November 28, 2016

MA`RIFAT - AQIDAH DAN TASAWUF BERBEZA PENDAPAT


BBB, 27 Safar  1438H. =  27 November 2016 (Ahad):
Persoalam `Ma`rifat` adalah persoalan popular di dalam `aqidah dan tasawuf, tetapi kedudukan dan pendekatan adalah berbeza dalam `aqidah dan tasawuf.
Di dalam skema keilmuan `aqidah,  `Ma`rifat` berada pada peringkat permulaan, manakala kedudukan `Ma`rifat` berada pada peringkat akhir dan puncak bagi ketasawufan.
Di dalam pendekatan ilmu aqidah adalah dikatakan: `Seawal-awal yang wajib bagi insan (muslim)  yang `aqil, baligh. Ialah ma`rifat (mengenal Allah).
Berkata  Ibrahim al-Laqani di dalam Matan Jauharah dan Sharinya;
``Ya`ni wajib atas segala orang yang baligh lagi `aqil itu mengenal (ma`rifat) yang yaqin barang yang wajib bagi Allah Ta`ala dan barang yang mustahil bagi Allah Ta`ala dan yang ja`iz,  dan wajib pula atas orang itu mengenal yang yaqin kepada barang yang wajib dan barang yang mustahil dan ja`iz yang bagi Rasulullah s.a.w.. Syahadan ma`rifat kepada Allah Ta`ala itu hendaklah ada ia wujud empat perkara. Pertama hendak yaqin, kedua hendak  dengan dalil yang yaqin, dan iaitu baharunya alam ini, ketiga hendaklah kekal. Keempat hendak ada permulaan ma`rifat itu kemudian daripada `aqil baligh.``
Dan tiada wajib ma`rifat kanak-kanak sebelum sampai baligh seperti kata Imam Abu al-Hasan, maka iaitu qawl yang rajih. (Dan kata) Imam Abu Mansur Maturidi, dan kanak-kanak sebelum sampai baligh itu wajib ma`rifat akan Allah Ta`ala, jikalau ada mempunyai akal ia, dan jikalau mati sebelum ma`rifat akan Allah Ta`ala maka disiksa oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala di dalam neraka.
Jelas apa yang dimaksudkan dengan ma`rifat bagi ilmu `aqidah, ialah bermaksud ilmu, iaitu ilmu aqidah yang harus dipelajari dengan secara teratur.
Adapun ma`rifat yang dimaksudkan dengan ilmu tasawuf, maka dfianggap tahap tertinggi yang dicapai di dalam bidang kerohanian, tetapi tidak semua mencapainya. Jalan ke arah ma`rifat di dalam bidang tasawuf, bukan melalui kaedah ilmu secara rasioanal, tetapi melalui pencapaian dari segi kerohanian dan juga sering bersifat intuitif, dzauq dan wujdan
Berkata Shaykh Abu Qasim al-Junayd tentang ma`rifat dalam ungkapannya.:
``Ma`rifat di sisi mereka itu satu sifat daripada cara mengenali yang Haqq dengan namaNya dan sifatNya. Kemudian dia melaksanakan perintah Allah di dalam muamalatnya,. Kemudian bersih dari akhlaknya yang keji dan hina, kemudian dia berlamaan pendiriannya dan berterusan hatinya bersama  i`ktikafnya, dia mendekati Allah dengan kecantikan pembawaannya, Allah membenarkan dengan  segala ahwalnya, terputus dari bisikan hati kecilnya yang mengganggu dan hatinya tidak berpaling dari tumpuan kepada Allah, dia berterusan bermunajat kepada Tuhannya dengan tahqiq pada setiap lahzah perkembalian kepadanya. (Lisan al-Din bin  al-Khatib, Raudat al-Ta`rif, tt. 418).
Menurut Abu al-`ula  `Affifi, Ma`rifat ialah puncak cinta Ilahi. Dia bukan  hasil dari taakul akli, tetapi hasil dari kekuatan yang lain yang mengatasi akal, iaitu melalui dzauq, wujdan. Bahkan kata Affifi, ``Adalah kalangan sufi menghimpunkan antara ma`rifat dan cinta Ilahi sebagai sesuatu yang satu dan haqiqat yang satu. Bahkan dikatakan `Al-Ma`ruf` dan Al-Mahbub adalah dua nama bagi sesuatu yang satu dan ma`rifat dan al-hubb dua wajah bagi hakikat yang satu. (Affifi, Al-Tasawwuf al-Thaurat al-Ruhiyyat fi al-Islam, 1963: 246-247).
Abu Bakar al-Kalabadzi tidaklah menerangkan  tentang konsep dan ma`rifah, sebaliknya yang diutarakan ialah pendapat-pendapat tokoh berhubung dengan `pengenalan Allah` Menurut Al-Kalabadzi, berpendapat secara jama`ah kalangan sufi bahawa tentang keesaan Allah yang kata mereka sebenarnya tidak memerlukan dalil dari yang baharu, kerana yang baharu tidak mampu membuktikan yang kekal. Sebab itu katanya, apabila Al-Nuri ditanyakan, ``Apakah dalil yang membuktikan ada Allah ?``. Maka dijawabkan ``Allah`!. Apabila ditanya tentang akal, maka katanya, ``Akal adalah lemah, dan tiap-tiap yang lemah tidak menunjukkan, melainkan kepada kelemahan sepertinya.
Berkata Ibn `Ata`, ``Akal adalah alat bagi  ubudiyyah, bukan  pembuktian bagi Rububiyyah.``.
Kata Abu Bakar al-Qaht*i, ``Akal  setakat mnengithbat, bukan pembuktian kebenaran.``
Al-Junayd berkata, ma`rifat ialah `ma`rifat` secara ta`rif dan ma`rifat sebenar ma`rifat. Ta`rif ialah memberi huraian bagi pengenalan, sedang ma`rifat sebenar yang diistilah sebgai ma`rifat khas, ``Tidak dapat mengenaliNya secara hakikat, melainkan  denganNya.``
Berkata kalangan sufi terkenal, ``Kami kenal Allah Ta`ala diriNya dengan DiriNya. Dan menunjukkan kami ma`rifat dirinya dengan diriNya.``
Berselisih pendapat tentang ilmu dan ma`rifat. Kata Al-Junayd,``Ma`rifat membuktikan kejahilan (ilmu) engkau selepas engkau mengetahuinya.``
Berkata Sahl bin Abdullah, ``Ma`rifat ialah mengenal kejahilan  (ilmu) engkau tentang ma`rifat.`` Tambah Sahl, ``Ilmu thabit dengan ma`rifat, dan akal thabit dengan ilmu, adapun ma`rifat, maka sesungguhnya dia thabit dengan dzatnya.``  
Berkata yang lain, ``Nyata sesuatu secara zahir dengan ilmu dan secara batinnya ialah dengan ma`rifat.``
Ditanya Dzu al-Nun al-Misri, ``Dengan apa engkau mengenal Tuhan ? Katanya, ``Tatkala aku terlintas perkara ma`siat, dia mengingatkan daku kebesaran Allah Jalla Jalalah menjadikan aku malu kepadaNya.``. Ma`rifat baginya jalan mendekati Allah yang menunjukkan ma`rifatnya denganNya.
Demikian berbagai pendapat mengenai  ma`rifat yang begitu subjektif dan begitu theosofik yang tidak ada satu ta`rif yang konkrik. Pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh kalangan sufi menurut persepsi,  pengalaman, tanggapan, dzauq dan wujdan mereka, sehingga  Sahl bin `Abdullah mengungkapkan tabhil begitu indah merupakan pancaran dari hati nuraninya sendiri, katanya,
Subhanallah, tidak mampu hamba memahami ma`rifat 
Mencerminkan kelemahan hamba  mencapai ma`rifat  !

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              

No comments:

Post a Comment