September 20, 2020

 

KEMANUSIAAN DAN KELUHURAN NILAI

(Fikrah Bangi: 637),

BBB: 02 Safar 1442H. = 29 September 2020M. (Ahad).

 

Di dalam kehidupan manusia bukan saja berdepan dengan keperluan fizikal bagi meneruskan kehidupan kepada yang lebih baik, tetapi dalam masa yang sama, walaupun memerlukan masa bagi kematangan, manusia juga berdepan dengan pengalaman yang bersifat nilai  yang memantapkan mereka.

Di dalam menghadapi kehidupan bagi memenuhi keperluan yang bersifat fizikal, sebagaimana telah dibicarakan, manusia menghadapi nilai seperti timbulnya kasih sayang terhadap keluarga, keluhuran pengorbanan bagi memenuhi keperluan mereka,  timbulnya rasa simpati yang tinggi dan mau menyenangfkan keluarga bila antara keluarga ditimpa sakit. Timbul rasa risau dan bimbang terhadap nasib mereka dan timbulnya rasa dukacita yang mendalam, khususnya bila berlaku kematian.

Lahir rasa kemanusiaan hasil perhubungan dengan jiran-jiran, misalnya timbul rasa hormat menghormati, berlaku tolong menolong dan bantu membantu di kalangan mereka, bahkan timbul  sifat gotong royong di kalangan mereka. Timbul nilai murni seperti membantu yang susah dan sakit yang menghasilkan nilai kejiranan yang murni.

Di dalam kehidupan di dalam keluarga dan masyarakat terbina nilai murni seperti perlunya di dalam kehidupan kepada bercakap benar, jujur di dalam  kira bicara, ikhlas di dalam melakukan pekerjaan dan tidak menipu.

Nilai-nilai murni lebih dipertingkatkan dengan ajaran keagamaan yang dianuti.  Misalnya kepercayaan akan Kewujudan Kekuasaan Tertinggi yang Mengetahui kesegalaan yang menggalakkan kebaikan dan melarang dari segi kejahatan. Tiap amalan yang dilakukan manusia akan ada balasan. Sebab itu manusia perlu hidup secara betul, tidak menipu, tidak mencuri dan tidak rasuah. Jila semua nilai yang baik dipatuhi dan meyakini bahawa apa jua amalan yang dilakukan ada balasan, maka kehidupan teratur dan aman.

Walau bagaimana di dalam kehidupan, walau disedari pentingnya nilai-bilai yang baik, tetapi di dalam kehidupan manusia, diri antara mereka dipengaruhi nilai-nilai yang buruk. Berlaku pendustaan, penipuan, tidak jujur, mencuri, merompak, pembunuhan bahkan rasuah dan berbagai-bagai keburukan lagi.

Bagi mempertahankan nilai-nilai murni dan nilai kemanusiaan yang unggul dan mempertahankan keamanan berdasarkan keluhuran nilai tertinggi dan dapatan-dapatan murni dalam masayarakat, maka pimpinan dari kalangan mereka mewujudkan aturan-aturan, bahkan undang-undang bagi menjamin ketenteraman kehidupan kemasyarakatan. Aturan aturan dan undang-undang wujud, baik secara  tidak langsung dan langsung. Secara tidak langsung, misalnya di dalam kehidupan keluarga anak-anak dilatih menghormati keluarga dan patuh pada suruhan. Di dalam kehidupan kejiranan tiap seorang menjaga hak-hak kejiranan, misalnya tidak  melakukan apa yang  menyusahkan jiran. Di dalam kehidupan bermasyarakat, timbul sifat tolong menolong membantu mereka yang susah dan berbagai-bagai nilai murni yang lain. Namun ada di kalangan manusia yang degil, tidak berakhlak, menipu, mencuri, merompak, mengamalkan rasuah dan berbagai-bagai amalan buruk yang lain, lantaran itu perlu diwujudkan undang-undang yang melibatkan berbagai-bagai peraturan di dalam kehidupan.

Undang-undang ini dilaksanakan secara kawalan kesedaran nilai, ada yang terpaksa menggunakan pasukan polis dan keselematan. Bagi mengawal keselematan, misalnya persempadanan negara perlu kepada kawalan tentera.

Bagi pengawalan segala dan berlaku amalan peraturan dan usaha mewujudkan ketenteraman dan keharmonian pada peringkat puncak perlu ada pemimpin pada peringkat negara dan pasukan yang dapat mengendalikan pemerintahan negara secara aman.  Lebih dari itu memajukan negara dan memakmurkan kehidupan masyarakat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment