September 24, 2020

 

NEGARA  MAKMUR RAKYAT SEJAHTERA

(Fikrah Bangi:  641),

BBB:  06  Safar 1442H. = 24 September 2020M. (Khamis).

 

Negara makmur dikenali juga sebagai `Baldah Tayyibah`, negara baik dan maju yang rakyat di dalamnya sejahtera-bahagia. Konsep makmur mencerminkan dua kosep, iaitu dari segi lahiri dan nilai.

Istilah makmur adalah mencerminkan kemajuan dari segi lahiri dan istilah makmur itu sendiri mencerminkan maksud, pembinaan, `umran`,  dan `imarah yang antaranya kelihatan maju dari segi fizikal, seperti terbinanya  bangunan yang teratur yang merujuk kepada perbandaran yang di dalamnya sempurna dari segi infrastruktur seperti jalanraya yang memudahkan perhubungan, saliran yang teratur dan terkawal dari segi pembersihan.

 Di dalam negara makmur terdapat di dalamnya kemudahan dari segi keperluan kehidupan makan minum seperti terdapat kedai, pasar dan berbagai perkhidmatan yang memudahkan kehidupan. Negara makmur adalah mencerminkan tanahnya subur dengan tumbuh-tumbuhan yang sebahagian dari penduduknya bergantung pada sumber pertanian yang dihasilkan dengan kaedah-kaedah moden, manakala sebahagian adalah melibatkan diri dalam  menghasilkan barang dagangan, lantaran itu sebahagian daripada penduduk melibatkan diri dalam perusahaan dan sebahagian yang lain melibatkan diri di dalam perniagaan dan perlhimatan sokongan. Negara makmur negara yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada warga negaranya hingga tidak wujud pengangguran yang ketara.  Mereka juga mempunyai perkhidmatan kesihatan yang baik. Dengan kesempurnaan dari segi keperluan,maka dapat dikatakan rakyat berada di dalam kesejahteraan. Cukup dari keperluan lahiri, aman dan tenteram dan terpelihara dari ancaman yang menggugat ketenteraman.

Tetapi kemakmuran yang digambarkan  tidak terhasil tanpa wujudnya faktor yang bersifat nilai dan maknawi yang ada pada manusianya. Bahkan faktor manusia ini adalah paling utama, tanpa manusia yang berkualiti, maka kemakmuran tidak tercapai. Negara yang kaya dengan bahan tidak akan makmur, tanpa kualiti manusianya, sebaliknya, walaupun sebuah negara itu, kurang dari hasil mahsul, tetapi kualiti manusianya adalah baik, ia dapat meningkatkan kemakmuran.

Faktor nilai yang seharusnya ada pada manusia atau warga negara ialah wujudsnya faktor yang meningkatkan peradaban bagi negara berkenaan. Antara faktor yang paling penting negara berkenaan mementingkan keilmuan  yang dibekalkan kepada warga negaranya. Ilmu dapat menyempurnakan kehidupan. Ilmu dapat membasmikan kejahilan yang menjadi musuh utama bagi manusia.

Negara makmur dan maju menyediakan keperluan pendidikan kepada warga negaranya dari peringkat pra-sekolah kepada persekolahan hingga kepada pengajian tinggi dan universiti. Warga negara dibekalkan dengan pelajaran dan mementingkan kualiti di dalam semua bidang. Dengan kualiti yang tinggi dan masing-masing teliti dan berkesungguhan, maka terhasillah produk yang baik. Budaya yang  baik ini hendaklah kekal menjadi amalan dan ianya menjadi identiti dan jati diri bagi warga negara.

Aspek maknawi yang seharusnya menyertai nilai keilmuan dan pendidikan ini ialah adab dan akhlak yang baik yang ditanam menjadi nilai kehidupan bersama dengan pendidikan keilmuan. Adab dan juga akhlak ini adalah semua nilai yang baik  yang menyerikan kehidupan individu dan masyarakat. Tidak ada ertinya kemajuan, bahkan tidak akan maju jika wujud di dalam masyarakat manusia yang jahat, penipu, pembohong dan pelaku rasuah. Lantaran itu pendidikan peradaban hendaklah dilakukan serentak bersama dengan pendidikan keilmuan.

Dengan adanya warga negara berpendidikan dan beradab, maka wujudlah masyarakat yang berilmu dan beradab, maka lahirlah juga di dalam mesyarakat yang sedemikian pemimpin yang berilmu dan beradab. Sesungguhnya faktor kepimpinan adalah faktor yang penting di dalam masyarakat berilmu di dalam negara yang maju.

Dari masyarakat makmur, rakyat berilmu dan beradab,  dapat melahirkan kepimpinan yang berkualiti. Kepimpinan yang dipilih secara teratur dari manusia terbaik di dalam masyarakat berkenaan  dapat memandu masyarakat ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Negara tidak makmur dan maju jika kepimpinan bukan dari mereka yang berkelayakan.

Negara makmur dan rakyat sejahtera dengan kepimpinan berkualiti.

 

Sekian.

No comments:

Post a Comment