanding dengan kitab-kitab sebelumnya iaitu Kitab Al-Zuhd  wa al-Raqa`iq oleh `Abdullah al-Mubarak (m. 181H.), Kitab al-Zuhd dan Kitab al-Wara` yang kedua-duanya oleh Abu `Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Shaibani (164-241H.), Kitab  al-Ri`ayah Li Huquq Allah dan  A`mal al-Qulub wa al-Jawarih yang kedua-duanya dihasilkan oleh Abu `Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi (243H.).
`Melengkapi`  boleh dilihat dari segi  format  (termasuk teknik) pendekatan  dan kandungan serta tujuan. Sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, bahawa apa yang dibincangkan di dalam kitab-kitab tasawuf akan datang secara asasnya didekati dan ada di dalam kitab Al-Luma`.
Dari segi format Al-Sarraj  menampilkan sebuah kitab yang bercirikan tasawuf terlepas dari bentuk yang sebelumnya  yang  lebih mendekati kitab Hadith sebagaimana kitab al-Zuhd dan Al-Wara` oleh  Ahmad bin  Hanbal, walaupun konsep riwayat masih kedapatan, tetapi tidaklah seperti kitab Hadith. Abu Nasr al-Sarraj juga menyusun kitabnya  secara bab-bab yang setiap bab bertemakan tasawuf.
Pengarangan dan penghuraian kandungan adalah berasaskan ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith-Hadith Nabi, biarpun setengah Hadith tidak  lengkap dengan rawinya, kemudian dikukuhkan dengan pendapat-pendapat tokoh-tokoh sufi.
Adapun dari segi pendekatan dan kandungan, sebagaimana telah diperkatakan Al-Luma` adalah kitab  yang mula-mula menampilkan istilah tasawuf. Bukan saja menampilkan istilah tetapi dibicarakan dengan panjang lebar (lebih kurang 100 hlm.) tentang asa l usul, ta`rif tasawuf, huraian mengenai tasawuf, ciri dan sifat,  madzhab dan tabaqat, hujah-hujah tasawuf sebagai bidang keilmuan yang bersifat  rohani dan menolak pihak-pihak yang menolak tasawuf.
Satu pendekatan ketasawufan yang besar dan penting yang ditampilakan oleh   Al-Sarraj  yang dapat dinilai dari segi perjalanan dan peningkatan serta dapat diukur, walaupun secara subjektif bahawa Al-Sarraj mengemukakan pendekatan  yang diistilahkan sebagai maqam dan hal yang diberi huraian dan perbezaan antara maqam dan hal.
Al-Sarraj menyusun dari segi maqam, iaitu maqam taubah, wara`, zuhud, faqr,  sabar, tawakkal dan redha. Manakala bagi hal pula ialah ialah al-qurb, al-mahabbah, khauf, raja`, shauq, al-uns, tama`ninah, mushahadah dan yaqin. Dengan kewujudan maqam-maqam dan hal-hal ini memudahkan kefahaman dan dapat dilihat dari segi pergerakan kualiti rohani dan menilaikannya, walaupun kaedah peneilaian begitu  subjektif dan mungkin tidak berlaku seturut sebagaimana yang disusunkan.

Al-Sarraj dari segi pendekatannya, mau menegas dan menunjukkan bahawa tasawuf yang dibicarakan dan pendekatan serta kandungannya adalah tidak bercanggah dengan akidah dan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah lantaran pendekatan tasawuf yang dibicarakan adalah berasaskan prinsip-prinsip  Al-Qur`an dan sememangnya  di dalam setiap bab bahkan dimana saja yang releven pembicaraan adalah berasaskan kepada ayat-ayat Al-Qur`an dan selepas daripada sumber pertama diikuti dengan pembuktian dan tempat bertolak ialah juga dari Hadith-Hadith  Rasulullah s.a.w., bahkan ditekanklan bahawa Baginda  Rasulullah s.a.w. adalah menjadi uswah dan qudwah.
Bagi pendekatan tasawuf, sebagaimana juga di dalam pendekatan akidah, bahawa selepas Rasulullah s.a.w. mereka yang menjadi ikutan dan diambil pendapat dan contoh tauladan mereka ialah para sahabat Rasulullah s.a.w.  Dari kalangan sahabat ini yang berkedudukan utama ialah para khulafa` al-Rashidin yang empat, diikuti dengan kalangan  Ahlu al-Suffah yang berjumlah 300 orang dan diikuti dengan sahabat-sahabat yang lain.
Akhlak adalah aspek yang utama di dalam  tasawuf, bahkan ada yang melihat bahawa tasawuf Islam tidak lain daripada akhlak. Al-Sarraj tidak membicarakan secara langsung tentang akhlak, tetapi yang dibicarakan  ialah aspek adab yang merupakan sebahagian daripada tasawuf. Melalui adab dibicarakan persoalan adab yang berhubung dengan ibadat – termasuk semua adab bagi semua rukun Islam. Di dalam bidang adab ini juga diberi penekanan tentang adab faqir, bersahabar, mencari ilmu,, makan, musafir, berpakain, perbelanjaam, mncari rezeki, adab menziarah orang sakit. Adab dengan guru dan murid dan persediaan menghadapi maut. Al-Sarraj tidak seperti Al-Ghazali yang melihat  persoalan akhlak berpunca dari `Hati` yang menjadi induk bagi perlakuan manusia yang jika hati bersih, maka baiklah akhlak dan jika kotor, maka buruklah akhlak. Al-Sarraj melihat adab adalah hasil dari didikan, khususnya dari keyakinan dan pancaran dari hasil kepatuhan kepada Allah, terutama melalui kepatuhan dan amalan terhadap rukun Islam.
Satu aspek yang tersendiri dan khusus Al-Sarraj membicarakan tentang penulisan, lantaran pada zamannya mulai berkembangnya tradisi penulisan. Pembicaraan aspek penulisan ini bukan terhad kepada penulisan yang bersifat ilmu dan pengajaran yang berkait dengan bidang-bidang keilmuan yang berkenaan. Apa yang ditekan dan diberi perhatian oleh Al-Sarraj ialah bidang penulisan yang bersifat seni yang berciri kreatif. Sebagai bidang seni  terpancar dari mereka ungkapan-ungkapan yang bersifat kreatif, konotatif yang berlapis dan bercabang makna. Keadaan tidak menimbulkan masalah jika yang diungkap secara kreatif inovatif sesuatu yang alamiah. Sebagaimana diperkatakan bahawa tasawuf mempunyai elemen seni rohani yang jika teradun dengan seni kreatif, dibimbangi terkeluar ungkapan-ungkapan yang menyimpang dari kebiasaan menyentuh  soal akidah yang boleh membawa kepada kontroversi. Ungkapan-ungkpan sedemikian berlaku kepada kalangan sufi yang nama-nama mereka disebutkan,  sebab itu aspek ini  dibicarakan secara teliti agar ianya tidak menimbulkan percanggahan dengan pegangan dan kemurnian Islam.
Apa yang dapat difahami, bahawa Al-Sarraj dengan penuh sedar membawa misi, bahawa keilmuan tasawuf adalah merupakan satu dimensi yang menjadi keperluan diri manusia, jika akidah dapat memenuhi keperluan minda di dalam Islam dan ianya dihurai secara rasional sesuai dengan keperluan minda, dan fiqh atau shari`ah Islam lebih kepada peraturan-peraturan lahiri bagi mengatur dan mengawal kehidupan di dalam mematuhi perintah Allah dan rasul, maka bagi Al-Sarraj tasawuf adalah dimensi yang perlu bagimemenuhi tuntutan dalaman dan bersifat rohani bagi diri manusia. Pembaikan dan pemurnian dalaman memberi kesan kepada pemurnian luaran, bahkan melengkapi kepada keperluan minda, lahiri dan dengan tasawuf melengkapi bagi diri,minda dan roahani manusia itu. Pendekatan tasawuf bukan saja murni, tetapi seni rohani yang indah dan melengkapi.

Sekian.

1 comment:

  1. Assalamualaikum.wr.wb. perkenalkan nama saya Ibu Anita Tki Malaysia, saat menulis ini saya teringat memory masa lalu.saya sangat tergugah hati melihat coretan hati yang Ibu tulis. saya jadi teringat tentang masa-masa sulit dulu,karena iktiar dan usaha , seolah2 menjadi dendam bukan lagi motivasi, cuma satu tujuan saya pada saat bagaiman caranya untuk bangkit..singkat kata berbagai macam iktiar dan cara yang saya lalui, mengingat pada saat itu hutang saya 1,2m yang tidak sedikit, belum lagi bunga renternir yang bertambah. karena usaha, kesungguhan hati, akhirnya menemukan jalan /solusi . saya percaya ALLAH ITU TIDAK DIAM MAHA PENYAYANG , cobaan itu bukan lah ujian tapi hadiah yang tersilmut untuk kebahagiaan yang sebenar2nya. Sudah banyak para normal yg kami mintai angka togel dan uang gaib cuma Ki Witjaksno yg berhasil alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus. jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi Ki Witjaksno:+62852_2223_1459. ingat kesempatan tidak akan datang untuk yang kedua kalinya
    KLIK-> PESUGIHAN TOGEL

    ReplyDelete