BBB,
24 Safar 1438H. = 24 November 2016 (Khamis):
Abu Bakar al-Kalabadzi memilih persoalan
`Jabr` yang menjadi pegangan kaum Jabariyyah, bagaimana pagangan kalangan kaum
sufi berhubung dengan `Jabr` berkenaan. Jabr sebagaimana yang dipegang oleh
kaum Jabariyyah adalah bertentangan peganagan kaum Mu`tazilah. Bagi kaum
Jabariyyah bahawa manusia tidak mempunyai daya dalam menentukan perbuatannya
sebaliknya terpaksa dan semuanya terserah kepada kehendak Allah
semata-mata tanpa ikhtiar dari hamba, manakala kaum Mu`tazilah pula
berpendapat, manusia adalah melakukan perbuatannya dengan kuasa yang Allah beri
kepadanya.
Menurut Abu Bakar al-Kalabadzi, tidak ada
`jabr`, melainkan ada dua yang bertentangan, iaitu menyuruh atau memaksa
membuat sesuatu perbuatan dan yang menentang atau mengingkari perbuatan, maka
dia menjabarkan suruhan ke atasnya
Makna `ijbar` menurut Al-Kalabadzi,
ialah pelaku tidak menyukai
melakukan apa yang disuruh dia lakukan
dan membencinya dan terpaksa meninggalkan apa yang disukainya. Maka dia memilih
melakukan apa dibencinya. Kalaulah tidak dipaksa dan diijbar kepadanya, nescaya
dia akan membuat apa yang ditinggalkan kerana terpaksa, tetapi disukai.
Sebagai contoh pandangan falsafah Greek
yang negatif terhadap kehidupan, bahawa kehidupan adalah sebagai satu paksaan. Dibandingkan
sebagaimana mythology Sisiphus, yang melihat kehidupan adalah sebagai paksaan
dari pihak Tertingga, hidup sebagai kerja paksaan sebagai dipaksa menggolek
batu dan kaki bukit ke puncaknya, apabila hampir tiba ke puncak, maka batu
tersebut menggelonsor turun balik, dan terpaksa di diguling menolak balik ke
atas, begitulah berulang-ulang secara negatif, jemu dan tiada hujungnya.
Bermaksud kehidupan manusia adalah sebagai paksaan, terpaksa bekerja, makan
minum, tidur bangun berulang-berulang dan tiada hentinya hinggalah dan diteruskan
oleh orang yang lain, begitulah berterusan. Ertinya hidup adalah paksaan, bukan
dari kemahuan dan pilihan !
Pandangan negatif terhadap hidup ini
tentulah amat bercanggah dengan Islam, bahawa kehidupan seharusnya diterima
secara kesyukuran kerana merasa nikmat iman dan hidayah ke jalan lempang.
Sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Dan kamu wahai orang-orang beriman hendaklah
bersyukur kerana Allah menjadikan iman itu perkara yang kamu cintai serta
diperhiaskannya di dalam hati kamu. Dan menjadikan kekufuran dan perbuatan
fasiq serta perbuatan durhaka pula perkara-perkara yang kamu benci. Mereka yang
bersifat demikian, ialah orang-orang yang tetap menurut jalan lurus.``
(Al-Hujurat: 7).
Mereka yang memandang hidup secara negatif,
adalah mereka yang sakit jiwa dan mental, mereka perlu kepada tarapi yang
bersifat rohani dan pendedahan tentang kepentingan dan nikmat ilmu. Lantaran
dengan ilmu dapat memahami segala fenomena dan kejadian yang mengkagumkan dan
mententeramkan akal fikiran. Dari segi kerohanian ialah mendapat ketenangan
jiwa yang dengan keduanya dapat ditumpahkan rasa kehambaan pada Yang Maha
Pencipta yang merupakan juga kenikmatan yang tiada tara.
Di dalam Islam tidak ada sifat putus asa
dari rahmat Allah. Firman Allah bermaksud:
``Katakanlah (wahai Muhammad), ``Wahai hamba-hambaku yang
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan
ma`siat), janganlah kamu berputus asa
daripada rahmat Allah, kerana
sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang amat
Pengampun, lagi amat Mengasihani``
(Al-Zumar: 53).
Satu dari aspek Jabr ialah melihat kehidupan sebagai paksaan
sebaliknya, bahawa manusia tidak perlu bertindak, tetapi mengambil sikap
`Penyerahan` sepenuhnya, lantaran
katanya, tridak ada daya usaha bagi manusia, segala di dalam ketentuan Allah,
manusia di dalam kehidupan seperti bulu
yang dihembus angin dan dibawa angin ke arah di mana dan ke mana dia bergerak,
atau sebagai debu pada permukaan padang pasir, bila dia disentak angin dan
dibawa ke mana sahaja dan jatuh di mana saja bila kematian angin dan bakal bergerak
bila angin bertiup kembali. Falsafah pegangan sedemikian juga amatlah negatif,
tiada daya dan kemahuan. Sudah tentulah pandangan sedemikian memundurkan, hatta
untuk berbuat kebajikan juga, tiada
naluri dan daya kemahuan.
Manusia hendaklah bersifat positif. Kata
Al-Kalabadzi, Allah menjadikan baginya ikhtiar, istihsan, iradah dan iman.
Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan baginya. Tugas
baginya memilih bagi membuat kebaikan dan kebajikan, kerana ia jalan baik dan
indah memberi faedah bagi diri dan orang ramai dan juga alam keilingan.
Firman Allah bermaksud:
``Demikianlah, Kami memperelokkan pada
(pandangan) tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka.`` (Al-An`am: 107).
Berhubung dengan persoalan yang telah
dibicarakan kata Ibrahim al-Laqani di dalam Matan Jauharah dan sharahnya:
``Tiada hamba itu dengan dikerasi
semata-mata seperti i`tiqad orang Jabariyyah dan tiada hamba itu
dengan pilihan sendirinya seperti i`tiqad orang Qadariyyah, kerana dalil
nass Kitab dan Hadith Nabi s.a.w. dan ijma` segala `ulama` ahlu millah al-Islam
dan dalil aqli yang telah tersebut semuanya di dalam segala kitab yang
mut*awwalat. Dan tiada sekali sebenar
yang maujud lain daripada Allah Ta`ala itu memberi bekas dengan perbuatan atau
dengan adatnya atau dengan kuatnya. Dan jikalau memberi pahala Allah Ta`ala
akan kita, maka sungguhnya dengan fadhl Allah Ta`ala. Dan erti fadhl itu, iaitu
recana daripada memberi rahmat Allah Ta`ala akan hambanya dengan ikhtiar, tiada
dengan ijab seperti i`tiqad orang Mu`tazilah. Dan jikalau menyiksa Allah Ta`ala
akan hambanya sanya dengan adilnya yang khalis dan erti adil itu menjadikan
barang suatu dalam tempatnya dan Maha Suci Allah Ta`ala daripada z*ulm, kerana
bahawasanya barang suatu daripada mumkinat semuanya itu makhluk Allah Ta`ala.
Demikian penjelasan Abu Bakar al-Kalabadzi
tentang pegangan kaum sufi berhubung dengan perbuatan manusia yang sikap, pendirian
dan pegangan mereka adalah selari dan sama dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment