November 5, 2016

ADAB BERHUBUNG DENGAN HAJI


BBB,  04 Safar 1438H. = 04 November  2016 (Jumaat):
Haji adalah rukun Islam yang kelima sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
``Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitillah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.`` (Ali `Imran: 97).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Dan serukanlah manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.`` (Al-Hajj: 27).
Dan Hadith Nabi daripada Abi `Abd al-Rahman `Abdullah bin `Umar bin al-Khattab r.`anhuma  berkata, ``Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Dibina Islam di atas lima perkara, Shahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan haji ke Baitillah dan puasa bulan Ramadhan. Riwayat Bukhari dan Muslim.
Haji pada lughah ialah qasad, iaitu menqasad akan sesuatu. Dan pada istilah shara`, iaitu  menqasad  ke Ka`bah dengan berbuat ibadat- iaitu haji. Haji adalah difardhukan pada tahun keenam Hijrah, tetapi tiada nabi pergi haji kemudian daripada Hijrah, melainkan pada tahun kesepuluh.
Untuk menjaga adab-adab haji, maka perlulah difahami terlebih dahulu dari segi syarat,  wajib, rukun juga sunat-sunat.
Adapun syarat wajib mengerjakan haji (termasuk `Umrah) ialah Islam, mukallaf (akil baligh), merdeheka dan berkuasa untuk mengerjakan haji. Konsep kuasa (istita`ah) melibatkan keperluan – ada bekal dan ada kenderaan. Bagi haji ada miqat zamani, iaitu musim haji dan miqat makani, iaitu di tanah Makkah dan luar daripadanya menurut ketentuan. Dan antara galakan terutama bagi umrah adalah digalakkan banyak mengerjakan  umrah, walaupun dalam sehari, kerana mengerjakan `umrah adalah terlebih afdhal daripada  tawaf atas qaul yang muktamad, jika masa `umrah dan tawaf adalah memakan masa bersamaan.
Adapun rukun haji itu enam perkara, iaitu:
Pertama:  Ihram, iaitu niat masuk mengerjakan nusuk
Kedua:  Wuquf iaitu berhenti di Arafah
Ketiga:  Tawaf pada Baitillah al-Haram
Keempat: Sa`i antara Safa dan Marwah
Kelima:  Bercukur atau bergunting
Keenam:  Tartib
Antara tuntutan ialah masuk ke Makkah sebelum dari tiba waktu wuquf,  dan sunat melakukan tawaf qudum dahulu daripada menyalin pakaian dan menyewa  tempat  kediaman, disunatkan banyak membaca talbiah,dan dituntut menyaringkan suara bagi lelaki. Sunat juga berdo`a  memohon apa yang dikehendaki dari segi kebajikan kepada Allah dan sunat jangan berkata-kata dalam talbiah, kecuali jika di dalam kedaan mendesak (seperti mengingatkan orang hendak jatuh dan sebagainya).
Disunatkan juga mandi bila hendak berihram, bahkan sunat mandi ketika masuk ke tanah Haram, ketika hendak wuquf dan juga ketika hendak masuk Madinah. Dan sunat memakai kain ihram berwarna putih.
Daripada adab dan kewajipan semasa tawaf dengan berniat,  hendaklah menutup aurat, suci daripada hadath kecil danbesar, suci kain, badan dan tempat tawaf, dan sunat memulai tawaf sebab datang (qudum), tawaf dengan mengiringi Baitullah secara mengiri dan berjalan ke hadapan dan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Tawaf pula hendaklah di dalam masjid dan diluar ka`bah, dan mengucup hajar al-aswad jika berkemungkian, juga istislam pada rukun yamani di dalam bertawaf. Dan sunat menyegerakan jalan dan memendekkan langkah dan sunat ittiba` (menjadikan pertengahan selindang ke arah ketiak kanan dan dibukakan bahu kanan  dengan dua punca selindang di atas bahu kiri sama ada semasa tawaf dan sa`i. Dan sunat dalam masa tawaf dekat dengan ka`bah dan memudahkan istislam dan sunat bersolat dua rakaat selepas tawaf, terafdhal di belakang maqam Ibrahim
Antara adab lagi hendaklah memperbanyakkan zikir dan do`a.
Adapun dari segi wajib dan sunat sa`i   ialah memulai dari pertama dari Safa ke Marwah dan sebaliknya hingga sampai tujuh kali, hendaklah yakin dengan jumlah bilangan tujuh kali, hendaklah sa`i  itu selepas daripada tawaf, sunat naik ke atas puncak safa dan marwah dan membaca do`a, semasa sa`i disunatkan berjalan tanpa kasut, sunat sa`i dengan wudhu` dan menutup aurat, sunat berjalan perlahan-perlahan pada permulaan dan akhir dan berlari-lari anak pada pertengahan dan sunat membaca  bacaan yang sesuai di dalam sa`i.
Adapun  wuquf ialah berhenti di `Arafah, iaitu hadir pada satu suku daripada hari `Arafah kemudian daripada gelincir matahari pada hari `Arafah, iaitu hari kesembilan. Ia adalah puncak amalan dan rukun haji. Adapun adab dan sunat wuquf itu banyak, antaranya memnghimpun antara siang dan malam di Arafah, mengucap tahlil dan tabhil, takbir, talbiah, tasbih dan tilawah Al-Qur`an  terutama Surah al-Hashr. Sunat mengucap salawat ke atas Nabi, banyak khusyu`, tafakkur, khudhu`. Termasuk dari rukun haji ialah bertahallul.
Adapun wajib haji  ialah enam perkara,iaitu bermalam di Muzdalifah, pada nisfu yang kedua daripada malam hari raya haji, melontar jamrah al-`Aqabah tujuh kali, melontar jamrah yang tiga pada hari tashriq, tiap-tiap satu jamrah tujuh kali, bermalam dimina  tiga malam hari tashriq, ihram daripada miqat dan tawaf wida` bagi yang mau keluar dari Makkah. Dan sunat takbir dan membaca bacaan yang berkenaan bila keluar dari Makkah. Demikian juga pada bahagian wajib-wajib ada sunat-sunat yang patut menjadi adab di dalam menyempurnakan ibadat berkenaan.
Daripada adab yang patut diberi perhatian, bahawa menunaikan haji ke Makkah, tidak dapat dilakukan dengan kerap, sebab pada pemergian tersebut selain dari mengerjakan rukun, wajib dan sunat-sunat serta adab-adab bagi haji, bahawa pada kesempatan naik haji seharusnya diambil peluang memahami tempat dakwah nabi, keistimewaan air zam-zam dan meminumnya , menziarah gua Hira`, Gua Thur, kawasan Hudaibiah, gunung Uhud – tempat peperangan uhud, kubur Baqi`, masjid Quba`  Masjid Madinah dan menziarah maqam Nabi sa.w.
Dan berbagai-bagai tempat sejarah agar dengan itu kita dapat memahami sejarah perjuangan dan jihad Nabi s.a.w. dan perkembangan Islam di Makkah-Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Sekian.

No comments:

Post a Comment