BBB, 20 Safar 1438H. = 20 November
2016M. (Ahad):
Persoalan Kalam dan juga Al-Qur`an
mencetuskan perbedaan pendapat di kalangan ulama` aqidah. Abu Bakar al-Kalabadzi
mau menunjukkan pendapat kaum sufi berkenaan al-Kalam dan Al-Qur`an. Berhubung dengan `Kalam`
sharih bagi Matan Jauharat al-Tauhid oleh Ibrahim al-Laqani mengatakan:
``Dan wajib pula dalam haqq Allah `Azza wa
Jalla itu bersifat kalam yang bangsa dzati, dan iaitu sifat yang qadim yang
azali Maha suci daripada segala tanda yang baharu daripada huruf dan bersuara
dan barang sebagainya yang menunjukkan atas demikian itu wujudnya ibarat Qur`an
dan kitab. Maka Kalam Allah Ta`ala esa,
tetapi ibaratnya itu berbagai-bagai, dan jikalau ibaratkan dengan bahasa `Arab,
maka Qur`an namanya. Dan dengan bahasa Siryani,maka Kitab Injil namanya dan dengan
bahasa Ibrani, maka kitab Taurat namanya, maka berkhilaf-khilaf ibaratnya
halnya Kalam Allah Ta`ala itu esa lagi
qadim lagi azali yang tiada berhuruf dan tiada bersuara yang ada dalamnya itu
amar dan nahi dan akhbar dan barang
sebagainya.
Qadim adalah dari segi maksud pada sisi
Allah Subhanahu wa Ta`ala apabila diperturun ke dalam bahasa yang terdiri dari
perkataan-perkataan, susunan, tulisan, huruf dan bacaan adalah merupakan pada
peringkat baharu.
Namun di sana ada pendapat yang dinisbahkan
kepada Mu`tazilah yang dari segi akidahnya mereka berpegang bahawa Tuhan tidak
bersifat, segala-galanya melalui dzat, Allah mengetahui melalui dzat, Allah
mendengar melalui dzat, Allah mencipta melalui dzat, dan Allah berkata-kata
melalui dzat. Demikianlah dengan sifat-sifat yang lain. Al-Qur`an bagi
Mu`tazilah adalah kalam yang dicipta dan diturunkan.
Bagi kaum sufi menurut Abu Bakar
al-Kalabadzi, bahawa sepakat secara
jama`ah bahawa Al-Qur`an adalah Kalam Allah Ta`ala dari segi hakikat, dan
bahawasanya ianya bukan makhluk, tidak dijadikan dan tidak baharu. Al-Qur`an
adalah ditilawah melalui lidah kita, ditulis pada mashaf kita, dihafaz di dalam
dada kita dan berada di dalam diri kita, sebagaimana Allah maklum dengan apa
yang ada di dalam hati kita. Didzikir dengan lisan kita, ditilawah dan dibaca
di dalam solat kita. Mereka berpendapat Al-Qur`an yang hakiki bukan jisim,
bukan jauhar dan bukan `aradh.
Tetapi
ada perbedaan pendapat mereka itu tentang kalam Allah., tentang apakah
dia !
Kebanyakan mereka mengatakan bahawa kalam Allah ia adalah sifat bagi Dzat
Allah secara berterusan (lam yazal), dia tidak menyerupai kalam makhluk bagi
sebarang wajah dari berbagai wajah, tidak bagi sebarang `apa`, sebagaimana Dzat
Allah, bukanlah bagi sebarang `apa` (maiyyah). Tetapi adalah ithbat bagiNya.
Manakala sebahagian dari kaum sufi
mengatakan, Kalam Allah itu ialah, suruhan, larangan, khabaran, janji baik dan janji jahat, kisah-kisah, tamsil
ibarat. Dan Allah Ta`ala berterusan (lam yazal) menyuruh, menegah,
mengkhabarkan, memberi janji baik, menyampaikan janji jahat (ancaman), memuji,
mencela (terhadap yang jahat), apabila sampai kepada akal kamu dan kamu lakukan, maka kamu dikeji
di atas perlakuan maksiat kamu dan kamu diberi pahala di atas perlakuan baik
kamu.. Begitulah sebagaimana disuruh dan diharap menurut dengan apa yang diturunkan di dalam Al-Qur`an melalui Nabi s.a.w.
Mereka juga secara jumhur menyatakan bahawa
kalam Allah Ta`ala tidak berhuruf, tidak bersuara dan tidak berejaan, tetapi
huruf dan suara dan hejaan adalah dalil di atas kalam. Bagi membacanya memerlukan
perantaraan alat, anggota, perlu lidah, bibir dan gigi. Dan Allah tidah beranggota dan tidak
memerlukanb alat dan bukanlah kalamNya berhuruf dan bersuara..
Sesungguhnya apabila thabitlah bahawa Allah Ta`ala qadim dan bahawasanya dia
tidak menyerupai sesuatu dengan makhluk dari segala yang wujud, maka
demikianlah dengan sifatNya tidak menyerupai sifat-sifat makhluk, maka kalamNya
bukan berhuruf, bukan bersuara sebagaimana kalam-kalam makhluk.
Firman Allah bermaksud:
``Dan bercakap Allah kepada Musa sebagai
percakapan.`` (Al-Nisa`: 164). Dan firmaNya yang bermaksud:
``Adapun kata-kata Kami, bagi sesuatu,
apabila kami menghendakinya Kami katakan kepadanya jadilah, maka
terjadilah.``(Al-Nahl: 40). Dan firman yang bermaksud:
``Hinggalah dia mendengar kalam Allah.``
(Al-Taubah: 6).
Maka semuanya adalah kalam yang dinisbah
dan layak bagi Allah yang tidak menyerupai kalam makhluk.
Jelas dari perbincangan di atas memperlihatkan
bahawa apa yang diutarakan oleh Abu Bakar al-Kalabadzi, tentang kama dan
Al-Qur`an, bahawa, walaupun ada perbezaan pendapat, tetapi tidak ada percanggahan pendapat, tetapi tidak
keluar dari apa yang dipegang di
kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, demikian juga pendapat di kalangan sufi.
Pertentangan sebagaimana telah disebutkan ialah seperti Mu`tazilah yang memang bukan
dari kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment