September 30, 2020

 

MEMBENTUK  GENERASI  SIHAT

(Fikrah Bangi: 645),

BBB:  12 Safar 1442H. = 30 September 2020M. (Rabu).

Jika anda minat berkebun secara kecil-kecilan dengan menanam sayur-saturan di tepian rumah yang tak luas kawasannya. Misalnya dengan menanam benih labu di dalam pasu yang agak besar sedikit saiznya, maka bagi membolehkan  benih labu tersebut  tumbuh dengan baik, maka  benih yang dipilih hendaklah baik – boleh tumbuh. Pasu berkenaan hendaklah diisi dengan tanah hitam yang berbaja. Setelah disemai benih,maka hendaklah disiram secukupnya sebanyak dua kali sehari, pagi dan petang. Demikianlah dilakukan setiap hari, maka insya Allah selepas beberapa hari hingga seminggu benih tersebut akan tumbuh dengan baik dan teruslah disiram dan membajainya dengan baja setiap  dua minggu sekali, maka anda dapat melihat pokok yang tumbuh berkembang dan membesar dengan subur sehingga akhirnya ianya menjalir dan menjalar ke dahan-dahan pokok berhampiran dan juga ke atas permukaan tanah. Selepas lebih dari sebulan, insya Allah  labu berkenaan berbunga dan seterusnya melahirkan buah yang makin membesar dengan subur. Perkembangan menyenangkan pandangan dan menggembirakan dengan hasil yang ditanam. Begitulah jika ditanam sayur-sayuran, bahkan pokok-pokok  yang lain yang memanfaatkan.

Demikianlah bagi mendapat dan menghasilkan generasi yang sihat, pasangan yang dipilih hendaklah dipastikan sihat, subur dan dapat melahirkan anak sebagai generasi yang sihat. Bagi mendapat generasi yang sihat pasangan hendaklah menjaga kesihatan. Perhatian hendaklah diberi terhadap janin sejak di dalam kandungan ibu, seperti mendapat makanan yang sihat, berada di dalam invironment yang sihat, misalnya berada di kediaman yang sihat, walaupun sederhana, selalu mendapat nasihat kesihatan dari klinik dan hospital. Peka  dari segi kesihatan dan mendapat  rawatan jika sakit.

Pihak pemerintah adalah peka dengan kesihatan masyarakat dengan mengadakan  klinik keibuan, jururawat memantau perkembangan para ibu yang bakal melahirkan dengan memberi nasihat, panduan dan permakanan yang sewajarnya. Bakal ibu dapat melahirkan anak secara baik seperti di hospital dan mendapat perhatian dan susulan agar ibu dan anak berada di dalam sihat.

Sebagaimana dibicarakan mengenai benih tanaman di atas, demikianlah para ibu dan anak diberi perhatian khusus dari pemulihan kesihatan dan perkembangan dan pembesaran bayi. Ibu bapa dan anak bukan saja  turunan yang akan melanjutkan generasi, tetapi bagi negara ia adalah aset negara pada masa hadapan. Sebab itu di samping ibu bapa, maka negara juga hendaklah menjaga dan cakna bagi pertumbuhan aset ini, agar ianya membesar dengan sihat dan baik.

Bagi para suami hendaklah sedar sebelum mendirikan rumah tangga hendaklah mempastikan kemampuan untuk menyediakan kemudahan yang  memungkinkan bagi  generasi dengan baik. Penyediaan  bukan setakat kasih sayang semata-mata, tetapi hendaklah menterjemahkan kasih sayang ini dengan  sama bersedia, misalnya menyediakan kediaman yang selesa, walaupun tidak bersifat mewah. Mampu mendapat makanan berkualiti bagi pertumbuhan anak dan juga kesihatan ibu bapa. Sebaiknya sebelum mendapat zuriat keturunan, pasangan mempastikan menyediakan kediaman yang  baik dan suasana keliling dan kehidupan yang baik, termasuk jiran-jiran yang baik.Gangguan pada peringkat awal seperti tidak kecukupan dari segi permakanan dan tinggal di tempat yang tidak menyenangkan dan tertekan akan mengganggu kesihatan dan perkembangan anak dan keluarga.

Bagi pihak kerajaan, oleh kerana rakyat,termasuk perkembangan generasi sebagai warga dan aset negara perlu mempunyai perancangan, misalnya  menawarkan pembelian dan pemilikan rumah kepada rakyat menurut kemampuan mereka. Perancangan perumahan diatur dengan baik agar rakyat dan generasi mendapat pemilikan rumah atau sekurang-kurang menyewa menurut kemampuan sebelum mereka lebih berdikari dari segi ekonomi bagi mendapat peluang yang lebih baik dari segi pemilikan hartanah. Bagi pasangan suami isteri perlulah menjadikan kemampuan ekonomi dan pemilikan hartanah sebagai agenda kehidupan agar  kehidupan tidak trerganggu, kerana tiada kediaman. Kekukuhan dari segi ekonomi keluarga adalah penting bagi kehidupan selesa dan bahagia..

Pihak kerajaan hendaklah melihat Kementerian Keluarga atau nama yang lain yang menepati dengan keperluan keluarga sebagai kementerian yang penting. Ruang lingkup adalah luas, iaitu dari rakyat yang ingin berkeluarga, kerjaya, mendapat kediaman, kehidupan dalam keluarga, kesihatan dan kedamaian keluarga, perbalahan, perpisahan keluarga, pembelaan terhadap anak-anak dari keluarga yang berpisah atau kematian, peluang mendapat pelajaran, nasib dan pembelaan terhadap anak yaim, miskin, waga tua, sakit dan sihat mereka hinggalah membawa kepada kematian. Semua proses berkenaan yang dilalui oleh generasi seharusnya mendapat perhaian dari  pemerintah.

Agenda memartabatkan generasi menjadi keutamaan keluarga dan kerajaan. Keutamaan dimaksudkan ialah `Pelajaran`.

Sekian.

September 29, 2020

 

FAKTOR  MANUSIA

(Fikrah Bangi:  644),

BBB:  11 Safar  1442H. = 29 September 2020M.   (Selasa).

 

Membicarakan  tentang kejayaan, kemajuan  dan keistimewaan atau apa jua yang berhubung dengan kualiti yang terbaik, maka  ianya  tidak dapat dipisahkan dari manusia. Sesungguhnya manusia adalah faktor utama  bagi mencapai kualiti dan kecemerlangan yang  diharapkan. Manusia adalah  faktor utama  yang harus diberi perhatian.

Tentang  perhatian dan kecaknaan dapat dilihat dari contoh-contoh kejadian yang lain. Ia misalnya dapat dilihat dari tumbuhan. Menanam kelapa yang berkualiti  memerlukan tanah yang sesuai baginya, perlu memilih benih yang baik misalnya dari jenis kelapa mantap yang rendah dan cepat berbuah  dengan lebat dengan kualiti buahnya yang baik, sekiranya penanaman dijaga dan dibaja dengan baik. Jika dipilih benih dari jenis pandan, maka ianya juga dari jenis yang baik, berbanding dengan jenis kelapa biasa.

Demikian juga dengan ternakan haiwan yang perlu dipilih dari baka  yang baik dan dijaga dengan baik sehingga misalnya lembu dapat membesar dengan baik dan bermutu dan menghasilkan pulangan yang baik.

Manusia juga perlu dijaga dengan baik. Dari segi perkembangan fizikalnya perlu  dijaga  dari pemilihan pasangan yang berketurunan baik. Anak yang bakal dilahirkan  hasil dari perkahwinan antara suami isteri yang benih perlu dijaga dari awal  sejak  dari dalam kandungan dan ibu dijaga dari segi kesihatan dan mendapat nasihat dari dokor dari segi permakanan dan penjagaan yang lain sehingga bayi dilahirkan. Selepas dilahirkan perhatian terus diberi dalam masa tumbuh besar supaya sihat dan membesar dengan baik.

Bagi manusia perhatian dan penjagaan tidak terhad kepada fizikal dan tubuh badan sahaja, kerana ianya  bukan haiwan ternakan. Aspek yang paling penting yang perlu diberi perhatian ialah dari segi perkembangan mental dan jiwanya sejak dari peringkat awal lagi.

Bagi perkembangan mental dan rohani ini selain dari  keperluan bagi menjaganya  bergantung pada ibu bapa, pihak kerajaan dan yang berkuasa  sama  dan perlu memberiperhatian. Bagi sesebuah negara  seorang rakyat dan masyarakat adalah menjadi aset utama  bagi negara.  Dari  individu dan rakyat adalah diharap dapat dilahirkan pimpinan yang berwibawa yang dapat membawa negara kepada kemajuan. Dari rakyat negara berharap dari tugas dan peranan mereka di dalam kerjaya, sama ada sebagai petani, peniaga, pengusaha, pentadbir dan berbagai profesyen yang lain negara bergantung harap memberi hasil kepada negara seperti mengeluarkan barangan berkualiti yang dapat diguna oleh masyarakat dan berbagai hasil pengeluaran, bahkan cukai yang dikenakan. Dari   cukai  dapat digunakan bagi kemajuan dan kepeningan masyarakat.

Manusia adalah aset utama   bagi negara dan masyarakat. Manusia yang berkualiti dapat memajukan negara dan masyarakat secara berkualiti. Bagi menjayakan manusia berkualiti tidak lain dari mendidiik manusia yang dikenali dengan rakyat dan masyarakat itu dari segi fizikal, mental dan rohani. Hanya negara yang prihatin terhadap perkembangan fizikal, mental dan jiwa rakyat adalah negara yang berjaya. Perlu ada perancangan teliti, berterusan dan menyeluruh akan membawa kejayaan bagi negara.

Melihat kepada negara yang berjaya. Antaranya sering kita sebutkan seperti negara Jepun dan German.  Kedua bangsa tersebut dianggap bangsa yang maju dan berjaya. Sudah pasti negara berkenaan maju dari kerana kualiti rakyat dan pimpinan menjadikan mereka negara maju dan berjaya, walaupun kedua-dua negara pernah kalah di dalam peperangan, tetapi mereka dapat segera bangkit dan maju kerana kualiti yang ada pada  bangsa itu.

Demikian kalau dilihat pada anak dan keluarga yang berjaya, tentu ada  kualiti pendidikan fizikal dan mental yang dilakukan oleh keluarga berkenaan. Di sebalik dari kejayaan kita juga dapat melihat contoh tauladan dari sebaliknya. Misalnya mengapa setengah negara mundur dan tidak membangun, ianya diakibatkan tiadanya pimpinan yang baik dan tiadanya rangka pendidikan yang dilakukan terhadap rakyat dan masyarakat bagi negara berkenaan. Demikian juga dengan keluarga dari yang tidak mementingkan perhatian dari segi fizikal dan mental dan hidup di dalam kesusasahan serta berada di dalam invironment yang tidak kondusif bagi kesihatan dan perkembangan mental dan jiwa menjadikan mereka tidak maju dan tidak berjaya, bahkan boleh menjadi masalah dan membebankan masyarakat dan negara.

Sebab itu  bagi individu, keluarga dan negara perlu mempunyai agenda yang teratur bagi mendidik individu, keluarga dan masyarakat supaya hidup berjaya dan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan tidak sebaliknya sebagai yang bermasalah dan membebankan.

Faktor pendidikan adalah penting iaitu dengan  memberi pelajaran yang berkualiti yang dapat menjadikan individu dan masyarakat, bahkan negara   berkualiti.

 

Sekian.

September 28, 2020

 

KEKUKUHAN  EKONOMI:  DI MANA KITA ?

(Fikrah Bangi:  643),

BBB:  10 Safar 1442H. = 28 September 2020M. (Isnin).

Kekuatan sesebuah negara, antaranya oleh kerana  kemajuan ekonominya. Banyak faktor yang menjadikan sesebuah negara kukuh dari segi ekonominya, antaranya kerana kesuburan muka buminya yang dapat mengeluarkan hasil-hasil yang dapat memakmurkan negara yang menghasilkannya. Misalnya New Zealand dan Australia mempunyai tanah  yang subur bagi pertanian dan penternakan, maka negara itu mengeluarkan buah-buahan dan ternakan yang diexport keluar negara, tetapi negara kita lebih subur tanahnya yang dapat mengeluarkan buah-buah, sebagaimana dihasilkan oleh kedua-dua negara berkenaan. Tetapi tidak berkemampuan.  Negara kita mengeluarkan kelapa sawit, tetapi tidak mampu mengolahnya sendiri kepada berbagai berbagai jenis keluaran dan sentiasa berdepan dengan ancaman dari luar – Barat dan Amerika menyebabkan harganya tidak stabil. Begitu juga dengan hasil getah yang bergantung kepada exsport  dan  tidak mampu mengolahnya kepada hasil-hasil tempatan yang berbagai-bagai. Negara Jepun maju dengan hasil industri seperti mengeluarkan kereta dan berbagai bahan teknologi, tetapi negara kita yang mengeluarkan bijih besi dan timah, tidak mampu menghasilkan kenderaan sebaik Jepun.

Negara  kita mengeluarkan gas dan petrol, walaupun tidak sebanyak negara Arab Saudi dan Iran, tetapi kita tidak meningkat  maju dari segi ekonomi dengan hasil yang didapati dan kita tidak bangkit sebagai negara yang menghasilkan bahan-bahan teknologi  sebagaimana yang dihasilkan oleh negara Korea Selatan, di samping Jepun dan German.

Negara kita sebagaimana telah diperkatakan berada di lokasi strategik di tengah lembangan pinggir barat Pasifik, tidak terdedah dengan ancaman unsur alam yang merosakkan, terlindung dari ribut taufan, angin kencang seperti yang dialami Jepun dan Filipina saban tahun dan banyak mengalami kerosakan dan negara kita juga tidak berada pada jalur lingkaran gunung berapi seperti yang dialami oleh Indonesia, Jepun dan Filipina, lantaran ini negara kita tidak mengalami gempa dan letusan gunung berapi saeperti yang dialami oleh Indonesia, Filipina dan Jepun, tetapi kita tidak semaju misalnya Jepun yang sering mengalami bencana alam.

Kita mempunyai aset alam semula jadi yang jarang dipunyai oleh negara-negara lain. Kita yang berada di iklim tropika mempunyai hutan  hujan tropika, kaya dengan hutan-hutan yang tebal menghijau, mempunyai gunung-gunung yang menarik seperti Kinabalu, Santubong dan Tahan.Mempunyai gua-gua yang menarik seperti  Gua Mulo di Sarawak dan  gua-gua di Perlis. Mempunyai sungai-sungai yang indah dan tenang seperti Sungai Sarawak, Perak dan Pahang. Mempunyai pulau-pulau yang menarik seperti Langkawi,  Kapas, Perhentian dan  pulau berdepan Pantai Mersing.  Mempunyai pantai=pantai yang menarik di sepanjang negeri Terengganu, Basrah, Pulau Pinang, Mersing, Sabah dan sebagainya, tetapi kurang promosi bagi tarikan pengunjung dan pelancung.

Selain daripada itu negara kita mempunyai etnik dan budaya yang menarik. Di Sabah dan Sarawak banyak etnik yang terdiri dari Dusun, Melanau,  orang Hulu,  Bajau, Melayu, Sulu, Kedayan, Kelabit, Murut dan sebagainya. Mereka mempunyai bahasa , adat dan pakaian yang berbagai yang dapat menarik  dari pelancungan. Walau kita mempunyai bidang pelancungan dan agak aktif, tetapi sumber pelancungan dan kajian yang dilakukan belum sempurna dan belum dapat diexploitasi sebaik mungkin sebagaimana misalnya Bali di Indonesia menjadi daya pelancungan di seluruh dunia. Promosi  yang agak menonjol adalah terhadap Pulau Langkawi,  tetapi potensi tempat-tempat lain belum diangkat ke tahap sewajarnya.

Kita mempunyai potensi untuk maju dari segi ekonomi. Bidang-bidang yang berpotensi tidak kurang berbanding dengan negara-negara lain, tetapi usaha dan kemampuan kita masih kurang. Misalnya kita tidak mampu menghasilkan bidang pertanian secara maksimum dengan menggunakan teknologi dan kepakaran yang tinggi, sebab itu walaupun negara kita subur, tetapi kita tidak berdaya mengangkatnya sebagai sumber ekonomi yang penting, walaupun pengangguran masih tinggi, mereka tidak mampu melibatkan diri ke bidang ini. Kita masih jauh dalam bidang penghasilan  teknologi tinggi dan keperluan negara masih bergantung  pada negara luar.

Segala apa keperluan yang menjadi negara luar maju ada pada kita, tetapi kita tidak semaju mereka. Kita masih ketinggalan. 

Apakah yang menyebabkan kita masih tidak berdaya maju.

Ia adalah diakibatkan oleh faktor manusia  !

 Sekian.

September 27, 2020

 

SUMBER  ALAM  STRATEGIK  KEDUDUKAN

(Fikrah Bangi:  643),

BBB:  08 Safar 1442H. = 26 September2020M. (Sabtu).

Antara kurniaan Allah terhadap negara kita Malaysia yang menjadi pilihan nenek moyang kita, bahawa negara kita berada  di dalam kawasan iklim sederhana di dalam lingkungan garis khattul istiwa yang iklim sepanjang tahun adalah tidak mengalami perubahan yang ketara. Cuaca negera ini adalah sederhana dengan  suasana panas dan hujan. Hidupan dan tumbuhan tidak mengalami perubahan mendadak, misalnya dari panas kepada sejuk melampau. Dengan panas dan hujan yang cukup sepanjang tahun bumi negara ini adalah subur dengan  tumbuh-tumbuhan dan hidup-hidupan. Permukaan buminya dilitupi tumbuh-tumbuhan yang menghijau yang menyedapkan mata memandang dan hidup-hidupan padanya, termasuk manusianya melempah dengan berbagai-bagai rezeki sebagai sumber kehidupan. Dalam muka buminya mengandungi berbagai logam yang berharga dari bijih besi, timah, emas, perak dan batu batan yang berharga. Daratan bagi negara kita disempurnakan dengan  laut yang mengelilingi perpantaian  wilayah Semenanjung,  juga perpantaian Sabah dan Sarawak. Di dasar laut dan daratan di wilayah-wilayah berkenaan mengandungi sumber gas dan petroleum, manakala di dalam lautnya mengandungi hidupan ikan dan berbagai hidupan marin yang kaya dan menjadi sumber rezeki kepada penduduknya.

Kekayaan  negara Malaysia, termasuk di Kepulauan Melayu telah terkenal sejak zaman bahari. Tumbuhan asal yang dikenali dengan rempah-rempah dan hasil hutan yang lain menarik kedatangan peringkat awal  mereka yang dari luar – dari barat. Ptolemy melakar kawasan di  timur. Pada zaman awal Islam datang seperti Pelayar Abdul Majid, Ibn Battutah dan kemudian Magellan yang terbunuh di Kepulauan Sibu.

Penjajahan berlaku juga kerana  mau menguasai  sumber-sumber yang ada di kawasan Kepulauan Melayu. Bermula dari kehadiran Portugis di Melaka, diikuti British di Malaya, Belanda di Indonesia, Spanyol dan Amerika di Filipina  dan Perancis di Kemboja dan Lous.

Hingga kini kawasan tanah  yang subur dengan tumbuh-tumbuhan yang dikenali dengan hutan hujan tropika yang lebat dan menghijau tetap menjadi tarikan. Demikian dengan kepulauan yang beribu jumlahnya dengan perpantaian yang indah, bersih dan menarik dan kaya dengan  terumbu karang menjadi khazanah yang menarik mereka yang dari luar datang melancong ke kawasan ini.

Selain dari  iklim, muka bumi dan laut yang menarik, manusia yang berada di kawasan ini juga menarik kehadiran dari luar. Mereka antaranya tertarik dengan budaya penduduk di kawasan ini. Keaslian budaya penduduk di kepulauan di Indonesia yang dicerminkan oleh artifek-artifek yang ada  di Sumatera, Brobudur dan prambanan di Kepulauan Jawa. Berbagai etnik yang ada seperti di Sabah dan Sarawak, di Kemboja, Thailand dan berbagai tempat  adalah menjadi tarikan pendatang-pendatang dari luar.

Kesan kedatangan dari luar sejak dari abad ke 15 dan berterusan hingga berlaku penempatan  mereka yang dari luar dan setengah menguasai kawasan dan mengatasi etnik asal seperti yang berlaku di Australia, New Zealand dan berlaku pergerakan penduduk menjadikan lembangan pasifik adalah kawasan kacukan budaya yang mempengaruhi budaya setempat.

Di kawasan ini terdapat warisan pengaruh British seperti di Malaysia dan Burma, warisan pengaruh Belanda di Indonesia, warisan pengaruh Perancis seperti di Kemboja, warisan pengaruh Portugis seperti di Macau dan Timur Timor, warisan pengaruh Spanyol seperti di Filipina dan mutakhir warisan pengaruh Amerika seperti di Filipina dan Vietnam. Lantaran itu berlaku kacukan budaya di kawasan-kawasan tersebut yang menambahkan warna budaya  penduduk asal. Pengaruh ini ketara pada pembahagian wilayah di kawqasan tersebut.

Walaupun kesan darinya dilihat sebagai pengaruh bekas-bekas penjajah, tetapi dari satu segi memperkayakan budaya dan mempelbagaikan sudut pandangan dan menjadi dinamika  pergerakan  hasil dari gerakan pembebasan dan usaha bagi memajukan kawasan masing-masing.

Kalau kita lihat kedudukan Malaysia adalah berada pada tengah-tengah  pinggiran timur lembangan Pasifik. Dengan kedudukannya yang sentral, Malaysia wajar  muncul dengan kemajuan yang dapat menarik  kemajuan dari bahagian utara yang  kemajuan diiihat pada Jepun dan Korea, pada bahagian selatan dilihat kepada Australia dan New Zealand. Kini  dilihat ketidak seimbang masih berlaku, bahawa kita masih belum maju. Kita masih ketinggalan bersama dengan jiran-jiran  setempat.

Malaysia boleh maju mengatasi rakan-rakan setempat dan menjadi paksi kemajuan dengan kekayaan dan kemampuan yang seharusnya dieksploitasi dari kekayaan yang ada padanya.

Sekian.

September 25, 2020

 

KITA  BERPOTENSI

(Fikrah Bangi:  642),

BBB:  07 Safar 1442H. = 25 September 2020M. (Juma`at).

 

Bangsa yang besar ialah bangsa yang menghargai sejarahnya dan bermegah dengan kejayaan yang dicapai dan menjadikannya sebagai aspirasi dan inspirasi bagi mencapai kegemilangan pada masa hadapan.

Di dalam dunia yang kini lebih bersifat global ini, kita mempunyai sejarah gemilang yang bukan saja untuk dikenang, tetapi sebagai bukti dan penerusan kejayaan pada masa hadapan.

Dari segi lokasi negara dan wilayah kita berkedudukan strategik di dalam peta dunia dan peta budaya dan berpotensi mencapai kejayaan, jika tidak mengatasi, tetapi mampu maju dan berdaya saing dengan negara dan wilayah-wilayah yang lain. Lokasi negara kita  hampir bersamaan dengan lembangan lokasi yang mencapai kejayaan  fikiran, kepercayaan, tamadun dan peradaban. Lembangan Mediteranium  adalah lembangan yang strategik dari segi kedudukan dan iklim yang menyuburkan. Di kelilingan lembangan ini dan sekitarnya telah melahirkan perutusan-perutusan yang membicarakan tentang hakikat-hakikat dan kebenaran yang inti kebenaran masih terus menjadi anutan dan terus diungkap dan diucap oleh hati dan jiwa  dan penganut-penganut bukan saja di kawasan perlembangan, tetapi menggemai di seluruh pelusuk dunia, walaupun pada bahagian-bahagian tertentu gemanya tidak sekukuh dahulu.

Dari segi nilai budaya dan kemajuan di sekeliling lembangan ini tumbuhnya kemajuan yang membudayakan tamadun dan peradaban. Dari sini lahirnya tamadun Greek,  Mesir, Rom, Parsi, Baghdad, Itali,  Turki, Perancis,  German, Spanyol, Portugis, Belanda dan England. Kemajuan yang dicapai mereka bukan setakat di kawasan perlembangan, tetapi melempah keluar  melalui antaranya perdagangan dan penjajahan. Kesan dari kemajuan  mereka sebenarnya masih berterusan  hingga kini.

Negara kita berada di perlembangan yang lebih besar dan luas, iaitu Perlembangan Pasifik. Jika perlembangan Mediteranium menyentuh tiga benua, iaitu Asia, Eropah dan Afrika, maka Perlembangan Pasifik juga menyentuh tiga benua, iaitu Asia, Amerika dan Australia. Walaupun lembangan ini tidak sekompak dan sehebat lembangan Mediteranium, tetapi lembangan  ini mempunyai sejarah dan budaya cemerlang yang pernah dicapai seperti India, China,  dan antara keduanya lahir budaya dan peradaban unggul seperti  Sriwijaya, Langkasuka, Majapahit, Burma, Thailand, Cambodia, Melaka dan kemajuan yang lebih kemudian seperti di Jepun, Korea, China,  Australia, New Zealand dan Amerika. Dilihat dari segi geografi kedudukan negara kita Malaysia lebih strategik. Semenanjung Malaysia adalah merupakan  hujung ke selatan Benua Asia. Ia merupakan sebagai jantung Asia yang menghulur dan menurun ke selatan, di dada Asia. Semenanjung pernah dikenali dan realiti kini adalah Semenanjung Emas yang merupakan pengawal lalulintas pergerakan dari India dan Laut Atlantik ke selatan dan timur yang perlu melalui Selat Melaka. Kini Dengan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Malaysia berada pada Lembangan dan mengawal  Laut Selatan Asia dan Pasifik. Lembangan laut selatan Asia ini mengawal pergerakan di pesisir Benua Timur Asia. Satu kawasan yang sebok dan maju.

Kawasan pesisir Timur Asia ini adalah kawasan yang kaya dengan tradisi budaya timur yang memegang nilai etika  dan budaya yang tinggi dan mempunyai bahasa yang lembut dan berpakaian berciri tempatan yang sesuai dengan iklim setempat.

Walau bagaimana  lokasi-lokasi tersendiri dari lembangan berkenaan, tidak lagi terbatas dengan kawasan berkenaan, tetapi pengaruh, terutama yang dianggap lebih maju melempah pengaruh ke kawasan-kawasan lain terutama melalui penjajahan yang bukan saja dari segi fizikal negara, tetapi dari segi budaya, nilai kehidupan, pengaruh ekonomi dan teknologi yang pada  abad  18 –  20 mereka dilihat begitu unggul dan mendominasi gaya kehidupan moden.

Perubahan berlaku mulai dari awal abad ke 21, kemajuan bukan lagi  dari Lembangan Mediteranium yang lebih dikenali dengan Barat dan dengan berlakunya kemerdekaan negara-negara yang dulu terjajah, kini bangkit sama menggapai kemajuan. Ketika negara-negara Barat yang dulu begitu maju kini mulai hilang gah seperti England, Spanyol, Itali, Peramcis dan lain-lain, negera-negara dari perlembangan Pasifik bangkit mengatasi mereka. Negara-negara berkenaan ialah seperi Jepun, Korea dan China.

Negara kita yang berada pada perlembangan Pasifik yang sama mempunyai potensi  untuk bangkita. Banyak keistimewaan yang ada pada kita yang tidak disedari, sebenarnya dapat digembling dan kita layak menjadi satu daripada negara maju, jika tidak pada peringkat dunia, tetapi satu dari yang berada di Lembangan Pasifik.

Sekian.

September 24, 2020

 

NEGARA  MAKMUR RAKYAT SEJAHTERA

(Fikrah Bangi:  641),

BBB:  06  Safar 1442H. = 24 September 2020M. (Khamis).

 

Negara makmur dikenali juga sebagai `Baldah Tayyibah`, negara baik dan maju yang rakyat di dalamnya sejahtera-bahagia. Konsep makmur mencerminkan dua kosep, iaitu dari segi lahiri dan nilai.

Istilah makmur adalah mencerminkan kemajuan dari segi lahiri dan istilah makmur itu sendiri mencerminkan maksud, pembinaan, `umran`,  dan `imarah yang antaranya kelihatan maju dari segi fizikal, seperti terbinanya  bangunan yang teratur yang merujuk kepada perbandaran yang di dalamnya sempurna dari segi infrastruktur seperti jalanraya yang memudahkan perhubungan, saliran yang teratur dan terkawal dari segi pembersihan.

 Di dalam negara makmur terdapat di dalamnya kemudahan dari segi keperluan kehidupan makan minum seperti terdapat kedai, pasar dan berbagai perkhidmatan yang memudahkan kehidupan. Negara makmur adalah mencerminkan tanahnya subur dengan tumbuh-tumbuhan yang sebahagian dari penduduknya bergantung pada sumber pertanian yang dihasilkan dengan kaedah-kaedah moden, manakala sebahagian adalah melibatkan diri dalam  menghasilkan barang dagangan, lantaran itu sebahagian daripada penduduk melibatkan diri dalam perusahaan dan sebahagian yang lain melibatkan diri di dalam perniagaan dan perlhimatan sokongan. Negara makmur negara yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada warga negaranya hingga tidak wujud pengangguran yang ketara.  Mereka juga mempunyai perkhidmatan kesihatan yang baik. Dengan kesempurnaan dari segi keperluan,maka dapat dikatakan rakyat berada di dalam kesejahteraan. Cukup dari keperluan lahiri, aman dan tenteram dan terpelihara dari ancaman yang menggugat ketenteraman.

Tetapi kemakmuran yang digambarkan  tidak terhasil tanpa wujudnya faktor yang bersifat nilai dan maknawi yang ada pada manusianya. Bahkan faktor manusia ini adalah paling utama, tanpa manusia yang berkualiti, maka kemakmuran tidak tercapai. Negara yang kaya dengan bahan tidak akan makmur, tanpa kualiti manusianya, sebaliknya, walaupun sebuah negara itu, kurang dari hasil mahsul, tetapi kualiti manusianya adalah baik, ia dapat meningkatkan kemakmuran.

Faktor nilai yang seharusnya ada pada manusia atau warga negara ialah wujudsnya faktor yang meningkatkan peradaban bagi negara berkenaan. Antara faktor yang paling penting negara berkenaan mementingkan keilmuan  yang dibekalkan kepada warga negaranya. Ilmu dapat menyempurnakan kehidupan. Ilmu dapat membasmikan kejahilan yang menjadi musuh utama bagi manusia.

Negara makmur dan maju menyediakan keperluan pendidikan kepada warga negaranya dari peringkat pra-sekolah kepada persekolahan hingga kepada pengajian tinggi dan universiti. Warga negara dibekalkan dengan pelajaran dan mementingkan kualiti di dalam semua bidang. Dengan kualiti yang tinggi dan masing-masing teliti dan berkesungguhan, maka terhasillah produk yang baik. Budaya yang  baik ini hendaklah kekal menjadi amalan dan ianya menjadi identiti dan jati diri bagi warga negara.

Aspek maknawi yang seharusnya menyertai nilai keilmuan dan pendidikan ini ialah adab dan akhlak yang baik yang ditanam menjadi nilai kehidupan bersama dengan pendidikan keilmuan. Adab dan juga akhlak ini adalah semua nilai yang baik  yang menyerikan kehidupan individu dan masyarakat. Tidak ada ertinya kemajuan, bahkan tidak akan maju jika wujud di dalam masyarakat manusia yang jahat, penipu, pembohong dan pelaku rasuah. Lantaran itu pendidikan peradaban hendaklah dilakukan serentak bersama dengan pendidikan keilmuan.

Dengan adanya warga negara berpendidikan dan beradab, maka wujudlah masyarakat yang berilmu dan beradab, maka lahirlah juga di dalam mesyarakat yang sedemikian pemimpin yang berilmu dan beradab. Sesungguhnya faktor kepimpinan adalah faktor yang penting di dalam masyarakat berilmu di dalam negara yang maju.

Dari masyarakat makmur, rakyat berilmu dan beradab,  dapat melahirkan kepimpinan yang berkualiti. Kepimpinan yang dipilih secara teratur dari manusia terbaik di dalam masyarakat berkenaan  dapat memandu masyarakat ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Negara tidak makmur dan maju jika kepimpinan bukan dari mereka yang berkelayakan.

Negara makmur dan rakyat sejahtera dengan kepimpinan berkualiti.

 

Sekian.