January 21, 2014

Penyair Kolej Islam Mendahului Perbincangan Tentang Sastera Islam


BBB, 18 Rabiul Awwal 1435 = 20 Januari 2014 (Isnin):

Pelajar Kolej Islam Malaya mendahului perbincangan tentang Sastera Islam berbanding dengan kesedaran dari kalangan aktivis Sastera Islam pada pertengahan 1970an. Antara yang awal membincangkan tentang Sastera Islam dari kalangan Pelajar/Penyair ialah Badaruddin H.O. (Pelajar dari Brunei). Dalam makalahnya yang berjudul `Konsep Seni Sastera Dalam Islam` di dalam majalah Dewan Bahasa Februari 1966 Badaruddin melihat tentang dua perkara – Ugama dan Seni & Apa yang dimaksudkan dengan Kesusasteraan Islam atau Kesenian Islam:

 Pertama tentang Seni dan Ugama:

Kata Badaruddin H.O. :
``Ada orang berpendapat seni dalam erti kata seni dan Islam dalam erti kata ugama tidak mempunyai apa-apa hubungan … sebenarnya pendapat ini tidak tepat. Pada hakikatnya sahaja dapat dilihat bahawa pendapat ini timbulnya dari salah pengertian terhadap ugama dan seni, atau kalau kita tidak mahu mengatakannya salah, kita dapat mengatakan lahir dari kesempitan faham terhadap ugama dan seni itu sendiri.``  Tambah Badaruddin H.O.:

``Kita tahu, ugama (maksud saya ugama Islam) adalah satu prinsip hidup. Sebagai prinsip hidup ia dapat dikatakan satu `keperluan` hidup itu sendiri. Kemudian kita tahu pula bahawa kesenian dan kesusasteraan adalah gambaran-gambaran indah tentang hidup. Indah dalam erti-kata seni. Sebagai gambaran atau dalam kata-kata lain – sebagai satu pernyataan – ia juga merupakan satu `keperluan` kehidupan itu sendiri.``

Kedua mengenai Kesusasteraan dan Kesenian Islam:

``Dalam soal ini juga kita menemui ada fikiran-fikiran yang keliru, satu contoh: Seni Sastera Islam dikatakan sebagai ``Seni yang memperkatakan tentang Islam``. Dan sebagai seni yang bercorak demikian ia perlulah berunsur ajaran-ajaran, didikan-didikan, propaganda-propaganda atau dalam erti kata yang kerap digunakan dalam istilah sastera ia perlu mengandungi `pengajaran`.``  Tambah Badaruddin H.O.:
``Pendapat ini keliru kerana dengan pengertian yang demikian ternyata bahawa seolah-olah ugama Islam itu pasif, tidak mampu menghadapi soal-soal baharu. Ia seolah-olah merupakan satu objek semata-mata, diolah oleh seniman dan sasterawan, sedang Islam sebenarnya tidak demikian. Ia menerima pembaharuan dalam erti kata penyelarasan asas-asasnya dengan bentuk suasana dan keadaan. Sebab ia adalah ugama yang ``sesuai bagi setiap masa dan tempat``.

(Badaruddin H.O., Konsep Seni Sastera Dalam Islam, Dewan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Februari, 1966: 66-68).

Bagi lebih jelas lagi mengenai Seni Islam – termasuk sastera, Badaruddin H.O. memetik pendapat Mohd Qutub dalam bukunya Manhaj al-Fann al-Islami yang mengatakan:

``Seni Islam ialah seni yang melukiskan gambaran-gambaran kehidupan dan konsep keislaman. Ia adalah pernyataan yang indah tentang wujud, kejadian, kehidupan dan manusia dari sudut pandangan Islam``. Seterusnya katanya, ``Seni yang demikian dapat membawa kepada pertemuan yang harmoni serta penyataan antara keindahan dan kebenaran. Kerana keindahan adalah hakikat setiap keadaan dan setiap yang wujud dan kebenaran adalah puncak keindahan, jadi dengan sendirinya`, `Kebenaran dan keindahan bertemu di kemuncak pertemuan setiap hakikat yang wujud.``

(Badaruddin H.O., Konsep Seni Sastera Dalam Islam, 1966: 68). Lihat juga:
Mohd. Qutub, Manhaj al-Fann al-Islami, Dar al-Shuruq, Beirut-al-Qahirah, 1403/1983: 6).

Badaruddin H.O. bersetuju dengan pendapat Mohd. Qutub dan menjadi pegangan baginya atas tiga sebab:

1)      Pengertian ini membuka kemungkinan-kemungkinan yang luas bagi seniman atau sasterawan Islam untuk menimba bahan-bahan ciptaannya dari seluruh keadaan dan lapangan hidup dan kemudian mengolahnya  dengan pandangan dan konsep keislaman.
2)      Pengertian ini tidak memberatkan atau menetapkan supaya seni sastera Islam patuh kepada aliran-aliran yang beku, dan mengemukakan `pengajaran` yang melulu.
3)      Pengertian ini mengakui nilai-nilai keindahan yang semestinya ada dalam hasil seni sastera dan kesenian lainnya.

Badaruddin merumuskan:

Jadi secara ringkas konsep sastera Islam ialah:

  1. Seni sastera berhubung rapat dengan ugama, sebab kedua-duanya merupakan keperluan dari kehidupan. Sebagai keperluan dari kehidupan ia mesti diwujudkan bagi melengkapkan kehidupan itu.
  2. Seni sastera tidak mesti terikat kepada aliran-aliran yang beku – yang boleh mengabaikan nilai-nilai keindahan dalam hasil seni. Sungguhpun begitu ia mestilah mendukung cita-cita murni kemanusiaan dan kehidupan, sebab tujuannya selaku keperluan kehidupan adalah membawa pengertian yang menjaga nilai-nilai yang baik dari kehidupan itu.
  3. Seni sastera Islam ialah gambaran-gambaran serta pernyataan tentang wujud (semua kejadian) yang ditinjau dan dinilai dari konsep keislaman, sebab ia adalah ciptaan-ciptaan yang semestinya menyeluruhi semua segi dari kehidupan dan menilai segi-segi tersebut menurut nilai-nilai keislaman.

(Badaruddin H.O. Konsep Seni Sastera Dalam Islam, Dewan Bahasa, Februari, 1966: 68-69).

Apa yang dibicarakan oleh Badaruddin H.O. tentang Seni dan Sastera Islam adalah terkedepan dalam konteks zaman. Ia mendahului lebih kurang sedekad dari meletusnya pembicaraan dan polimik sastera Islam. Misalnya penubuhan Gabungan Penulis Islam Malaysia pada 1 Jamadil Akhir 1396 bersamaan 30 Mei 1976 bagi membicara dan memupuk perkembangan Sastera Islam, mendahului pembicaraan Sastera Islam sebagai fokus pada Hari Sastera 1978 di Kuala Terengganu pada 24 – 27 Julai 1978, bahkan mendahului polimik Sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad sekitar 1980an. Baharuddin H.O. sesungguhnya membuka jalan yang terang bagi perbincangan dan perkembangan Sastera Islam berikut dan seterusnya.

Sekian.

January 20, 2014

Jalur Islam Dari Angkatan Kolej Islam: Mereka Didiskriminasi ?


BBB, 17 Rabiul Awwal 1435 = 19 Januari 2014 (Ahad):

Pada tahun 1960an, belum timbul perbincangan dan polimik tentang `Sastera Islam`, tetapi tidak bermakna dalam era ini tidak terhasil penulisan tentang Sastera Islam. Pada tahun 1956 Duli Yang Maha Mulia Sultan Hishamuddin Alam Shah telah berkenan mengurnikan sebuah istana dan kawasan di Kelang menjadi kampus Kolej Islam Malaya yang pembukaannya pada tahun tersebut dihadiri oleh Duli-Duli Yang Mulia Sultan-Sultan Negeri-Negeri Melayu. Kolej Islam Malaya merupakan Pusat Pengajian Tertinggi Utama didirikan di Malaya – Statusnya sebenarnya bertaraf universiti. Keberkatan dari keikhlasan niat Tuanku Sultan Hishamuddin, maka Kolej Islam berjaya mengeluarkan graduan-graduan terpelajar yang menjadi ulama, intelektual dan pegawai-pegawai tinggi di Negara ini dari mufti hinggalah kepada professor, pensyarah, pendidik, pemimpin dan pentadbir di Negara ini. Hasil dari keberkatan dan keikhlasan Tuanku Sultan Hishamuddin Alam Shah Kolej Islam telah berkembang kepada peringkat universiti bertaraf antarabangsa. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia adalah berkembang dari Kolej Islam.

Satu bidang yang menonjol dari Kolej Islam sejak 1960an ialah lahirnya tokoh-tokoh sasterawan dari Kolej Islam, khususnya penyair-penyair terkenal tanahair. Kelahiran mereka bukan secara kebetulan, tetapi hasil dari keilmuan yang dipelajari terutama sastera dan bahasa Arab yang antara komponannya ialah nahu, saraf, mantiq dan balaghah, khususnya bagi mendalami bahasa, kandungan dan keindahan al-Qur`an. Ianya juga hasil dari minat dan pengajaran guru-guru bahasa Arab dan yang minat dalam sastera seperti Zulkifli Muhammad. Guru dan pelajar juga tentulah terdedah dengan perkembangan sastera tanahair dan dunia Islam.

Lantaran itu kita melihat dalam dekad 1960an lahir satu angkatan sasterawan Kolej Islam yang mempunyai kedudukan yang kukuh dalam kesusasteraan Melayu. Mereka yang dimaksudkan ialah:

1) A. Munir                    2) Adi Rumi
3) Badaruddin H.O.       4) Hadzrami A.R.
5) Marhan                      6) Sabda S.
7) Yahya M.S.               8)  Zulkifli Muhammad

Melihat kepada puisi-puisi mereka ternyata mempunyai kekuatan dari segi perpuisian dan kekentalan dari segi keislaman. Dengan jumlah begitu ramai hasil dari sebuah pengajian tinggi dan tinggi pula dari segi nilai, Penulis tertanya-tanya mengapa tidak seorang daripada mereka dimasukkan sebagai sejumlah dari 100 penulis terkenal tanahair (ada yang berasal dari Brunei) yang diterbitkan di dalam buku Biografi 100 Penulis yang merangkumi zaman mereka (DBP, 1981). Ada diskriminasi terhadap mereka sebagai penyair-penyair mengungkapkan puisi-puisi bernafaskan keislaman ?  Mereka hanya diberi tempat di dalam MengenangMu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986 (DBP, 1989).

Sebelum memperkatakan tentang puisi-puisi mereka, Penulis berkecenderungan meletakkan mereka sebagai generasi penulis-penyair Islam Awal Zaman Merdeka yang mendahului dan membuka ruang kepada perbincangan tentang Sastera Islam pada dekad 1970an. Badaruddin H.O. sebenarnya selain dari menulis puisi turut memperkatakan tentang sastera Islam. Beliau membicarakan tentang Konsep Seni Sastera Dalam Islam, tetapi idea terkehadapan (1966) Badaruddin H.O. tidak bersambut oleh penulis dan masyarakat pada masa itu. Lantaran itu pandangan awal beliau ini menjadi terpendam buat sementara (Badaruddin H.O., Konsep Seni Sastera Dalam Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Februari, 1966: 67-69).

Jalur Islam yang menonjol dari tenaga pengajar dan pelajar-pelajar Kolej Islam diperkukuhkan dengan adanya penulis-penulis sezaman yang mendapat pendidikan Islam dan menulis hasil-hasil penulisan dalam dekad yang sama, terutama puisi bertemakan keislaman. Antara mereka ialah seperti Nahmar Jamil, Kemala, Suhaimi Haji Muhammad dan A. Wahab Ali.

Dalam kata lain dengan kehadiran penulis-penyair dari Kolej Islam yang menulis puisi-puisi bertemakan keislaman di tambah dengan penulis-penyair luar dari kolej Islam dalam masa sezaman, jelas jalur Sastera Islam telah berkibar pada dekad 1960an dengan nyata dan jelas, tetapi tidak mendapat perhatian dan tidak menjadi topik perbincangan. Apakah ianya merupakan pengaruh dan kesan dari saki baki Asas 50 yang masih wujud pada masa itu ?

Perbincangan tentang Sastera Islam lebih jelas dan lahirnya aktivis-aktivis Sastera dan Persuratan Islam hanyalah berlaku pada dekad 1970an apabila berlaku Revolusi Islam Iran, tercetus dan popularnya ungkapan, Islam Syumul, Islam is a way of life dan timbulnya pandangan di pengajian-pengajian tinggi yang melihat Islam begitu berperanan di dalam membentuk bahasa budaya dan intelektual masyarakat umat, termasuklah di Alam Melayu yang melihat Islamlah yang mengangkat martabat bahasa, persuratan (termasuk sastera) dan budaya Melayu.

Sekian.

January 19, 2014

Penulisan 1960an Penerusan Didominasi Oleh Pendukung Asas 50 ?


BBB, 16 Rabiul Awwal 1435 = 18 Januari 2014 (Sabtu):

Itulah antara pendapat yang diungkapkan. Namun pendapat ini boleh dipersoalkan. Jika Asas 50 kuat berpengaruh semasa di Singapura dapat diterima. Tetapi semasa di Malaya, sejak 1960an Asas tidak lagi berpengaruh, walaupun pendukung atau bekas pendukung berada di beberapa penerbitan penting. Mungkin dapat disebut seperti Kris Mas, Usman Awang dan Wijaya Mala berada di Dewan Bahasa dan Pustaka, Ashraf juga berada di Kuala Lumpur dan bekerja dengan penerbitan swasta, Awam II Serkam juga berada di Kuala Lumpur dan pernah bekerja di Utusan Melayu dan A.Samad Ismail yang dikatakan tidak menjadi ahli Asas 50, tetapi banyak memberi nasihat kepada Asas 50 di dalam kegiatannya.

Selepas 1960 penerbit-penerbit penting seperti Utusan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (bermula di Johor), Berita Harian dan beberapa penerbitan kecil berada di Kuala Lumpur. Semasa di Singapura penerbitan adalah terhad dan penulis tidak ramai. Dengan penerbitan terhad dan penulis tidak ramai, mereka mudah dikawal di bawah satu persatuan Asas 50. Tokoh-tokoh Asas 50 yang berpindah ke Kuala Lumpur sebagaimana disebutkan di atas, walaupun dikenali sebagai pendukung Asas 50 mereka bukan lagi bergerak secara organisasi. Mereka cuma dikenali sebagai pendukung atau pernah mendukung Asas 50. Sebagai bukti Asas 50 tidak lagi dianggap penting, sejak tahun 1961 Persatuan Penulis Nasional ditubuhkan di Kuala Lumpur yang dikatakan tokoh yang menggalakkan penubuhan persatuan tersebut ialah Samad Ismail yang bukan ahli Asas 50. (A. Samad Ismail, dlm. Wajah – Biografi 100 Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 43).

Kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur dan Perpindahan persuratkhabaran dan penerbitan-penerbitan swasta ke Kuala Lumpur  dari Singapura selepas merdeka dan kemasukan tenaga-tenaga baru dalam penerbitan dan berdepan dengan penulis-penulis baharu menenggelamkan tokoh-tokoh Asas 50 yang merupakan saki baki pendukung Asas 50, walaupun antara mereka masih memegang jawatan yang penting dalam penerbitan. Mereka tidak dapat lagi mengawal penulis-penulis yang tidak tahu menahu bahkan tidak ada hubungan dengan faham Asas 50. Asas 50 sebenarnya dikenali orang sebagai ahli dan tidak dari segi karya, lantaran semua karya yang dihasilkan sebenarnya dituju kepada masyarakat, hatta yang dikatakan bersifat seni
untuk seni. Sebenarnya jika ditiadakan nama pengarang – terutama bagi karya yang tidak dikenali dan diminta tentukan karya yang mana untuk masyarakat dan untuk seni ? Nescaya tidak dapat dibezakan dengan jelas. Seni Untuk Seni dan Seni Untuk Masyarakat adalah lebih bersifat propaganda sezaman dan banyak kesalahan dari segi tanggapan.

Selepas 1960an dapat dikatakan suasana alam penulisan lebih demokratik dan peluang penulisan terbuka kepada yang berminat dan berbakat. Kekurangan pada masa itu tidak ada persatuan penulis atau kursus formal membimbing. Bagi yang bercita-cita menjadi penulis lebih bergantung pada minat, kesungguhan dan bakat. Namun dari kesungguhan dan bakat yang ada pada mereka, maka bermunculan penulis-penulis yang tidak ada kaitan dengan Asas 50 sperti Affrini Adham, A.Samad Said, Ruhi Hayat, Noor S.I., M.Ghazali, Salmi Manja, Kassim Ahmad, Mokhtar Yasin, Suhaimi Haji Muhammad, Abdul Sani Hamid, Kala Dewata, Awang Had Salleh, Nora, Shukor Harun, Abdullah Hussain, Anis Sabirin, Hasan Ali, Harun Hassan, Alias Ali dan beberapa lagi.

Wadah untuk mereka berkarya memang lebih luas dan makin banyak serta terbuka seperti Utusan Melayu, Mestika, Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Fikiran Rakyat dan sebagainya. Mereka bebas menghasilkan kumpulan puisi, cerpen dan novel untuk diterbitkan melalui penerbit-penerbit yang wujud atau menerbitkan secara bersendirian.

Hasil penulisan pada tahun 1960an, jika puisi lebih ditonjolkan ialah Usman Awang – secara kebetulan kerana beliau di institusi penulisan yang kukuh, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Masuri S.N. makin tidak diberi perhatian, walaupun terus menulis, kerana beliau orang Singapura. Jika novel, maka karya Salina dan Musafir hasil peraduan novel anjuran DBP 1958 dan diterbitkan pada tahun 1961 agak kontroversi yang mencerminkan konflik nilai yang didukung masyarakat. Musafir karangan Hasan Ali diberi hadiah pertama, tetapi Salina yang judul asalnya Gerhana yang diberi hadiah penghargaan dan ditukar kepada judul Salina bila diterbitkan mendapat pujian dari pengkaji sastera dari barat A.Teeuw, maka novel ini dianggap sebagai membawa persembahan `cara yang serba moden` (Kata Pengantar Salina, Cetakan Kedua – 1965: hlm. Permulaan).

Mulai tahun 1960an wajah sastera di Malaya mencerminkan wajah baru dalam perkembangan sastera di tanahair yang membuka ruang bagi perkembangan lebih maju dan subur bagi dekad seterusnya.

Sekian.

January 18, 2014

Tambak Tanah Untuk Ruangan Parkir Masjid Al-Umm

-->
BBB, 14 Jamadil Awwal 1435 = 16 Januari 2014 (Khamis):

Salah satu keperluan bagi masjid, ialah tempat parkir yang cukup bagi jamaah, terutama pada hari Jumaat. Perkara ini telah disedari dan diambil perhatian sejak rancangan pembinaan Masjid al-Umm disetujui. Selepas mesyuarat pertama penubuhan Jawatankuasa Penubuhan Masjid al-Umm 4 Februari 2010, maka diambil keputusan bagi menemui pihak PKNS bagi mendapat keizinan bagi menjadikan kawasan kosong hadapan tapak Masjid al-Umm dan juga berhadapan Dewan Orang Ramai bagi menjadikan tapak parkir Masjid al-Umm.


Penulis selaku Adun Bangi pada masa itu beserta dengan Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan beberapa orang AJK telah membuat kunjungan ke PKNS memohon ruang kosong berkenaan untuk dijadikan kawasan parkir. Kita menjangkakan tidak ada projek di situ, khususnya perumahan kerana kedudukannya hampir di bawah talian TNB voltan tinggi yang boleh membahayakan kesihatan dan keselamatan. Namun beberapa hari selepas itu naik iklan di atas tanah berkenaan projek perumahan bakal didirikan. Walaupun bantahan dibuat, tapi dimaklumkan tanah berkenaan adalah milik sebuah syarikat perumahan yang telah diluluskan oleh PKNS. Difahamkan syarikat berkenaan adalah merupakan anak syarikat PKNS. Kenaikan 6 unit rumah semi-D berhadapan Dewan Orang Ramai dan tapak Masjid al-Umm mengganggu pandangan dan menyempitkan ruang untuk parkir. Alternatif yang lain perlu dicari bagi kawasan parkir. Dalam perbincangan pada mesyuarat-mesyuarat AJK Pembinaan Masjid al-Umm soal ruangan parkir ditimbulkan dan ruangan di bawah talian letrik – dengan mengambil langkah keselamatan, akan dijadikan tapak parkir. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Penulis selaku Pengerusi AJK Pembinaan Masjid al-Umm semasa lawatan ke PKNS bersama AJK Tuan Haji Hussain, Tuan Haji Mohd Nor, Tuan Haji Abdul Rahman dan saudara Adham pada 6 Februari 2013 menemui Kontroler PKNS Kawasan Selatan Tuan Haji Lokman bin Abdul Kadir membincang beberapa perkara, termasuklah tempat parkir di bawah talian TNB.

Setelah kerja-kerja tanah bagi pembinaan Masjid al-Umm dimulakan pada 10 Disember 2013, didapati ada lebihan tanah yang dikeluarkan bagi level basement bagi masjid. Maka dicadangkan untuk ditambak kawasan di bawah talian TNB bagi dijadikan kawasan parkir. Tuan Haji Abdul Rahman bagi pihak AJK telah memaklumkan kepada pihak TNB BBB, difahamkan pihak TNB tidak berhalangan, maka kerja-kerja menambak di belakang perumahan berseberang jalan bagi tapak Masjid al-Umm dimulakan pada hari Isnin 11 Rabiul Awwal 1435 brsamaan 13 Januari 2014.


Hari ini Penulis selaku Pengerusi pembangunan Masjid al-Umm pergi ke tapak melihat kerja-kerja memindahkan tanah dari tapak ke kawasan parkir. Penulis menemui Tuan Raja Fuaddin bahagian Architecture turut sama hadir melihat kerja-kerja yang dilakukan.
Kami juga menemui saudara Razak Rahman – Site Agent dan saudara Azhar sebagai kerani (CNS) di situ. Pada masa itu lori-lori sedang mengangkut tanah ke tapak parkir.
Tuan Raja Fuaddin membuat ingatan tentang level tanah yang dipotong pada level 40.9 meter yang sepatut lebih rendah, iaitu 40.5 sebagaimana di dalam plan yang dibawa bersama. Beliau meminta disemak kembali sebelum kerja pembinaan bermula yang akan menyukarkan pembetulan, jika tidak mengikut spesifikasi asal. Dengan level 40.9, kata Tuan Raja Fuaddin terpaksa dibuat benteng yang menghalang kemasukan bomba jika berlaku kecemasan. Manakala 40.5 hampir sama paras dengan jalan bagi level basement.

Kami berbincang dengan saudara Razak dan Azhar kira-kira jumlah tanah yang akan dipindahkan. Kemungkinan lebihkurang 1,000 lori bagi menambak ruang yang luas lebih kurang setengah ekar.


Penulis juga bergerak melihat kawasan tanah yang sedang ditambak. Ada dua pengawal mengawal lori keluar masuk bagi menjamin keselamatan dan sebuah jentolak sedang meratakan tanah yang sedang ditambak. Tanah ini akan diratakan permukaannya dengan batu kasran sebelum mampat bagi ditarkan.

Dengan penambakan tanah dan diratakan kelihatan kawasan bertambah cantik. Namun kaedah-kaedah keselamatan perlu diwujudkan menurut piawayan TNB.

Sekian.

January 17, 2014

Jalan 1/3H & 1/3K Tertinggi Kes Denggi Seksyen Satu Bandar Baru Bangi

-->
BBB, 14 Rabiul Awwal 1435 = 16 Januari 2014 (Khamis):

Kenyataan di atas dibuat oleh Dr. Nasir Pegawai Kesihatan dari Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat yang datang bersama Pembantunya En. Harawi memberi penerangan tentang wabak denggi di Surau al-Umm pada petang ini. Mereka datang bersama Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk BBB. Program penerangan adalah dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi.


Sebelum itu selesai menunaikan solat Maghrib berjamaah Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi Surau al-Umm memberitahu kepada jamaah, bahawa, `Pada petang ini bersama kita YDP Persatuan Penduduk BBB dengan dua orang Pegawai Kesihatan Hulu Langat datang untuk memberi penerangan mengenai wabak denggi di kawasan kita selepas salat Maghrib.`` Tambahnya, ``Saya meminta maaf kehadiran agak mengejut dan tidak memberi tahu penduduk terlebih dahulu dan terpaksa batal program baca Yasin & Tahlil. Maklumat dapat tahu dari Tuan Haji Sufi malam tadi semasa mesyuarat AJK Masjid al-Umm, tetapi pengesahan dapat hadir hanya dipastikan jam 8.30 pagi tadi. Untuk menangguhkan penerangan jadi lewat, maka terpaksa diadakan penerangan pada malam ini juga.``  Beliau berterima kasih kepada Tuan Haji Sufi, Dr. Nasir dan E, Harawi yang sudi datang membuat penerangan. Semoga kita mengambil maklum dan bertindak memastikan tempat kita tidak berterusan dengan wabak denggi dan pentingkan kebersihan.


Dalam penerangan Dr. Nasir memaklumkan wabak denggi makin merebak dan bertambah. Beliau menyifatkannya sebagai bala dari Allah yang menuntut kita memberi perhatian dengan menjagi kebersihan. Selangor memanglah tertinggi di Malaysia dengan kes denggi, tetapi tahun 2013 adalah puncak dengan kes denggi berjumlah 25,000 kes. Sebelum ini tidak pernah mencapai jumlah setinggi ini. Tahun 2014 selepas 2 minggu bulan Januari kes berjumlah 1008 kes.

Di negeri Selangor kawasan Petaling paling tinggi dengan kes denggi, kerana kepadatan penduduknya. Kes bagi tahun baru (2014) sudah berjumlah 556, manakala bagi Hulu Langat 405 – Kedua tertinggi di Selangor. Dr. Nasir menyebut di Bandar Baru Bangi kawasan yang paling tinggi dengan kes denggi ialah Seksyen 3 iaitu 120 kes. Beliau menyebut semua tempat di kawasan itu adalah berpotensi denggi. Kawasan tertinggi selepas Seksyen 3 - kedua tertinggi ialah Seksyen Satu. Beliau tidak memberi jumlah semua kes bagi Seksyen satu, tetapi menyebut dua jalan tertinggi ialah 1/3H & 1/3K dengan kes yang dilaporkan 4 kes. Walau bagaimana kes kematian bagi awal tahun ini di Hulu Langat hanya seorang, iaitu di Cheras Indah. Mangsa adalah warga asing.


Dr. Nasir yang memberi penerangan dengan menggunakan power point itu memaklumkan, ``Kes denggi yang berterusan lebih dari 2 minggu dikategorikan sebagai kawasan wabak. Jika berterusan dikira sebagai `hotspot` dan terpaksa dibuat pemantauan berterusan. Beliau juga menyebut, penyebaran denggi lebih banyak dari dalam rumah yang mempunyai banyak tempat menjadi tempat merebaknya nyamuk denggi berbanding dengan luar rumah. Nyamuk denggi dalam rumah berbeza dari di luar. Sebagaimana dimaklum nyamuk aedis biak diair jernih. Seekor nyamuk mampu menmgeluarkan telur antara 100 – 200 biji dan tahan hingga 6 bulan walaupun kering. Ianya menetas bila mengenai air. Sebab itu perlu dipastikan jangan ada tempat bertakung air sama ada di bawah tempat rak pinggan, bahkan di tepi baldi yang dilingkup.

Beliau menyebut usaha fogging bermasalah, tidak dapat dilakukan sepenuhnya, kerana terlampau banyak kes. Tenaga perlu dibawa dari kawasan lain, bahkan dibawa dari luar Selangor. Beliau menyebut selain berusaha membersih dan mencegah, kalau ada tanda-tanda demam denggi segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan untuk mencegah dari merebak. Ubat denggi masih tidak ditemui, hanya pencegahan. Beliau menyebut simpton penyakit kencing tikus hampir sama dengan denggi. Beliau menasihati pastikan kebersihan tempat rekreasi dan jangan mandi di air tenang atau tempat rekreasi yang tidak bersih.

Antara tanda-tanda denggi demam kuat secara mengejut, keletihan, sengal sendi tulang, tak lalu makan, keluar ruam merah, sakit kepala dan muntah-muntah.

Dr. Nasir menekankan pentingnya jaga kebersihan di dalam dan luar rumah. Periksa paling tidak 10 minit setiap hujung minggu. Jangan biar air tak berlari dan jangan biar sampah berlonggak. Hulu Langat terkenal sebagai kawasan sampah, sebab itu antara sebab kes denggi. Beliau juga mengesyorkan agar diadakan gotong royong dari masa ke masa.

Sebelum dari itu Tuan Haji Sufi dalam ucapan ringkasnya juga menyebut program gotong royong akan di atur. Beliau menyebut program dan pertemuan melalui surau paling efektif, kerana melalui surau seperti ini kita dapat menemui penduduk setempat. Menurut Tuan Haji Sufi, beliau difahamkan, pertemuan melalui surau oleh Pejabat Kesihatan seperti ini adalah pertama kali diadakan dan menurutnya wajar diteruskan.

Berhubung dengan program persatuan penduduk, katanya, ``Persatuan menjadikan hari Sabtu ialah Hari Ilmu dan Ahad Hari Keluarga. Persatuan mengadakan kegiatan ilmu di Kompleks Pendidikan Islam pada setiap pagi hari Sabtu.`` Beliau menjemput semua untuk menyertai program berkenaan. Selain itu pada malam esok Jumaat malam akan diadakan tadarus al-Qur`an di Surau al-Nur, para jamaah dijemput sama. Pihak Persatuan juga akan mengadakan `Forum Pemikiran Bangi Siri Ketujuh` dan Himpunan Penduduk Bandar Baru Bangi yang akan diadakan pada 9 Februari 2014 di Kompleks Pendidikan Islam Bangi.

Majlis berakhir dengan solat Isya dan minum.

Sekian.

January 16, 2014

Seni Untuk Seni & Masyarakat - Seni Bermanfaat


BBB, 13 Jamadil Awwal 1435 = 15 Januari 2014 (Isnin):

Telah dibicarakan terdapat elemen-elemen seni di dalam al-Qur`an, bahkan melalui al-Qur`an dapat dipelajari secara teratur ilmu nahu, saraf dan balaghah (ma`ani, bayan dan badi`) yang melaluinya dapat difahami secara mendalam terhadap bahasa, kehalusan dan keindahan bahasa al-Qur`an. Ini bermakna Islam mengiktiraf tentang seni. Jadi seni tidaklah boleh dianggap suatu yang bersifat semata-mata keduniaan dan tidak ada hubungan dengan keislaman. Bayangkan sebuah hasil khat berayat Qur`an yang ditulis dengan indah, bayangkan juga sebuah masjid yang indah juga bayangkan sebuah puisi yang kudus memuji Allah dan  mensalawat Rasulullah s.a.w. Jika Islam sendiri tidak bercanggah dengan seni, maka seni sebagai sifat alam dan sifat Tuhan (Jamal), maka seni wajar tumbuh dan berkembang bagi manfaat insan. tetapi seni sebagai hasil seni dan hubungannya dengan masyarakat ada batas-batasnya, khususnya ianya dilihat sebagai sebuah hasil seni dan kepentingan bagi masyarakat. Antaranya:

a)      Seni yang dimengerti dan difahami. Jika sesebuah karya sampai langsung tidak dapat dimengerti dan lebih dari kabur dan langsung tidak memberi manfaat, maka sebenarnya bukan sebagai sebuah hasil seni, bahkan patut ditolak.
b)      Tidak bersifat sesat dan menyesatkan. Contoh sebuah hasil seni katakan memuja syaitan, kebatilan dan sebagainya, maka ianya perlu ditolak.
c)      Tidak bercanggah dengan nilai akhlak dan kemanusiaan. Contoh sebuah novel atau filem lucah yang merosakkan masyarakat juga perlu ditolak.

Aspek-aspek di atas adalah bercanggah dengan Islam. Karya-karya yang mengandungi unsur-unsur di atas tidak dapat diterima sebagai karya seni. Al-Qur`an mencirikan nilai seni sebagaimana berikut:

1)      Menyuruh berbuat baik dan mencegah dari mungkar (maksud dari ayat Ali Imran: 104 & 110).
2)      Tidak menyesatkan (difahamkan dari al-Shu`ara`: 224).
3)      Meneguhkan keimanan, amal salih dan mengingatkan Allah (al-Shu`ra`: 227).

Dapat dirumuskan bagi memenuhi tuntutan semua nilai-nilai di atas (a,b, c & 1,2, 3), bahawa seni hendaklah `Bermanfaat`. Konsep seni dilihat pada zat seni itu sendiri yang dapat dibicarakan `Seni Untuk Seni` dan kesan keluar dari seni itu kepada yang lain yang antaranya dibicarakan `Seni Untuk Masyarakat`.

Seni pada dasarnya menyempurnakan (Teori Takmilah), pengkarya, karya dan khalayak.
Bayangkan sebuah hasil seni, katakan sebuah hasil khat. Menghasilkan khat yang indah, ianya tidak terhasil begitu saja. Tetapi bagi menghasilkan khat indah datangnya dari seniman Khattat yang berilmu, tahu kaedah menulis khat dan jenis-jenisnya dan menghasilkannya dan sebagai sebuah hasil seni yang indah bermutu memberi kesan keluar kepada penghayatnya, misalnya rasa indah, tenteram atau kudus. Pokoknya ianya memberi manfaat. Kemanfaatan ini mungkin diperluaskan dengan menjadi bahan hiasan di tempat-tempat sesuai yang dimanfaatkan oleh khalayak.

Bayangkan juga menghasilkan sebuah seni bina masjid yang luhur dan kudus yang seni binanya berfalsafah tauhid dengan kubah dan menara berbentuk bulat melambangkan sifat Allah yang sempurna, tegak mencecah langit yang melambangkan ketinggian kekuasaan Allah, ruang dalam yang terbuka luas untuk jamaah yang mencerminkan falsafah Islam yang tidak membezakan kedudukan jamaah, dindingan yang dihiasi dengan ayat-ayat Qur`an dengan khat-khat yang indah melahirkan rasa tenteram dan kudus bagi jamaah. Apa lagi bila tiba waktu solat ayat Qur`an dibacakan diikuti azan berkumandang. Berikutan dari solat diiringi dengan pengajaran atau tazkirah. Seni bina rumah tradisi Melayu seperti rumah peleh yang sesuai dengan iklim tempatan yang mengalami panas dan hujan bukan saja cantik dan menarik, tetapi juga berfaedah. Semua memberi manfaat sebagai seni suci dan memberi faedah kepada masyarakat.

Jadi hasil seni yang baik sudah pasti bersifat dua dimensi, dimensi ianya sebagai sebuah seni yang bernilai, indah dan mengkagumkan dan dimensi kemasyarakatan, dalam mana ianya memberi manfaat kepada masyarakat. Ambil contoh sebuah novel Di Bawah Lindungan Ka`bah yang bertemakan cinta suci Zainuddin terhadap Zainab yang berlatarbelakangkan Indonesia yang watak membawa diri ke Tanah Suci mengadu nasibnya pada Ilahi atau Novel Fajar Di Hujung Malam oleh Hasan Ali yang melaluinya dapat difahami tentang sejarah dan perjungan Rasulullah s.a.w. dalam menegakkan Islam. Demikianlah dengan cerpen-cerpen yang dapat dicontohi dari cerpen-cerpen peraduan berunsur Islam. Contoh cerpen dalam antologi Tantangan (DBP, 1978), Sebuah Lampu Anti (Bahagian Ugama, JPM, 1983), Persinggahan (Bahagian Ugama JPM, 1986), Embun Hidayah (DBP, 1991) dan Syahdu (DBP, 1993).

Contoh juga dapat diambil dalam bidang puisi Buah Rindu oleh Amir Hamzah (Dian Rakjat, Djakarta,1969), Pelabuhan Putih oleh Kemala (DBP, 1989), Kau Dan Aku oleh Aziz Deraman (DBP, 1994), As-Salam (DBP, 2006) oleh Suhaimi Haji Muhammad.

Semua hasil seni di atas memberi manfaat kepada manusia sebagai khalayak seni di atas seperti menimbulkan rasa kekaguman, keluhuran dan kebesaran Ilahi, memperhaluskan jiwa dan rasa kemanusiaan, rasa rahmat dan kasihan belas, memahami sejarah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, memahami liku-liku hidup manusia yang menambahkan pengalaman dan keinsafan kepada manusia, membela yang lemah dan menegakkan kebenaran. Memupuk kefahaman tentang bahasa dan keindahan dan turut membantu khlayak menggunakan bahasa yang betul dan berseni dan berbagai lagi.

Sekian.

January 15, 2014

Maulidur Rasul Di Surau Al-Umm Bandar Baru Bangi

-->
BBB, 12 Rabiul Awwal 1435 = 14 Januari 2014 (Selasa):

Kedatangan 12 Rabiul Awwal tarikh kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Rasulllah s.a.w. disambut diberbagai tempat dari peringkat Negara, negeri, kawasan, masjid, surau dan kariah. Cara sembutan juga berbagai cara dengan mengadakan perarakan, ceramah, forum, salawat barzanji dan sebagainya.


Surau Al-Umm sebagai surau terawal dan tertua di Bandar Baru Bangi pada tahun ini sebagaimana di tahun-tahun lain turut mengadakan sambutan Maulid al-Rasul. Pada kali ini dengan mengadakan Majlis Selawat, Marhaban, Qasidah dan Nasyid yang puncaknya ialah penyampaian ceramah. Majlis pada kali ini bermula dari jam 11.00 tengahari sehingga zohor dan berakhir jam 2.00 tengahari. Sambutan pada peringkat Surau Al-Umm ini disponsor oleh jiran surau Prof. Dr. Zainal Abidin & Isteri Puan Hajjah Aminah serta penderma-penderma. Hadir ke majlis AJK surau, penduduk setempat lelaki dan perempuan memenuhi surau.


Majlis bermula dengan doa dibacakan oleh Imam Surau Al-Umm Ustaz Haji Anas diikuti dengan selawat, qasidah dan nasyid oleh kumpulan nasyid dari Madrasah al-Qur`an – Madrasah Tahfiz USJ seramai 13 orang dengan diiringi Mudirnya Ustaz Ikram. Dalam ucapan alu-aluannya Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi Surau mengucp syukur kepada Allah kerana sekali lagi, katanya, kita dapat menyambut Sambutan Maulid al-Rasul 1435=2014 dan berterima kasih kepada para hadirin yang hadir begitu ramai memenuhi surau. Beliau juga berterima kasih kepada yang sponsor dan menderma hingga dapat menjayakan sambutan.  Kehadiran kita katanya, menandakan kecintaan kita terhadap Rasulullah s.a.w. Seseorang yang kita cintai terlebih banyak kita menyebutnya. Tanda cinta kita kepada Rasulullah ialah dengan banyak bersalawat kepadanya. Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat kepada Nabi, maka kita dituntut berselawat kepada baginda – sebagaimana kumpulan nasyid tadi berselawat dan kita turut sama berdiri berselawat ke atas Nabi. Tetapi kecintaan sebenarnya ialah mematuhi perintah Allah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Dr. Shafie mengambil kesempatan menyebut di surau dan masjid tempat kita beribadat dan juga bersalawat. Masjid Al-Umm dalam pembinaan dan memerlukan sumbangan dana bagi mencukupi jumlah kos pembinaan. Beliau menyeru kepada hadirin, hadirat dan para dermawan mengambil peluang bagi menanam modal akhirat dengan menderma bagi menyiapkan Masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan yang dijangka siap pada pertengahan 2015.


Acara puncak pengerusi majlis saudara Amir bin Khalil menjemput penceramah khas, iaitu Ustaz Abdullah bin Jalil dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyampaikan ceramahnya, mulai jam 12.30 tengahari hingga zohor.

Ustaz Abdullah berceramah tentang kemuliaan Rasulullah s.aw. yang dilahirkan pada hari terbaik – Isnin dan bulan terbaik – Rabiul Awwal yang Rasulullah bersabda bermaksud:

``Aku dilahirkan pada hari Isnin dan aku dibangkitkan pada hari itu.``
Dan bulan Rabiul Awwal bulan istimewa yang bermaksud – Musim Bunga.
Nabi dipuji dalam puisi `Al-Mu`allaqat al-Sab`i` dan Nabi dipuji oleh a-Busiri di dalam puisi Burdahnya yang setengah pihak menjadikan puisi berkenaan sebagai wirid dan salawat terhadap Nabi.
Kata Ustaz Abdullah mulianya Nabi - dengan memetik ungkapan bermaksud:
``Tidak ada siapa yang ketahui dengan sebenarnya kemuliaan Nabi melainkan Rabbi``
Baginda diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Beliau menyebut adab-adab berhubung dengan Nabi, antaranya tidak menyebut namanya secara langsung, sebaliknya disertai dengan gelaran – Rasulullah dan sebagainya. Kita juga tidak boleh memanggil orang tua kita dengan namanya secara langsung, kerana demikian tidak menghormatinya. Ayat al-Qur`an melarang meninggikan suara terhadap Rasulullah, lantaran itu para sahabat tidak mengangkatkan suara ketika bercakap dengan baginda.


Rasulullah adalah termulia dari segala makhluk yang lain termasuk lebih mulia dari makhluk terbesar ciptaan Allah yang Dia kaitkan diriNya dengan ciptaan terbesarnya Rabbul `Arshi al-`Azim`.

Ustas Abdullah menyebutkan bahawa kita kasihkan nabi dengan banyak bersalawat kepada baginda, sebagaimana setiap kali bersolat Jumaat pada hari Juma`at diperingatkan oleh khatib supaya kita memperbanyakkan salawat kepada Baginda. Kita mengharapkan syafaat dari Baginda hari akhirat yang akan jatuh hari kiamat pada hari Jumaat. Ustaz Abdullah membacakan Hadith tentang Syafaat Rasulullah pada hari Kiamat, yang nabi-nabi lain tidak dapat memberi syafaat kecuali Nabi Muhammad s.a.w.


Ceramah berakhir dengan solat zohor berjamaah diikuti dengan makan tengahari – Nasi Arab.

Sekian.