August 25, 2013

Ingin Mengetahui Di Samping Kelemahan Diri: Kita Selamanya Pencari

-->
BBB, 17 Syawal 1434 = 24 Ogos 2013 (Sabtu):

Antara ciri Kesempurnaan ialah Sedia dan Kekal.  Kehidupan diri kalau dapat, dipanjang umur – tetapi sebenarnya ada had dari segi umur, kalau mempunyai kediaman yang selesa, kalau boleh biar kekal, tidak dilewati oleh rosak binasa, tetapi hakikatnya akan binasa. Antara sifat Yang Maha Sempurna lagi adalah, Berkuasa, Kaya dan Indah. Jika mendapat kuasa memerintah, kalau dapat mau meneruskan kekuasaan, tetapi pada hakikat satu masa akan tiba pada pengakhiran.
Yang dikurnia keindahan baik rupa paras atau suasana kehidupan kalau boleh mau dikekalkan keindahan terus cantik, tetapi kecantikan akan menghilang dengan ketuaan atau berlalu tempoh masa. Manusia juga ingin kaya, lantaran mereka berusaha berterusan menghimpunkan kekayaan, ada yang berjaya kaya secara nisbi, tetapi tak kurang pula yang kaya nisbi jadi miskin papa.

Demikianlah  Sedia, Kekal, Berkuasa, Indah, Kaya dan banyak lagi sifat-sifat kesempurnaan yang lain seperti Kemahuan (Iradah), Kasih, Rahmat, Quddus, Al-Salam dan berbagai-bagai adalah sifat Yang Maha Sempurna, tetapi bagi manusia dan alam adalah bersifat kontras daripada sifat-sifat Sempurna itu. Tetapi ironi ke bawah bayangan sifat-sifat sempurna inilah yang dirindui dan diingini manusia, walaupun diketahui bahawa Kesempurnaan itu sifat Yang Maha Sempurna. Namun kemahuan tidak menjadi kesalahan, sekurang-kurangnya menjadi motivasi bagi menusia berusaha bergerak secara kualitatif bagi menyempurnakan diri dalam ketidaksempurnaan.

Pokok utama bagi insan yang mempunyai minda, hati nurani, inderawi dan rohani ialah wujudnya ingin tahu dicetus atau didesak oleh ciri-ciri yang ada pada insan tersebut. Ruang lingkup yang diingintahu ini amat luas seluas wujud. Tetapi keilmuan tahu terhadap wujud ini hanya Allah Subhanahu wa Ta`ala saja yang Maha Mengetahui; Firmannya bermaksud:

``Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya, melainkan Dialah sahaja. Dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan dilaut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia Mengetahui, dan tidak (gugur) sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak (gugur) yang basah dan tidak yang kering, melainkan (semuanya) ada (tertulis) di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. (Al-An`am: 59).

Bayangkan apa yang kita dapat tahu dan ingin tahu terhadap wujud hanya melalui akal, hatinurani, ruh dan inderawi, iaitu peralatan yang amat terbatas kemampuan dari segi mempersepsi terhadap wujud. Wujud yang mampu dipersepsi terhadap alam benda dan terhadap sesuatu yang dapat dikonsepsi. Bayangkan begitu banyak lagi kewujudan di luar dari peralatan yang dapat ditanggapi diri. Bayangkan terhadap yang ghaib, keakhiratan, bahkan terhadap cakerawala yang dapat dilihat secara terbatas tidak mampu kita ketahui, apa lagi di luar batas indera. Bayangkan kejahilan kita sebelum ini dari segi komunikasi. Kalau dulu maklumat yang hendak disampaikan terpaksa dihantar secara pergi sendiri. Perkembangan penyampaian maklumat begitu pesat kepada menggunakan surat, telefon, fax, radio, tv, internet, facebook dan berbagai alat canggih lagi. Ini adalah ruanglingkup yang mampu dikuasai manusia. Tentu banyak lagi kaedah-kaedah canggih yang bakal diterokai. Bayangkan bidang-bidang yang lain yang masih belum diterokai. Tetapi semuanya di dalam ilmu Allah. Dia mengetahui dan berada di dalam maklumatNya setiap sesuatu dari mula ke akhir. Catatan di Lauh Mahfuz lebih dari rakaman maklumat yang terfikir oleh kita.

Inilah yang mendepani insan sebagai makhluk yang ingin mendapat ilmu dan maklumat bagi memenuhi tuntutan minda, memenuhi intuisi hati nurani, memenuhi tuntutan dan kepuasan inderawi dan rohani dan tentulah lebih luas lagi ruanglingkup yang masih kelam di luar dari kemampuan tuntutan peralatan diri insan. Khazanah wujud yang didepani insan itulah rahsia yang ingin diketahui dan mengambil maklumat daripadanya.
Ironinya insan mau menguasai wujud, tetapi menurut falsafah, insan sebenarnya jangankan mau mengetahui tentang wujud, tetapi sebenarnya masih belum mengenali dirinya sendiri yang menjadi persoalan falsafah yang penting sebagaimana diungkapkan:

`Siapa yang mengenali dirinya dia mengenali Tuhannya.``

Kata Cassirer:

``That self-knowledge is the highest aim of philosophical inquiry appears to be generally acknowledged. In all the conflicts between the different philosophical schools this objective remained invariable and unshaken.``
                  Cassirer, Ernst, An Essay On Man, Yale University Press, New Haven And London, 1972: 1).

Problem di dalam menerokai wujud, bahawa di dalam menanggapi Kesempurnaan, ketidaksempunaan berlaku di dalam diri yang mau menanggapi pertanda-pertanda kesempurnaan.

Kata Jujun S. Suriasumantri:

``Berfilsafat didorong untuk mengetahui apa yang telah kita tahu dan apa yang kita belum tahu. Berfilsafat bererti berendah hati bahawa tidak semuanya akan pernah kita ketahui dalam kesemestaan yang seakan tak terbatas ini. Demikian juga berfilsafat bererti mengoreksi diri, semacam keberanian untuk berterus terang, seberapa jauh sebenarnya kebenaran yang dicari telah kita jangkau.``
(Jujun S. Suriasumantri, Filsafat Ilmu Sebuah Pengantar Popular, Penerbit Sinar Harapan, Jakarta, 1985: 19).

Sebenarnya bersama tumbuhnya rasa ingin tahu manusia, ada kelemahan-kelemahan ketara diri manusia di samping terhad kemampuan selalu berlaku kesilapan-kesilapan, iaitu sesuatu yang diwarisi sejak dari moyang – Adam & Hawa, di samping kesilapan-kesilapan manusia juga sering bersifat lupa. Sebenarnya jambatan tamadun dan peradaban manusia adalah terbina di atas kelemahan dan kekhilapan-kekhilapan. Menyedari kelemahan dan kekhilapan yang dilalui dilebuh sejarah, mereka mencari, mereka memperbaiki kekhilafan dan terus mencari; Renungi puisi ini:

Pencari

Kita ini
Mengejar kehilangan
Jadilah kita pencar-pencari
Berterusan.

Sepanjang zaman
Imbauan bahagia kedengaran
Rangsangan demi rangsangan
Membakar keinginan
Tampillah kita berdahuluan
Mengejar imbauan
Setiap disentuh bibir pecah
Dan dahaga kembali berpanjangan.

Manusia dengan keinginan
Kiranya terpenuh
Kakulah penggerak dari rangsangan
Hambarlah hidup diziarah kesepian
Rumah kehilangan keluarga
Dunia kehilangan warga.

Telah menjadi wasiat hidup
Milik kita adalah kehilangan
Jadi dalam pencarian
Jangan ditanya apa yang ditemui
Kerana kita selamanya pencari-pencari.

Shafie Abu Bakar,
Utusan Zaman,
28hb. April 1974.

(Dalam: Puisi Siswa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1976: 35).

Sekian.

August 24, 2013

Sempurna Insan Tingkat Kemasyarakatan

BBB, 16 Syawal 1434 = 23 Ogos 2013 (Jumaat):

Falsafah Kewujudan yang terdiri dari Wujud Hakiki dan Wujud Nisbi begitu luas huraian dan tafsiran dapat dilakukan. Telah dibicarakan kesempurnaan pada peringkat Hakiki adalah menjadi penujuan bagi peringkat Nisbi meningkatkan diri. Dalam pembicaraan Takmilah kelak station-station bagi perjalanan dan peningkatan kualiti bukan satu, tetapi banyak. Tetapi dilihat pada peringkat permulaan tentang perjalanan dan peningkatan kualiti kepada dua, iaitu individu dan masyarakat. Antara keduanya yang mana satukah yang mendahului? Antara keduanya tidak berpisahan. Sempurna individu insan adalah dari dokongan kemasyarakatan. Terkedepannya masyarakat dengan adanya kepimpinan di dalam masyarakat berkenaan. Namun bergeraknya masyarakat dengan adanya dinamika-dinamika individu dalam masyarakat berkenaan. Dalam sesebuah masyarakat tidak sunyi dari kepimpinan, sama ada besar atau kecil. Dalam masyarakat sendiri wujudnya elemen-elemen, bahkan keperluan akan wujudnya kepimpinan.

Dalam sebuah masyarakat kecil sebenarnya sudah ada budaya kehidupan yang menjadi panduan bagi masyarakat itu. Misalnya sudah ada nilai bagi nuklias keluarga yang dipupuk oleh kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak dan penghormatan anak-anak terhadap ibu bapa dan keluarga terdekat. Dalam kehidupan ekonomi, misalnya kalau pada peringkat permulaan mereka mendapat makanan dengan mencari dan memungut dari hutan akan ubi, buah-buahan dan daun-daunan secara meramu, tetapi hasil dari pengalaman dan kesedaran kepimpinan, mereka mula memikir menanam keperluan makanan mereka, agar tidak berterusan mencari. Dengan itu timbul konsep bertani. Bertani pula pada peringkat awal dilakukan oleh individu dan keluarga, tetapi kemudian timbul konsep tolong menolong yang dikenali dengan gotong royong – misalnya bagi menanam padi huma di darat dan padi di dalam paya. Daripada pertanian yang diusahakan masing-masing yang berlainan jenis tanaman, terbetik dalam kehidupan keperluan bertukar-tukar barangan yang merupakan permulaan konsep berjual beli secara barter trade.

Dalam usaha mencari rezeki, mereka tidak sahaja ke hutan dan ke bukit tetapi juga ke sungai. Pada peringkat permulaan mereka mendapat rezeki dengan memungut dari tepian dan dalam sungai, sama ada dari jenis ikan dan tumbuh-tumbuhan. Akhirnya timbul idea menggunakan batang kayu yang dikerat bulat. Mereka menaikinya dan menggerakkannya dengan galah dan pengayuh secara basic atau ikat antara satu sama lain terutama dari buluh menjadi rakit, kemudian timbul idea mengorek batang kayu dengan kapak batu menjadikannya sebagai perahu dan menggunakan pengayuh yang membolehkan mereka bergerak lebih jauh ke tengah sungai untuk mencari rezeki dan mungkin sampai ke permukaan kuala. Dengan ini menjadikan darat dan sungai sebagai kawasan penempatan yang penting.

Dari segi penempatan dalam perkembangan lanjut, khususnya selepas berkemampuan menggunakan peralatan dari besi, budaya kehidupan bergerak lebih maju. Kalau pada peringkat permulaan rumah dibina dari batang-batang kayu bulat, dari buluh dan batang nibung, mereka mampu menggunakan kayu-kayu besar dengan mengergaji dan menghasilkan papan. Mereka menghasilkan kediaman dengan binaan rumah menggunakan papan yang tidak menggunakan paku.

Pada tahap ini sudah wujud komuniti masyarakat yang mempunyai nilai budaya dan berperaturan yang didukung oleh masyarakat. Nilai budaya yang telah terbina dalam masa yang relatifnya lama ini, ditanam ke dalam minda generasi sebagai adab yang perlu diikuti, bahkan perlu dipatuhi. Ada ketua-ketua dan pimpinan yang mengetuai kelompok dan menjaga adat dan aturan yang harus dipatuhi masyarakat. Pembinaan nilai dan budaya masyarakat sebagai adat yang diwarisi, turut bertambah dengan interaksi budaya dengan kelompok-kelompok lain yang berdekatan, lantas berlaku pertukaran pengalaman. Misalnya berlaku pertukaran hasil tanaman yang kedapatan di dalam satu masyarakat, tetapi tidak terdapat di dalam kelompok masyarakat yang lain. Pembelajaran juga berlaku, misalnya mempelajari cara membuat peralatan bertani, menghasilkan peralatan bagi keperluan makanan seperti periuk, belanga, mangkuk pinggan dari tanah liat dan sebagainya. Jika pada peringkat permulaan pakaian yang biasa digunakan ialah dari daun-daun biasa kemudian dianyam dan berkembang kepada penggunaan kulit-kulit kayu sebagai bahan-bahan pakaian yang lebih maju. Dengan berlakunya pertemuan budaya antara kelompok berlaku juga perkahwinan antara anak-anak dari kelompok-kelompok berlainan. Ini menjadikan masyarakat berkenaan makin membesar dan penempatan makin meluas persis sebagaimana kampong-kampung tradisional yang wujud di tepi-tepi sungai atau di bahagian daratan yang biasanya tidak jauh juga dari sungai sebagai sumber air. Masyarakat sedemikian selain dari bertani – termasuk mendapat hasil rezeki dari sungai, mereka juga turut berternak. Kalau selama ini mereka mendapat makanan dari binatang dengan memburu, mereka mulai menternak haiwan-haiwan jinak seperti ayam, kambing, kerbau dan lembu. Setengahnya digunakan untuk membantu pekerjaan seperti kerbau untuk membajak dan lembu untuk pengangkutan. Kucing sebagai haiwan untuk mainan dan anjing untuk pengawalan.

Dalam masyarakat yang makin membesar, di samping berlaku pertembungan budaya dan interaksi secara harmoni, tidak dinafikan ada kadang-kadang berlaku perselisihan faham antara kelompok masyarakat akibat dari kepentingan ekonomi atau perluasan pengaruh kepimpinan, maka tidak jarang berlaku peperangan. Konsep pengawalan keamanan masyarakat yang pada asalnya menggunakan lembing, tombak, kapak, parang dan pisau akan diperluas dan diperbanyakkan bagi mempertahankan kawasan kelompok dan kediaman.  Dengan  wujudnya kawasan pertahanan, kesedaran persempadanan dan kawalan menimbulkan kesedaran tentang daerah, bahkan kepada wilayah kawalan yang dipimpin Ketua. Pada peringkat yang lebih atas menimbulkan kesedaran bernegeri dan mempunyai pemimpin yang dikenali dengan ketua, bahkan raja.

Dalam mana masyarakat pembelajaran adalah penting. Selain dari mengikuti dan mematuhi nilai budaya yang sedia ada, maka wujud juga pembelajaran formal yang sesuai dengan nilai di dalam masyarakat tradisional. Ada beberapa institusi yang berpengaruh dalam masyarakat tradisional, iaitu Ketua, Guru dan bomoh.  Ketua adalah pemimpin bagi kelompok masyarakat atau kawasan yang lebih besar, dalam mana ianya pula mempunyai pemimpin-pemimpin pembantu yang dikenali dengan ketua kampung atau ketua komuniti. Adapun guru antara yang penting zaman tradisi ialah guru-guru yang mengajar ilmu silat bagi mempertahankan diri dan kelompok. Mereka berperanan sebagai kelompok tentera yang menjaga dan mengawal masayarakat. Ilmu silat harus dilalui oleh golongan muda. Adapun kalangan remaja perempuan lebih tertumpu kepada kerja-kerja yang membantu keluarga. Bomoh pula institusi yang dipandang tinggi oleh masyarakat sebagaimana masyarakat moden memandang tinggi kepada profesyen doktor perubatan kini. Bomoh tidak saja bergantung kepada bacaan  jampi mentera semata-mata, tetapi sebagaimana setengah orang asli memahami bahan-bahan perubatan dari tumbuh-tumbuhan seperti akar-akar kayu, daun-daunan dan buah-buahan yang dapat dijadikan ubat. Antara institusi yang dihormati masyarakat tradisional ialah kepimpinan kerohanian yang menguruskan kematian dan upacara-upacara kepercayaan secara tradisional. Dia juga berperanan di dalam upacara-upacara perkahwinan di dalam masyarakat.

Walau bagaimana pergerakan dan peningkatan kepada kesempurnaan hidup berjalan agak lambat. Kelambatan ini diakibatkan oleh berbagai-bagai faktor. Antaranya tidak berlakunya komunikasi dan interaksi secara meluasa antara masyarakat, Namun bila perhubungan terjadi, misalnya berlaku kemasukan pengaruh Hindu-Budha mengubah kepercayaan animisma. Contoh cerita-cerita yang mengaitkan pemerintah atau turunan atasan berasal dari buluh betung, menjelma di atas kepala gajah atau menjelma dari buih menunjukkan pengaruh kepercayaan Buddha meresep ke tengah masyarakat (Walter William Skeat, Malay Magic, Dover Publications Inc. New York, 1967: 16-17). Kehadiran pengaruh Hindu di Sumatera pada zaman Kerajaan Sriwijaya pada awal abad Masihi sehingga 1,200 Masihi yang kesan-kesan candi banyak terdapat di Bukit Seguntang mengubah persepsi masyarakat, termasuk di Tanah Melayu dipengaruhi unsur legenda dan metos bahawa turunan pemerintahan yang berwibawa adalah raja-raja yang turun dari Bukit Seguntang atau lanjutan daripadanya. Bukan setakat pemerintahan sahaja, oleh kerana pengaruh Hindu begitu lama (sebelum datang Islam), maka pengaruhnya resap ke dalam adat istiadat masyarakat (G. Coedes, The Indianized States of Southeast Asia, University of Malaya Press,  Kuala Lumpur-Singapore, 1964: 130 – 133).

Masyarakat tradisional juga begitu lambat menyedari potensi ekonomi yang ada di kawasan mereka, sehingga kuasa luar datang menjajah mereka seperti Portugis, Belanda dan British. Dengan kehadiran mereka kesedaran mengenai kenegerian makin timbul dan peraturan pemerintahan makin tersusun. Pembelajaran melalui institusi-institusi formal diperkenalkan bagi kepentingan penjajahan yang membawa masyarakat lebih maju. Penjajahan dan kesedaran kebangsaan membawa kepada perjuangan menuntut kemerdekaan yang membuka ruang kepada masyarakat kepada perubahan dan kemajuan.

Sekian.

August 23, 2013

Maha Pencipta Maha Sempurna, Makhluk Rindukan Kesempurnaan

-->
BBB, 15 Syawal 1434 = 22 Ogos 2013 (Khamis):

Menyebut ungkapan di atas mencerminkan `Pandangan Wujud`  yang meyakini bahawa ada dua kewujudan, iaitu Yang Sempurna, Abadi, Kekal, Indah dan Mengetahui dan juga sifat-sifat lain yang sempurna dan satu lagi Kewujudan, ialah Makhluk yang kena jadi yang kontras sifatnya, iaitu Tidak Sempurna, Tidak Abadi, Tidak Kekal, Tidak Indah dan Tidak Mengetahui dan lain. Jika pun dikatakan yang ciptaan Maha Sempurna sempurna dan lain-lain, maka sempurnanya dan yang lain-lain adalah nisbi dan bukan hakiki.

Hakikat wujudnya Yang Maha Sempurna dan yang lain tidak sempurna adalah:

 1)  Bukti dari pandangan Islam (Ayat Kursi al-Baqarah: 255 dll.), khususnya dari pandangan ilmu Theologi Islam.
2)   Bukti kealaman yang terus berubah, rosak oleh gempa dan berbagai malapetaka yang menandakan ada kerosakan yang akan membawa kepada pengakhirannya.
3)   Pengalaman diri yang dari generasi ke generas terus menghadapi kematian
4)   Sesuatu yang berwujud secara nisbi ada permulaan, tentu adanya pengakhiran.
5)   Penghidupan yang banyak menghadapi ketidakadilan, kezaliman dan penipuan. Perlu balasan dan penyelesaian pada pengakhiran di hadapan Yang Maha Berkuasa dan Maha Adil. Demikian dengan kebaikan yang sepatutnya pula menerima ganjaran baik,

Berbagai-bagai hujah lagi dapat ditambah.

Rindukan Kesempurnaan

Baik dari segi naluri, logik dan kemahuan semua ciptaan Allah, khususnya insan sebagai makhluk berakal, berhatinurani, berperasaan, dan kerohanian secara akli, tabi`, naluri, rohani dan berkemahuan rindukan kepada kesempurnaan. Kerinduan pada Kesempurnaan sebagai keinginan kembali kepada Yang Hak. ini dapat dilihat di dalam skop yang luas, bukan erti sempurna dalam makna asal yang terhad. Sebagai bukti:

  1. Pertumbuhan biologi bermula dari yang kecil dan lemah melalui proses tumbesar menuju kepada kesempurnaan.  Bayi yang lahir diasuh dan ditatang, diberi makan minum dan pelajaran sehingga besar dan remaja menjadi sempurna. Kesempurnaan juga dicari misalnya usaha belajar hingga menjadi seorang yang berilmu, yang dianggap sempurna sebagai misi kemanusiaan, walaupun pada akhirnya menemui pengakhiran – mati. Demikian juga pokok dan tumbuhan melalui proses tumbesar menjadi sempurna hingga mengeluarkan buah dan memberi manfaat kepada manusia dan hewan.
  2. Seorang yang diasuh oleh ibu bapa dan guru dengan jiwa yang murni dan cita-cita tinggi, mau menyempurnakan pengajiannya dengan pencapaian yang sempurna dan baik dalam pengajiannya dari peringkat rendah, menengah, diploma,ijazah pertama, kedua dan peringkat Doktor Falsafah. Dengan kesempurnaan pengajian dia dapat melaksanakan misinya menyampaikan kembali pengajaran dan memperkembangkan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar dan masyarakat.
  3. Seorang ahli politik yang berkelayakan dan berkelulusan tentu berhasrat mau agar dia berjaya dalam career politiknya dengan perkhidmatan,  meningkatkan cara kepimpinan hingga mampu meningkat tinggi dari segi kepimpinan yang dipandang hormat pada peringkat dalam Negara dan antarabangsa yang melayakkannya digelar sebagai negarawan
  4. Seorang tukang atau lebih tinggi sebagai arkitek yang berdedikasi, maukan hasil tukangannya mencapai taraf kesempurnaan tertinggi begitu juga dengan arkitek. Bagi tukang dapat mencapai ke tahap penghasilan rumah tradisi berseni bina klasik yang menjadi tontonan dan kajian, bahkan meningkat kepada rumah tradisi warisan yang diabadikan. Demikian dengan tokoh arkitek berwibawa dan bercita-cita tinggi maukan bangunan yang dihasilkan sebagai bangunan istimewa yang menjadi mercu tanda dan sebutan di dalam dan luar Negara
  5. Seorang penulis bercita-cita tinggi mau menyempurnakan diri dalam lapangan berkenaan dengan menekuni diri dalam penulisan, mengatasi berbagai rintangan, menghasilkan karya bermutu di dalam lapangan yang diceburi hingga ia diiktiraf sebagai sasterawan Negara yang karyanya dibaca dan disanjung bukan saja di dalam Negara, tetapi ke pringkat antarabangsa yang pada puncaknya dia bukan saja dikenali sebagai sasterawan Negara, tetapi pujangga.

Demikianlah makhluk yang fana yang dicipta oleh yang Kekal dan Maha Sempurna, dalam kefanaannya rindukan kepada kesempurnaan. Sebab itu apa yang dilakukan mendorong pelakunya mau menghasilkan sesuatu sebaik mungkin, sebagai bayangan kepada Kesempurnaan Mutlak baik dari segi pembesaran, pendidikan, pembinaan, kepimpinan, seni dan berbagai-bagai lagi. Ia adalah merupakan dinamika kehidupan secara sihat (terkeluar yang tidak sihat, misalnya pemalas, tidak bermotivasi dan sebagainya).

Apa yang dilihat di atas adalah secara mikro, yakni setiap orang dalam bidang profesyen masing-masing berusaha bagi mencapai kesempurnaan sebaik mungkin di dalam bidang masing-masing berkenaan. Di samping sempurna dan berjaya pada peringkat mikro, dinamika kehidupan merindui kesempurnaan berlaku secara makro dan menyeluruh. Lihat dan pandanglah perbandingan secara ekstrim antara kehidupan zaman Batu sejak 10,000 tahun sebelum Masihi dengan 2000 tahun lebih selepas Masihi betapa berlakunya perubahan besar di dalam kehidupan manusia itu sendiri. Perubahan adalah akibat dari kerinduan dan keinginan manusia terhadap kesempunaan yang makna sempurna itu antaranya ialah kemajuan itu sendiri.

Daripada manusia hidup di gua batu dan hidup meramu kepada hidup dikota-kota. Daripada hidup menggunakan perahu di sungai sebagai alat perhubungan kepada penggunaan kapal di laut, kereta di jalan-jalan raya, bahkan kapal terbang bergerak di angkasa antara Negara. Daripada kehidupan yang begitu sukar untuk mendapat dan menyampaikan maklumat kepada mempunyai maklumat berada dihujun jari. Daripada kaedah pendidikan yang amat tradisional sifatnya kepada kaedah pendidikan canggih yang boleh dipelajari dari peringkat rendah kepada peringkat tinggi. Pendeknya manusia secara keseluruhan telah bergerak daripada kehidupan masyarakat mundur dan terkebelakang kepada hidup secara bertamaduan dan berperadaban.

Pun begitu kerinduan manusia terhadap kesempurnaan yang menjadi sifat Yang Maha Tinggi dan Sempurna, masih tidak ada batasnya – walaupun secara nisbi. Lantaran rindukan kepada kesempurnaan terus menerus menggerakkan manusia bagi mencapai kesempurnaan – yang walaupun pada hakikatnya terhad.

 Sebenarnya Kesempurnaan pada Peringkat Tertinggi (Allah) adalah  piawayan bagi Kesempurnaan yang mengarah kepadanya perjalanan kualiti pada tahap makhluk (bawah). Di bawah tahap tertinggi ini ada tahap-tahap yang lain yang makin ke bawah yang menjadi cabaran bagi setiap seorang meningkat kepada tahap-tahap sempurna yang harus dilalui di dalam mengarah kepada Hakikat Tertinggi yang tidak mungkin dicapai.
Tahap Sempurna Mutlak ini juga mewakili bagi erti sempurna yang lebih luas dan terbuka. Misalnya tahap sempurna  bagi Kuasa, Ilmu, Jamal, Rahman, Abadi, Kekal dan lain-lain. Bagi tahap yang nisbi, ada tahap-tahap perjalanan kualiti yang individu kena lalui. Jadi dengan pendekatan ini, kalaupun tidak mampu ke tahap tinggi, mungkin dapat dilalui tahap-tahap biasa, kemudian meningkat kepada tahap lebih tinggi yang meningkat kesempurnaan pada tahap nisbi. Perjalanan ke arah tertinggi tidak terhenti, melainkan terhentinya kerana keterbatasan masa (contoh umur diri), pemikiran, ruang dan sebagainya. Tetapi kesempurnaan ke tahap Tertinggi Mutlak pula tidak akan tercapai. Ianya sebagai penanda arah bagi tahap-tahap dituju pada tahap nisbi.

Demikian dinamika kehidupan yang merindukan kesempurnaan. Dengan melalui tahap-tahap menuju sempurna pada peringkat bawah hingga ke atas adalah dorongan bagi individu meningkatkan diri kepada kualiti diikuti. Peningkatan pada tahap mikro dan makro membawa kita tiba pada sempadan tamadun dan peradaban terkini dan terus mencabar untuk meneruskan lagi.

Sekian.

August 22, 2013

Pandangan Wujud

BBB, 14 Syawal 1434 = 22 Ogos 2013 (Rabu):

Menggunakan istilah `Wujud` bagi `Padangan Wujud` adalah lebih tepat dari menggunakan istilah `Worldview` dan `Pandangan Alam` bagi bidang yang bakal dibicarakan. Istilah `Worldview` dilihat sebagai istilah yang mempunyai ciri sekular yang jika tidak menolak, tetapi mengenepikan soal-soal Ketuhanan dan keakhiratan, manakala istilah `Pandangan Alam`, walaupun dapat diterima, tetapi masih ada ruang di luar tanggapan, lantaran alam bagi tanggapan biasa, sebagai sesuatu yang kena jadi atau sesuatu yang kena tahu, sedang kita sebenarnya tidak tahu berhubung dengan Yang Wujud, Yang Kekal dan Yang Abadi yang Dia saja sebenarnya bersifat Mengetahui akan segala yang bersifat Syahadah dan Ghaib (al-Hashr: 22). Dia Yang Bersifat Mengetahui ini adalah `Wujud`. `Pandangan Wujud` adalah mencakupi segala `Yang Wujud`, tetapi tidak termasuk  `Yang Tidak Wujud` kerana `Tidak Wujud`nya (`Mustahil`).


Manakala istilah `Pandangan` pula adalah lebih tepat dari menggunakan istilah seperti `Tanggapan` atau yang lain-lain, kerana `Tanggapan` bererti memerhati, mendengar dengan teliti (Kamus Dewan, 2007: 1599) yang walaupun ada kesamaan dengan `Pandangan`, tetapi `Pandangan` yang dalam istilah Islam yang selalu digunakan dalam perbincangan keilmuan ialah `Nazar` - nun – z (bertitik) dan ra`) yang `Pandang` pada asalnya bermakna `Lihat` yang merujuk kepada `Lihat` yang bersifat indera `Mata`. Tetapi di dalam penggunaan tidak sahaja bersifat melihat secara inderawi, tetapi lebih luas dari itu – termasuk lihat secara akli terhadap ayaat, kalimat dan isyarat. Pandangan `nazar` dan nama terbitan (masdar) `Nazariyyah` adalah istilah yang biasa digunakan bagi perbincangan ilmu, bahkan falsafah. Maksudnya, paling tidak bagi skop, ruang lingkup dan maksud Penulis, ianya melibatkan padangan minda, hatinurani yang bersifat intuisi, rohani, inderawi dan pengalaman.

`Pandangan Wujud` yang bakal dibicarakan ini adalah bersifat nisbi, kerana terhad dan bersifat lemah, lantaran mekanisme dan peralatan bagi `Pandangan Wujud` bagi diri yang bersifat nisbi adalah terhad, lemah dan ada batasnya baik dari segi alat, waktu, ruang dan keupayaan berbanding dengan `Pandangan Wujud` Hakiki yang bersifat Sempurna, Mengetahui, Kekal dan Abadi. Ruang antara yang tidak sempurna, jahil, fana dan terbatas dengan Yang Sempurna, Mengetahui, Kekal, dan Abadi adalah merupakan span dan ruang perjalanan kualiti bagi  `Takmilah` di dalam usaha meningkatkan diri kepada tahap kesempurnaan yang tidak sempurna.

`Pandangan Wujud` adalah penting, kerana ia adalah mencerminkan `dunia dan  alam` pemandangnya. Batas pandangannya ditentukan oleh sejauhmana naluri, tuntutan alam, daya pemikirnya, intuisinys dan alam kelilingnya yang dari kelompok individu berkenaan membentuk budaya kelompok setempat. Misalnya zaman prehistoric bagi masyarakat di Malaya yang menggunakan  alat-alat batu pada zaman batu mencerminkan pandangan wujud dan alam kehidupan mereka. Tweedie dalam kajiannya mengenai Prehistoric Malaya yang masyarakat prehistoric dan tradisi banyak bergantung hidup pada gua dan sungai menulis;


``But quite casual acquaintance with the rural and jungle areas soon provides evidence to the observant that Malaya was inhabited in prehistoric times. In the riverside village stones, clearly artificially shaped, are often found on the river banks after floods. Their finders keep them and attribute magical properties to them, and tell astonishing stories of their origin…`` Di samping itu menurut Tweedie lagi:
``Curiously shaped iron objects are also found, rusted and corroded so that their original appearance is hard to make out, though they are clearly tools or weapons of some kind. These too are so frequent that the kampong dwellers recognize them and associate also with a legend, this time of a giant ape with sickles in its elbows, and call the tulang mawas, apes bones.`` (Tweedie, M.W.F. Prehistoric Malaya, Eastern Universities Press Sdn. Bhd, Singapore, 1970: V).

Cara hidup masyarakat prehistoric di Malaya berkembang dari prehistoric – zaman Palaeolithic (zaman Batu Lama) kepada Mesiolithic (Zaman Batu Pertengahan) dan Neolithic (Zaman Batu Baru) mebawalah kepada zaman gangsa seterusnya membawa kepada zaman sejarah (Tweedie, 1970: Vii).
Pada zaman Batu Baru dikatakan manusia purba yang pada mulanya hidup digua mulai hidup bertani dan mempunyai peralatan  dari tanah liat seperti mangkuk dan periuk untuk memasak makanan, dan mereka mulai tahu menggunakan api. Pada masa ini mereka mulai mendiami pondok di atas pokok atau binaan yang tingi untuk keselamatan. Ini mencerminkan kehidupan dan pandangan wujud mereka tentang alam makin berubah dan makin maju.

Dari aspek seni, sebenarnya dari awal lagi dapat dilihat kepada bentuk alat-alat keperluan mereka dari alat batu, gangsa dan seterusnya kayu, tetapi tidak tahan zaman. Ini merupakan peralatan budaya zaman primitif yang diguna mereka  di dalam kehidupan yang dari segi permuziuman menjadi bahan-bahan penting yang menunjukkan perkembangan manusia prehistoric kepada zaman Batu Lama, Pertengahan, Batu Baru dan zaman gangsa dan sejarah.

Satu aspek lagi yang penting yang tumbuh dalam masyarakat purba ini ialah dari segi bahasa dan dikuti dengan sastera. Dalam kehidupan, walaupun bagi kelompok prehistoric, mereka perlu berkomunikasi dan menggunakan bunyi melambangkan benda dan gambaran perbuatan yang dapat difahami oleh kelompok yang dikenali dengan bahasa. Contoh kata `mak` bagi ibu dan `pa` bagi bapa seterusnya berkembang kata-kata asas yang membolehkan mereka memahami antara satu sama lain. Di dalam hal pertumbuhan bahasa ini kata Zainal Abidin bin Ahmad (Za`ba):

``maka demikianlah juga di antara manusia. Jika disebutkan ``mak`` umpamanya maka bunyi itu difaham oleh segala orang-orang sebangsa yang berbahasa dengan itu. Bunyi itu masuk ke telinga mereka langsung terus kepada otaknya. Maka dengan serta merta otak itu mengenal akan dia dan mengerti akan maksudnya. Begitulah juga pada segala bunyi-bunyi lain yang ada bermakna bagi orang yang punya bahasa itu.`` (Zainal Abidin Bin Ahmad, Pelita Bahasa Melayu, Penggal Satu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1961: 1).


Dalam perkembangan lanjut dari segi perbahasaan, sebagaimana di dalam pembinaan pondok (guna bahan kayu, buluh dan daun rumbia untuk atap) disedari dari segi pembaikan dan pengindahan yang dituntut oleh keperluan. Misalnya perlu kepada pembinaan bahagian rumah ibu dan dapur – dengan bahagian dapur lebih rendah dari rumah ibu dengan atapnya makin merendah dari selari dengan rumah ibu yang menjadikannya lebih menarik dan indah, maka demikianlah di dalam berbahasa, pada satu peringkat terungkap kata-kata indah dan berseni – misalnya secara sama bunyi hujung dan suku kata dengan yang sebelumnya. Contoh:
Pat, pat leh, Sapa cepat dia boleh – atau lebih panjang:

Sayur labu ikan haruan
Siapa dulu dapat makan

Ungkapan di atas sudah merupakan sebagai pantun sekerat yang berkembang kepada penggunaan pembayang dan maksud seperti:

Kalau padi katakana padi
Jangan saya tertampi-tampi
Kalau jadi katakana jadi
Tidak saya ternanti-nanti.

 (Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional,  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 110).

Gambaran di atas sebenarnya sudah mencerminkan kehidupan satu kelompok manusia yang sudah berkembang dan hidup sebagai satu masyarakat tradisional mungkin di sebuah desa, tetapi masih belum terdedah dengan kemajuan dan masih belum berkomunikasi secara meluas.

Dengan gambaran di atas masyarakat berkenaan sudah mempunyai pandangan wujud terhadap alam yang terhad kepada kehidupan keliling yang masih bersifat tradisional. Dari penggunaan peralatan dan tempat tinggal serta penggunaan bahasa yang lebih maju sudah ada pada mereka kesedaran tentang seni secara terbatas. Mereka mungkin sudah mempunyai kepercayaan yang berkembang kepada `Pandangan Wujud` yang lebih maju dari masyarakat primitif. Mereka masih banyak memerlukan ruang bagi peningkatan bagi kemajuan yang merupakan pendekatan bagi `Takmilah`.

Sekian.

August 21, 2013

Al-Sisi Membina Pyramid Moden Dari Tulang Temalang Mangsa Pembunuhan Kejam!

Tanah Mesir
Dikotori tindakan Al-Sisi
Perampas demokrasi
Dengan pembunuhan kejam
Pada helaian papyrus
Terakam darah merah  
Sejarah menyaksikan.


Lebih kejam dari itu
Al-Sisi menyusun timbunan
Tulang temalang mangsa
Membina pyramid diri
Firaun moden
Di tepinya mengalir
Nil sungai airmata
Ratapan zaman.

Telinganya tuli
Dan keras hatinya
Dari rasa kemanusiaan
Tidak mempuduli
Protes dunia
Mengecam.


Dengan undang-undang rimba
Hukuman diterbalikkan
Kebenaran dipersalahkan
Kesalahan adalah kebenaran
Dituruti siri pembunuhan.

Gerhana dunia
Oleh kekejaman
Sebuah pyramid terdiri
Tragidi kemanusiaan
Saksian zaman
Memalukan.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
14 Syawal 1434
21 Ogos  2013.

August 20, 2013

Praktikal Dan Penghasilan Sastera Islam

-->
BBB, 12 Syawal 1434 = 19 Ogos 2013 (Isnin):


Berbagai pendapat mengenai Sastera Islam hasil dari seminar dan wacana yang diadakan. Misalnya Yusof Zaky Yacob antara yang awal membicarakan tentang Sastera Islam (Utusan Zaman – 18 Ogos 1974), bahawa Sastera Islam ialah sastera yang mengandungi unsur dakwah. Beliau membahagikan Sastera Islam kepada dua, iaitu Sastera Ilmu dan Sastera Kreatif. Menurut Yasof Zaky, ``Bibit-bibit pertama  Sastera Islamiah yang tumbuh di Nusantara dan di mana-mana saja ialah al-Qur`an,`` (Dian Bil 72, Sept. – Oktober 1974 - Kertaskerja Simposium Intelek Islam, hlm. 5- 24). Shahnon Ahmad berpendapat Sastera Islam Sastera kerana Allah berhikmat untuk manusia sejagat. Muhammad Uthman El-Muhammady, Sastera Islam ialah Seni Muqaddas – Suci, Dr. Kamal Hassan berpendapat Sastera Islam ialah sastera yang lahir dari penulis yang komited dengan pandangan hidup Islam dan sistem nilainya, manakala Dr. Ismail Ibrahim berpendapat Sastera Islam ialah hasil tulisan yang berasaskan tauhid (Shafie Abu Bakar, Sastera Melayu Dan Islam, dalam, Kesusasteraan Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 44). Sesungguhnya kesemua pendapat di atas adalah betul.


Bagi mewajarkan pendapat di atas contoh-contoh diberi. Misalnya bagi sastera Ilmiah tradisi seperti karangan Syeikh Nuruddin al-Raniri dengan karanganya Sirat al-Mustaqim, Syeikh Daud al-Fatani contoh Furu` al-Masa`il dan Syeikh Nik Mat bin Ismail dengan Matla` al-Badrayn. Manakala bagi bidang kreatif tradisi seperti Gurindan 12 Raja Ali Haji (Abu Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993: 277-282). Nazam-Nazam Tokku Tuan Besar Terengganu (Muhammad Abu Bakar, Ulama Terengganu: Suatu Sorotan, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. & Jawatankuasa Koleksi Terengganu, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, 1991: 138) dan Syair-Syair Tuk Shihabuddin bin Zainal Abidin, Temerluh, Pahang (Shafie Abu Bakar, Identiti Keislaman Di Pahang: Naskhah-Naskhah Keislaman Yang Ditemui di Temerloh Dan Kaitannya Dengan Tuk Shihabuddin Bin Zainal Abidin, Sari, Jil. 2, Bil. 1, Januari 1984, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, UKM, 1984: 25-54). Dan berbagai-bagai karya lagi. Pada hakikatnya kita tidak kurang dari hasil-hasil karya Sastera Islam. Bahkan pada zaman moden pun banyak hasil-hasil Sastera Islam dihasilkan. Contoh penulisan kreatif di dalam bidang novel seperti Tenggelamnja Kapal van der Wijck oleh Hamka (1959), Imam oleh Abdullah Hussein (1995), Ustaz oleh S.Othman Kelantan (1991) dan Manakala di dalam bidang puisi ialah seperti Buah Rindu oleh Amir Hamzah (1969), Tiga Kota oleh Nahmar Jamil (1986) dan Kau Dan Aku oleh A. Aziz Deraman (1994).

Walaupun sudah ada karya-karya Sastera berunsur Islam baik pada zaman tradisi ataupun moden, tetapi dilihat kepada kesedaran keislaman yang berlaku selepas 1970an dan diperkatakan tentang apa itu sastera Islam sebenarnya ada kesan secara formal hasil dari kesedaran Islam dan keperluan dihasilkan lebih banyak lagi sastera Islam. Kerana jika dibandingkan dengan perkembangan sastera umum, maka relatifnya Sastera Islam ketinggalan dan kecil. Maka dari usaha memperkatakan Sastera Islam berlaku kesedaran bagi menggerakkan kegiatan dan penghasilan Sastera Islam. Dilihat secara formal di sana timbul inisiatif dari pihak agensi-agensi, badan-badan, bahkan pihak kerajaan Negeri yang menganjur pertandingan penulisan Sastera Islam.
Antara yang mengambil inisiatif menganjurkan peraduan-peraduan mengarang karya-karya penulisan kreatif ialah:

  1. Pihak Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM menganjurkan Peraduan Mengarang sempena Abad 15 Hijrah, maka hasil dari peraduan ini lahirnya pemenang-pemenang penulisan kreatif:

a)      Novel Hidayah (1984) oleh Harun Haji Salleh.
b)      Kumpulan Cerpen Madrasah (1984) - Ramai
c)      Kumpulan Puisi – Di Malam Gelita Ini (1984) oleh Suhaimi Muhammad

  1. Pihak JAKIM juga menganjurkan Peraduan Menulis Cerpen Berunsur Islam sejak 1975. Antara kumpulan cerpen yang dihasilkan ialah Tantangan (1975),  Mati (1980), Sebuah Lampu Antik (1983), Persinggahan (1986) dan beberapa yang lain.
  2. Pihak Kerajaan Negeri Terengganu antara yang aktif menganjurkan peradauan penulisan – Anugerah Darul Iman I – Novel KuIngin Kasihmu (1990), Siti Hawa
Ke II Novel Fajar Di Hujung Malam (1992) oleh Hasan Ali & Ke III Kumpulan Puisi Sekepal Tanah (1995) oleh Rahimin Zahari. Peraduan-peraduan di atas dengan kerjasama PELITA dan Gapena.
  1. Pihak Yayasan Pelajaran Islam yang dipengerusikan oleh saudara Iqbal juga menganjurkan Peraduan Menulis Cerpen Berunsur Islam sebanyak 3 siri. Antara kumpulan cerpen Embun Hidayah (1991), Syahdu (1993).
  2. Pihak Yayasan Pelajaran Islam juga menganjurkan Peraduan Penulisan Novel yang menghasilkkan Novel Mereka yang Tertewas (1989) oleh Hasanuddin Mat Isa.

Penulis terlibat dengan semua peraduan di atas sebagai panel pengadil (Tetapi tidak bagi bagi Abad 15).

Di luar dari peraduan di atas, lahirnya penulis-penulis yang memberi tumpuan di dalam penulisan kreatif berunsur Islam. Contoh sebahagian dari mereka ialah di dalam bidang novel seperti Shahnon Ahmad dengan Tunggul-Tunggul Gerigis, Abdullah Hussein (Imam) – Novel Peraduan, Azizi Abdullah dengan Orang Tua Di Kaki Gunung. Di dalam bidang puisi seperti Kemala dengan Pelabuhan Putih, Suhaimi Haji Muhammad  Wujud dan Abham TR, Tali Iman. Penulis-penulis cerpen pula dihasilkan oleh seperti oleh Norhisham Mustafa, Abu Hassan Murad, Wardziah Abd. Rahman dan ramai lagi.

Sesungguhnya mulai selepas 1970an sehingga 2000 itu begitu bersemarak perkembangan sastera tanahair. Antaranya galakan dari hadiah-hadiah sastera, peraduan novel dan cerpen oleh Esso-Gapena dan Kerajaan Negeri. Di tengah-tengah kerancakan ini turut sama berkembang penulisan kreatif berunsur Islam dianjurkan berbagai pihak sebagaimana diperkatakan di atas. Namun sayangnya kerancakan ini menghilang selepas 2000. Mengapa terjadi demikian ?

Sekian.

August 19, 2013

Tahap-Tahap Ke Arah Pembinaan Teori Takmilah

-->
BBB, 11 Syawal 1434 = 18 Ogos 2013 (Ahad):

Kelahiran Teori Takmilah yang mau diaplikasikan kepada bidang permuziuman bukanlah secara mengejut, tetapi ianya adalah melalui perkembangan logik yang melahirkan teori tersebut. Teori Takmilah ialah hasil usaha membina teori bagi sastera Islam. Proses ke arah kelahirannya memakan masa dua dekad. Bahkan jika dikira dari segi pengaplikasian, maka ianya mengambil masa lebih tiga dekad bagi mencapai tahap mantap.


Tapak kelahiran Teori Takmilah bermula dari gelombang kesedaran Islam yang berlaku  dari awal 1970an. Antaranya kesan berlakunya revolusi Iran (1969), penafsiran terhadap Islam, bahawa Islam bukan sekadar agama semata-mata untuk ibadat, tetapi ianya adalah `Din` cara hidup yang `Syumul` yang merangkumi seluruh cara hidup dan mati – dunia dan akhirat nanti. Lahirnya tokoh-tokoh ilmuan Islam yang menafsirkan Islam secara dinamik. Wujudnya perjuangan bagi menjadikan Tanah Melayu sebuah Negara Islam yang merdeka dan berdaulat seperti yang diperjuangkan oleh Pas (ditubuhkan sejak 24 November 1951) menjadikan perspektif Islam lebih jelas (50 Tahun Pas Terengganu 1956-2006, Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, 2006: 17). Pada masa yang sama timbul gerakan mahasiswa di pasat-pusat pengajian tinggi seperti PKPIM, ABIM dan PMUKM yang cenderung kepada perjuangan Islam (Motto PMUKM – Keislaman dan Kebumiputraan). (Gemasiswa, Jil.1, Bil. 2, 1971: 12). Gerakan mahasiswa ini mempunyai penasihat-penasihat yang terdiri dari kalangan tenaga akademik dan mempunyai hubungan dengan gerakan kemahasiswaan pada peringkat antarabangsa.

Setengah dekad daripada itu, iaitu pada pertengahan 1970an tercetus persoalan yang berhubung dengan Sastera Islam. Perbincangan-perbincangan mengenai Sastera Islam membawa kepada tertubuhnya Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM) pada 01 Jamadil Akhir 1396 bersamaan 3 Mei 1976 bertempat di Maktab Perguruan Islam di Petaling Jaya. Gapim giat mengadakan Simposium Bahasa dan Persuratan, Memperingati Tokoh contoh seperti Iqbal, Seminar Sastera dan Muktamar Gapim. Pada masa yang sama tokoh-tokoh penting yang cenderung kepada Persuratan Islam memperkatakan tentang `Sastera Islam`. Mereka seperti Ustaz Yusof Zaky Yaacob, Muhammad Uthman El-Muhammady, Ismail Hamid, Ismail Ibrahim, Hashim Musa, Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Abdullah Hussein, Dr. Kamal Hassan, Mana Sikana dan beberapa yang lain lagi (Shafie Abu Bakar, Di Antara Sastera Dan Persuratan Islam, Muktamar Gapim Ke 3 Serta Simposium Bahasa Dan Persuratan, Maktab Perguruan Islam Petaling Jaya, 1979: 30). Bahkan berhubung dengan Sastera Islam ini tercetus polemik Sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, berikutan dari buku yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad berjudul Kesusasteraan dan Etika Islam. Konsep Sastera Islam bagi Shahnon dapat difahamkan dari petikan berikut:

``Berbudaya, berseni atau bersastera bertonggakkan Islam, sama saja seperti beribadah atau berbakti kepada Allah. Di sini beribadah membawa pengertian yang luas mencakup sebarang perbuatan manusia demi kerana Allah semata-mata, bukan sekadar bersembahyang, berpuasa, menunaikan fardhu Haji atau berzakat. Dalam beribadat (seperti dalam proses penciptaan karya sastera) pokok pangkal wajib bertolak dari Tauhid – keyakinan seluruh jiwa raga tentang keesaan dan ketunggalan Allah. Bersastera mengikut Islam wajib dijalankan kerana Allah dan tidak ada yang lain melainkan Allah, tetapi sama seperti beribadat yang berbagai corak, hikmahnya ialah untuk manusia. Sastera dicipta kerana Allah untuk manusia (Shahnon Ahmad, Kesusasteraan Dan Etika Islam. Fajar Bakti Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1981: 3).

Dalam kritikannya terhadap konsep sastera Islam Shahnon berhubung dengan buku `Kesusasteraan  dan Etika Islam, Kassim menyatakan:

``Risalah ini lebih merupakan satu huraian tentang teologi Islam daripada teori estetikanya. Tujuh puluh peratus daripada kandngannya menumpu kepada soal-soal Islam sebagai  ad-din atau satu cara hidup dan kejatuhan Islam sebagai akibat penyelewengan umat Islam daripada konsep ini. Dengan demikian aspek sastera yang patut menjadi tumpuan masalah tenggelam di dalam timbunan teologi dan sejarah.``
(Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik  Sastera Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987: 2).

Menurut Kassim, bahawa pendapat Shahnon tentang Sastera Islam, ialah sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia, kesusasteraan yang berakhlak yang telah ditetapkan oleh Khaliq, karya yang jelas dan satu ibadah – bahawa konsep-konsep ini adalah lebih baik dan lebih kukuh dibandingkan dengan konsep `Seni Untuk Seni` dan `Seni Untuk Masyarakat`, tetapi menurut Kassim:

``Namun demikian, ia tidak cukup sebagai satu teori estetika atau teori sastera Islam. Satu teori Sastera Islam memerlukan beberapa konsep dan struktur yang boleh menerangkan tujuan-tujuan, sumber-sumber, proses-proses penciptaan, sifat-sifat, bentuk-bentuk, kaedah-kaedah, nilai dan keindahan sastera (Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik Sastera Islam, 1987: 3).

Mempertahankan pendekatannya, Shahnon menjawab terhadap kritikan Kassim Ahmad,

``Saya amatlah bersetuju dengan Kassim bahawa buku saya itu lebih merupakan satu huraian tentang teologi dan sejarah Islam. Saya banyak menyentuh soal-soal Islam sebagai ad-Din atau satu sistem hidup yang menyeluruh dan sempurna. Teori dan konsep sastera Islam itu sendiri amat sedikit saya bicarakan.

Tetapi menurut Shahnon, format seumpama ini memang disengajakan kerana saya cuba untuk mengikuti kewajaran dan keunikan teori dan konsep sastera Islam itu sendiri. Seperti yang diterima oleh Kassim, bahawa sastera Islam adalah sastera kerana Allah, sastera yang berakhlak mengikut nilai-nilai mutlak dan sastera yang bersifat ibadah. Pokok kepada konsep ini dengan sendirinya bermaksud bahawa keutamaan diberi kepada aspek-aspek ibadah kepada Allah, soal-soal teologi dan sejarah perlulah ditonjolkan seberapa yang boleh, menyentuh sedikit sebanyak ilmu-ilmu usuluddin atau tauhid supaya soal iman dan iktikad diperteguhkan. Menyentuh aspek-aspek fiqah dan tasawuf supaya betul dan sah kaedah ibadat itu dan bersih hati dari sifat-sifat mazmumah. Sekiranya soal-soal teologi dan sejarah tidak diutamakan dalam pembicaraan sastera Islam, maka ragu-ragulah seseorang itu dalam tindakannya melibatkan diri dalam kegiatan sastera Islam sebagai satu ibadah (Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad, Polemik Sastera Islam, 1987: 9 -10).

Polemik sastera Islam antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad agak panjang dan tentulah tidak mampu dibawa kesemua persoalan di sini, tapi satu yang jelas perbincangan sebelum mereka berdua menyentuh soal konsep dan definisi menyemarakkan perbincangan mengenai Sastera Islam. Berbagai pendapat diutarakan antaranya Sastera Islam ialah sastera dakwah, sastera berprinsipkan tauhid, sastera berakhlak dan sebagainya. Polemik yang dibawa oleh kedua-dua tokoh lebih mendalam. Dari pelbagai pendapat dan pandangan terutama antara Kassim Ahmad dan Shahnon Ahmad sudah ada sentuhan mengenai teori tentang sastera Islam, tetapi masih pada peringkat permulaan.

Satu yang menarik, perbincangan tentang Sastera Islam bukan lagi antara individu dan tokoh-tokoh, tetapi melibatkan institusi-institusi penting yang berkait dengan bahasa dan persuratan, bahkan membawa kepada peringkat negeri dan Negara. Misalnya pihak DBP beberapa kali mengadakan persidangan yang berhubung dengan Sastera Islam, antaranya melahirkan buku panduan mengenai sastera Islam antaranya selepas mengadakan  Nadwah Sastera Islam (S. Jaafar Husin –Penyelenggara, Nadwah Ketakwaan Melalui Kreativiti, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995: 258hlm.). Jabatan Persuratan Melayu, UKM mengadakan seminar-seminar, antaranya membincangkan tentang Teori Sastera Islam (Mana Sikana – Penyelenggara, Teori Sastera dan Budaya Dalam Kajian Akademik, Jabatan Persuratan Melayu, UKM, 1997: 202hlm) dan Estetika Dan Takmilah (Mana Sikana – Penyelenggara, Pembangunan Seni & Sastera, Jabatan Persuratan Melayu, UKM dan Akademi Seni Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur: 1997: 229hlm.)
Pihak kerajaan negeri juga turut terlibat menganjurkan seminar Sastera Islam. Misalnya Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Gapena mengadakan Seminar Sastera Islam pada Hari Sastera `78 dengan kerjasama Gapena Dan Pelita Terengganu, di Kuala Terangganu pada 24 – 27 Julai 1978 yang dari himpunan kertas-kertas kerja melahirkan buku Kesusasteraan Melayu dan Islam. (Kesusasteraan Melayu Dan Islam, Sarjana Enterprise, Kuala Lumpur, 1980: 258hlm.). Pada peringkat Negara pula diadakan Simposiom Serantau Sastera Islam yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negara Brunei dengan kerjasama Universiti Brunei di Negara Brunei dari 16 – 18 November  1992 yang melahirkan buku Simposium Serantau Sastera Islam (Simposium Serantau Sastera Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, 1996: 436hlm.).

Demikianlah Sastera Islam yang tercetus pada pertengahan 1970an berkembang luas diperkatakan dari peringkat individu, tokoh-tokoh, persatuan, institusi-institusi membawa kepada peringkat negeri dan Negara. Sastera Islam terus berkembang dari peringkat polemik ke tahap akademik dan insya Allah akan dibicarakan pada tahap praktik yang membuka ruang kepada pembinaan teori.

Sekian.