September 27, 2020

 

SUMBER  ALAM  STRATEGIK  KEDUDUKAN

(Fikrah Bangi:  643),

BBB:  08 Safar 1442H. = 26 September2020M. (Sabtu).

Antara kurniaan Allah terhadap negara kita Malaysia yang menjadi pilihan nenek moyang kita, bahawa negara kita berada  di dalam kawasan iklim sederhana di dalam lingkungan garis khattul istiwa yang iklim sepanjang tahun adalah tidak mengalami perubahan yang ketara. Cuaca negera ini adalah sederhana dengan  suasana panas dan hujan. Hidupan dan tumbuhan tidak mengalami perubahan mendadak, misalnya dari panas kepada sejuk melampau. Dengan panas dan hujan yang cukup sepanjang tahun bumi negara ini adalah subur dengan  tumbuh-tumbuhan dan hidup-hidupan. Permukaan buminya dilitupi tumbuh-tumbuhan yang menghijau yang menyedapkan mata memandang dan hidup-hidupan padanya, termasuk manusianya melempah dengan berbagai-bagai rezeki sebagai sumber kehidupan. Dalam muka buminya mengandungi berbagai logam yang berharga dari bijih besi, timah, emas, perak dan batu batan yang berharga. Daratan bagi negara kita disempurnakan dengan  laut yang mengelilingi perpantaian  wilayah Semenanjung,  juga perpantaian Sabah dan Sarawak. Di dasar laut dan daratan di wilayah-wilayah berkenaan mengandungi sumber gas dan petroleum, manakala di dalam lautnya mengandungi hidupan ikan dan berbagai hidupan marin yang kaya dan menjadi sumber rezeki kepada penduduknya.

Kekayaan  negara Malaysia, termasuk di Kepulauan Melayu telah terkenal sejak zaman bahari. Tumbuhan asal yang dikenali dengan rempah-rempah dan hasil hutan yang lain menarik kedatangan peringkat awal  mereka yang dari luar – dari barat. Ptolemy melakar kawasan di  timur. Pada zaman awal Islam datang seperti Pelayar Abdul Majid, Ibn Battutah dan kemudian Magellan yang terbunuh di Kepulauan Sibu.

Penjajahan berlaku juga kerana  mau menguasai  sumber-sumber yang ada di kawasan Kepulauan Melayu. Bermula dari kehadiran Portugis di Melaka, diikuti British di Malaya, Belanda di Indonesia, Spanyol dan Amerika di Filipina  dan Perancis di Kemboja dan Lous.

Hingga kini kawasan tanah  yang subur dengan tumbuh-tumbuhan yang dikenali dengan hutan hujan tropika yang lebat dan menghijau tetap menjadi tarikan. Demikian dengan kepulauan yang beribu jumlahnya dengan perpantaian yang indah, bersih dan menarik dan kaya dengan  terumbu karang menjadi khazanah yang menarik mereka yang dari luar datang melancong ke kawasan ini.

Selain dari  iklim, muka bumi dan laut yang menarik, manusia yang berada di kawasan ini juga menarik kehadiran dari luar. Mereka antaranya tertarik dengan budaya penduduk di kawasan ini. Keaslian budaya penduduk di kepulauan di Indonesia yang dicerminkan oleh artifek-artifek yang ada  di Sumatera, Brobudur dan prambanan di Kepulauan Jawa. Berbagai etnik yang ada seperti di Sabah dan Sarawak, di Kemboja, Thailand dan berbagai tempat  adalah menjadi tarikan pendatang-pendatang dari luar.

Kesan kedatangan dari luar sejak dari abad ke 15 dan berterusan hingga berlaku penempatan  mereka yang dari luar dan setengah menguasai kawasan dan mengatasi etnik asal seperti yang berlaku di Australia, New Zealand dan berlaku pergerakan penduduk menjadikan lembangan pasifik adalah kawasan kacukan budaya yang mempengaruhi budaya setempat.

Di kawasan ini terdapat warisan pengaruh British seperti di Malaysia dan Burma, warisan pengaruh Belanda di Indonesia, warisan pengaruh Perancis seperti di Kemboja, warisan pengaruh Portugis seperti di Macau dan Timur Timor, warisan pengaruh Spanyol seperti di Filipina dan mutakhir warisan pengaruh Amerika seperti di Filipina dan Vietnam. Lantaran itu berlaku kacukan budaya di kawasan-kawasan tersebut yang menambahkan warna budaya  penduduk asal. Pengaruh ini ketara pada pembahagian wilayah di kawqasan tersebut.

Walaupun kesan darinya dilihat sebagai pengaruh bekas-bekas penjajah, tetapi dari satu segi memperkayakan budaya dan mempelbagaikan sudut pandangan dan menjadi dinamika  pergerakan  hasil dari gerakan pembebasan dan usaha bagi memajukan kawasan masing-masing.

Kalau kita lihat kedudukan Malaysia adalah berada pada tengah-tengah  pinggiran timur lembangan Pasifik. Dengan kedudukannya yang sentral, Malaysia wajar  muncul dengan kemajuan yang dapat menarik  kemajuan dari bahagian utara yang  kemajuan diiihat pada Jepun dan Korea, pada bahagian selatan dilihat kepada Australia dan New Zealand. Kini  dilihat ketidak seimbang masih berlaku, bahawa kita masih belum maju. Kita masih ketinggalan bersama dengan jiran-jiran  setempat.

Malaysia boleh maju mengatasi rakan-rakan setempat dan menjadi paksi kemajuan dengan kekayaan dan kemampuan yang seharusnya dieksploitasi dari kekayaan yang ada padanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment