BBB, 03
Safar 1438H. = 03 November 2016M. (Khamis):
Abu Nasr al-Sarraj membicarakan tentang adab
berpuasa dengan menyebut bahawa ianya adalah ibadat istimewa. Keistimewaan ini
adalah berdasarkan Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Anas r.a bahawa
Rasulullah s.t.`a.l.w. bersabda
bermaksud:
``Puasa adalah perisai, maka janganlah dia
bercakap perkara yang keji dan jangan dia jahil diri, jika seseorang mengancam dengan sesuatu atau memakinya, maka hendaklah dia berkata,
bahawasanya `aku puasa` – dua kali. Demi yang diriku di tanganNya sentiasalah
bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bauan
kasturi. Dia meninggal makannya dan minumnya dan syahwatnya kerana Aku. Puasa
adalah bagiKu. Dan Akulah yang membalas dengannya. Dan kebaikan dibalas dengan
sepuluh gandaan.``
Menurut Al-Sarraj, jika ditanya apakah makna
istimewanya puasa berbanding dengan ibadat-ibadat yang lain, sesungguhnya kita
ketahui bahawa semua ibadat bagiNya dan Dia yang membalas dengannya. Dan makna,
`` Puasa bagiku dan Aku mebalasnya.``Maksudnya ada dua makna
Puasa secara khusus di antara segala ibadat
yang difadhukan, kerana semua ibadat yang difadhukan bergantung pada gerak
anggota, sedang puasa bukan pada gerak anggota.
Maksud ``Puasa Bagiku`. Bermakna yang ditumpu
(al-Samad) ialah yang tidak takut baginya dan dia tidak berhajat kepada makan
dan minum. Siapa yang berakhlak dengan akhlakku, maka diganda pahala yang tidak terlintas di hati manusia.`
Dan makna ``Dan Aku membalasnya`, maka
sesungguhnya Allah Ta`ala telah berjanji segala perbuatan hasanah ialah pahala
bermula dari satu kepada sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda,
melainkan orang yang berpuasa – dan orang yang berpuasa adalah mereka yang
sabar. Sedang Allah Ta`ala berfirman bermaksud:
``Sesungguhnya dibalas orang yang sabar itu
dengan pahala yang tidak terhisab.`` (Al-Zumar: 10).
Puasa yang dilakukan adalah menurut
aturan-aturan iaitu mematuhi dari segi rukunnya, iaitu berniat pada malamnya,
menahani diri dari segala perkara yang membatalkan puasa dan orang yang
berpuasa itu sendiri, manakala syarat puasa ialah, Islam, berakal dan suci
daripada haidh dan nifas. Dan syarat orang puasa pula ialah berakal,, baligh, Islam dan
kuasa berpuasa pada hissi dan shar`i.
Manakala perkara-perkara sunat yang lebih
dekat dengan adab-adab berpuasa banyak, antaranya,
sunat bersahur (takkhir) dan sunat
berbuka (bersegera) dengn rutab atau
sesuatu yang manis, membaca do`a sebelum berbuka, mengelak dari berkata-kata
yang tidak berfaedah apa lagi berdusta dan mengumpat, meninggalkan daripada
keinginan yang mubah seperti mendengar nyanyian yang harus, dan mengelak diri
dari berbekam, memasukkan ubat kepada tubuh dengan menyucuk, meninggalkan diri
daripada merasa makanan, misalnya bagi perempuan yang memasak, meninggalkan
dari istimta` dengan isteri, tidak bersugi selepas dari gelincir matahari. Sunat yang lain ialah berbanyak iktikaf di
dalam masjid, membanyak membaca Al-Qur`an, bertahajjud dan mendirikan
berbagai-bagai amalan solat sunat seperti tarawih dan solat-solat sunat yang
lain dan menghidupkan malam untuk
mendapat laylatul Qadr.
Lebih daripada itu daripada menjaga adab-adab
puasa kata Al-Sarraj menjaga anggota dari melakukan perkara yang sia-sia.
Sebaliknya perlu gunakannya pada perkara
yang memberi kebajikan seperti gotong royong menyiapka moreh masjid atau surau, tidak membelanjakan bagi mendapat
makanan untuk berbuka dengan berlebih-lebihan hingga menyebabkan membazir,
sebaliknya jika ada kelebihan makanan, atau sengaja membeli makanan maka sedekahkan kepada faqir miskin, hantar ke
masjid surau dan memberi kepada jiran tetangga.
Daripada sunat yang menjadi adab yang baik bahawa mulut selain dari
bertilawah Al-Qur`an hendaklah basah dengan zikir kepada Allah dan salawat
kepada Rasulullah.
Disebut oleh Al-Sarra, bahawa jika di dalam jamaah sufi, bahawa daripada
adab yang patut dijaga bahawa jika jamaah berpuasa, maka seeloknya sama-sama
dalam jamaah berpuasa. Ini memudahkan dari segi pengurusan, tetapi dari adab
mereka, bahawa seorang tidak berpuasa secara bersendirian daripada jamaah, jika
dia ingin berpuasa berseorangan secara adabnya hendaklah memaklum dan mendapat izin dari sahabat-sahabat jamaah, dengan
alasan, kerana jika dia berpuasa menjadikan hati yang lain tidak senang –
misalnya bila dia makan atau berbuka berseorangan, sedang semua mereka tidak
mengetahui. Jika puasa seorang dan tidak jamaah , jika makanan didatangkan,
maka dirasa tidak manis pula jamaah makan sedang yang berpuasa tidak makan,
jika tidak makan mungkin ada kalangan jamaah perlu makan dan tidak wajar bagi
yang banyak menunggu waktu berbuka seorang yang berpuasa.. Tidak wajar pula
seorang yang berpuasa mengambil sebahagian daripada makanan untuk disimpan bagi
berbuka bila tiba masanya. Berpuasa berseorangan di tengah jamaah adalah juga
dibimbangi timbul perasaan semacam lebih
diri kalau pun tidak takabbur dan ghurur yang boleh menghilangkan pahala
berpuasa.
Puasa dilihat dari segi khusus adalah amalan yang menggarap diri dan rohani bagi
mendekati Allah. Dengan berpuasa membersih jiwa dari sifat-sifat keji seperti
sifat tamak dan tabiat makan berlebihan,
dapat melatih diri dengan sifat sabar, mengurangkan syahwat dan keinginan yang
bersifat nafsu, dapat membentuk di dalam jiwa rasa keinsafan, khususnya terhadap
orang yang lapar dan tidak mempunyai wang untuk menampung keperluan. Dengan
demikian menggerak diri kepada menolong
mereka yang susah seperti membantu mereka yang faqir, miskin, anak-anak yatim
dan mereka yang sakit. Dengan demikian memupuk rasa kasih sayang di antara
manusia dan rasa kemanusiaan. Dengan demikian banyak perkara kebajikan dapat
dilakukan.
Peranan puasa am juga dibicarakan dari segi fizikal,
bahawaianya dapat mengeluarkan elemen-elemen toksik di dalam badan,
mengembalikan keseimbangan tubuh badan, misalnya tidak berlebihan dari segi
berat badan.Selain dari itu memberi kerehatan kepada anggota perut yang biasa
menghadamkan makanan pada waktu siang kepada waktu lain. Ia juga sebagai tarapi
kepada mereka yang mengalami darah tinggi dan kolestrol berlebihan.
Berpuasa tidak saja bersifat ibadat dan kerohanian, tetapi juga bersifat kemasyarakatan, bahkan juga berfungsi dari segi kesihatan dan
perubatan. Puasa menjadi lebih indah dan menarik jika ianya dipertingkatkan
dengan adab-adab yang meningkat dari segi pahala – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment