September 28, 2020

 

KEKUKUHAN  EKONOMI:  DI MANA KITA ?

(Fikrah Bangi:  643),

BBB:  10 Safar 1442H. = 28 September 2020M. (Isnin).

Kekuatan sesebuah negara, antaranya oleh kerana  kemajuan ekonominya. Banyak faktor yang menjadikan sesebuah negara kukuh dari segi ekonominya, antaranya kerana kesuburan muka buminya yang dapat mengeluarkan hasil-hasil yang dapat memakmurkan negara yang menghasilkannya. Misalnya New Zealand dan Australia mempunyai tanah  yang subur bagi pertanian dan penternakan, maka negara itu mengeluarkan buah-buahan dan ternakan yang diexport keluar negara, tetapi negara kita lebih subur tanahnya yang dapat mengeluarkan buah-buah, sebagaimana dihasilkan oleh kedua-dua negara berkenaan. Tetapi tidak berkemampuan.  Negara kita mengeluarkan kelapa sawit, tetapi tidak mampu mengolahnya sendiri kepada berbagai berbagai jenis keluaran dan sentiasa berdepan dengan ancaman dari luar – Barat dan Amerika menyebabkan harganya tidak stabil. Begitu juga dengan hasil getah yang bergantung kepada exsport  dan  tidak mampu mengolahnya kepada hasil-hasil tempatan yang berbagai-bagai. Negara Jepun maju dengan hasil industri seperti mengeluarkan kereta dan berbagai bahan teknologi, tetapi negara kita yang mengeluarkan bijih besi dan timah, tidak mampu menghasilkan kenderaan sebaik Jepun.

Negara  kita mengeluarkan gas dan petrol, walaupun tidak sebanyak negara Arab Saudi dan Iran, tetapi kita tidak meningkat  maju dari segi ekonomi dengan hasil yang didapati dan kita tidak bangkit sebagai negara yang menghasilkan bahan-bahan teknologi  sebagaimana yang dihasilkan oleh negara Korea Selatan, di samping Jepun dan German.

Negara kita sebagaimana telah diperkatakan berada di lokasi strategik di tengah lembangan pinggir barat Pasifik, tidak terdedah dengan ancaman unsur alam yang merosakkan, terlindung dari ribut taufan, angin kencang seperti yang dialami Jepun dan Filipina saban tahun dan banyak mengalami kerosakan dan negara kita juga tidak berada pada jalur lingkaran gunung berapi seperti yang dialami oleh Indonesia, Jepun dan Filipina, lantaran ini negara kita tidak mengalami gempa dan letusan gunung berapi saeperti yang dialami oleh Indonesia, Filipina dan Jepun, tetapi kita tidak semaju misalnya Jepun yang sering mengalami bencana alam.

Kita mempunyai aset alam semula jadi yang jarang dipunyai oleh negara-negara lain. Kita yang berada di iklim tropika mempunyai hutan  hujan tropika, kaya dengan hutan-hutan yang tebal menghijau, mempunyai gunung-gunung yang menarik seperti Kinabalu, Santubong dan Tahan.Mempunyai gua-gua yang menarik seperti  Gua Mulo di Sarawak dan  gua-gua di Perlis. Mempunyai sungai-sungai yang indah dan tenang seperti Sungai Sarawak, Perak dan Pahang. Mempunyai pulau-pulau yang menarik seperti Langkawi,  Kapas, Perhentian dan  pulau berdepan Pantai Mersing.  Mempunyai pantai=pantai yang menarik di sepanjang negeri Terengganu, Basrah, Pulau Pinang, Mersing, Sabah dan sebagainya, tetapi kurang promosi bagi tarikan pengunjung dan pelancung.

Selain daripada itu negara kita mempunyai etnik dan budaya yang menarik. Di Sabah dan Sarawak banyak etnik yang terdiri dari Dusun, Melanau,  orang Hulu,  Bajau, Melayu, Sulu, Kedayan, Kelabit, Murut dan sebagainya. Mereka mempunyai bahasa , adat dan pakaian yang berbagai yang dapat menarik  dari pelancungan. Walau kita mempunyai bidang pelancungan dan agak aktif, tetapi sumber pelancungan dan kajian yang dilakukan belum sempurna dan belum dapat diexploitasi sebaik mungkin sebagaimana misalnya Bali di Indonesia menjadi daya pelancungan di seluruh dunia. Promosi  yang agak menonjol adalah terhadap Pulau Langkawi,  tetapi potensi tempat-tempat lain belum diangkat ke tahap sewajarnya.

Kita mempunyai potensi untuk maju dari segi ekonomi. Bidang-bidang yang berpotensi tidak kurang berbanding dengan negara-negara lain, tetapi usaha dan kemampuan kita masih kurang. Misalnya kita tidak mampu menghasilkan bidang pertanian secara maksimum dengan menggunakan teknologi dan kepakaran yang tinggi, sebab itu walaupun negara kita subur, tetapi kita tidak berdaya mengangkatnya sebagai sumber ekonomi yang penting, walaupun pengangguran masih tinggi, mereka tidak mampu melibatkan diri ke bidang ini. Kita masih jauh dalam bidang penghasilan  teknologi tinggi dan keperluan negara masih bergantung  pada negara luar.

Segala apa keperluan yang menjadi negara luar maju ada pada kita, tetapi kita tidak semaju mereka. Kita masih ketinggalan. 

Apakah yang menyebabkan kita masih tidak berdaya maju.

Ia adalah diakibatkan oleh faktor manusia  !

 Sekian.

No comments:

Post a Comment